Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Seronok jelajah Maghribi, kaya sejarah Islam dengan seni bina klasik

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Seronok jelajah Maghribi, kaya sejarah Islam dengan seni bina klasik
Makam Moulay Idriss yang sering dilawati oleh penduduk tempatan (kiri) dan penulis dengan seni bina Maghribi. (Gambar: Amanah Mustafi)
SINGAPURA: Hati kami terdetik untuk melancong ke Maghribi selepas menonton media sosial. Manakan tidak, makanan di Maghribi memang menggiurkan!

Selain Tagine, iaitu daging kambing berempah yang dimasak dalam mangkuk tanah liat, tarikan lain yang sering diuar-uarkan ialah barangan kulit dan permaidani yang memaparkan reka bentuk tradisi Maghribi.
Related article image
Tagine yang dimasak dalam mangkuk tanah liat dan disajikan terus kepada pelanggan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Tidak kurang juga produk klasik seperti gincu olesan yang sememangnya unik.

Namun selepas melancong ke negara itu, persepsi saya tentang negara di utara Afrika itu berubah.

Penerbangan selama 15 jam membawa kami mendarat di ibu kota Maghribi, Casablanca.

MASJID HASSAN II

Satu-satunya tarikan di Casablanca ialah Masjid Hassan II yang terletak di tebing Lautan Atlantik.

Saya takjub melihat struktur masjid itu. Bukan hanya disebabkan keluasan lantai masjid, tetapi juga kerana silingnya yang amat tinggi, seakan-akan gergasi berada di depan mata.
Related article image
Dengan bayaran 130 Moroccan Dirham (S$18), pelancong dibawa melawat Masjid Hassan II di Casablanca. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saiz masjid yang tiada tolok bandingnya itu membuatkan kami sukar mencari tempat berwuduk, lalu kami bertanya kepada seorang individu di masjid yang cekap membantu.

Selang beberapa minit, dia menghulurkan seketul batu licin yang bergaris pusat 12 sentimeter (cm). Rupa-rupanya, dia sarankan kami agar bertayamum.

MOULAY IDRISS ZERHOUN

Keesokan harinya, kami bergerak ke Fes yang terletak 300 kilometer (km) dari ibu kota.

Pemandangan sepanjang perjalanan berbeza daripada apa yang saya alami di New Zealand, misalnya, yang menghijau dengan kambing biri-biri.

Di Maghribi, yang kelihatan hanya tanah merah dan ada kalanya, gersang. Hanya sekali-sekala, kami bertemu ladang pokok zaitun dan anggur.
Related article image
Deretan pokok zaitun yang ditanam untuk perindustrian dalam perjalanan ke Fes. (Gambar: Amanah Mustafi)
Selepas empat jam menaiki kereta, kami singgah ke Moulay Idriss Zerhoun. Saya tidak menjangkakan lawatan ini tetapi ternyata cukup teruja.

Apa tidaknya, di sinilah tapak pengebumian cicit Nabi Muhammad.

Semasa kami tiba, ramai penduduk tempatan mengunjungi makam itu.
Related article image
Makam Moulay Idriss yang sering dilawati oleh penduduk tempatan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Moulay Idriss adalah bandar paling suci di Afrika dan dilihat ibarat Makkah di sana. Ia hanya dibuka pada pelancongan pada 2005.

FES

Perjalanan kami dilanjutkan dan selepas dua jam barulah kami tiba di Fes - bandar yang menyimpan sejarah peradaban, nilai dan warisan tradisi yang tidak ternilai.

Satu keistimewaan Fes, ia memiliki dua buah medina. Medina adalah bandar bersejarah yang bertembok, dengan lorong kecil dan biasanya tidak berkereta.
Related article image
Bergambar di hadapan pintu besar untuk masuk ke medina. (Gambar: Amanah Mustafi)
Dibina dalam zaman pertengahan, medina adalah nadi kehidupan di mana adanya souk (pasar), rumah tradisional, masjid, madrasah dan istana.

Oleh kerana itulah, kami memilih untuk menginap di dalam medina.

Jika dilihat dari luar, medina memang tidak menarik dengan tembok tinggi yang memagari kawasan itu.

Sekali pandang, ia memberikan aura penjara. Oleh kerana itu, tidak hairanlah kawan saya yang ke Maghribi, mengelak untuk menginap di medina.

Keindahan medina hanya akan dapat dilihat sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke dalamnya.
Related article image
Salah sebuah kedai yang ada di dalam medina di Fes. (Gambar: Amanah Mustafi)
Anda dikelilingi struktur bangunan yang wujud pada abad ke-9.

Denyutan sejarah amat kuat. Nadi kehidupan Maghribi dapat anda lihat, dengar dan rasai apabila berada di dalam medina.

Begitulah perasaan kami sebaik sahaja kami melangkah masuk ke dalam Dar Seffarine, rumah penginapan yang berusia 500 tahun.

Biarpun pengubahsuaian dilakukan tetapi roh dan jiwa Maghribi dipelihara serapi mungkin.
Related article image
Ruang dalam rumah penginapan Dar Seffarine yang tinggi menjulang dan luas. (Gambar: Amanah Mustafi)
Bumbungnya jauh meninggi, setinggi flat 3 tingkat kita di sini. Struktur rumah itu memang klasik.

Kami diberikan bilik paling besar yang keluasannya tiga kali ganda lebih luas dari flat saya di Singapura. Jubin yang berwarna-warni, perabot, dekorasi pada tembok dan siling – semua itu menyuntik aura yang tidak akan anda perolehi di negeri lain.

Yang menariknya, kami dilayan bak saudara. Seronok bersembang dengan pemiliknya, wanita berbangsa Norway yang menikahi jejaka Iran.

Pemilik itu juga yang menyediakan sarapan kami setiap hari.

Rumah penginapan Dar Seffarine terletak hanya lima minit dengan berjalan ke Universiti al-Qarawiyyin, universiti tertua di dunia.
Related article image
Beginilah sebahagian ruang di Universiti al-Qarawiyyin, Fes. (Gambar: Amanah Mustafi)

Setiap pelancong yang melawat Fes, wajib mengunjungi Universiti al-Qarawiyyin, yang diiktiraf oleh Guiness World Records dan UNESCO.

Universiti inilah yang melahirkan Ibn Khaldun ahli sejarah dan bapa sosiologi.

Universiti al-Qarawiyyin juga berfungsi sebagai masjid.

Di samping kaya ilmu, Fes juga unggul dalam seramik. Secara zahir, seramik Fes nampak sama seperti dari wilayah lain.

Namun setelah saya melawat kilang seramik, saya cukup teruja! Setiap reka bentuk pada muka seramik bukan sekadar pewarna atau lapisan berwarna yang nipis.

Setiap bentuk bulatan, tiga segi atau apa bentuk yang dipaparkan pada seramik, diukir satu persatu, yang kemudian diatur dan ditanam. Proses pembuatannya sangat 'leceh' tetapi rapi.

Satu lagi keistimewaan ialah seramik Fes diperbuat daripada tanah liat kelabu yang mampat dan tahan panas. Malah ada yang boleh digunakan untuk memasak.

Di Fes, anda harus melawat 'tannery', tempat kulit binatang diproses dan diwarnakan untuk menjadi kulit produk.


Fes memiliki 'tannery' yang paling besar dan tertua di Maghribi.

Semasa melihat pekerja di sana, kaki dan tangan mereka berendam sepanjang hari dalam air yang berisi najis haiwan. Baunya pula amat menusuk hidung.

Pengunjung diberi daun pudina untuk dihidu bagi menghindari bau busuk itu.

Kami memilih untuk berada di Fes selama empat hari bagi melawat pergunungan Atlas Tengah (Middle Atlas).

Di sinilah, adanya gua purba kaum Amazigh, penduduk asli Maghribi. Mereka lebih dikenali sebagai Berber. Nenek moyang Amazigh tinggal di tanah bebatuan, menjadikan mereka kuat dan tegar.

Related article image
Beginilah keadaan ruang dalam Riad di Marrakech yang lengkap dengan kolam renang dan bumbung terbuka. (Gambar: Amanah Mustafi)
Riad adalah sebuah rumah tradisional atau vila yang biasanya terdapat di bandar-bandar lama seperti Fes.

Dari luar, kami hanya nampak tembok kusam dengan papan tanda yang biasa sahaja. Sebaik sahaja melangkah masuk, kami disambut dengan rumah tingkat berdekorasi indah beserta pepohonan dan kolam renang.

Bila malam, kolam renang ini bercahaya dengan pelbagai warna. Di samping kolam renang, terdapat bumbung terbuka untuk beristirehat dan dapat dirasai suasana yang intim, mewah dan damai.
Related article image
Kami disambut ramah dengan makanan ringan sebaik sahaja tiba di Riad, Marrakech. (Gambar: Amanah Mustafi)
Begitulah konsep Riad di Maghribi yang dibina pada abad 11 dan 12 bagi keluarga kaya yang ingin lari dari hiruk-pikuk medina.

MADRASA BEN YOUSSEF

Keesokan harinya, kami berjalan sekitar medina untuk melawat Madrasa Ben Youssef.

Madrasah yang dibina pada 1564 dan 1565 menjadi hab golongan intelektual untuk empat abad lamanya.
Related article image
Di ruang dalam Madrasa Ben Youseff. (Gambar: Amanah Mustafi)

Kini madrasah itu menjadi lambang kebanggaan Maghribi yang menghidupkan dunia keintelektualan dan peradaban manusia.

IMLIL

Jika di Fes, kami menziarah gua peninggalan Amazigh, di Marrakech kami melihat Amazigh pada hari ini.

Kami pergi ke kampung Imlil yang terletak 65 kilometer (km) dari Marrakech. Udaranya dingin kerana Imlil terletak di ketinggian 1,800 meter di gunung Atlas Tinggi (High Atlas).

Di sini, Amazigh hidup dengan bercucuk tanam dan cara menternak. Apabila kampung itu dibuka untuk pelancongan lebih dari 20 tahun lalu, bidang kerja mereka meluas pada sektor pelancongan.

Di Imlil, kami harus mendaki dalam 15 minit, menuju ke sebuah rumah di lereng gunung.

Dalam perjalanan, kami akan saling bersapa dengan penduduk kampung.

Yang hairannya, biarpun tidak memahami bahasa masing-masing, kami menyapa mesra dan terasa keikhlasan hati mereka.

Setibanya di rumah yang dihajatkan, kami diajak membuat roti dan membancuh teh hijau. Seronok mendapat petua untuk mengelak teh agar tidak pahit. Ini kerana teh memang minuman wajib mereka.

Related article image
Menguli adunan roti bersama pemilik rumah di Imlil. (Gambar: Amanah Mustafi)
Tetapi yang anehnya, tiada sebatang pokok teh pun di Maghribi. Mereka sebenarnya mengimport teh dari Malaysia dan Cina.

Semasa kami mendaki lereng di kampung Imlil, kami harus berhenti beberapa kali untuk memberi laluan pada baghal (mule). Haiwan penting inilah yang bertindak sebagai kenderaan.
Related article image
Penduduk kampung di Imlil sedang menunggang baghal, satu-satunya kenderaan penting di pergunungan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Berbeza dari keldai, baghal mudah dilatih dan serba boleh. Baghal juga lebih mahir daripada kuda apabila berjalan di pergunungan.

GURUN AGAFAY

Dari Imlil, kami ke Agafay. Berbeza daripada Sahara, Agafay bukan padang pasir tetapi gurun. Tiada sebutir pasir pun terdapat di situ. Yang terdampar adalah tanah gelap dan berbatu.

Sewaktu menunggang unta, saya nampak rumput serta air mengalir. Ia tidaklah kontang seperti padang pasir.
Related article image
Menunggang unta di gurun Agafay menjelang matahari terbenam. (Gambar: Amanah Mustafi)
Selepas matahari terbenam, kami dibawa ke khemah, dijamu makanan tradisi, permainan api dan muzik oleh kaum Amazigh.
Related article image
Pelancong dihiburkan dengan muzik dan nyanyian kaum Amazigh. (Gambar: Amanah Mustafi)

Pelancongan ini meluaskan persepsi saya terhadap Maghribi.

Maghribi bukan sekadar menyajikan produk, budaya dan makanan klasik.

Related article image
Pada hari terakhir, kami menziarahi kedai-kedai makan di medina, Marrakech. (Gambar: Amanah Mustafi)
Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan agama Islam yang tidak terbilang kemasyhurannya.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita