GEN KAKI CUTI: Teroka keindahan Sepanyol dari Cordoba hingga Madrid
Bandar kecil di Sepanyol yang mencuri hati serta hidangan paella. (Gambar: Amira Rahmat)
- Amira, pencipta kandungan @asingaporeanabroad, meneruskan percutian sembilan hari lapan malam ke Sepanyol bersama rakan-rakan walaupun gelombang haba mencecah 48 darjah Celsius hampir membatalkan rancangan itu.
- Di Córdoba dan Zaragoza, mereka menyesuaikan jadual dengan siesta, melawat Mezquita-Catedral, Istana Aljafería dan lokasi Mudéjar, sambil berdepan keletihan, ramai pelancong dan makanan tradisional yang tidak selalu kena selera.
- Pekan kecil seperti Borja, Muel dan Calatayud paling mencuri hati, manakala Monasterio de Piedra, Pyrenees, Tobed dan Madrid menambah pengalaman antara seni bina, alam, seramik, membeli-belah dan paella.
- Artikel ini turut berkongsi tip memilih hotel bertab mandi, mencari makanan halal melalui aplikasi peta, merancang ikut waktu siesta, serta bajet sekitar S$250 hingga S$350 sehari.
Bukan gelombang haba biasa, malah sampai mendapat liputan berita antarabangsa. Suhu pada waktu siang mencecah 48 darjah Celsius dan saya masih ingat rasa panik dalam kumpulan sembang bersama rakan-rakan seperjalanan - "'Confirm' ke nak teruskan?"
Kami teruskan juga.
Sekarang, selepas semuanya berakhir, saya boleh katakan - memang sangat berbaloi. Namun jangan sesekali sangka perjalanan sembilan hari lapan malam seperti ini mudah.
Ini bukan cerita daripada brosur pelancongan. Ini kisah sebenar tentang apa yang berlaku apabila badan dan solekan anda terasa seperti mahu cair dalam cuaca 48 darjah Celsius, tetapi anda masih cuba kelihatan segar dalam gambar percutian.
CÓRDOBA: PANAS, PENAT, TAPI...
Rutin harian kami di Córdoba lebih kurang begini - keluar pada waktu pagi, berjalan hingga tengah hari, kemudian wajib 'siesta' (tidur seketika dalam bahasa Sepanyol) kerana badan sudah tidak tahan dengan bahang panas.
Malam pula menjadi waktu paling menyeronokkan. Kami sering berada di luar sehingga 11.00 malam atau tengah malam kerana ketika itulah udara benar-benar selesa.
Pada satu malam, kami menikmati makanan di tepi jalan sambil menonton persembahan jalanan sekitar 11.30 malam sebelum berjalan pulang ke hotel. Terasa seperti bandar itu benar-benar hidup selepas matahari terbenam.
Namun sejujurnya, cabaran paling nyata bukan sejarah atau seni bina, tetapi cuba kelihatan segar dengan solekan dan gaun cantik sedangkan badan sudah dibasahi keringat.
Ada gambar yang nampak 'effortlessly chic', tetapi percayalah, di sebalik kamera saya sudah terasa seperti mahu pengsan.
Namun setiap kali sesuatu yang indah muncul di depan mata, sakit itu hilang seketika - sehinggalah keesokan harinya apabila kelenguhan kaki kembali mengingatkan saya semula.
Tentang jumlah pelancong pula, memang ramai. Mendapatkan gambar yang kelihatan tenang tanpa orang lain dalam bingkai merupakan satu cabaran tersendiri.
Jadi, kalau anda mahu berkunjung, bersedialah untuk menunggu giliran atau datang lebih awal pada waktu pagi.
DETIK-DETIK YANG BUAT SAYA TERPAKU
Segala penat dan panas terasa tidak penting sebaik sahaja saya berdiri di dalam Mezquita-Catedral atau Masjid-Katedral Córdoba.
Reaksi itu bukan sesuatu yang dibuat-buat. Ia datang dengan sendiri.
Saya membayangkan manusia yang hidup seribu tahun lalu berjalan di atas lantai yang sama dan beribadah di ruang yang sama.
Tiba-tiba saya berasa begitu kecil sebagai manusia yang hanya singgah seketika dalam perjalanan sejarah yang begitu panjang.
ZARAGOZA DAN MOMEN MIGAS YANG “KENA SENYUM WALAUPUN...”
Dari Córdoba, kami menaiki kereta api laju AVE ke Zaragoza. Di sini, seni bina Mudejar - gabungan unik unsur Islam dan Kristian - menjadi tumpuan utama.
Namun, perkara yang paling saya ingat dari Zaragoza sebenarnya bukan seni binanya, tetapi hidangan Migas di sebuah restoran bernama La Migueria.
Saya menoleh ke arah rakan-rakan seperjalanan dan semua menunjukkan reaksi yang sama - senyum paksa sambil memandang pinggan masing-masing.
PEKAN-PEKAN KECIL CURI HATI SAYA
Kalau ditanya bahagian mana yang paling saya suka sepanjang perjalanan ini, jawapannya bukan bandar besar tetapi pekan-pekan kecil seperti Borja, Muel dan Calatayud yang kaya dengan jejak warisan Mudéjar.
Batu-batu bangunan pula berwarna keemasan lembut - warna yang membuatkan gambar kelihatan cantik walaupun tanpa 'filter'.
Ada juga ibu-ibu yang duduk di depan rumah sambil memerhatikan kami berlalu dengan senyuman kecil. Kemudian terhidu pula aroma roti segar dari kedai-kedai kecil. Entah kenapa, bau itu sahaja sudah cukup membuatkan saya terfikir: “Inilah Eropah yang saya bayangkan.”
Kami juga sempat bermalam di Monasterio de Piedra, sebuah biara sebenar yang terletak di dalam taman semula jadi yang lengkap dengan air terjun.
Sejujurnya, suasananya agak menyeramkan - bilik-bilik lama, koridor yang sunyi dan kesunyian yang membuatkan bulu roma meremang tanpa sebab.
Seorang rakan seperjalanan sampai bertanya sama ada dia boleh tidur bersama saya malam itu kerana dia juga merasakan 'vibe' yang serupa.
Tetapi entah kenapa, saya tidak terlalu memikirkan perkara menyeramkan itu. Saya terus masuk ke bilik air, berendam dalam tab mandi dan membiarkan ketenangan taman serta bunyi air terjun di luar menyelubungi suasana.
Sejujurnya, itulah antara malam yang paling saya ingati sepanjang perjalanan - separuh seram, separuh seronok, tetapi keseluruhannya menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan.
Kami turut singgah di pergunungan Pyrenees, termasuk Biara San Juan de la Peña, dan Loarre di wilayah Huesca, yang diselubungi kabus gunung, serta Tobed, yang terkenal dengan warisan seni bina Mudéjar, tempat saya turut berpeluang mencuba sendiri pembuatan seramik.
Perjalanan kami berakhir di Madrid dengan membeli-belah di Gran Vía dan menikmati paella makanan laut sebelum pulang.
CARI HOTEL DENGAN TAB MANDI
Ini satu tip yang saya benar-benar mahu kongsikan - untuk mana-mana percutian di Eropah yang memerlukan banyak berjalan kaki, dan dalam kes saya ditambah pula dengan cuaca ekstrem, cuba cari hotel yang mempunyai tab mandi.
Setiap malam selepas berjalan berjam-jam dalam cuaca panas, saya merendam kaki dan badan dalam air suam sebelum tidur. Ia benar-benar membantu memulihkan badan supaya tidak terlalu sakit pada keesokan harinya.
Malah, pada malam paling 'seram' di Monasterio de Piedra, tab mandi itu menjadi penyelamat saya. Daripada rasa seram, terus bertukar menjadi tenang.
Nampak seperti tip kecil, tetapi ia memberi perbezaan besar kepada stamina - dan mental - sepanjang perjalanan yang padat seperti ini.
MAKANAN HALAL LEBIH MUDAH DIDAPATI DARIPADA JANGKAAN
Ramai mungkin bimbang tentang mendapatkan makanan halal di Sepanyol, tetapi sebenarnya, ia lebih mudah daripada yang saya jangkakan.
Kebanyakan bandar mempunyai gerai kebab atau kedai makanan halal kecil, khususnya di kawasan berbilang budaya. Gunakan sahaja aplikasi peta untuk mencari pilihan berdekatan.
Kami menginap di La Ermita Suites di Córdoba, sebuah hotel bersejarah dengan pensijilan mesra Muslim, lengkap dengan bufet sarapan halal. Tempahan awal juga diperlukan untuk bufet halal tersebut.
TIP PERJALANAN DI SEPANYOL
- Bawa produk penjagaan kulit dan solekan yang tahan panas serta pakaian yang diperbuat daripada kapas - pilih produk yang sesuai dengan cuaca panas dan pakaian yang ringan serta selesa.
- Bersedia mencuba makanan yang tidak semestinya 'wow' - beranikan diri mencuba hidangan tradisional walaupun mungkin tidak menepati cita rasa anda. Itulah sebahagian daripada pengalaman yang dicari ketika merantau.
- Jangan abaikan pekan-pekan kecil - bandar besar memang cantik, tetapi cerita dan seni bina yang paling menarik kadangkala tersembunyi di pekan kecil seperti Borja, Muel dan Calatayud. Memang sangat cantik dan mengagumkan.
Bagi anggaran bajet, harga penerbangan dari Singapura adalah sekitar S$800 hingga S$1,300. Tiada penerbangan terus ke Sepanyol, jadi saya menaiki Qatar Airways, manakala Etihad, Emirates dan Turkish Airlines turut menawarkan penerbangan sambungan.
Perjalanan dengan kereta api laju dari Madrid ke Córdoba pula mengambil masa sekitar satu jam 45 minit, dengan tambang antara S$60 hingga S$100.
Untuk penginapan, anggarkan sekitar S$100 hingga S$250 semalam, manakala perbelanjaan makanan pula sekitar S$30 hingga S$50 sehari.
Pengangkutan tempatan dan aktiviti pula dianggarkan antara S$15 hingga S$30 sehari, manakala tiket masuk ke 'Mezquita-Catedral' sekitar S$20 hingga S$30. Sediakan juga sekitar S$50 hingga S$100 untuk perbelanjaan lain seperti cenderamata dan snek.
Secara keseluruhan, anggaran perbelanjaan adalah sekitar S$250 hingga S$350 sehari, bergantung pada pilihan penginapan, makanan dan aktiviti.
Sejujurnya, percutian ke Sepanyol ini antara perjalanan paling memenatkan secara fizikal yang pernah saya lalui - panas ekstrem, berjalan berjam-jam dan jadual padat dari pagi hingga lewat malam.
Namun entah kenapa, setiap kali saya rasa seperti mahu pulang sahaja ke penginapan, sesuatu yang indah muncul di depan mata, tidak kira gerbang berusia seribu tahun, lorong kecil dengan kain basuhan bergantungan mahupun langit malam di atas sebuah biara yang sunyi.
MENGENAI PENULIS
Amira seorang pencipta kandungan pengembaraan menerusi platform @asingaporeanabroad di Instagram , TikTok dan Threads, yang menumpukan kepada kandungan perjalanan dan makanan mesra Muslim untuk khalayak Singapura dan Malaysia. Dengan hampir enam tahun pengalaman dalam industri ini, beliau turut pernah berkhidmat sebagai pramugari selama lapan tahun sebelum mencipta kandungan sepenuh masa di Bali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.