Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Terkenal dengan keropok lekor, Terengganu juga kaya warisan sejarah dan budaya

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Terkenal dengan keropok lekor, Terengganu juga kaya warisan sejarah dan budaya
Meninjau Jambatan Terangkat Kuala Terengganu (kiri) dan salah satu Batu Bersurat yang dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu. (Gambar: Amanah Mustafi)
SINGAPURA: Sebut sahaja tentang keropok lekor, sudah pasti kita akan mengaitkannya dengan Terengganu.

Memang tidak silap! Itulah negeri kelahiran keropok lekor.

Dalam loghat Terengganu, lekor itu membawa makna ‘lingkar’ atau ‘panjang’.

Keropok lekor adalah kudapan yang dibuat daripada ikan yang dilumat halus, digaul bersama tepung sagu dan secubit garam, yang diuli sehingga sebati dan kemudian digulung-gulung seperti sosej. Ia boleh dimakan dengan direbus atau digoreng.
Related article image
Pekerja di kedai yang sedang membuat keropok lekor. (Gambar: Amanah Mustafi)
Terengganu tidak asing bagi saya. Pada tahun 90-an, saya kerap ke sana. Setelah sekian lama tidak melawat Terengganu, saya kembali semula pada 2025.

Saya berpeluang mengunjungi kedai kepunyaan Kori yang terletak di Losong.

Kori, kawan lama kami itu membekalkan keropok lekor ke kedai-kedai sekitar Terengganu.
Related article image
Pelanggan yang bertali arus di kedai keropok lekor Kori. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kedainya dikenali ramai. Liputan tentang niaganya di akhbar tempatan, Sinar Harian, terpampang di pintu masuk kedainya.

Sememangnya, Losong merupakan tempat asal keropok lekor. Losong terletak 4 kilometer dari Kuala Terengganu, ibu kota negeri.
Related article image
Deretan kedai membuat keropok lekor di Losong. (Gambar: Amanah Mustafi)
Biarpun keropok lekor tidak banyak berubah, negeri Terengganu mengalami pembaharuan. Banyak binaan baharu yang dibangunkan dalam 25 tahun lalu.

MASJID TERAPUNG

Sungguhpun begitu, Masjid Terapung yang sudah berdiri teguh sejak dahulu, tetap menjadi daya tarikan Terengganu.

Masjid di muara sungai Ibai itu tampak suci dengan warna putih yang menyelubungi seluruh masjid. Pantulan cahaya matahari dari air sungai Ibai yang mengalir di bawahnya, menyerlahkan lagi keindahan masjid.
Related article image
Masjid Terapung. (Gambar: Facebook/محمد جاس)
Sebenarnya, nama rasmi masjid itu ialah Tengku Tengah Zaharah, ibu kepada almarhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Hari ini tersergam sebuah lagi masjid ikonik yang menjadi kebanggaan Terengganu.

MASJID KRISTAL

Berbeza daripada Masjid Terapung, keindahan Masjid Kristal terserlah tanpa memerlukan pantulan cahaya matahari pada air sungai.

Dari jauh lagi, kita boleh nampak pancaran kilauan kerana masjid itu diperbuat daripada kaca, kristal dan keluli.

Tidak hairanlah jika pembinaannya memakan beratus-ratus juta ringgit.
Related article image
Masjid Kristal. (Gambar: Facebook/Nor Hidayah)
Masjid ini terletak di pulau Wan Man, dalam lingkungan Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

JAMBATAN ANGKAT

Kini Terengganu juga berbangga dengan terbinanya Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Bukan sebarang jambatan, jambatan ini salin tak tumpah dengan jambatan yang masyhur iaitu Tower Bridge di London.
Related article image
Meninjau Jambatan Terangkat Kuala Terengganu dari jarak dekat. (Gambar: Amanah Mustafi)
Jambatan Angkat di sungai Terengganu itu dibuka kepada umum pada Ogos 2019.

Jika ada kapal besar mahu melalui sungai itu, jambatan ini terbelah dua dan terangkat ke atas untuk memberi laluan.

Proses di mana jambatan itu terbelah dua dan terangkat menggunakan kuasa hidraulik dan boleh berlaku selama dua minit.

Sesiapa sahaja boleh melawat jambatan itu untuk melihat bagaimana jambatan itu terangkat.

Bagi lawatan hidraulik, orang dewasa perlu membayar RM22 (S$7), manakala kanak-kanak pula hanya RM15 (S$4.80).

Bagi bukan warganegara Malaysia, bayaran orang dewasa adalah RM45 (S$14.30) manakala kanak-kanak pula RM30 (S$9.50).

Lebih menarik lagi, binaan ikonik ini juga menyediakan galeri serta ruang untuk majlis dan keramaian. Pastinya, suatu pengalaman menarik kerana pemandangan laut yang mempesonakan dari tempat tinggi tanpa sebarang halangan.

Pada waktu malam pula, jambatan itu bergemerlapan dengan lampu berwarna-warni.

MUZIUM NEGERI TERENGGANU

Pada tahun 90-an, boleh dikatakan setiap cuti sekolah, saya sekeluarga akan ke Terengganu. Nikmat yang kita kecapi dari pesisiran pantai, keindahan pulau dan desiran bayu laut memang tidak menjemukan.

Namun, saya tidak pernah sempat menjejakkan kaki ke muzium. Padahal Muzium Negeri Terengganu merupakan tempat wajib bagi setiap pelancong kerana memiliki harta pusaka yang tidak boleh ditemui di mana-mana muzium di dunia. Oleh itu, kali ini saya bertekad untuk mengunjungi muzium negeri.

Sebaik sahaja saya melangkah masuk, saya nampak Batu Bersurat yang berusia kira-kira 700 tahun - bukti kedatangan Islam ke Terengganu dan kewujudan tulisan Jawi dalam dunia Melayu di Asia Tenggara.
Related article image
Salah satu Batu Bersurat yang dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Keaslian Batu Bersurat itu diiktiraf oleh UNESCO pada 2009 dan merupakan pengiktirafan ulung ke atas khazanah warisan yang mempunyai kepentingan di peringkat dunia.

Muzium yang berbentuk rumah kayu tradisi dengan empat blok serta taman ubat-ubatan, menempatkan harta pusaka yang tinggi nilainya.
Related article image
Berbagai bentuk keris warisan di Muzium Negeri Terengganu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Maka itu, tidak hairanlah muzium ini menjadi tarikan pelancong dari berbagai negeri. Semasa saya melawat muzium itu, saya bertemu pelancong Cina dan Inggeris.

Satu lagi pameran yang amat bernilai adalah rangka manusia yang berusia kira-kira 15,000 tahun.

Di samping itu, dipamerkan juga peralatan batu seperti kapak batu, penggiling, tukul yang digunakan oleh manusia zaman purba. Kesemua itu ditemui di gua Bewah, Tasik Kenyir.

Khazanah prasejarah itu meningkatkan lagi akan keunggulan muzium tersebut.
Related article image
Rumah warisan yang memuatkan khazanah Muzium Negeri Terengganu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Walaupun khazanah dalam muzium ini sungguh tidak ternilai harganya, bayaran masuk yang dikenakan hanya RM5 (S$1.60).

KEDAI AIR BUAH GELAS BESAR

Selain daripada sejarah purba, Terengganu memiliki keunikan masa kini yang dicipta sendiri. Ia memiliki kedai minuman yang berkonsep lain daripada yang lain. Kemungkinan besar tidak terdapat di lain negeri di Malaysia atau di dunia.

Kedai digelar sebagai Kedai Air Buah Gelas Besar, terletak di Seberang Takir yang hanya enam kilometer dari lapangan terbang. Kedai itu menjual pelbagai jus buah-buahan. Tidak kira buah tempatan atau import, semua ada! Jika hendak mencampur dua atau tiga jenis buah atau lebih daripada itu juga boleh sahaja.
Related article image
Kedai Air Buah Gelas Besar yang mesra keluarga ini juga dikenali sebagai Air Buah Pak San. (Gambar: Amanah Mustafi)
Namun keunikannya terletak pada gelas yang disediakan. Terdapat 11 jenis gelas dari saiz kecil sehingga yang bersaiz jumbo. Gelas yang paling kecil berharga RM3 (S$0.95), sementara saiz paling besar dikenakan bayaran RM70 (S$22.20), dan gelas yang paling besar inilah yang menjadi tumpuan pelanggan.

Kalau hendak berkunjung ke kedai Air Buah Gelas Besar, jangan datang awal-awal - paling awal pukul 5.00 petang. Kedai pula dibuka sehingga 1.00 pagi.

Di samping air jus, anda juga boleh menjamu selera dengan laksa Ganu, mi air, roti goyang dan banyak lagi.

LEBIH BANYAK HIDANGAN MAKANAN

Pada 25 tahun dahulu, kita sering menemui makanan tradisi Terengganu seperti nasi dagang, laksam (mi disirami kuah putih berlemak dengan isi ikan dan ulaman), nasi minyak Ganu (dimakan dengan gulai ayam/daging dan sambal belacan) dan nasi lemak ikan (dimakan dengan gulai atau sambal ikan tongkol).

Saya gemar mencubanya biarpun ada kalanya, kurang serasi pada tekak tetapi teruja untuk mengetahui kelainan itu.

Sekarang Terengganu menjual banyak makanan dari luar. Yang paling ketara ialah kehadiran nasi Arab.
Related article image
Memang sedap nasi Arab yang dimasak oleh cef Arab asli. (Gambar: Amanah Mustafi)
Di samping nasi Arab, dijual juga daging kambing mandy, shawarma dan kunafa.

Tidak kurang juga makanan ala Barat seperti burger, daging panggang dan makanan India seperti capati dan tosai terdapat di Terengganu sekarang.

Biar apa pun, ikan tidak lepas dari hidangan Terengganu. Manakan pula lupa memandangkan Terengganu itu dikenali sebagai negeri nelayan.

PEMBUAT BOT DI PULAU RUSA

Bagi lawatan kali ini, kami berusaha menziarahi sahabat lama, Wan Razak. Beliau adalah pembuat bot yang terkenal di kampung Pulau Rusa.

Sepanjang hidupnya, beliau mengabdikan diri membuat bot daripada kayu yang bermutu tinggi. Yang menariknya, tidak ada satu pelan atau buku terdampar di bengkelnya.
Related article image
Wan Razak, pembuat bot yang terkenal di Pulau Rusa, Terengganu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Wan Razak membuat bot berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya sendiri.
Related article image
Bot ikan yang sedang diusahakan Wan Razak bersama anaknya. (Gambar: Amanah Mustafi)
Beliau malah pernah didatangi kru televisyen dari Singapura untuk merakam kemahirannya dalam program Swap Kerja.
Related article image
Cenderahati untuk Wan Razak dari kru televisyen Singapura selepas penggambaran. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kini, beliau menarik anak lelakinya untuk bersamanya, sebagai cara untuk berkongsi ilmu itu.

Memang ramai pengkaji dari luar datang ke Terengganu untuk merakam warisan ilmu yang diturunkan dari satu generasi ke generasi tanpa sebarang catatan.
Related article image
Di samping bot ikan, Wan Razak juga membuat bot kecil dan perabot. (Gambar: Amanah Mustafi)
Yang pasti, Terengganu bukan sekadar menawarkan kain batik atau keropok lekor. Terlalu banyak mutiara jelas terkandung di dalamnya jika kita berupaya menyelami dengan lebih teliti.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita