Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Turki - destinasi percutian menggamit jiwa, penuh magis, warna & cerita

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Turki - destinasi percutian menggamit jiwa, penuh magis, warna & cerita

Hagia Sophia dan Taksim Square. (Gambar: Aizam Omar)

SINGAPURA: Ia unik kerana kedudukan geografi dan kebudayaannya yang istimewa, berbeza daripada negara-negara lain. Terletak di persimpangan antara benua Eropah dan Asia, Turki menggabungkan warisan sejarah berusia ribuan tahun dengan suasana moden yang penuh daya tarikan. Bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan, malah menawarkan pengalaman menyeluruh yang mampu membuka minda dan menyentuh jiwa.

Percutian selama hampir dua minggu di Istanbul merupakan tempoh yang ideal untuk menikmati kepelbagaian budaya, merasai keenakan makanan tempatan, menghayati keindahan alam semula jadi, serta menyelami sejarah panjang tamadun dunia. Tanpa perlu tergesa-gesa, anda pasti akan dapat menikmati setiap lokasi dan destinasi yang dikunjungi dalam suasana yang tenang dan santai.

Related article image
Sebuah kedai di pasar Turki. (Gambar: Aizam Omar)

Istanbul bukan sekadar sebuah bandar besar. Ia adalah jiwa kepada kehidupan moden Turki dan tempat di mana sejarah lama masih terasa.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sini, saya terus dapat rasa keunikannya dengan kehadiran masjid-masjid yang indah, bangunan lama, kafe-kafe menarik di setiap sudut selain lorong-lorong kecil yang penuh warna dan cerita. Setiap langkah di Istanbul seperti membawa saya mengembara antara masa lalu dan masa kini.

DAYA TARIKAN MESTI DIKUNJUNGI

Bagi ramai pelancong, antara lokasi yang wajib dikunjungi apabila berada di Istanbul tentunya Hagia Sophia. Bangunan ikonik ini bukan sahaja sarat dengan sejarah, malah menjadi saksi perubahan zaman dan tamadun.

Asalnya ia adalah sebuah gereja yang dijadikan masjid, kemudian muzium dan kini kembali berfungsi sebagai tempat beribadah untuk orang-orang Islam. Ternyata, Hagia Sophia merupakan simbol kebesaran dan keagungan masa silam.

Related article image
Reka bentuk dalaman Hagia Sophia. (Gambar: Aizam Omar)
Melangkah masuk ke dalamnya ibaratkan seperti melangkah ke dunia lain. Seni bina yang agung, kubah megah dan ukiran klasik yang memukau mata pasti membuat anda rasa terpaku dengan rekaannya. Bagi penggemar sejarah dan seni, tempat ini umpama permata yang tiada galang gantinya.

Ketika berada di sini, kami berasa amat bertuah kerana berpeluang menunaikan solat Jumaat. Suasana di dalam bangunan bersejarah ini sungguh mengagumkan apabila azan bergema dalam ruang kubah yang megah, diiringi barisan jemaah dari pelbagai negara yang bersatu mengejarkan ibadah. Ia benar-benar satu pengalaman yang menyentuh hati dan sukar dilupakan.
Related article image
Orang ramai di dalam Hagia Sophia. (Gambar: Aizam Omar)
Tidak jauh dari situ juga terletaknya satu lagi mercu tanda kebanggaan Istanbul iaitu Masjid Biru atau Sultanahmet Mosque. Secara ringkas, namanya diambil sempena jubin-jubin biru yang menghiasi seluruh ruang dalamannya, mewujudkan suasana yang begitu tenang dan memukau.

Biarpun sentiasa sesak dengan pengunjung dari merata dunia, masjid ini kekal damai terutamanya saat azan berkumandang dari menaranya. Kunjungan ke sini bukan hanya untuk mengagumi keindahan seni bina, tetapi juga untuk menghayati nilai Islam yang begitu sebati dalam budaya Turki.
Related article image
Masjid Biru atau Sultanahmet Mosque. (Gambar: Aizam Omar)
Satu lagi daya tarikan berhampirannya yang popular dan sering dikunjungi ramai adalah muzium istana Topkapi. Ia pernah menjadi kediaman rasmi sultan-sultan Uthmaniyyah dan istana ini menempatkan pelbagai khazanah berharga yang menceritakan kegemilangan empayar tersebut. Di sini pengunjung berpeluang meneroka kawasan istana yang luas serta mengunjungi bilik pusaka yang menyimpan pelbagai khazanah diraja.

Pengalaman lawatan menjadi lebih bermakna dengan kunjungan ke bahagian Harem, iaitu tempat kediaman keluarga diraja yang penuh dengan kisah serta sejarah yang menarik. Secara ringkas, lawatan ke Istana Topkapi bukan sekadar menyusuri jejak sejarah, tetapi juga memberi peluang untuk pengunjung memahami dengan lebih mendalam kehidupan mewah dunia diraja yang pernah menguasai sebahagian besar dunia.

BAZAR, PASAR & BUTIK

Selain diperkaya dengan masjid dan tempat-tempat unik yang bersejarah, Istanbul juga cukup terkenal dengan bazar-bazar yang meriah dan popular seperti Grand Bazaar dan Spize Bazaar. Dibina sejak abad ke-15, kedua-dua pasar ini bagaikan labirin penuh kejutan yang menempatkan ratusan kedai yang menjual kepelbagaian dari karpet buatan tangan, perhiasan antik, pakaian, kasut, rempah ratus, aneka cenderamata unik dan banyak lagi.
Related article image
Sebuah kedai di Grand Bazaar. (Gambar: Aizam Omar)
Malah, ia bukan sekadar tempat membeli-belah, tapi juga ruang budaya yang sentiasa meriah di mana tawar-menawar menjadi tradisi dengan keramahan peniaga-peniaga. Pengunjung juga sering diajak oleh pemilik gerai yang ramah tamah untuk mencuba secawan teh Turki sambil membeli belah di gerai mereka. Ia pastinya merupakah satu pengalaman kecil yang memberi kenangan manis untuk setiap pengunjung.

Keistimewaan Istanbul tidak terhad pada sejarah dan pasar-pasar klasik sahaja. Setiap daerahnya juga mempunyai ciri-ciri dan suasana dan cerita yang tersendiri. Misalnya, Balat, sebuah kawasan lama yang dihiasi rumah-rumah berwarna-warni, jalan berbatu dan suasana retro yang membawa pengunjung ke zaman silam. Tempat ini sangat sesuai buat penggemar fotografi atau sesiapa yang ingin mencari ketenangan luar biasa di tengah hiruk-pikuk kota.
Related article image
Kawasan di Taksim Square. (Gambar: Aizam Omar)
Sementara itu, Taksim Square pula menawarkan sisi Istanbul yang lebih moden dan bertenaga seperti Orchard Road. Ia juga merupakan pusat kehidupan malam dan hiburan selain dikelilingi kafe dan butik-butik terkemuka seperti Adidas, Nike, Zara, Ted Baker, Fashion Republic dan juga DeFacto, label pakaian popular di Turki dan banyak lagi.

Selain butik pakaian, kawasan Taksim juga dibanjiri dengan pelbagai kafe serta pemuzik jalanan yang menghidupkan suasana hingga lewat malam. Di kawasan ini, pengunjung juga pasti akan dapat merasai denyut nadi sebuah bandar yang tidak pernah tidur.

MENARA GALATA

Tidak jauh dari Taksim terletaknya Menara Galata yang merupakan salah satu mercu tanda paling terkenal di Istanbul. Dari puncaknya, pengunjung dapat menikmati pemandangan kota yang menakjubkan dan memikat hati.
Related article image
Menara Galata. (Gambar: Aizam Omar)
Pada sebelah malam, menara Galata bertukar menjadi mercu tanda yang memukau dengan pencahayaan warna-warni dan elegan. Lampu LED khas menerangi struktur bersejarah ini, menonjolkan keindahan seni binanya yang klasik. Pertunjukan cahaya ini bukan sahaja indah, malah menambahkan lagi daya tarikan Galata sebagai simbol ikonik kota ini.

Kawasan di sekeliling menara ini turut dimeriahkan dengan deretan kafe dan kedai-kedai kecil yang menjadi daya tarik suasana sekitarnya. Anda boleh dapatkan pelbagai aksesori, kasut, t-shirt label tempatan dan banyak lagi di sini.

KADIKOY & BOSPHORUS

Bagi yang inginkan suasana yang lebih tenang, Kadikoy merupakan antara daerah di Istanbul yang ideal untuk dikunjungi. Terletak di tepi Selat Bosphorus, ia menawarkan pemandangan laut yang cantik, luas dan tenang. Terdapat deretan kafe dan restoran unik dalam suasana yang nyaman dan pasti akan membuat anda untuk ingin lepak santai lebih lama sambil menikmati udara dingin yang segar.

Di samping itu, jangan lepaskan peluang untuk menikmati aneka kek yang enak dengan gandingan secawan teh Turki atau kopi dari kafe-kafe yang ada di sana. Inilah sisi Turki yang lebih perlahan, tenang dan akan menawan hati setiap pengunjung.
Related article image
Eyfel Cafe di Kadikoy. (Gambar: Aizam Omar)
Selain ke Kadikoy, satu lagi yang mesti disertai apabila bercuti di Istanbul adalah pelayaran di Selat Bosphorus. Inilah peluang untuk anda menaiki bot selama hampir dua jam sambil menghirup udara laut, melihat pemandangan masjid, istana dan sebagainya di kedua-dua sisi benua iaitu Asia dan Eropah. Ia bukan sahaja cantik, tetapi simbol sebenar bagaimana Istanbul menjadi jambatan antara dua dunia.

BUKAN SEKADAR KEBAB & DONER

Majoriti penduduk Turki adalah Muslim, lantas menjadikannya tempat yang mesra bagi pelancong Islam. Anda tidak perlu risau untuk mencari makanan halal kerana restoran dan gerai halal mudah didapati di merata tempat di seluruh negara ini.

Tahukah anda sajian di Turki sebenarnya jauh lebih luas daripada hanya kebap dan doner. Menepati citarasa semua, tidak kira penggemar daging, makanan laut atau sayur-sayuran, pilihan makanan di negara ini adalah amat luas dan sentiasa membangkitkan selera.

Salah satu kafe yang mesti dikunjungi di Istanbul ialah kafe Hafiz Mustafa yang mudah didapati di setiap kawasan utama kota ini.
Related article image
Hafiz Mustafa Cafe. (Gambar: Aizam Omar)
Di sini, anda boleh menikmati pelbagai pencuci mulut tradisional Turki seperti baklava, kunefe dan juga pilihan pelbagai potongan jenis kek yang enak dengan teksturnya yang lembut. Lengkapkan pengalaman anda dengan secawan teh atau kopi Turki yang autentik. Mesti cuba, ok!

Apa pun, tidak kiralah sama ada anda menikmati kek, kebab jalanan, manisan baklava, teh Turki atau sarapan Ottoman, setiap suapan membawa rasa dan kisah yang tersendiri. Jika ada satu perkara yang perlu anda lakukan setiap hari di Turki, makan dengan perlahan dan nikmati setiap sajian sambil berbual dengan orang sekeliling.

MASA TERBAIK UNTUK KE TURKI

Turki adalah antara negeri yang melalui empat musim. Pengunjung dapat menikmat pengalaman yang berbeza-beza bergantung pada waktu lawatan. Musim bunga bermula dari April – Mei dan anda boleh menikmati pemandangan bunga yang mempesonakan. Sementara musim panas pula selalunya bermula dari Julai – Ogos. Suhu yang lebih tinggi boleh dijangkakan dan waktu ini selalunya terdapat pelbagai aktiviti luar.

Semasa kunjungan saya pada lewat September lalu, musim luruh baru bermula dan merupakan antara bulan yang udaranya nyaman lagi dingin dengan suhu purata anggaran 12 hingga 15 darjah Celsius. Rasa selesa dan dingin sepanjang hari. Bagi anda yang ingin menikmati salji atau bermain ski pula, waktu yang tepat untuk dikunjungi adalah pada musim salji sejuk antara Disember hingga Februari.

LEBIH DARI SEKADAR DESTINASI

Ternyata, Turki bukan sahaja destinasi pelancongan, ia menawarkan pengalaman percutian yang unik. Dalam masa dua minggu, anda boleh menjejak sejarah dunia, menyelami budaya yang kaya, menikmati alam semula jadi yang menarik, pelajari adat dan budaya selain berinteraksi dengan masyarakat setempat yang ramah dan bersifat terbuka.
Related article image
Masjid Nuruosmaniye. (Gambar: Aizam Omar)
Sesiapa sahaja ke Turki tidak memerlukan untuk memilih antara sejarah atau hiburan, bandar atau alam, budaya atau makanan kerana anda akan dapat menikmati kesemuanya dalam satu perjalanan. Jika anda sedang mencari destinasi percutian yang menawarkan lebih daripada sekadar gambar cantik untuk dikongsi dan dijadikan kenangan, Turki antara pilihan yang tepat.

Bagi saya, ia merupakan sebuah destinasi yang penuh dengan daya tarikan tersendiri. Kota ini berjaya memikat hati kami sekeluarga, membuatkan kami ingin kembali berulang kali untuk terus merasai keindahan budaya, sejarah dan keunikan suasananya. Setiap sudut menyimpan cerita dan pengalaman yang tidak ternilai.
Related article image
Hidangan makanan yang dinikmati di Turki. (Gambar: Aizam Omar)
Saya pasti akan kembali untuk meneroka kawasan-kawasan lain di Turki yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, makanan tradisional yang lazat selain warisan budaya yang mengagumkan. Percutian kali ini hanyalah permulaan. Turki, kita pasti akan bertemu lagi!
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita