Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Sedili - Permata tersembunyi di pesisir Kota Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
 GEN KAKI CUTI: Sedili - Permata tersembunyi di pesisir Kota Tinggi
Pelbagai jenis kambing kepunyaan pemilik Tapak Perkhemahan Logok (kiri) dan penulis di hadapan papan tanda Kampung Singapura, menghala ke Jeti Tanjung Sedili. (Gambar: Amanah Mustafi)
SINGAPURA: Dengan kehidupan kita hari ini diselubungi teknologi dan internet yang boleh menjejas kesihatan fizikal dan mental, kita disarankan berjalan di atas bumi tanpa sebarang alas kaki atau disebut 'grounding'.

Ini bagi merangsang aliran darah di otak dan meningkatkan fungsi kognitif atau secara ringkasnya, membantu menyah toksin dalam badan.

Oleh kerana itu, saya bercadang untuk berkhemah di Tapak Perkhemahan Logok, Sedili, Johor, dan ternyata seronok!

Kami bebas berkaki ayam bukan sahaja di pantai tetapi juga di sekitaran tapak perkhemahan.
Related article image
Hasil dari ‘grounding’ di pantai, dengan siput-siput yang cantik belaka. (Gambar: Amanah Mustafi)
Tapak perkemahan Logok terletak 88 kilometer (km) dari Johor Bahru dan berada betul-betul menghadap laut.

Namun, tapak khemah itu dikelilingi rumput segar - sesuatu yang tidak pernah saya alami sepanjang pengalaman perkhemahan saya.
Related article image
Beginilah hijau dan bersih tapak perkhemahan Logok, Sedili. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya diberitahu bahawa pemiliknya berbelanja besar untuk melapiskan tanah dan kemudian menanam rumput, yang pada asalnya tiada.

Hal ini yang membezakan Logok dari tapak perkhemahan lain.

Biasanya, tapak perkhemahan yang terletak di pantai pastinya berpasir dan ini menimbulkan ketidakselesaan.

Manakan tidak, kita akan bawa masuk pasir ke dalam khemah setiap kali kita melangkah masuk.

Ada sebahagian tempat pula, si pemilik khemah menyimen tapak yang berpasir itu sehingga menjadi konkrit.

Hasilnya, memang bersih kerana lantai sudah bersimen tetapi ia mematikan unsur alami yang kita dambakan apabila berkhemah.

TAPAK PERKHEMAHAN LOGOK SERLAH CIRI KAMPUNG

Perjalanan dari Johor Bahru yang memakan masa kira-kira setengah jam ini akan membawa anda terus ke pesisir pantai timur Johor.

Setibanya di jeti Tanjung Sedili, anda perlu memandu sepanjang 14km atau lagi 15 minit, merentasi sungai Sedili Besar, di mana anda kemudian akan melihat Tapak Perkhemahan Logok yang terletak di sebelah kanan jalan.

Sebaik sahaja tiba di Tapak Perkhemahan Logok, suasana menghijau dengan bayu pantai menyambut anda.

Perkhemahan di Logok membangkitkan ciri-ciri perkampungan - sesuatu yang tidak saya alami di tapak lain.

Sedang kami bersantai di luar khemah, sekumpulan kambing berkeliaran di sekitaran tapak.
Related article image
Pelbagai jenis kambing kepunyaan pemilik tapak perkhemahan. (Gambar: Amanah MustafI)
Saya bernasib baik kerana sewaktu saya berkhemah, belum ramai pengunjung yang datang. Maka itu si pemilik membiarkan sahaja kambing yang pelbagai jenis dan rupa itu bersiar-siar di sana.

TEROKA DI SEKITAR SEDILI

Saya percaya ramai daripada kita biasa dengan perjalanan ke Kota Tinggi dan kemudian terus ke utara, mengarah ke Mersing.

Daerah di sebelah timur di mana terletaknya Sedili pula kurang mendapat perhatian. Maka itu sewaktu kami berkhemah di Logok, kami mencari peluang untuk meneroka Sedili dengan lebih mendalam.

Melintasi Sedili sekali lalu, memberi gambaran bahawa Sedili adalah perkampungan terpencil. Namun persepsi saya berubah apabila saya meneliti papan tanda dan kemudian singgah ke tempat-tempat tersebut.

Saya menemui sebuah inap desa persendirian (private homestay) di pantai Temalah dengan sekitaran yang rapi.
Related article image
Terdapat rumah-rumah berbentuk tradisional dan kolam renang di inap desa ini. (Gambar: Amanah Mustafi)

Saya menjadi lebih teruja apabila saya ternampak Sea Horizon Resort di Sedili Besar, yang dikatakan rumah peranginan di atas tebing yang pertama di Malaysia.

Rumah itu memberikan pemandangan Laut Cina Selatan seluas 180 darjah, tanpa halangan.

Berkonsep 'glamping', khemah berhawa dingin ini dilengkapi dengan kolam renang dan restoran.

Di samping itu, ada juga rumah berbentuk 'A' yang memuatkan 2 orang bagi setiap buah rumah.

Tersedia juga penginapan yang boleh menampung kumpulan yang besar, siap dengan halaman luas untuk beraktiviti secara beramai-ramai.

Ternyata Sedili berusaha menarik pengunjung dari luar negeri Johor dengan memanfaatkan keindahan laut dan pantainya.

Keindahan alami inilah yang telah memaut hati saya.

Ditambah pula dengan suasana kekampungan yang cukup terserlah.

JETI TANJUNG SEDILI

Apabila melawat Jeti Tanjung Sedili, saya dapat merasakan aura kampung nelayan dengan bot-bot ikan terdampar di jeti.

Sungai Sedili yang amat lebar, terbentang di depan mata.

Dahulu sungai ini sibuk dengan kenderaan laut bagi orang kampung yang menyeberang untuk ke Sedili Besar.

Related article image
Dari jeti, kelihatan Sungai Sedili yang terbentang lebar dan di belakangnya pula Jambatan Haji Mohd Lazim. (Gambar: Amanah Mustafi)
Namun perjalanan ulang-alik itu terhenti apabila Jambatan Haji Mohd Lazim dibuka pada 2009.

Jambatan sepanjang 600 meter yang gah itu juga dikenali sebagai Jambatan Tanjung Sedili.

Hari ini jeti itu dimanfaatkan oleh nelayan untuk memunggah hasil penangkapan laut.

Jika anda mahukan ikan-ikan segar, di sinilah tempatnya.

Maka itu tidak hairanlah apabila kita temui kompleks, jabatan perikanan dan persatuan nelayan di Sedili.

Semasa berkhemah di Logok, kami jarang memasak sendiri. Warung-warung makanan yang ada di Sedili seakan-akan memanggil-manggil kami.
Related article image
Warung Nasi Dagang Awang yang terletak di Jeti Tanjung Sedili, menghidangkan pelbagai masakan Johor. (Gambar: Amanah Mustafi)
Masih teringat lagi, saya makan laksa, dan rupa laksa itu biasa-biasa sahaja tetapi sedapnya tidak terkata sehingga saya tertanya-tanya dari mana datang keenakan itu.

Di samping makanan Johor, anda juga boleh mendapat produk hasil Terengganu.

Maklum sahajalah, lokasi Sedili dan Terengganu tidak jauh.

Kedua-duanya terletak di jaluran pantai timur Malaysia. Beberapa makanan Terengganu seperti keropok lekor, sate ikan, ikan kering dan budu boleh dibeli di Jeti Tanjung Sedili.
Related article image
Warung-warung makan ini akan meriah menjelang petang hari. (Gambar: Amanah Mustafi)
Makanan celup tepung seperti ikan, udang dan sotong boleh didapatkan di Sedili Besar.

Saya diberitahu cara memasak celup tepung itu sama seperti yang dipraktikkan di Terengganu. Jadi tidak perlulah menjelajah hingga ke utara.

Sewaktu zaman Kesultanan Johor dan British, muara sungai Sedili merupakan titik strategik perdagangan.

Sejak tahun 1950-an pula, Kuala Sedili menjadi pusat pendaratan ikan terbesar di Johor.

Sehingga hari ini, penjualan ikan segar amat rancak di Sedili.

"KAMPUNG SINGAPURA"

Sebaik sahaja kami keluar dari jeti, kami memandu terus mengarah ke Mawai di mana kami memandu selama kira-kira 3.5km.

Alangkah terujanya apabila kami nampak papan tanda tertera “Kampung Singapura”. Bukan satu tetapi tiga papan tanda.

Dua daripada papan tanda itu dibuat secara kreatif dengan menampilkan papan berbentuk perahu dan helikopter sebagai hiasan.
Related article image
Papan tanda Kg Singapura yang berbentuk helikopter. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kami diberitahu bahawa dahulu ramai orang Singapura yang mendiami kawasan itu.

Seorang rakan memberitahu bahawa keluarganya pernah memiliki rumah di Sedili.

Namun, ia sudah lenyap sekarang disebabkan isu pemilikan.

PANTAI MANIS & TANJUNG BULOH

Sesudah itu, kami berpatah balik ke arah jeti. Selepas memandu selama 5 minit dari simpang jeti, kami nampak papan tanda yang tertera Pantai Manis.

Kami lantas masuk dan perjalanan itu membawa kami ke sebuah permata tersembunyi yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik, daripada keterujaan menunggang ATV dan 'buggy', sehinggalah ke syurga permainan buat si kecil.
Related article image
Kenderaan ATV dan buggy yang menanti pengunjung di Pantai Manis, Sedili. (Gambar: Amanah Mustafi)
Bukan itu sahaja, ia merupakan destinasi kulinari yang serba lengkap - sebut sahaja apa yang terlintas di minda, semuanya tersedia. Dengan deretan meja yang menghadap laut luas, anda boleh menjamu selera sambil dibelai bayu laut.

Meninggalkan keriuhan Pantai Manis, kami menyusuri jalan pesisir menghala ke selatan.

Selepas 13 minit pemanduan yang santai, kami tiba di sebuah lagi pojok (kawasan kecil di satu penjuru) yang dinamakan Tanjung Buloh.

Di sini, suasananya jauh lebih tenang, tanpa hiruk-piruk aktiviti lasak.
Related article image
Tanjung Buloh, satu lagi tempat persiaran yang terdapat di Sedili. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apa yang menarik, pengunjung bebas mendirikan khemah di bawah pokok rhu tepi pantai.

Setelah puas bersiar-siar, kami akhirnya kembali ke tapak perkhemahan Logok.

Kelihatan pemiliknya sibuk menyediakan deretan khemah-khemah besar sebagai persiapan menyambut sekumpulan rombongan pelajar yang bakal tiba.

Rupa-rupanya, lokasi di hujung Sedili ini sering menjadi tumpuan para pelajar biarpun ia terpelosok di dalam ladang kelapa sawit.

Yang pasti, berkhemah di Logok memberikan pengalaman yang cukup mendamaikan.
Related article image
Pemandangan matahari terbit dari tapak perkhemahan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Percayakah anda, kami juga tidak perlu membayar sewa tapak khemah, dan hanya perlu bayar duit tong sampah. Semua gara-gara, kami adalah warga emas.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita