Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Teroka keindahan alam Sulawesi Tenggara, suku sawo matang mata biru

“Awak nak bercuti ke Sulawesi? Di mana tu?” Begitulah pertanyaan yang ditujukan apabila saya meluahkan hasrat hendak melancong ke Sulawesi.

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Teroka keindahan alam Sulawesi Tenggara, suku sawo matang mata biru

Penulis di air terjun Tirta Rimba di Baubau yang kering ketika kunjungan gara-gara musim panas. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 16 Aug 2025 11:00PM Dikemas Kini : 03 Jan 2026 04:13PM
SINGAPURA: “Awak nak bercuti ke Sulawesi? Di mana tu?” Begitulah pertanyaan yang ditujukan apabila saya meluahkan hasrat hendak melancong ke Sulawesi. Ada segelintir pula yang kenal tetapi hanya tahu tentang kaum Toradja di situ. Setelah saya menjelajah Sulawesi selama dua minggu, ternyata pulau ini memiliki keunikan yang tidak akan anda perolehi di tempat lain.

Bentuk pulau Sulawesi itu sudah unik seperti tapak tangan dengan empat jari terkuak. Ada pula yang mengatakan bentuk pulau itu seperti huruf ‘k’ kecil. Pulau Sulawesi bukan merupakan dataran tanah yang besar seperti Sumatra atau Kalimantan. Sebaliknya, ia terdiri daripada tanah jaluran yang panjang dan tidak lebar yang menjalar ke laut. Bentuknya yang sedemikian, membuatkan penduduk sangat akrab dengan laut. Samudera menyelimuti setiap ruang hidup mereka.
Related article image
Air laut pelbagai warna, jernih di Pantai Nirwana, Buton. (Gambar: Amanah Mustafi)
SEDIAKAN KAMERA, RAKAM KEAJAIBAN ALAM

Air lautnya yang terlalu jernih membolehkan anda nampak dasar laut dengan hidup-hidupan laut dengan sekadar duduk di tepi pantai, tanpa perlu menyelam. Air lautnya mempunyai pelbagai warna: biru muda, biru pekat, biru kehijauan, hijau muda, hijau tua dan putih jernih. Apabila mentari memancar dengan galak, lautannya menjadi lebih indah. Kilauan muncul di sana sini. Amat merangsangkan. Saya terpana apabila pertama kali nampak kilauan itu kerana ia seperti lampu lap lip berkerlipan di dalam laut. Sesuatu yang tidak pernah saya temui sebelum ini.
Related article image
Pantai Lakeba sewaktu menjelang senja. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apabila matahari hendak terbenam, lautan menjadi sedamai-damainya. Tenang tanpa sebarang kocakan. Di langit, bergentayang jaluran warna perang, kuning, merah dan cokelat. Warna-warna ini memantulkan cahaya ke permukaan laut dan lantas merubah warna air laut pada ketika itu. Bibir laut bertemu dengan bibir langit dalam penyatuan yang mengamankan. Justeru, membentangkan lukisan alam yang amat mengasyikkan. Saya rasa saya sahaja yang terpesona gara-gara saya adalah orang luar. Ternyata, orang tempatan juga tertarik. Mereka ghairah mengambil foto di pantai untuk merakamkan keindahan pantai. Begitulah yang saya saksikan di pantai Lakeba yang terletak di pulau Buton, Sulawesi Tenggara. Sememangnya, pemandangan yang mengasyikkan dan tidak boleh disisihkan dari ingatan. Tidak boleh dinafikan, Sulawesi adalah syurga samudera.

NAIK KAPAL TIDAR, MURAH MERIAH
Related article image
Beginilah besarnya kapal yang jadi pengangkutan seharian untuk bergerak di sekitar kepulauan Indonesia. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sulawesi memiliki puluhan buah pulau kecil dan besar. Di antaranya pulau Lasahaoe dan Kabaena yang terbentang di timur laut Sulawesi. Terdapat juga pulau Peleng dan gugusan pulau Togian serta Banggai. Rata-rata pulau ini tidak besar kecuali pulau Buton yang terletak 390-kilometer dari ibu kota, Makassar. Untuk ke sana, kami menaiki kapal Tidar di mana pelayaran memakan masa satu malam. Kapal Tidar boleh mengangkut hampir 2,000 orang dalam satu-satu masa. Rupa kapal itu seperti kapal haji di tahun 60-an. Lengkap dengan bot penyelamat dan kelengkapan keselamatan. Segala kemudahan ada seperti kedai runcit dan kafé. Malah bioskop (pawagam) juga disediakan. Kegiatan bersenam beramai-ramai turut dianjurkan bagi membuatkan pelayaran lebih seronok.

Keperluan agama diberikan keutamaan. Terdapat musollah di tingkat paling atas kapal itu. Azan akan berlaungan apabila tiba waktu zohor dan secara jamaah, kami bersolat, menjamak zohor dan asar. Itulah pertama kali saya solat jamak dengan berimam. Apabila tiba waktu maghrib, saya pun bersedia, menanti di tempat yang sama. Namun, saya disuruh beralih ke bahagian paling depan ruang itu. Terpinga-pinga juga saya dibuatnya. Rupa-rupanya, arah kiblat telah bertukar 180 darjah kerana kapal sudah bertukar haluan.

CEPAT TEMPAH TIKET, JIKA TIDAK…..
Related article image
Keadaan di dalam kabin kapal yang belayar dari Makassar ke pulau Buton. (Gambar: Amanah Mustafi)
Bagi orang Singapura, kita tidak akan terlintas untuk melancong dengan menggunakan kapal. Namun, lain halnya dengan orang Indonesia. Mengembara bersama kapal adalah sesuatu yang lazim. Pelni (Pelayaran Nasional Indonesia) merupakan syarikat perkapalan bagi kargo dan penumpang yang memberi khidmat pelayaran di kepulauan Indonesia. Tambang kapal adalah 4-5 kali lebih murah daripada pesawat.

Saya ghairah semasa menaiki kapal itu kerana ia merupakan pengalaman sulung. Namun, keghairahan itu berubah menjadi terkejut sebaik sahaja saya tiba di kabin. Siapa sangka, kita harus tidur berderet, sebelah menyebelah dengan orang yang kita tidak kenal. Tidak ada sebarang penghadang. Ini bermakna anda boleh tidur bersebelah dengan sesiapa sahaja, sama ada jejaka dari Papua atau pria dari Ambon. Termangu sekejap dibuatnya kerana tidak pernah berlaku dalam hidup saya sebelum ini. Semua ini gara-gara kami lewat menempah tiket. Jika tidak, kita boleh dapat bilik kecil yang memuatkan enam katil khas untuk wanita sahaja. Sementara itu, ada penumpang yang diberikan hanya tilam dan terpaksa tidur di ruang lalu lalang penumpang. Semua ini gara-gara kehabisan tempat.

PENDUDUK RAMAH, SENANG BANTU PELANCONG

Selepas berlayar selama hampir 10 jam, akhirnya kami sampai di Buton pada pukul 3.00 dinihari. Ia merupakan perhentian yang pertama. Semasa kami turun, ramai lagi penumpang yang masih berada di kapal dan akan meneruskan pelayaran ke Ambon, Papua dan Nusa Tenggara. Ia bermakna lagi 1-2 malam mereka berada di dalam kapal.

Pengalaman di atas kapal telah membuka mata saya. Kemesraan untuk menjalin hubungan amat terserlah di kalangan warga tempatan. Saling menyapa dan bertukar-tukar cerita secara santai adalah sesuatu yang lumrah. Perbualan yang sekejap boleh membuat mereka mengundang kami ke rumah. Ia sesuatu yang tidak mungkin berlaku pada orang bandar. Bukan itu sahaja, mereka rela bantu mengangkat barang turun dari kapal ke pelabuhan, padahal baru sahaja kenal di atas kapal.

Mendengar cara kita berdua bercakap, mereka mudah mengesan yang kita adalah orang luar. (Rasanya, hanya suami dan saya orang asing di atas kapal) Lantas, mereka membuat tanggapan yang kami mahu melawat saudara-mara di pulau Buton. Mereka terkesima apabila diberitahu kami sekadar makan angin. Mereka tertanya-tanya, apakah yang ada di Buton sehingga sanggup menarik kami ke sana.

PAKAI SEPATU SESUAI, YUK! CARI AIR TERJUN
Related article image
Penulis di air terjun Tirta Rimba di Baubau yang kering ketika kunjungan gara-gara musim panas. (Gambar: Amanah Mustafi)
Pulau Buton memiliki mutiara dunia yang tersembunyi. Air terjun atau mereka sebut air jatuh yang terdapat di Buton amat menakjubkan. Sesuatu yang tidak mungkin kita temui di negeri lain. Keindahan air terjun Tirta Rimba terletak pada air yang mencurah-curah turun dari bongkah batu besar, seolah-olah air keluar dari bongkah itu. Sementara air terjun Labusa pula mempunyai gua. Dari dalam gua, kita boleh lihat pintu gua ditutup rapat dengan curahan air.

Banyak lagi air terjun seperti air terjun Bembe, Kalata, Mompengan dan Amajapo yang sangat alami dan punya ciri-ciri terindah sendiri. Sayangnya, air terjun ini belum dilengkapi dengan kemudahan yang dapat mengundang pengunjung dari luar negeri. Namun, ada pengunjung yang sanggup meredah kerana sedar akan keunikan dan keindahan air terjun tersebut.
Related article image
Pemandangan di sebuah kampung di Kecamatan Sorawolio. (Gambar: Google Maps)
Dalam usaha kami mencari air terjun Samparona yang bertingkat-tingkat, kami melalui sebuah kampung di Kecamatan Sorawolio. Kampung ini terletak sekitar 15-kilometer dari pelabuhan utama, Baubau. Kampung yang didiami oleh suku Cia-Cia ini dipanggil Kampung Korea. Saya tersentak kenapa diberikan nama jolokan sedemikian. Apakah persamaan budaya di antara Korea dengan kampung itu?

SUKU CIA-CIA ASAL USUL ORANG KOREA?
Related article image
Buku kanak-kanak dalam Bahasa Cia-Cia. (Gambar: Wikipedia/jiaminglimjm)
Dari segi pakaian, paras rupa , baik apa pun yang berbentuk lahiriah, tidak ada ciri-ciri Korea terlihat pada orang di kampung di situ. Namun, ada satu perkara yang bukan mirip, tetapi boleh dianggap sama betul di antara orang Korea dan orang Cia-Cia. Ia adalah bahasa penuturan mereka.

Sudah berzaman-zaman, nenek moyang orang kampung itu mengamalkan bahasa Cia-Cia di samping bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi. Namun apa yang menarik, bahasa Cia-Cia ini tidak mempunyai aksara atau sistem penulisan sendiri. Apa yang menakjubkan, bunyi dan sebutan bahasa Cia-cia ini mirip dengan bahasa Korea. Oleh kerana itu, mereka mengambil aksara bahasa Korea, Hangeul menjadi sistem penulisan mereka.
Related article image
Papan tanda bagi sebuah sekolah yang turut memaparkan tulisan Korea, Hangeul, di Kecamatan Sorawolio. (Gambar: Wikipedia/Bagas Hutagalung) https://creativecommons.org/licenses/by/3.0/
Sewaktu melalui kampung itu, kami temui sebuah papan tanda jalan yang ditulis dalam Hangeul. Hairan juga, tiba-tiba timbul tulisan Korea di tengah-tengah kampung orang Indonesia. Yang anehnya, bagaimana mungkin berlaku persamaan bunyi itu.

Adakah mungkin orang Korea pernah singgah atau tinggal di pulau Buton atau ada orang tempatan yang membawa balik bahasa Korea ke pulau Buton?

BENTENG BUTON; PENDUDUK BERMATA BIRU!

Pulau Buton terletak di Tenggara Sulawesi atau dengan ringkas disebut sebagai Sultra, singkatan bagi Sulawesi Tenggara. Biarpun terpencil, Buton memiliki satu keunggulan bertaraf dunia.
Related article image
Benteng ini dibina oleh Sultan Buton ke-6 pada tahun 1634, dan merupakan yang terluas di dunia. (Gambar: Wikipedia/Dani Albakia) https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0/
Benteng yang paling luas di dunia bukan terletak di China, Jerman atau Amerika tetapi ia terdapat di Buton. Benteng ini dibina oleh Sultan Buton ke-6 pada tahun 1634. Ia sebagai benteng pertahanan dari serangan musuh luar negeri. Benteng ini lengkap dengan meriam dan peralatan pertahanan. Benteng ini telah menangkis penjajah Barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda dari menawan Buton. Pulau Buton berbangga kerana tanahnya tidak pernah dijajah oleh kuasa Barat. Ketaksuban ini telah menarik kunjungan ramai pelancong dari Eropah.
Related article image
Ada warga tempatan yang bermata biru di Pulau Buton. (Gambar: Instagram/geo.rock888)
Satu lagi keajaiban pulau Buton, ia mempunyai warga tempatan yang bermata biru. Kulit dan rupa mereka saling tak tumpah seperti orang Indonesia dengan kulit sawo matang dan hidung yang sederhana mancung tetapi bebola mata mereka berwarna biru bak orang putih.

Namun, sejauh ini penduduk bermata biru yang terdapat di Buton tidak membayangkan hasil dari perkahwinan campuran. Ada pandangan mengatakan yang mereka ini menghidap penyakit langka yang disebut Sindrom Waardenburg. Sehingga saat ini, hal ini masih menjadi tanda tanya dan memerlukan kajian.
Related article image
Air laut pelbagai warna, jernih di Pantai Nirwana, Buton. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya tidak menjangkakan, kunjungan santai ke pulau Buton memberikan berbagai kejutan yang tidak terlintas di fikiran sebelum ini. Keunikan yang saya temui di Sulawesi Tenggara itu membuatkan saya terlupa untuk mengunjungi suku bangsa Toradja yang merupakan rancangan saya sejak mula lagi. Biar apapun, tiada rasa kekesalan kerana saya bertemu dengan keajaiban yang tidak akan saya temui di tempat lain kecuali di pulau Buton.

MENGENAI PENULIS

Amanah Mustafi bersara selaku Penolong Naib Presiden Eaglevision Mediacorp, badan penyiaran Singapura. Beliau berpengalaman dalam melakar konsep program tv dan skrip tv selain penulis buku pelbagai genre.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita