Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Tioman ibarat ‘fatamorgana’ Malaysia dengan pesona laut jernih

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Tioman ibarat ‘fatamorgana’ Malaysia dengan pesona laut jernih

Penulis di sekitar pulau Tioman dan melakukan kegiatan snorkeling untuk melihat penyu. (Gambar: Amira Rahmat)

Diterbitkan : 02 Aug 2026 07:07AM
SINGAPURA: Saya sudah menjejakkan kaki ke banyak pulau di Malaysia - Langkawi, Penang, Perhentian, Redang, Sibu. Jadi, bila kawan saya cadangkan Tioman, saya anggap ia hanya satu lagi pulau biasa yang disenaraikan.

Saya silap besar.

Di salah sebuah pulau kecil tidak berpenghuni berhampiran Tioman, air lautnya begitu jernih dan bertona pirus, membuat saya rasa seperti sedang berdiri di tengah-tengah Maldives - bukan di sebuah pulau yang cuma lima jam perjalanan dari Singapura.

Yang paling penting bagi saya sebagai pengembara Muslim, seluruh pulau ini 100 peratus halal, tanpa perlu risau langsung tentang makanan.

PERJALANAN BAS DAN FERI DARI SINGAPURA

Saya dan rakan saya menempah tiket bas dan feri melalui BusOnlineTicket, dengan harga bermula sekitar S$40 hingga S$57 seorang sehala.

Bertolak awal pagi dari Bugis, kami menaiki bas terus ke Mersing sebelum menyambung perjalanan dengan menaiki satu feri sahaja ke Tioman, jadi keseluruhan perjalanan agak 'straightforward' walaupun mengambil masa beberapa jam.

Kami menginap di The Barat Tioman Beach Resort di Juara, yang terletak di pantai timur pulau Tioman, kawasan yang lebih tenang dan kurang membangun berbanding kawasan barat seperti Tekek, yang mempunyai suasana santai dengan akses terus ke pantai.
Related article image
Keadaan di sekitar pantai di hadapan hotel. (Gambar: Amira Rahmat)
Jika anda mencari pilihan lain, di kawasan barat pulau, terdapat Berjaya Tioman Resort yang popular dengan pemandangan matahari terbenam, manakala untuk sesuatu lebih eksklusif, anda boleh cuba Anantara Tioman Resort, Japamala Resort dengan chalet tersembunyi di celah hutan tropika dan tebing laut, atau Tunamaya Beach & Spa Resort dengan vila persendirian di hujung barat daya pulau.

Pendek kata, tidak kira apa jua bajet anda, Tioman mempunyai pilihan sesuai untuk semua orang.

AIR SEJERNIH MALDIVES, TANPA KESESAKAN PELANCONG

Kami melakukan perjalanan siang hari atau 'day trip' ke beberapa pulau kecil yang tidak berpenghuni berdekatan Tioman.

Ini bahagian yang paling saya tidak sangka. Di salah satu pulau, air lautnya benar-benar sejernih dan seindah gambar-gambar Maldives yang selalu kita lihat di Instagram - warna pirus yang jelas dengan pasir serba putih.

Yang lebih mengejutkan, walaupun kami datang pada musim sibuk, pulau-pulau ini langsung tidak terasa 'touristy', atau sesak dengan pelancong.
Related article image
Kawasan pantai yang langsung tidak sesak, menjadikannya ibarat pantai persendirian. (Gambar: Amira Rahmat)
Di sepanjang pantai, terdapat banyak sudut kecil yang terasa ibarat pantai persendirian - mudah untuk ambil gambar tanpa orang lalu-lalang, dan senang untuk berenang tanpa perlu berebut ruang dengan pelancong lain.

SNORKELING MENGEJAR PENYU TANPA BOT

Antara detik yang paling saya ingati ialah apabila kami terlihat tiga ekor penyu ketika bersnorkel.

Daripada menyuruh bot mengejar penyu-penyu itu, kami pilih untuk berenang dan snorkel sendiri mendekati haiwan-haiwan itu, dengan cara yang lebih perlahan tetapi secara lebih bertanggungjawab, tanpa mengganggu penyu itu dengan bunyi enjin bot.
Related article image
Perjalanan bot untuk kegiatan snorkeling. (Gambar: Amira Rahmat)
Sejujurnya, keadaan terumbu karang di sekitar Tioman agak menyedihkan, kebanyakannya sudah mati dan tiada warna langsung.

Namun, populasi ikan di sini masih banyak dan pelbagai, menjadikan aktiviti snorkeling satu pengalaman yang tetap memuaskan.

Saya sempat kongsikan dua video di Instagram tentang kejernihan air Tioman, dan kedua-duanya masing-masing meraih lebih sejuta tontonan!
Related article image
Kegiatan snorkeling untuk melihat penyu. (Gambar: Amira Rahmat)
Ramai juga yang terkejut melihat betapa jernih dan indahnya air di destinasi yang terletak begitu dekat dengan Singapura itu. Ramai juga yang teruja apabila mengetahui pulau ini menawarkan pelbagai kemudahan mesra Muslim.

BUKAN SEKADAR AKTIVITI AIR

Walaupun Tioman terkenal dengan aktiviti snorkeling dan selam, ada banyak lagi yang boleh dibuat kalau anda ingin rehat dari kegiatan air.

Di Juara, terdapat 'Juara Turtle Project', iaitu pusat pemuliharaan penyu di mana anda boleh belajar tentang usaha menjaga populasi penyu di pulau ini.

Kami juga tidak sempat 'trekking' merentasi laluan hutan yang menghubungkan Juara ke Tekek kali ini, tetapi ini salah satu aktiviti popular sekiranya anda mahu lihat sisi hutan tropika Tioman, bukan sekadar pantainya.

Terdapat juga air terjun yang boleh diterokai jika anda ada mempunyai lebih banyak masa.

Selain itu, anda juga boleh mengunjungi Masjid Al-Muttaqin, sebuah masjid unik yang dibina di atas tiang di pinggir laut. Keindahannya menjadikannya lokasi yang sesuai untuk fotografi, selain mencerminkan betapa mesra Muslimnya pulau ini.

Kami cuba sewa motosikal untuk bersiar-siar sepanjang pantai, tapi motosikal yang ada semuanya jenis manual, dan saya tidak 'reti' tunggang. Terpaksalah batalkan rancangan itu, tetapi kalau anda 'reti', memang 'best' kerana anda boleh menunggang tepi pantai sambil meneroka kawasan sekitar.

Semasa perjalanan bot untuk kegiatan snorkeling pula, kami sempat berkawan dengan pelancong lain dalam bot yang sama, yang cadangkan aktiviti memancing di lepas pantai - lebih sesuai untuk mereka yang teruja dengan aktiviti sebegitu, walaupun kami sendiri tidak sempat mencubanya.
Related article image
'Cafe hopping' dengan pemandangan indah dan tenang. (Gambar: Amira Rahmat)
Dan tentu sekali, 'cafe hopping'. Kami bertanya penduduk tempatan dan merujuk kepada Google Maps untuk mencari kafe tersembunyi di Juara, dan berjaya menjumpai satu kafe kecil yang indah di hujung kampung. Suasananya tenang dan sesuai untuk berehat sambil minum kopi selepas seharian bersiar-siar.

AZAN BERGEMA, MAKANAN 100% HALAL

Satu perkara yang benar-benar menyentuh hati saya ialah apabila azan berkumandang dari masjid kampung, dan kami boleh dengar dengan jelas dari pantai Juara sendiri.

Ternyata, duduk di tepi pantai sambil menikmati tiupan angin laut, menghadap air yang jernih, dengan alunan azan bergema merupakan satu pengalaman yang jarang saya alami di destinasi pantai lain.
 
Related article image
Di gerai kecil yang menyajikan makanan halal. (Gambar: Amira Rahmat)
Bagi bab makanan, ini mungkin bahagian paling saya suka tentang Tioman dan Malaysia. Tidak perlu bimbang tentang makanan halal kerana di seluruh pulau - dari gerai kecil tepi pantai hingga restoran resort - semuanya menyajikan makanan yang 100 peratus halal.
Related article image
Makanan Barat dari restoran hotel. (Gambar: Amira Rahmat)
Sebagai pengembara Muslim yang biasa melakukan kajian mendalam sebelum ke mana-mana destinasi, rasanya ia membut saya lega apabila boleh pesan apa sahaja tanpa perlu tanya soalan berulang kali.

MASA BERLALU PANTAS

Pada salah satu petang pula, kami hanya duduk di 'hammock' tepi pantai selama dua jam, sehingga matahari terbenam.

Rasanya baru sekejap kami duduk menikmati pemandangan, tiba-tiba langit sudah bertukar jingga. Pada hari yang lain, kami sekadar berbaring di kerusi pantai menghadap laut, dan tanpa sedar, masa kembali berlalu begitu pantas.

Sejujurnya, kami jarang berada dalam bilik penginapan sepanjang perjalanan ini.

Antara snorkeling, jalan-jalan, cafe hopping, atau sekadar berbaring tepi pantai, setiap minit di luar lebih menarik daripada duduk dalam bilik ber-aircond. Itulah Tioman, ia buat kita rasa masa bergerak perlahan, tapi bila kita sedar, hari sudah pun berakhir.

TIP MELANCONG DI TIOMAN

Tempah lebih awal, tetapi tetap semak waktu terkini - Tempah tiket bas dan feri melalui BusOnlineTicket seawal mungkin, harga bermula sekitar S$40-57 seorang sehala. Namun waktu feri boleh berubah secara tiba-tiba kerana ia bergantung pada air pasang surut.

Cuba menginap di lebih daripada satu kampung -Tioman mempunyai banyak kampung dengan suasana yang berbeza selain Tekek dan Juara - antaranya Kampung Paya, Salang, dan Air Batang (ABC).Kalau boleh, cuba menginap di dua kampung yang berbeza dalam satu perjalanan kerana setiap satu menawarkan suasana dan pengalaman yang cukup berbeza.

Luangkan sekurang-kurangnya 3 hari 2 malam - Untuk percutian hujung minggu, tempoh ini sudah memadai, tetapi anda boleh luangkan lebih lama. Perjalanan kami terasa agak tergesa-gesa dengan tempoh yang singkat.

Google Maps dan tanya penduduk tempatan untuk tips- Tempat-tempat terbaik seperti kafe tersembunyi di Juara jarang muncul dalam senarai pelancong biasa, jadi anda boleh bertanya orang tempatan untuk cadangan sebenar.
Kurangkan Artikel
Selepas mengembara ke Langkawi, Penang, Perhentian, Redang dan Sibu, saya fikir saya sudah "cukup" dengan pulau-pulau Malaysia. Tetapi Tioman buktikan bahawa saya masih ada banyak lagi untuk diterokai di negara jiran kita sendiri.

Bukan airnya yang jernih semata-mata yang meninggalkan kesan kepada saya, tetapi juga betapa mudah dan selesanya pengalaman di sini.

Tidak perlu risau mencari makanan halal, tidak perlu bersesak dengan pelancong meskipun bukan pada musim sunyi, dan pantainya masih terasa seperti sebuah rahsia indah yang belum ramai temui.

Kadangkala, pulau yang paling memikat bukanlah yang paling jauh atau paling terkenal. Kadangkala, yang paling indah bukanlah yang paling jauh untuk dikejar, tetapi yang selama ini berada dekat dengan kita, hanya menunggu untuk ditemui.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita