Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gerai Botak Jones diserbu hingga licin dalam 4 jam pembukaan hari pertama

Botak Jones, rangkaian gerai penjaja makanan Barat popular, membuat kemunculan semula pada Isnin lalu (14 Jun) dengan pembukaan cawangan pertamanya di bawah pengasas asli, Bernie Utchenik. 

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai Botak Jones diserbu hingga licin dalam 4 jam pembukaan hari pertama

Orang ramai kelihatan beratur panjang pada hari pertama pembukaan 'The Original Botak Jones' di kopitiam Depot Lane di Bukit Merah. (Gambar: 8days)

Diterbitkan : 16 Jun 2021 08:19PM Dikemas Kini : 16 Jun 2021 08:23PM

SINGAPURA: Botak Jones, rangkaian gerai penjaja makanan Barat popular, membuat kemunculan semula pada Isnin lalu (14 Jun) dengan pembukaan cawangan pertamanya di bawah pengasas asli, Bernie Utchenik.

Encik Bernie meninggalkan syarikat yang diasaskannya itu pada 2011 dan rangkaian tersebut menutup semua cawangannya secara bertahap-tahap di Singapura beberapa tahun kemudian.

Lelaki berusia 68 tahun itu memberitahu Mediacorp memandangkan "tiada perniagaan langsung yang memiliki nama dan hak cipta Botak Jones", beliau mencapai perjanjian dengan pelaburnya untuk menghidupkan semula jenama tersebut di bawah nama 'The Original Botak Jones' dan membuka sebuah gerai di kopitiam Depot Lane di Bukit Merah.

Beliau berkongsi menu dikekalkan "80 hingga 90 peratus" sama dengan kedai aslinya - menawarkan beberapa hidangan kegemaran lama termasuk 'Fish & Chips', burger 'Crazy-What?!', ayam cajun, kentang keju yang dibakar dua kali serta daging cincang bercili atau 'Chili Con Carne'.

Encik Utchenik dan isterinya Cik Faudziah Mohd Ali. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

(Bernie Utchenik dan isterinya Cik Faudziah Mohd Ali. Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Pada masa lalu, terdapat beberapa cawangan halal Botak Jones dan Encik Bernie serta isteri beliau, Cik Faudziah 'Zee" Mohd Ali, berhasrat untuk mendapatkan sijil halal bagi gerai barunya itu.

"Kami sedang menantikan pensijilan halal kami untuk diproses," kongsi beliau yang menambah proses itu akan mengambil masa "tiga hingga enam bulan".

Gerai itu mula beoperasi secara rasmi pada 11.00 pagi tetapi kata Encik Bernie, barisan beratur terbentuk malah sebelum waktu pembukaan.

Apabila Mediacorp mengunjungi gerai itu pada sekitar 12.00 tengah hari Isnin lalu, orang ramai kelihatan beratur sehingga di luar kedai kopi berkenaan. Beberapa anggota NS dari Pangkalan Tenaga Manusia Pusat (CMPB) Kementerian Pertahanan yang terletak berdekatan dilihat beratur bersama-sama pekerja pejabat lain di samping penduduk biasa.

Sejurus selepas 12.00 tengah hari, seorang kakitangan Botak Jones mengumumkan bahawa masa menunggu adalah "satu setengah jam". Ini menyebabkan separuh daripada mereka meninggalkan barisan beratur, mungkin kerana pekerja pejabat tidak mampu menunggu begitu lama.

Dalam satu kemas kini di Facebook, TOBJ berkongsi bahawa makanannya habis dijual menjelang 3.00 petang.

"Hari ini kami diserbu bahkan sebelum kami dibuka dan semua makanan kami habis pada 2.00 hingga 3.00 (petang). Kami TIDAK akan buka pada malam ini jadi kami boleh membuat persediaan untuk makan tengah hari esok. Kami hanya akan memulakan makan malam dari Jumaat," menurut catatan itu.

Ia menambah bahawa "kami lebih rela menyediakan makanan bermutu mengikut cara yang betul seperti yang anda jangkakan daripada menyediakan mutu makanan yang rendah".

Menurut Encik Bernie, TOBJ menerima tempahan awal sejak malam semalam. Beliau menunjukkan mesej di Facebook Messenger dan akaun emelnya daripada pelanggan yang teruja untuk menjamu semula hidangan Botak Jones.

"Memang lebih baik jika anda pesan dan datang untuk mengambilnya (pada luar waktu sibuk)," nasihat Encik Bernie sambil menjelaskan bahawa beliau menerima pesanan besar-besaran yang bermakna dapurnya memerlukan lebih banyak masa untuk menyiapkan makanan.

Beliau mengesyorkan orang ramai membuat tempahan awal melalui emel (enquiry [at] originalbotakjones.com) atau menghubungi 9380-5339. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan