GEN KAKI CUTI: Yunnan papar sisi berbeza China dengan ketenangan & keindahan alam, budaya
Sabrina Yusri bergambar di 'Jade Dragon Snow Mountain' di Lijiang, Yunnan, China. Kawasan pelancongan gunung itu mencecah sekitar 4,680 meter dari paras laut. (Gambar: Sabrina Yusri)
Namun wilayah Yunnan di barat daya China menawarkan pengalaman yang jauh berbeza, lebih tenang, kaya dengan budaya dan dikelilingi pemandangan alam semula jadi yang cukup menakjubkan.
Pada awal Mac lalu, saya berpeluang menjelajah Yunnan menerusi laluan penerbangan tanpa henti dari Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru ke Kunming.
Penerbangan dari Johor Bahru ternyata lebih mudah dan menjimatkan. Menariknya, keseluruhan perjalanan ini juga dirancang sendiri tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong.
Selama sembilan hari, perjalanan saya merangkumi Kunming, Dali dan Lijiang dengan menaiki kereta api laju serta menggunakan aplikasi Didi untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
Disebabkan beberapa kawasan di Yunnan berada pada altitud tinggi, itinerari juga perlu dirancang dengan teliti supaya badan dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit sebelum menuju ke kawasan pergunungan.
KUNMING DAN MASYARAKAT ISLAM YANG MESRA
Kunming merupakan destinasi pertama sebaik sahaja saya tiba di Yunnan. Bandar ini terkenal dengan gelaran 'City of Eternal Spring' kerana cuacanya yang nyaman sepanjang tahun.
Suasananya terasa lebih santai berbanding bandar-bandar besar lain di China. Jalan rayanya luas, udaranya nyaman dan kehidupan di sini juga bergerak dalam ritma yang lebih perlahan.
Kunjungan pertama dimulakan di Dounan Flower Market, yang terkenal sebagai antara pasar bunga terbesar di Asia.
Selepas itu, perjalanan diteruskan dengan meneroka kawasan sekitar bandar termasuk Green Lake Park, Kunming Old Street serta Nanping Pedestrian Street.
Lorong-lorong bandar ini dipenuhi suasana tempatan yang hidup, dengan deretan kedai serta aktiviti harian penduduk setempat yang menjadikan pengalaman berjalan kaki di sekitar Kunming terasa sangat autentik.
Menariknya, di kawasan seperti Shuncheng Street, pelbagai pilihan makanan halal mudah ditemui, mencerminkan kewujudan masyarakat Islam tempatan yang cukup jelas di bandar ini.
Selepas meneroka suasana bandar, kunjungan diteruskan ke Shuncheng Mosque, sebuah masjid bersejarah yang dipercayai dibina sejak zaman Dinasti Ming sekitar tahun 1425 dan masih aktif digunakan sehingga hari ini.
Ia memperlihatkan bagaimana budaya Islam dan budaya Cina berkembang bersama dalam masyarakat Islam di Yunnan.
Memandangkan perjalanan ini dilakukan ketika bulan Ramadan, antara pengalaman yang paling bermakna ialah berpeluang berbuka puasa bersama beberapa penduduk tempatan di kawasan masjid walaupun kami langsung tidak mengenali antara satu sama lain.
Walaupun terdapat halangan bahasa, layanan mereka sangat mesra dan membuatkan saya berasa cukup selesa dan dialu-alukan.
Ia benar-benar mencerminkan bagaimana interaksi sederhana boleh menjadi pengalaman yang paling berkesan dalam perjalanan ini.
DALI YANG TENANG DAN MENENANGKAN
Dari Kunming, perjalanan diteruskan ke Dali dengan menaiki kereta api laju. Sistem pengangkutan di China ternyata sangat cekap dan memudahkan perjalanan antara bandar.
Saya menginap berhampiran Erhai Lake yang terkenal dengan pemandangan tasik luas berlatarbelakangkan gunung.
Suasana di sini terasa sangat tenang terutama pada waktu pagi ketika kabus nipis masih menyelubungi kawasan sekitar tasik.
Antara lokasi paling popular di Dali ialah Lixiangbang Tourism Resort Town yang sering digelar 'Santorini China'.
Walaupun tempat ini sering muncul di media sosial, melihatnya sendiri memberikan pengalaman yang berbeza.
Suasananya terasa lebih damai dan santai daripada yang saya bayangkan.
Menariknya, walaupun Dali bukan destinasi utama bagi pelancong beragama Islam, saya secara tidak sengaja menemui restoran halal berhampiran kawasan 'Santorini China' ini. Ia membuatkan pengalaman di sini terasa lebih mudah dan selesa.
Selain itu, saya juga sempat berjalan-jalan di Dali Ancient City dan Shuanglang Ancient Town pada waktu malam.
Lorong batu lama dipenuhi lampu, kedai teh dan muzik jalanan yang menjadikan suasana bandar lama di sini terasa cukup hidup.
Antara tempat kegemaran saya di Dali ialah Dali Maomi Garden.
Sebagai pencinta kucing, tempat itu benar-benar terasa seperti terapi bagi saya.
CABARAN DI LIJIANG DAN JADE DRAGON SNOW MOUNTAIN
Perjalanan saya diteruskan ke Lijiang yang terletak pada altitud lebih tinggi berbanding Kunming dan Dali. Bagi persiapan ke Jade Dragon Snow Mountain, aktiviti diperlahankan dan ubat 'acclimatisation' diambil sebagai langkah berjaga-jaga kerana kawasan tersebut mencecah sekitar 4,680 meter dari paras laut.
Sepanjang berada di Lijiang, saya menginap di Lijiang Old Town, bandar purba berusia lebih 800 tahun yang dipenuhi lorong batu lama, jambatan kecil dan lampu-lampu oren pada waktu malam.
Sesi fotografi tradisional dengan pakaian etnik tempatan turut menjadi antara pengalaman menarik sebelum perjalanan ke Jade Dragon Snow Mountain keesokan harinya.
Walaupun pemandangannya cukup menakjubkan, berada pada ketinggian lebih 4,000 meter bukan sesuatu yang mudah.
Ramai pengunjung membawa tong oksigen kecil dan saya sendiri turut menggunakannya ketika mendaki.
Beberapa pelancong juga dilihat berasa pening dan muntah-muntah akibat penyakit altitud tinggi.
Ketika itu barulah saya sedar bahawa mendaki di kawasan altitud tinggi bukan tentang bergerak pantas, tetapi tentang memahami kemampuan badan sendiri serta mengetahui bila perlu berhenti dan berehat.
Walaupun begitu, saya masih mampu sampai di kawasan pada ketinggian sekitar 4,600 meter tanpa sebarang masalah serius, meskipun sakit kepala altitud tinggi mula dirasakan beberapa jam kemudian.
Sebelum kembali semula ke Kunming untuk penerbangan pulang, saya turut sempat mengunjungi Baisha Ancient Town yang menjadi antara lokasi kegemaran saya sepanjang berada di Yunnan.
Dari bandar lama itu, Jade Dragon Snow Mountain dapat dilihat dengan begitu jelas di kejauhan, menjadikan suasananya terasa sangat tenang dan indah.
Perjalanan ke Yunnan membuka mata saya bahawa China mempunyai begitu banyak sisi yang belum diterokai ramai, terutama bagi pelancong beragama Islam dari Singapura.
Daripada masyarakat Islam tempatan yang mesra hinggalah keindahan bandar purba dan pergunungan bersalji, Yunnan menawarkan pengalaman yang bukan sahaja indah untuk dilihat, tetapi juga bermakna untuk dinikmati sendiri.
Masih banyak sisi Yunnan yang belum sempat diterokai, khususnya Shangri-La yang terkenal dengan landskap pergunungan dan budaya Tibet yang unik.
Mungkin satu hari nanti, perjalanan ini akan dapat saya sambung semula apabila peluang itu muncul sekali lagi.
MENGENAI PENULIS
Sabrina Yusri merupakan pencipta kandungan digital dan pencerita gaya hidup dari Singapura yang berkongsi pengalaman pengembaraan, budaya, makanan halal dan gaya hidup menerusi platform media sosialnya, @sabventuresinlife. Beliau merupakan graduan dalam bidang Komunikasi dan Media Baharu dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam bidang media sosial serta pemasaran kandungan sebelum memilih untuk menceburi penciptaan kandungan secara sepenuh masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.