GEN KAKI CUTI: Seronok bercuti dikelilingi alam semula jadi
Meneroka alam sungai dan hutan tanpa batas memang seronok. (Gambar: Amanah Mustafi)
Berkhemah di tebing sungai dalam hutan belantara menjadi trend bagi rakan-rakan di negeri seberang.
Seronoknya apabila datang beramai-ramai bersama keluarga atau kawan-kawan, mencacak sehingga empat dan lima buah khemah sekali gus.
Percutian yang bukan sekadar merehatkan tetapi juga menyuburkan tali silaturahim.
Terasa benar kemeriahan mereka masak, makan, mandi di sungai dan beriadah bersama-sama.
Ternyata lebih meriah pada malam hari gara-gara khemah dihiasi dengan lampu lap-lip dan siap dengan kipas angin.
Konsep berkhemah diubahsuai untuk memenuhi citarasa. Berkhemah dengan penuh gaya!
BERKHEMAH SEDEKAT MUNGKIN ALAM SEMULA JADI
Suami dan saya pilih berkhemah untuk berintim dengan alam semula jadi. Memancing, menjala, membasuh di sungai, mengutip ranting dan berunggun api. Mengadunkan kegiatan kita agar berakrab dengan alam.
Kunjungan pertama kami adalah D’Hailin Campsite yang terletak di Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan. Tapak perkhemahan betul-betul di tebing sungai dengan hutan tebal di sisi.
Pemilik tapak khemah ini membina platform kayu yang kukuh. Tidak cukup hanya platform, ia juga berbumbung. Kami mendirikan khemah di atas platform.
Oleh kerana itu, kita tidak perlu risau jika hujan atau ada angin ribut. Biarpun konon bermalam dalam khemah, ia seperti berada dalam rumah. Terus aman.
Perkhemahan berjalan dengan tenteram kerana kemudahan platform dan bumbung. Ia sesuai bagi kami yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan perkhemahan.
Tapak khemah D’Hailin terletak di kaki gunung. Oleh kerana itu pada malam hari, cuaca menjadi sangat sejuk gara-gara selubung embun. Suhu sejuknya adalah sesuatu yang di luar dugaan.
Kain baju yang disidai habis basah dek embun. Jika tidak tahan sejuk, anda perlu membawa selimut semasa berkhemah.
Biarpun, perkhemahan di D’Hailin kurang “liar”. Saya belum dapat merasakan pengalaman berkhemah yang sewajarnya.
SEKALI CUBA BERKHEMAH TERUS JATUH CINTA
Selang sebulan kemudian, kami menuju ke Telok Gorek, Mersing. Di sini, kami mendirikan khemah di tepi pantai, menghadap telok yang berbentuk bulat dan hijau berhutan.
Sememangnya, ia menyajikan panorama laut yang permai. Apa yang menarik, berkhemah di Telok Gorek seperti berada di bidang tanah milik peribadi.
Tidak ada orang luar yang boleh masuk berkelah di pantai telok ini selain daripada pelanggan Rumah Penginapan Telok Gorek.
Apabila air surut di malam hari, kami berjalan di pantai yang melandai sepanjang separuh kilometer ke tengah laut. Banyak hidupan seperti bintang laut, cangkerang dan siput menyapa kami.
Biarpun air surut, ada yang berjaya menangkap ikan. Bukan anak ikan tapi bapak ikan! Sungguh mengasyikkan.
Terasa keselamatan terjamin sewaktu berkhemah di Telok Gorek. Seluruh kawasan itu diurus rapi oleh pemiliknya.
Di samping bilik penginapan, terdapat dewan, surau, restoran, tandas dan kandang binatang. Rupa-rupanya, Telok Gorek ini popular dalam kalangan penuntut sekolah.
Sewaktu saya berada di sana, rombongan sekolah datang bersilih ganti untuk beriadah. Pada akhir program, penuntut disuruh mengutip segala sampah-sarap di pantai.
Jangan kata, botol plastik atau bungkusan, seutas tali buruk pun tidak kelihatan terdampar di pantai Telok Gorek.
Menurut pengamatan saya, pantai Telok Gorek merupakan pantai yang paling bersih di Malaysia.
Pantainya hanya sarat dengan siput-siput pelbagai jenis. Apa lagi, saya seronok mengutip siput kerana ada jenis yang tidak boleh ditemui di pantai lain.
Namun, keseronokan berubah menjadi keresahan apabila pada malam kedua, angin ribut menerjah. Khemah kami berkibar-kibar dengan kuat tanpa henti, seakan ia boleh melayang pada bila-bila masa sahaja.
Kebimbangan kami memuncak apabila hujan mula turun. Atas rasa bimbang, suami merobohkan khemah untuk mengelakkan dari diterbangkan angin.
Mujur ada pondok batu di sebelah khemah. Kami segera beralih ke pondok itu untuk perlindungan. Ternyata berkhemah di pantai berbeza dengan di hutan.
Di pantai, kita terdedah dengan angin ribut bila-bila masa sahaja. Bagi mereka yang baru mula-mula belajar berkhemah, sebaiknya mengelakkan perkhemahan di tepi pantai.
TAPAK PERKHEMAHAN TERBAIK
Selepas kejadian di Telok Gorek, kami memilih untuk kembali berkhemah di tebing sungai. Kali ini, kami berhasrat mencari sungai yang lebih besar dari di Rembau. Selepas puas mencari-cari di laman web, kami akhirnya ke Pahang.
Destinasi kali ini adalah Teratak Pak Busu, di Gambang, Pahang. Setibanya di sana, tapak perkhemahan sunyi sepi. Tiada seorang manusia pun.
Gerun juga hanya kami berdua di dalam hutan. Lantas, suami menelefon si pemilik dan kami diberitahu, semua tapak perkhemahan sudah ditempah. Memang silap kami kerana tidak membuat tempahan awal.
Atas rasa belas, kami diarahkan ke bahagian hujung tapak, dekat dengan hutan. Sebenarnya ia bukan tapak khemah pun.
Biarpun begitu, kami bersyukur sangat kerana dibenarkan bermalam di situ. Sudah terlalu letih untuk memandu keluar.
Ia mengajar kami bahawa usah sekali-kali menerjah ke tapak perkhemahan tanpa membuat tempahan awal.
Tanpa lengah, kami pun mendirikan khemah di hujung tapak itu. Pastinya, kami gembira kerana Sungai Berkelah jauh lebih lebar dari sungai di perkhemahan Rembau.
Aura hutan tebal dapat dirasakan di tapak khemah Teratak Pak Busu. Selepas mendirikan khemah, kami pun bersedia untuk beristirahat.
Sedang malam semakin larut, tiba-tiba air sungai naik dengan mendadak. Mujur suami perasan akan kejadian itu.
Kami tunggu sebentar, berharap air tidak terus naik. Namun harapan gagal. Tanpa menunggu sesaat pun, kami segera mengangkat khemah dan letakkan jauh dari tebing sungai. Kami musykil kerana air boleh naik biarpun tidak hujan.
Keesokan harinya, kami diberitahu bahawa hujan turun di hulu sungai. Akibatnya, air mengalir deras ke hilir sehingga merosakkan pokok-pokok renek di tapak perkhemahan itu.
Kami nampak tanah tebing sungai terhakis sehingga beberapa tiang batu penghadang runtuh dan hanyut. Mujur bukan kejadian kepala air. Jika tidak, artikel ini pun sudah lain bunyinya!
PANDUAN BERKHEMAH DI MALAYSIA
Rata-rata semua tapak perkhemahan di Malaysia dilengkapi dengan singki, soket elektrik, tandas dan surau.
Pengunjung hanya perlu membawa khemah, peralatan masak, barang tidur dan pastinya, lampu. Inilah empat barang asas yang tidak harus diabaikan.
Ada berbagai jenis khemah di pasaran, terpulanglah pada keselesaan yang kita pilih.
Jika anda tidak mahu kerja leceh, pilih khemah yang mudah siap.
Mengenai saiz, anda harus pilih khemah yang sedikit besar daripada bilangan orang yang akan menginap. Tentang peralatan masak, tidur dan lampu, biar minima.
Konsep berkhemah adalah hidup dengan selesa bukan mewah. Apa yang harus anda lakukan ialah memanfaatkan alam sekitaran untuk menyelesakan hidup anda.
Ranting, kayu, daun-daun dan batu batan yang terdampar di sekitaran boleh dijadikan sumber untuk membantu kegiatan kita.
BERKHEMAH DI LERENG GUNUNG, JUMPA ORANG ASLI
Setiap perkhemahan memberi pengalaman baharu. Setiap tempat yang dikunjungi memberi hambatan baru yang tidak kami temui di tempat lain, bergantung pada geografi.
Untuk meneroka cabaran baharu, kami mencari tempat perkhemahan baharu. Kami tidak mahu lagi berkhemah di pantai atau di hutan tetapi di lereng gunung.
Pencarian di lelaman web menunjukkan kami boleh dapati tapak begitu di banjaran Titiwangsa, negeri Perak.
Lantas, kami memandu ke tapak perkhemahan Beswok, di sungai Sipututara, Perak. Ia terletak di ketinggian 800 meter.
Memandangkan Perak terletak jauh ke utara, kami belum tiba ke destinasi biarpun matahari sudah terbenam.
Bayangkanlah kami mendaki lereng gunung dalam gelap-gelita. Kebetulan pula beberapa hari sebelumnya, hujan lebat.
Akibatnya, tanah bergelongsor dan menutup sebahagian jalan. Mata kami terus awas dan memandu perlu cermat untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Setelah hampir dua jam mendaki, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan.
Kami nampak banyak pondok penginapan dalam keadaan sunyi dan gelap. Tetapi tiada pegawai bertugas.
Rupa-rupanya, tempat itu tidak berfungsi. Seharusnya, kami berpatah balik, memandu turun untuk mencari hotel di pekan.
Melihatkan jalan raya yang tersekat dan keadaan gelap, tidak praktikal untuk berpatah balik. Lalu suami pun mendekati pondok penginapan dan cuba buka pintu.
Dengan izin Yang Kuasa, ada sebuah pondok yang tidak berkunci. Apa lagi, kami terus masuk kerana tidak tahan lagi dengan cuaca dingin di luar.
Esok harinya, barulah kami berurusan dengan si pemilik. Apa yang menarik, perbuatan kami itu diterima seadanya dan mujur juga pondok itu belum ditempah. Perkhemahan di Beswok lain dari yang lain.
Kami berada di kediaman orang asli Temiar. Terdapat lebih dari 200,000 orang asli di Malaysia di mana sebahagian besar berada di Perak dan Pahang.
Kami sempat berbual dengan Tok Batin atau seakan penghulu kampung. Dapatlah kita mencolek amalan hidup mereka yang giat bercucuk tanam di tanah sebelah tapak perkhemahan.
Di samping Beswok, ada sebuah lagi perkhemahan yang berada di 6 kilometer dari Beswok.
Selepas dua malam, kami pun beralih ke Chalet Pos Yum yang memberikan suasana yang lain sedikit.
Pondok kami diperbuat dari bambu dan dibina betul-betul di atas sungai. Biarpun tapak perkhemahan ini nun jauh di atas banjaran gunung, ia tidak sepi.
Banyak kampung orang asli seperti Kampung Jeram Petai, Lasah dan Cheut. Ini membolehkan kami mendapatkan barangan dapur dari kedai runcit.
Berada di kampung orang asli membuat saya sedar betapa alam menentukan kehidupan.
Seorang wanita ini mengadu yang dia tidak mampu menanam ubi kayu, cempedak dan pisang, gara-gara sekumpulan gajah yang datang memakannya.
Oleh sebab itu, dia terpaksa berpindah sebaik sahaja meraih sisa-sisa ubi kayu yang ditanam. Berbeza dengan orang bandar yang menguasai alam dan merubah sekitaran untuk memenuhi keperluan hidup mereka.
Perkhemahan telah menyuntik kesedaran betapa alam bukan sekadar memberi keindahan untuk dinikmati. Ia juga bukan bertindak sebagai petualang pada manusia.
Alam semula jadi memiliki daya yang jauh lebih besar dari teknoloji ciptaan manusia. Pengenalan saya pada alam masih belum mendalam untuk meresap hikmahnya yang sangat luas.
Menurut Prof Dr Hamka, “Selagi kamu tidak ada perasaan halus melihat alam, jiwamu tidak hidup”. Jika begitu, mungkin saya perlu berkhemah lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.