Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Pengudang - Menyelami kehidupan desa Bintan, dari hutan bakau hingga madu kelulut

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Pengudang - Menyelami kehidupan desa Bintan, dari hutan bakau hingga madu kelulut

Penulis di atas bot dan hasil tangkapan ikan di laut utara pulau Bintan. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 10:07PM Dikemas Kini : 07 Oct 2026 08:25PM
GEN KAKI CUTI: Pengudang - Delving into village life in Bintan, from mangrove forests to stingless bee honey
  • Amanah Mustafi and her husband returned to explore Bintan after an earlier limited visit, taking a ferry from Tanah Merah, renting a car and staying at Homestay Bunda in Pengudang village.
  • In Pengudang, they travelled through the mangrove forest, which has been an ecotourism site since 2017, saw students’ efforts to plant mangroves, and understood the importance of dugong habitat and the seagrass ecosystem.
  • The village experience also included fishing with fisherman Buang, stopping at Batu Junjung, visiting Berakit village and learning about Rumah Tua Melayu Berakit, which was recognised as a cultural heritage site in 2023.
  • The article also highlights Istana Sampah Pak Madun as an environmental education effort, the stingless bee honey business, the friendliness of residents, and safety advice when exploring the natural surroundings of Pengudang.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Lebih daripada 15 tahun dahulu, saya dan suami melawat pulau Bintan yang terletak lebih kurang 50 kilometer (km) dari Singapura. Kami mengambil khidmat agensi pelancongan, di mana lawatan itu merangkumi kawasan hutan bakau dan sekitar pusat peranginan sahaja.

Ia percutian yang kurang 'puas' kerana lawatannya amat terbatas sedangkan pulau Bintan itu luas dan kaya dengan unsur alami.

Beberapa tahun berlalu. Kemudian, suami mendapat tahu seorang saudaranya menetap di Bintan. Demi mengeratkan hubungan yang telah lama terputus, suami beberapa kali menziarahi anak saudaranya itu. Dalam kesempatan tersebut, suami mengambil peluang meneroka Pulau Bintan, yang luasnya 1.6 kali ganda daripada Singapura.

Kunjungan-kunjungan tersebut membawa suami menemui Desa Pengudang yang terletak di utara Bintan — sebuah perkampungan yang masih alami dengan bayu laut yang segar.

Lalu, pada suatu hari, suami mengajak saya berkunjung ke Pengudang. Kami berlepas dari Terminal Feri Tanah Merah dan tiba di Bintan kira-kira sejam kemudian. Kami memilih Majestic Fast Ferry, dengan tambang ulang-alik sebanyak S$102 seorang.

Sebaik sahaja turun dari feri, kami berjalan kaki selama lima minit untuk mendapatkan kereta sewa yang telah ditempah lebih awal. Bayaran sewa kereta ialah 300 ribu Rupiah (S$22) sehari.

Semasa memandu di kawasan bandar, kami perlu berhati-hati disebabkan trafik yang sibuk, selain keadaan jalan yang bercerun dan berliku-liku. Namun, pemanduan menjadi tenang sebaik sahaja melepasi kawasan bandar.

Hampir sejam perjalanan, kami akhirnya tiba di Desa Pengudang. Kami memilih Warung dan Homestay Bunda sebagai penginapan. Pantai berpasir putih dengan lambaian pohon kelapa, terbentang luas di hadapan mata.

Pemandangan dari tingkat dua homestay ini cukup mendamaikan. Lebih menarik lagi, sewa biliknya kurang daripada S$20 sehari. Jika lapar, tidak perlu pergi jauh - pesan sahaja makanan dari Warung Bunda.

Berjalan kira-kira lima minit dari inap desa (homestay) itu, kami menemui muara sungai yang menghala ke hutan bakau. Dengan menaiki bot, kami menyusuri sungai untuk melihat hutan bakau dengan lebih dekat. Pelbagai spesies bakau, antaranya Rhizophora, Bruguiera dan Xylocarpus. Setiap satunya mempunyai daya tarikan tersendiri.

Bot kami perlahan-lahan menyelinap masuk ke celah-celah sungai. Tidak lama kemudian, enjin bot dimatikan agar kami dapat mengamati alam semula jadi di sekeliling hutan bakau.

Pelbagai jenis burung berkicau nyaring, sementara siput kecup, teritip dan tiram merayap pada akar-akar bakau. Udara yang nyaman, dedaun bakau yang kehijauan serta suasana redup, walaupun matahari terik memancar, menjadikan pengalaman menyusuri sungai berhutan bakau begitu istimewa.

Tidak cukup sekali, esoknya kami kembali menerokai hutan bakau melalui cabang sungai yang lain.

Hutan Bakau Pengudang bukan calang-calang hebatnya. Ia telah menjadi ekowisata sejak tahun 2017. Mahasiswa dari universiti Pekan Baru, Sumatra menginap di Pengudang semata-mata kerana bakaunya.

Kami terserempak dengan mereka sewaktu berada di sana. Bersama dengan mahasiswa dari Universiti Maritim Raja Ali Haji, Tanjung Pinang, mereka berusaha memelihara hutan bakau dengan menanam pokok bakau baharu di muara.

Malah, mahasiswa dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) juga pernah ke Pengudang pada September 2025 bagi tujuan yang serupa. Di samping kerja pemuliharaan, mereka diajak menggoreng keropok kerang di Warung Bunda.

Menginap di Homestay Bunda terasa seperti tinggal di rumah saudara sendiri. Apabila tiba waktu makan, kami turut makan bersama keluarga tuan rumah. Mereka ramah dan sentiasa membantu agar kami selesa sepanjang menginap di situ.

Desa Pengudang juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Kawasan ini merupakan antara habitat dugong, iaitu haiwan herbivor yang memakan tumbuhan seperti rumpai laut dan lamun (seagrass).

Seekor dugong juga pernah terdampar di pantai Desa Pengudang. Rangka dugong itu diabadikan di Balai Serbaguna Desa Pengudang. Pemilik Homestay Bunda membawa saya ke balai itu untuk menyaksikan sendiri rangka dugong tersebut.

Di dalam balai yang sama, saya nampak pinggan mangkuk seramik dari China. Barangan tersebut ditemui dalam kapal yang karam di perairan Bintan Utara.

MEMANCING DI PENGUDANG

Tidak sah rasanya berkunjung ke Pengudang jika tidak memancing, apatah lagi apabila ada bot sendiri. Pukul 8.00 pagi, kami sudah pun berada di atas bot.

Dengan bantuan Buang, yang telah 40 tahun menjalani kehidupan sebagai nelayan, kami dibawa memancing.

Dalam perjalanan menuju ke tengah laut, kami diberitahu bahawa ketika itu ialah musim Angin Tenggara. Permukaan laut mula berombak selepas pukul 10.00 pagi. Tiupan angin juga menyebabkan bot mula beroleng-olengan.

Rupa-rupanya, untuk turun ke laut, memiliki bot sahaja tidak memadai. Kita perlu tahu musim angin laut. Saya terpana seketika. Sepanjang hidup, tidak pernah terlintas untuk mengambil tahu tentang angin laut.

Pengalaman itu menyedarkan saya betapa rapatnya hidup mereka dengan alam. Alam bukan sekadar latar kepada kehidupan tetapi turut mengatur rentak hidup mereka.

Duduk di dalam bot cukup mengasyikkan, ditemani bayu laut yang bertiup sepoi-sepoi. Lebih mengujakan, sebaik sahaja umpan dilontar ke laut, tidak sampai lima minit kami sudah mendapat ikan.

Pelbagai jenis ikan yang tidak pernah saya lihat di pasar berjaya kami tangkap - ikan pinang, mempasir, kapas, kerisi dan ikan kacang atau barracuda. Meriahlah makan malam kami nanti, menyantap ikan segar dari Laut China Selatan.

Setelah puas memancing, kami pun bergerak pulang. Namun, sebelum itu, kami singgah di Batu Junjung, pantai berbongkah batu putih yang tersusun indah. Melihat landskapnya sahaja sudah cukup teruja, apatah lagi jika dapat berkelah.

Related article image
Pandangan Batu Junjung yang diambil dari atas bot. (Gambar: Amanah Mustafi)
Menjelang tengah hari, kami kembali ke penginapan. Selepas makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan kira-kira 10 minit ke arah timur untuk mengunjungi Desa Berakit di Teluk Sebong.

Setiap awal pagi, bot-bot nelayan memunggah hasil tangkapan dari kelong. Ikan-ikan tersebut dihantar ke pekan-pekan lain di Bintan, termasuk Batam, untuk dijual.

Selain daripada hasil laut, Desa Berakit yang terletak di hujung utara Bintan juga memiliki warisan budaya yang menarik. Kami pun memandu masuk ke dalam desa untuk mencari Rumah Tua Melayu Berakit. Kira-kira 15 minit kemudian, kami pun tiba di rumah tua tersebut — sebuah rumah panggung tradisional yang dipercayai dibina sekitar tahun 1908 oleh keluarga Haji Akob bin Haji Jalil.
Related article image
Bergambar di hadapan Rumah Tua Melayu Berakit. (Gambar: Amanah Mustafi)

Dengan beratap limas dan berdinding kayu kapur serta merbau, rumah ini masih menyimpan barangan lama seperti keris, tombak, lembing, talam tembaga, radio dan kamera.

Pada tahun 2023, rumah tersebut telah ditetapkan sebagai cagar budaya di peringkat provinsi, usaha pelestarian yang murni bagi menjulang warisan bangsa.

ISTANA SAMPAH PAK MADUN

Keesokan harinya, kami berkunjung ke satu lagi bentuk pelestarian yang jauh lebih unik—cinta terhadap barang terbuang atau cakap kasarnya, sampah!

Sampah-sarap yang terdampar di pantai seperti tayar, tin, tali, plastik, pakaian dan apa-apa sahaja dikutip dan kemudiannya diubah menjadi patung serta aneka barang hiasan.

Related article image
Bersama Mariani, pemilik Homestay Bunda di pintu masuk Istana Sampah Pak Madun. (Gambar: Amanah Mustafi)

Itulah yang dapat kami saksikan di Istana Sampah Pak Madun, yang terletak hanya kira-kira sepuluh minit perjalanan dengan kereta dari Homestay Bunda. Pemiliknya, Ahmadun atau lebih mesra disapa Pak Madun, mempunyai kreativiti yang luar biasa dalam mengolah sampah menjadi karya seni yang menarik.

Pak Madun yang berasal dari Buton, Sulawesi, melakukan semua itu kerana tidak mahu pantai tercemar. Usahanya menjadi satu bentuk pendidikan tentang menjaga alam sekitar.

Apa yang paling saya kagumi, Istana Sampah ini telah dikunjungi oleh warga dari pelbagai pelosok dunia, antaranya dari Poland, Kanada, Austria, Norway, Turki, Perancis, Jerman dan Australia.

Walaupun sudah menjadi tarikan dunia, sehingga kini Pak Madun tidak mengenakan bayaran walau sesen pun untuk memasuki istananya.

MADU KELULUT

Sewaktu memandu di Pengudang, melihat suasana kampung yang sepi, saya tidak menyangka ada perusahaan madu di sini. Jika biasanya madu diperoleh daripada sarang lebah di pokok-pokok besar, kisah madu di Pengudang pula berbeza.

Di sini, madu dituai daripada lebah yang dipelihara. Batang-batang pokok dikerat sepanjang satu hingga dua kaki untuk dijadikan sarang. Keratan-keratan pokok itu kemudian disusun berderet-deret di kebun, menjadi rumah bagi koloni lebah kelulut untuk menghasilkan madu.

Dalam kebun yang sama, pemiliknya turut menanam pokok getah dan pokok berbunga. Getah daripada pokok-pokok tersebut digunakan oleh lebah kelulut untuk membina sarang, manakala bunga pula menjadi sumber nektar untuk menghasilkan madu.

Kami kemudian dibawa meninjau rumah lebah di mana berpuluh-puluh ekor kelulut hidup dan bekerja. Setiap rumah lazimnya mempunyai seekor ratu lebah.

Dengan melihat bahagian dalam sarang tersebut, kami dapat menyaksikan proses kehidupan lebah kelulut serta bagaimana madu dihasilkan.

Tidak seperti lebah biasa yang menyimpan madu dalam sel berbentuk heksagon, kelulut menyimpannya di dalam kantung bulat yang diperbuat daripada propolis.

Untuk merasai madunya, kami perlu mencucuk kantung bulat yang menggelembung itu. Teruja rasanya apabila dapat menikmati madu yang terus diambil dari sarang. Asli!

Yang peliknya, tiada seekor pun lebah hinggap pada tubuh kami. Kelulut merupakan antara lebah yang tidak menyengat, kecuali apabila sarangnya diganggu.

Lawatan yang pada awalnya hanya akan menemukan saya dengan kampung dan laut, rupa-rupanya membuka ruang untuk saya mengenali warisan budaya, usaha pemuliharaan serta perusahaan yang tidak diduga wujud di sebuah desa terpencil di Bintan.

Kadangkala, tempat yang jauh daripada hiruk-pikuk dunia menyimpan cerita yang paling dekat dengan jiwa.

TIP MENEROKA DI PENGUDANG

- Apabila Bertemu Dugong
Pengudang mempunyai ekosistem padang lamun (seagrass) yang baik, menjadikannya salah satu habitat penting bagi dugong. Jika anda bernasib baik, terserempak dengan dugong, jangan mendekatinya dan biarkan dugong bergerak bebas.

- Peraturan di Hutan Bakau
Hutan bakau Pengudang kaya dengan pelbagai hidupan laut dan darat. Jika anda bertemu monyet, biawak atau burung, jangan hulurkan makanan. Perhatikan dari jarak yang selamat dan biarkan haiwan hidup dalam habitat semula jadinya.

- Elakkan Gigitan Serangga
Pastikan pakaian anda selesa dan menutupi tubuh dengan baik ketika meneroka hutan bakau. Jika perlu, gunakan ubat penghalau serangga. Kasut yang sesuai juga membantu melindungi kaki.

- Berhati-hati di Batu Junjung
Pantai Batu Junjung merupakan salah satu tarikan menarik di Pengudang dengan formasi batu semula jadinya. Bongkah batu boleh menjadi licin apabila basah. Pakai kasut yang sesuai dan elakkan memanjat batu yang tidak stabil.

- Pengudang di bawah terik matahari
Kebanyakan aktiviti di Pengudang dilakukan di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari. Oleh itu, bawa air minuman, topi, cermin mata hitam dan krim pelindung matahari (UV).

- Ketika berada di dalam bot
Keselamatan diutamakan ketika menaiki bot. Pastikan anda memakai jaket keselamatan dengan betul sepanjang perjalanan. Simpan telefon bimbit dan kamera di tempat yang selamat.

Kurangkan Artikel

MENGENAI PENULIS

Amanah Mustafi bersara selaku Penolong Naib Presiden Eaglevision Mediacorp, badan penyiaran Singapura. Beliau berpengalaman dalam melakar konsep program televisyen dan skrip televisyen selain penulis buku pelbagai genre.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita