Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Pesona Cebu bukan sekadar pantai, keunikannya meresap jiwa

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Pesona Cebu bukan sekadar pantai, keunikannya meresap jiwa

Sabrina Yusri bergambar di TOPS Cebu yang menawarkan pemandangan panorama bandar Cebu dari kawasan tanah tinggi. (Gambar: Sabrina Yusri)

Diterbitkan : 11 Jul 2026 09:09PM
SINGAPURA: Bila bercakap tentang Filipina, ramai mungkin membayangkan pulau-pulau tropika seperti Palawan atau Boracay yang terkenal dengan laut biru yang jernih dan aktiviti jelajah pulau atau 'island hopping'.

Namun, Cebu di bahagian tengah Filipina menawarkan pelbagai pengalaman yang berbeza.

Ada yang datang dengan jadual yang penuh dengan aktiviti lasak, manakala ada juga yang datang untuk bersantai. Untuk perjalanan ini, saya memilih yang kedua.

Sepanjang berada di Cebu pada bulan Jun lalu, perjalanan ini dirancang sebagai satu peluang untuk berehat daripada rutin yang padat.

Ia juga menjadi pengalaman pertama saya ke Filipina, dan saya ingin melihat negara ini dan merasa keunikannya tanpa terlalu mengejar senarai tempat untuk dilawati.

Saya juga ingin memahami Cebu bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai satu pengalaman yang bermakna.

PENGINAPAN TENANG DI TEPI PANTAI MACTAN

Saya menginap di sebuah resort lima bintang di kawasan Mactan yang terletak di tepi laut, jauh sedikit daripada kesibukan Cebu City.

Sejurus tiba, suasananya terasa tenang. Deruan ombak yang berterusan, tiupan angin laut yang lembut, dan kawasan resort yang luas menjadikannya ruang yang mudah untuk menenangkan diri tanpa perlu tergesa-gesa ke mana-mana.

Malah, hanya dengan berjalan dari lobi ke kawasan pantai pun sudah terasa seolah-olah melangkah ke suasana yang berbeza, jauh daripada hiruk-pikuk dunia luar.
Related article image
Antara hidangan yang disediakan oleh chef Muslim di sebuah resort di Mactan, Cebu. (Gambar: Sabrina Yusri)
Salah satu perkara yang paling memberi kesan sepanjang penginapan ini ialah kemudahan mesra Muslim yang disediakan. Sarapan di resort ini menyajikan pelbagai hidangan Filipina yang dimasak oleh cef Muslim, sekali gus memberi ketenangan dan keselesaan sepanjang penginapan.

Setiap pagi, hari saya bermula dengan suasana yang sangat menenangkan - cahaya matahari yang perlahan-lahan terbit dari ufuk laut, pantulan sinarnya di permukaan air dan hidangan panas yang disajikan, serta suasana yang tidak tergesa-gesa memberikan ritma pagi yang berbeza daripada kehidupan seharian.
Related article image
Sabrina Yusri menikmati aktiviti snorkeling di pantai persendirian sebuah resort di Mactan, Cebu. (Gambar: Sabrina Yusri)
Selain itu, resort ini turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang menghadap laut, pantai persendirian, serta aktiviti air seperti snorkeling dan sukan air ringan.

Namun, kebanyakan masa di sini dihabiskan dengan berehat. Duduk di tepi pantai pada waktu petang, berjalan perlahan di atas pasir atau sekadar memerhati laut menjadi rutin yang tidak dirancang, tetapi itulah yang paling diperlukan untuk melepaskan diri seketika daripada hiruk-pikuk bandar.

CEBU CITY DAN SISI MODEN YANG LEBIH SIBUK

Walaupun fokus utama adalah rehat, saya turut meluangkan masa untuk meneroka Cebu City.

Berbeza dengan Mactan yang lebih tenang, Cebu City lebih sibuk dengan pergerakan penduduk, lalu lintas yang padat, bunyi hon yang sesekali kedengaran serta rentak kehidupan bandar yang lebih pantas.

Antara lokasi yang sempat dikunjungi ialah SM Seaside City Cebu, salah satu pusat beli-belah terbesar di Filipina. Kompleks ini sangat luas dengan reka bentuk moden, pelbagai pilihan kedai, serta ruang berjalan kaki yang selesa.

Walaupun sekadar berjalan santai, ia sudah cukup untuk menikmati sisi lain Cebu City yang jauh berbeza daripada kawasan pantai.

Pengalaman di sini memberi gambaran bahawa Cebu bukan sekadar destinasi pantai dan resort, tetapi juga sebuah bandar yang pesat membangun, dengan kehidupan harian yang aktif dan dinamik.

Perjalanan dalam bandar juga menjadi lebih mudah dengan bantuan pemandu tempatan yang menguruskan perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain, menjadikan keseluruhan pengalaman lebih lancar tanpa perlu risau tentang isu logistik.
Related article image
Green Mosque di Cebu yang menjadi salah satu lokasi persinggahan untuk mengenali kewujudan masyarakat Islam tempatan. (Gambar: Sabrina Yusri)
Selain meneroka pusat membeli-belah, saya turut merebut peluang untuk melihat sisi lain Cebu melalui kunjungan singkat ke Green Mosque.

Walaupun masa yang diluangkan di sini tidak lama, ia memberikan gambaran kecil tentang kewujudan masyarakat Islam di Cebu yang mungkin tidak begitu ketara pada pandangan pertama, tetapi tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tempatan.

MENJEJAKI KAWASAN TANAH TINGGI CEBU

Saya memperuntukkan sehari untuk meneroka kawasan tanah tinggi di Cebu yang lebih sejuk dan nyaman.

Perjalanan menaiki kenderaan ke kawasan ini sendiri sudah menjadi sebahagian daripada pengalamannya.

Dari jalan-jalan bandar yang sibuk, pemandangannya beransur-ansur berubah kepada kehijauan alam, udara yang lebih segar serta jalan berbukit yang lebih tenang.

Setiap selekoh membawa perubahan kecil pada suasana, seolah-olah Cebu memiliki pelbagai sisi yang boleh diterokai.
Related article image
Sabrina Yusri bergambar di Sirao Garden, sebuah taman bunga popular di Cebu yang terkenal dengan landskap berwarna-warni. (Gambar: Sabrina Yusri)
Destinasi pertama ialah Sirao Garden, sebuah taman bunga yang terkenal dengan landskapnya yang berwarna-warni.

Tempat ini sering digelar ‘Little Amsterdam of Cebu’ kerana hamparan bunganya yang indah dan suasananya yang sangat fotogenik.

Walaupun agak popular dalam kalangan pelancong, suasananya masih menyeronokkan. Angin sejuk di kawasan bukit, cahaya matahari yang lembut, serta hamparan bunga yang berwarna-warni menjadikan tempat ini sesuai diterokai dengan santai, tanpa perlu tergesa-gesa.
Related article image
Perjalanan diteruskan ke Tops Cebu, sebuah kawasan tinjau di puncak bukit yang menawarkan pemandangan luas bandar Cebu dari ketinggian. (Gambar: Sabrina Yusri)
Perjalanan diteruskan ke Tops Cebu, sebuah kawasan tinjau di puncak bukit yang menawarkan pemandangan panorama bandar Cebu dari atas.

Saat berada di sini, suasananya terasa lebih tenang. Tiupan angin kencang di puncak bukit, cahaya matahari yang mula terbenam, dan pemandangan bandar yang terbentang luas di bawah menjadikan ia antara momen paling mendamaikan sepanjang perjalanan. Di sinilah masa seolah-olah bergerak lebih perlahan.

Di kawasan ini juga, kami tidak menyangka akan menemui pilihan hidangan berasaskan daging lembu yang sesuai untuk pelancong Muslim, satu penemuan kecil tetapi cukup bermakna sepanjang perjalanan ini.
Related article image
Temple of Leah, sebuah monumen dengan seni bina klasik Eropah yang menjadi antara tarikan popular di kawasan tanah tinggi Cebu. (Gambar: Sabrina Yusri)
Tidak jauh dari situ, kami turut singgah di Temple of Leah, sebuah struktur besar dengan seni bina klasik Eropah.

Bangunan ini menampilkan seni bina yang cukup dramatik dengan tiang-tiang besar, tangga batu dan reka bentuk yang mengingatkan kepada monumen bersejarah. Walaupun hanya singgah seketika, keunikan seni binanya meninggalkan kesan visual yang mendalam.

PERJALANAN YANG LEBIH PERLAHAN DAN SEIMBANG

Berbeza dengan destinasi yang sering dikaitkan dengan aktiviti lasak dan jadual yang padat, Cebu, bagi saya, merupakan destinasi yang memberi ruang untuk memperlahankan rentak kehidupan.

Ia bukan tentang berapa banyak tempat yang boleh dikunjungi dalam sehari, tetapi tentang bagaimana setiap tempat itu dihayati.

Sama ada ketika duduk di tepi laut sambil ditemani deruan ombak, berjalan di pusat bandar yang sibuk, mahupun berdiri di puncak bukit menyaksikan matahari terbenam, setiap momen wajar dinikmati tanpa perlu tergesa-gesa.

Cebu menawarkan keseimbangan antara laut, bandar dan bukit dalam satu perjalanan yang lebih fleksibel. Ia sesuai untuk mereka yang ingin bercuti dengan lebih tenang, tetapi masih mahu membawa pulang pengalaman yang bermakna.

Mungkin itulah yang menjadikan Cebu bukan sekadar destinasi percutian, tetapi sebuah perjalanan yang mengajar saya untuk memperlahankan rentak kehidupan dan benar-benar menikmati setiap pengalaman yang dilalui.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita