GEN KAKI CUTI: Pelancong biasanya terlepas 10 daya tarikan ini ketika bercuti di Busan
Penulis di Busan. (Gambar: Nurul Jalil)
- Nurul Jalil said Busan in southern Korea is worth exploring, and not just a stop after Seoul, based on her experience of living, working and taking friends there in mid-September.
- She recommended areas such as Hwangnyeongsan, Gukje Market, Cheongsapo, Jagalchi, Songdo, Oryukdo, Songjeong, Huinnyeoul, Gijang-gun and Jeonpo as they offer mountains, beaches, markets, cafes and local culture.
- As Busan is large, hilly and its attractions are far apart, travellers are advised to plan by zone, choose taxis or rent a vehicle if travelling in a group, and book day tours for far-off locations.
- For Muslim travellers, halal options are becoming easier to find, including Half Moon Meat, but prayer amenities are not always available; a week-long trip is ideal, while two to three days are sufficient for a start.
- Nurul Jalil menegaskan Busan di selatan Korea berbaloi diterokai, bukan sekadar persinggahan selepas Seoul, berdasarkan pengalaman menetap, bekerja dan membawa rakan-rakan ke sana pada pertengahan September.
- Beliau mencadangkan kawasan seperti Hwangnyeongsan, Pasar Gukje, Cheongsapo, Jagalchi, Songdo, Oryukdo, Songjeong, Huinnyeoul, Gijang-gun dan Jeonpo kerana menawarkan gunung, pantai, pasar, kafe serta budaya tempatan.
- Disebabkan Busan luas, berbukit dan tarikan berjauhan, pelancong disaran merancang mengikut zon, memilih teksi atau sewa kenderaan jika berkumpulan, dan menempah lawatan sehari untuk lokasi jauh.
- Untuk pelancong Muslim, pilihan halal semakin mudah termasuk Half Moon Meat, tetapi kemudahan solat tidak selalu tersedia; lawatan seminggu ideal, manakala dua hingga tiga hari memadai untuk permulaan.
SINGAPURA: "Nurul, berbaloikah perjalanan ke selatan Korea untuk meneroka Busan?" Ini antara soalan yang paling kerap saya terima daripada ramai pengembara, termasuk rakan-rakan saya sendiri yang belum pernah ke sana.
Jadi sekitar pertengahan September lalu, saya berpeluang membawa mereka menjelajah tempat-tempat kegemaran saya di Busan. Saya gembira mengatakan, mereka semua turut bersetuju - jawapannya sudah tentu, ya, Busan benar-benar berbaloi.
Sebagai seseorang yang pernah menetap dan bekerja di sana, saya ingin lebih ramai lagi orang tahu bahawa Busan bukan sekadar destinasi sampingan kepada Seoul, sebaliknya sebuah bandar yang layak diberi ruang dan masa untuk diterokai secara tersendiri.
MENGAPA BUSAN HARUS DIKUNJUNGI
Busan mungkin lebih kurang sama saiznya dengan Singapura, tetapi kerana kawasannya berbukit dan memanjang di sepanjang pantai, tarikannya agak jauh antara satu sama lain - menjadikan meneroka Busan satu pengembaraan yang tersendiri.
Dalam satu bandar, anda boleh menemui gunung, pantai, pasar malam, kawasan beli-belah, dan deretan kafe yang bergaya. Ada sesuatu untuk semua orang. Yang paling menarik buat pengembara, kos di sini secara umumnya lebih berpatutan berbanding ibu kota Seoul.
KAWASAN YANG SAYA CADANGKAN
Kebanyakan pelancong sudah biasa dengan Haeundae dan Gwangalli. Namun selepas menetap di sana, ini beberapa kawasan lain yang saya rasa benar-benar berbaloi untuk diterokai.
Hwangnyeongsan
Ini masih menjadi lokasi pilihan utama saya. Dari puncak gunung ini, anda boleh menyaksikan pemandangan panorama seluruh bandar Busan dan garisan pantainya. Menjelang waktu malam, anda akan disajikan dengan pemandangan lampu bandar yang berkelipan - benar-benar memukau.
Pasar Gukje
Kalau anda mahu melihat kehidupan sebenar penduduk Busan, di sinilah tempatnya. Pasar Gukje ialah pasar tempatan yang luas dengan pelbagai bahagian - daripada pakaian, barangan rumah, hinggalah gerai makanan jalanan. Anda boleh menghabiskan berjam-jam menyusuri lorong-lorongnya sambil melihat peniaga tempatan bekerja.
Cheongsapo
Sebuah perkampungan nelayan kecil yang tenang, Cheongsapo terkenal dengan pemandangan matahari terbenamnya yang cantik. Ia tempat yang sempurna untuk duduk santai sambil menikmati suasana pesisir pantai pada penghujung hari.
Pasar Jagalchi
Tidak jauh dari Gukje terletak Pasar Jagalchi, pasar hasil laut terbesar di Busan. Ia pasar yang benar-benar beroperasi tempat penduduk tempatan membeli ikan segar setiap hari. Jika anda naik ke tingkat dua, anda boleh menikmati hasil laut segar yang dimasak terus oleh peniaga - satu pengalaman makan yang autentik.
Songdo
Salah satu pantai tertua di Busan, Songdo menawarkan suasana yang lebih santai serta kereta kabel laut (Songdo Marine Cable Car) yang memberikan pemandangan pantai dari atas. Sesuai untuk percutian dengan rentak yang lebih perlahan.
Oryukdo
Oryukdo ialah barisan pulau-pulau kecil yang terletak di hujung tenggara Busan, tempat pertemuan antara Laut Timur dan Selat Korea. Tarikan utamanya ialah Skywalk, laluan berlantai kaca yang membolehkan anda berjalan seolah-olah di atas laut. Pemandangan ombak yang memukul tebing di bawah juga benar-benar mendebarkan.
Pantai Songjeong
Jika Haeundae atau Gwanggali terlalu sesak untuk anda, Songjeong ialah alternatif yang jauh lebih tenang. Pantainya lebih sunyi dan santai, sesuai untuk sesiapa yang mahu melepaskan lelah jauh daripada orang ramai.
Huinnyeoul Culture Village
Sering digelar "Santorini Busan", perkampungan ini terletak di atas tebing menghadap laut, dengan deretan rumah putih dan lorong-lorong sempit yang menawan. Berjalan di sepanjang laluan tepi tebingnya sambil menghadap laut terbuka ialah salah satu pengalaman paling tenang yang boleh anda dapati di Busan.
Gijang-gun
Terletak di timur Busan, Gijang menawarkan suasana pinggir laut yang lebih tenang dan tradisional. Di sinilah terletaknya kuil terkenal Haedong Yonggungsa, sebuah kuil yang terletak betul-betul di tepi laut. Kawasan ini juga dipenuhi kafe tepi pantai yang cantik dan jarang sesak - tempat yang sempurna untuk menikmati kopi sambil memandang laut.
Jeonpo Cafe Street
Untuk berehat sambil menikmati kopi, Jeonpo ialah kawasan yang dipenuhi kafe bergaya dan unik. Selepas seharian berjalan, inilah tempat sesuai untuk memperlahankan rentak dan menikmati suasana anak muda Busan.
Kerana saiznya yang luas, tip terbaik saya ialah rancang itinerari mengikut kawasan. Contohnya, bahagikan sehari untuk bahagian timur, hari kedua untuk bahagian tengah, dan hari ketiga untuk bahagian barat. Ini dapat mengelakkan anda daripada membazir terlalu banyak masa dalam perjalanan.
Jika anda mengembara dalam kumpulan pula, kadangkala ia lebih berbaloi untuk menaiki teksi berbanding menghabiskan masa yang lama menaiki bas. Perkhidmatan kereta sewa privet dan lawatan sehari juga boleh ditempah lebih awal, terutama untuk kawasan yang lebih jauh.
MESRA MUSLIM DI BUSAN
Bagi urusan makanan pula, mencari pilihan halal di Busan kini lebih mudah berbanding dahulu. Antara kegemaran saya yang masih kekal di tempat pertama ialah Half Moon Meat, terkenal dengan ayam goreng Korea serta layanannya yang mesra.
Selain itu, terdapat beberapa lagi restoran halal dan mesra Muslim di sekitar bandar yang menyajikan pelbagai pilihan, daripada masakan tempatan hinggalah makanan yang mengubat rindu.
Bagi urusan solat, bawa sejadah lipat dan aplikasi waktu solat memandangkan kemudahan surau tidak selalunya mudah ditemui di luar kawasan tertentu.
BUSAN WAJAR DITEROKAI
Satu perkara yang sering mengejutkan pelancong ialah betapa besarnya Busan, dan betapa mesranya penduduknya.
Kalau saya boleh berkongsi satu perkara daripada pengalaman saya di sana, ia adalah bahawa Busan benar-benar wajar diberi lebih daripada sekadar lawatan sehari.
Jika anda mempunyai kelapangan masa, saya cadangkan seminggu untuk benar-benar meneroka bandar ini. Namun jika masa anda terhad, dua hingga tiga hari pun sudah cukup untuk merasai apa yang ditawarkan Busan.
Jadi, kepada sesiapa yang masih teragak-agak untuk turun ke selatan Korea dan meneroka Busan - percayalah, perjalanan itu memang cukup berbaloi.
TIP UNTUK PENGEMBARA MUSLIM KE BUSAN
Tempoh perjalanan: Seminggu jika anda mahu meneroka sepenuhnya, tetapi dua hingga tiga hari sudah memadai untuk lawatan pertama.
Rancang mengikut kawasan: Busan luas dan berbukit. Bahagikan itinerari mengikut zon (timur, tengah, barat) untuk menjimatkan masa perjalanan.
Jenis pengangkutan: Untuk pelancong yang berkumpulan, teksi atau sewa kenderaan persendirian kadangkala lebih berbaloi daripada bas. Lawatan sehari juga boleh ditempah lebih awal untuk kawasan yang jauh.
Makanan halal: Pilihan semakin bertambah. Half Moon Meat antara yang popular. Selain restoran bersijil halal, hidangan makanan laut lebih mudah didapati memandangkan Busan sebuah bandar pantai.
Kemudahan solat: Bawa sejadah lipat dan aplikasi waktu solat kerana surau tidak selalu mudah ditemui.
Waktu terbaik: Musim bunga (Mac-Mei) dan musim luruh (September-November) menawarkan cuaca paling nyaman untuk berjalan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.