GEN KAKI CUTI: Vietnam satu negara, 4 pengalaman berbeza
Penulis (berkaca mata hitam) memakai pakaian tradisional Ao Dai di Hoi An dan aktiviti tular 'Coconut Boat' yang boleh dilakukan di Da Nang. (Gambar: Nurul Jalil)
Namun sebenarnya, Vietnam merupakan sebuah negara yang memanjang dari utara ke selatan, dan antara sisi paling menariknya sering kali dapat ditemui di luar dua bandar utama itu.
Dalam satu perjalanan sahaja, negara ini boleh menawarkan empat pengalaman yang benar-benar berbeza; sebuah bandar pantai yang santai, kota warisan yang menawan, pergunungan berkabus di utara, dan pulau yang tenang di selatan.
Lebih menarik lagi, perjalanan dari satu kawasan ke kawasan lain jauh lebih mudah dan berpatutan daripada yang disangkakan.
DA NANG: BANDAR PANTAI YANG SANTAI
Perjalanan menaiki kereta kabel ke puncak sudah cukup memukau, manakala pemandangan dari atas lebih menakjubkan. Nasihat saya, datanglah sebelum pukul 10.00 pagi sebelum kawasan itu dipenuhi kumpulan pelancong.
Tidak jauh dari situ pula terletak My Son Sanctuary, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempamerkan runtuhan kuil purba peninggalan kerajaan Champa.
Bagi peminat sejarah dan seni bina, tempat ini benar-benar berbaloi untuk dikunjungi.
Saya menempah kebanyakan aktiviti dan pengangkutan lebih awal secara online, dan ini banyak menjimatkan masa serta memudahkan perjalanan sepanjang berada di sana.
HOI AN: BANDAR TANGLUNG YANG MENAWAN
Kira-kira 45 minit dari Da Nang terletak Hoi An, dan suasananya berubah sebaik sahaja anda tiba. Jalan-jalannya lebih sempit, bangunannya berwarna kuning keemasan, dan rentaknya jauh lebih perlahan.
Hoi An pada waktu malam pula terasa seperti dalam filem; tenang dan dipenuhi cahaya tanglung.
SAPA: PERGUNUNGAN BERKABUS DI UTARA
Jika anda mahukan sesuatu yang benar-benar berbeza, naiklah ke utara ke Sapa. Di sinilah terletaknya kawasan Vietnam yang berkabus - pergunungan tinggi, sawah padi berteres, dan udara sejuk yang menyegarkan.
PHU QUOC: PULAU DI SELATAN
Di hujung selatan Vietnam pula terletak Phu Quoc, iaitu sebuah pulau yang menawarkan pantai dan ketenangan yang sama sekali berbeza daripada gunung dan bandar. Bagi keluarga atau sesiapa yang mahukan percutian santai tanpa jadual yang padat, Phu Quoc pilihan yang sangat sesuai.
Dalam satu kawasan yang sama, saya boleh ke taman tema berdekatan, menikmati pantai, dan bersantai dengan rawatan spa - semuanya tanpa perlu bergerak jauh.
Sepanjang kira-kira lapan kilometer, kereta kabel ini membawa penumpang menyeberangi laut selama lebih kurang 15 minit, dengan pemandangan pulau-pulau kecil dan air biru yang terbentang luas di bawah. Pengalaman itu benar-benar sesuatu yang sukar dilupakan.
Lebih menarik lagi, saya dapat terus ke Phu Quoc dengan penerbangan domestik yang singkat dan murah - membuktikan betapa mudahnya menggabungkan kawasan yang jauh berbeza dalam satu perjalanan.
BERGERAK MUDAH, MAKAN DENGAN TENANG
Salah satu perkara yang membuatkan Vietnam sangat sesuai untuk diterokai ialah penerbangan domestiknya yang murah dan kerap.
Meskipun anda tidak membuat banyak perancangan, anda boleh bergerak dari gunung di utara ke pulau di selatan tanpa perlu berbelanja besar.
Pilihan makanan halal dan mesra Muslim di Vietnam semakin bertambah dari tahun ke tahun - daripada restoran milik Muslim hinggalah kedai yang menyajikan masakan tempatan versi halal.
Malah di kawasan seperti Sa Pa, terdapat restoran yang menyediakan ruang solat bagi pengunjung.
IBARAT BEBERAPA DUNIA BERBEZA DALAM SATU NEGARA
Kalau saya boleh berkongsi satu perkara daripada perjalanan-perjalanan saya di sana, ia adalah bahawa Vietnam tidak sepatutnya dilihat sebagai satu destinasi sahaja. Ia sebenarnya ibarat beberapa dunia yang berbeza dalam satu negara.
Jadi buat sesiapa yang baru pertama kali merancang ke Vietnam, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat Vietnam melangkaui bandar-bandar utamanya sahaja.
TIP UNTUK PENGEMBARA MUSLIM KE VIETNAM
Makanan halal: Pilihan semakin bertambah, terutama sekali di Sapa dan Da Nang. Sesetengah restoran milik Muslim turut menyediakan ruang solat. Selain restoran bersijil halal, pilihan makanan laut dan hidangan berasaskan sayur-sayuran juga mudah didapati.
Rancang perjalanan: Penerbangan domestiknya yang murah kerap menghubungkan bandar-bandar utama. Anda juga boleh sampai ke Sapa menerusi perjalanan darat dari Hanoi.
Wang tunai: Banyak kedai dan restoran, terutamanya di Sapa, hanya menerima wang tunai. Pastikan anda membawa Dong Vietnam yang mencukupi.
Barangan yang diperlukan: Bawa pakaian berlapis untuk Sapa yang sejuk, payung, sejadah lipat, dan aplikasi waktu solat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.