Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Rustik dan klasik, Hobart memikat jiwa dengan pesona alam semula jadi

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Rustik dan klasik, Hobart memikat jiwa dengan pesona alam semula jadi

Penulis dengan berlatarbelakangkan Mount Wellington (kiri) dan pemandangan di Bruny Island. (Gambar: Aizam Omar)

Diterbitkan : 17 Apr 2026 10:49PM
SINGAPURA: Tenang, segar dan jauh daripada hiruk-pikuk kota, Tasmania ialah sebuah pulau di selatan Australia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara serta gaya hidup yang santai.

Di sinilah juga terletaknya Hobart, ibu negeri berlatarkan pelabuhan yang menyatukan sejarah dengan gaya hidup moden yang semakin berkembang.

Jika anda seorang pencinta alam, Hobart menawarkan akses mudah kepada pelbagai keindahan alam semula jadi.

Antaranya, Mount Field National Park yang terletak sekitar satu jam perjalanan dari bandar, menjadikannya antara destinasi yang popular.

Dengan suasana udara yang lebih sejuk, dikelilingi hutan hujan yang rimbun serta ritma masa yang terasa lebih perlahan, kawasan ini menawarkan pengalaman yang menenangkan jauh daripada kesibukan kota.

Antara tarikan utamanya, ialah Russell Falls yang mengalir dingin dan segar di tengah kehijauan yang subur.
Related article image
Keindahan alam semula jadi Russell Falls. (Gambar: Aizam Omar)
Selain keindahan alam, Hobart juga diperkaya dengan pelbagai tempat-tempat bersejarah yang wujud sejak bertahun lama.

Antaranya, Battery Point yang menampilkan deretan rumah batu lama yang dipelihara sejak zaman penjajahan British.

Kehadiran jalan-jalan kecil berbatu, kafe klasik serta rumah kolonial menjadikan kawasan ini seperti sebuah muzium hidup yang membawa pengunjung mengimbau masa lalu.
Related article image
Battery Point. (Gambar: Aizam Omar)
Di Hobart juga terdapat pelbagai destinasi alam yang boleh diterokai dalam perjalanan singkat.

Antara yang paling popular ialah Bruny Island, sebuah pulau yang terkenal dengan pemandangan pantai yang cantik.

Jika bernasib baik, anda boleh berpeluang melihat kehidupan seperti penguin kecil.
Related article image
Bruny Island. (Gambar: Aizam Omar)
Selain Bruny Island, ada beberapa destinasi sekitar Hobart juga mudah diterokai dalam perjalanan singkat, antaranya kunanyi yang juga dikenali sebagai Mount Wellington.

Menariknya, perjalanan ke puncaknya terasa seperti melangkah ke dunia berbeza.
Related article image
Udara sejuk dan pemandangan indah di puncak kunanyi di Gunung Wellington. (Gambar: Aizam Omar)
Dengan udara semakin sejuk dan dari atas, jelas kelihatan bandar Hobart terbentang luas dengan lapisan kabus yang bergerak perlahan, mencipta suasana yang cukup memukau.

Tidak jauh dari situ pula terletak kawasan pesisir seperti Freycinet Peninsula yang menawarkan pemandangan pantai berair jernih yang tenang, seolah-olah masa bergerak lebih perlahan di setiap sudutnya.

Sementara itu, Richmond pula membawa suasana berbeza dengan pesona desa klasik dengan jambatan batu bersejarah, deretan bangunan lama dan lorong-lorong kecil yang tenang, menjadikannya antara lokasi yang tepat untuk menikmati sisi Hobart yang lebih santai dan nostalgik.

PORT ARTHUR

Selain menikmati keindahan alam semula jadi, Port Arthur Historic Site memberikan pengalaman yang santai tetapi sarat dengan sejarah.

Terletak kira-kira satu setengah jam dengan memandu dari Hobart, kawasan ini dahulunya merupakan penjara pada abad ke-19 yang dipulihara sebagai tapak warisan dan dibuka kepada umum, khususnya untuk pelancong.
Related article image
Tapak bersejarah Port Arthur. (Gambar: Aizam Omar)
Di sini, anda boleh bersiar-siar sambil meneroka bangunan lama, memasuki bekas sel penjara, serta menikmati kawasan hijau yang luas terbentang dengan pemandangan yang menenangkan.

Lawatan berpandu juga disediakan untuk menghidupkan semula kisah kehidupan banduan pada zaman dahulu, memberikan gambaran yang lebih jelas dan mendalam tentang sejarah tempat ini.

Bagi yang lebih berani, anda juga boleh ikut serta dalam ‘ghost tour’ pada waktu malam yang turut menjadi tarikan unik pengunjung.

Walaupun memiliki sejarah yang agak suram, suasana di Port Arthur hari ini sangat tenang dan teratur, menjadikannya sesuai untuk diterokai secara santai.

Gabungan sejarah dan landskap semula jadi yang indah serta pengalaman interaktif menjadikan lawatan ke sini bukan sahaja bermakna, tapi sesuai untuk pengunjung dari pelbagai peringkat usia.

PASAR SALAMANCA

Selain ke tempat-tempat menarik dan bersejarah, hujung minggu di Hobart pastinya tidak lengkap jika anda tidak ke Salamanca Market.

Pasar mingguan yang terkenal ini diadakan setiap hari Sabtu, bermula dari jam 8.30pagi hingga 3.00 petang.

Seawal pagi lagi, beratus-ratus gerai sudah mula beroperasi dan dipenuhi dengan ramai pengunjung setempat termasuk pelancong.
Related article image
Pasar hujung minggu Salamanca Market. (Gambar: Aizam Omar)
Suasananya begitu meriah dengan pelbagai tawaran produk tempatan, pakaian, aksesori rumah, hasil kraf tangan dan pelbagai barangan unik yang lain.

Sambil membeli-belah, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan muzik oleh seniman jalanan yang menghidupkan lagi suasana pasar ini. Ia bukan sekadar tempat jual beli, tetapi juga ruang interaksi sosial yang mencerminkan gaya hidup masyarakat setempat.

Setiap gerai menawarkan produk dengan keunikan tersendiri, dari hasil kerja tangan seni, lukisan, ukiran kayu, hinggalah produk organik tempatan.

Apa yang saya perasan, antara yang paling terkenal di pasar hujung minggu ini ialah madu Leatherwood.
Related article image
Leatherwood Tasmanian Honey. (Ihsan: Aizam Omar)
Madu eksklusif yang dihasilkan daripada nektar bunga liar di hutan Tasmania ini mempunyai tekstur yang pekat dengan aroma bunga yang lembut menjadikannya antara madu terbaik di Australia.

Penjualnya berkongsi bahawa madu ini baik untuk kesihatan sistem imun, dapat mengurangkan keradangan selain mencegah risiko pelbagai penyakit kronik.

Selain madu, sabun buatan tangan, minyak pati semula jadi, pakaian tenunan serta pelbagai cenderamata turut menjadi tarikan ramai pengunjung.

Berjalan di sepanjang deretan gerai di pasar ini bukan sekadar aktiviti membeli-belah, tetapi juga peluang untuk merasai sendiri budaya tempatan yang santai dan mesra.

Tidak hairanlah jika Salamanca Market merupakan antara tempat yang wajib dikunjungi apabila berada di Hobart.

Lokasinya hanya beberapa minit dengan berjalan kaki dari pelabuhan Hobart, menjadikannya mudah untuk diakses dan apatah lagi jika penginapan anda terletak di kawasan pusat bandar.

SAJIAN HALAL

Walaupun Hobart bukanlah bandar yang besar, pelancong Muslim masih boleh menemui pelbagai pilihan sajian halal yang menepati selera.

Terdapat restoran dan kafe yang menawarkan hidangan Timur Tengah dan juga Turki.

Menu seperti kebab, shawarma serta nasi berempah menjadi pilihan popular dalam kalangan pengunjung Muslim.
Related article image
Sajian halal di Hobart. (Gambar: Aizam Omar)
Menurut penduduk setempat, beberapa restoran tempatan kini semakin peka terhadap keperluan pelancong Islam dengan menyediakan pilihan makanan halal. Oleh itu, tidak sukar untuk mencari hidangan yang sesuai.

Antaranya, di Liverpool Street yang dibuka setiap hari. Di sini, anda boleh menikmati sajian seperti kebab ayam, daging, snek falafel dan lain-lain.

Pada masa yang sama, jika ada yang rindu ingin menikmati nasi padang, anda juga boleh ke Kaki Lima Indonesian Street Food yang beroperasi di daerah pasar setempat di Farm Gate Market dan juga Street East Franko.

Sajian popularnya termasuk Nasi Padang rendang, lauk gulai, soto ayam, sate dan macam-macam lagi.
Related article image
Gerai makanan halal Kaki Lima Indonesian Street Food. (Gambar: Aizam Omar)
Selain tempat makan halal, pasar raya utama seperti Coles dan Woolworths juga turut menjual pelbagai produk makanan yang mempunyai pensijilan halal.

Jika anda menginap di apartmen, anda boleh masak mengikut citarasa sendiri dengan membeli bahan-bahan mentah halal yang ada dijual di pasar raya ini.
 
Related article image
Sajian halal di Kaki Lima Indonesian Street Food. (Gambar: Aizam Omar)
Pendek kata, Hobart kini lebih mesra pelancong Muslim jika dibandingkan dengan lebih 10 tahun yang lalu. Kini terdapat lebih banyak restoran yang sering dikunjungi masyarakat Muslim tempatan.

Selain menyajikan makanan halal, restoran-restoran ini juga menjadi tempat pertemuan masyarakat Islam yang semakin berkembang di bandar ini.

MESRA PELANCONG MUSLIM

Apa yang saya perasan, masyarakat Islam di Hobart mungkin kecil berbanding bandar besar lain di Australia, tetapi ternyata ia semakin berkembang secara perlahan dari semasa ke semasa.

Di tengah bandar berdiri Masjid Hobart, yang menjadi nadi pusat kehidupan masyarakat Muslim tempatan.
Related article image
Dewan solat di Masjid Hobart. (Gambar: Aizam Omar)
Bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk beribadah, tetapi juga sebagai ruang pertemuan bagi pelajar antarabangsa, keluarga migran serta pelancong yang singgah di Tasmania.

Selain itu, ia juga turut mengadakan pelbagai aktiviti masyarakat. Bagi saya, pengalaman menunaikan solat berjemaah di sini meninggalkan kenangan manis.

Ternyata, kehadiran masyarakat Islam yang saling menyokong di Hobart dapat mengeratkan lagi silaturahim antara satu sama lain.

Selain masjid utama, terdapat juga beberapa ruang solat yang lebih kecil dan surau sementara di sekitar bandar ini, termasuk di kawasan universiti dan pusat masyarakat.

Jika ingin ke Hobart, terdapat pelbagai pilihan penginapan. Dari hotel butik di bangunan kolonial hinggalah apartmen moden yang menghadap pelabuhan.

Selalunya ramai pelancong memilih untuk menginap di kawasan pusat bandar kerana lokasinya yang strategik.

Dari sini, anda boleh berjalan kaki ke Salamanca Market, pelabuhan Hobart serta pelbagai restoran dan kafe selain daya tarikan yang lain.

Kebanyakan hotel di Hobart juga terkenal dengan layanan mesra dan terbuka terhadap keperluan tetamu antarabangsa.

Walaupun tidak semua menyediakan kemudahan khusus untuk pelancong Muslim, kakitangan hotel ternyata bersedia membantu memberikan maklumat berkaitan restoran halal selain lokasi masjid berdekatan dan sebagainya.

MESRA KANAK-KANAK

Hobart bukan sekadar destinasi yang menenangkan jiwa, tetapi dikelilingi dengan keindahan alam yang dapat dijadikan kenangan buat selamanya.

Ia juga tidak seperti destinasi pelancongan yang sibuk seperti bandar-bandar besar di daerah lain di Australia.

Yang pasti, bandar ini menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih perlahan, bermakna dan peluang untuk menikmati alam, mengenali budaya tempatan serta menghargai kesederhanaan kehidupan.
Related article image
Cradle Mountain di Tasmania. (Gambar: Aizam Omar)
Walaupun saiznya kecil, Hobart memiliki pesona tersendiri yang menjadikannya antara destinasi menarik bagi yang ingin menikmati ketenangan dan keindahan alam semasa bercuti.

Jika anda sedang merancang percutian tahun ini, Hobart boleh disenaraikan sebagai salah satu destinasi untuk dikunjungi.

Ia adalah sebuah destinasi yang tenang dan mesra kanak-kanak.

Dari kota Singa untuk ke Hobart, ia mengambil masa lebih kurang 10 jam termasuk transit di Melbourne.

Lebih menarik, percutian ini boleh juga boleh dirancang dengan persinggahan di Melbourne ketika transit sebelum pulang ke Singapura, sekali gus menjadikan perjalanan lebih berbaloi dengan peluang untuk menerokai dua bandar berbeza di Australia dalam satu perjalanan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita