GEN KAKI CUTI: Paragliding di Grindelwald
Ketika kami merancang hendak bercuti ke Switzerland, saya bertekad untuk fokus pada kawasan pergunungan - mendaki banjaran gunung Alps, menghirup udara pergunungan yang sejuk dan bersih, dan meneroka kehidupan di banjaran.
Pemandu paragliding bukan calang-calang orang. Mereka berkemahiran sebagai pilot pesawat. (Gambar: Amanah Mustafi)
Maka itu bandar Zurich dan Lucern yang senang dilawati pelancong, langsung tiada dalam jadual kunjungan.
Sebaik sahaja turun dari pesawat, kami langsung menuju ke rumah penginapan, River Lodge yang terletak betul-betul di kaki banjaran Alps. Jadi mudah dan cepat untuk menanjak naik ke banjaran.
SWITZERLAND MESRA WARGA EMAS, OKU
Oleh kerana itu, pelancong berasa serba-serbi selesa semasa berada di Switzerland. Biarpun kami perlu memanjat dan mendaki gunung curam dan tinggi, sedikit pun tidak berasa sukar. Berbagai-bagai bentuk kenderaan dan sistem dibina untuk mengharungi cabaran geografi dan iklim di banjaran Alps.
Sistem pengangkutannya memang jempul: bersih, selesa, canggih dan tepat mengikut jadual. Dan satu lagi, ia mesra OKU. Mereka yang kurang upaya boleh melancong ke Switzerland tanpa menghadapi sebarang kesukaran. Saya berjumpa pelancong warga emas yang bertongkat, malah ada yang berkerusi roda menjelajah pergunungan Alps. Dan mereka ini melancong sendiri, bukan mengikuti ejen pelancongan. Tabik hormat - Switzerland!
SERONAK GUNA ‘ZIP LINE’, TAPI ADA SYARAT BERAT BADAN
Biarpun musim panas, cuacanya nyaman dan pemandangannya tidak menjemukan. Ke mana sahaja anda mengarahkan mata, pasti terbentang rangkaian gunung dengan penuh salju, deretan pokok fern, rumput menghijau yang segar-bugar dengan lembu bertaburan serta aliran sungai yang meliuk. Keindahan alam yang benar-benar menyuntik kedamaian. Suatu bentuk terapi diri yang amat berkesan.
Grindelwad First (Di sini, First bukan istilah Inggeris. First membawa makna banjaran gunung) adalah syurga bagi pendaki. Sepanjang 200km jalan disediakan untuk pendakian, dari perjalanan yang mudah sehingga ke jalan yang mencabar. Pastinya, jalan yang mudah menjadi pilihan kami. Itu pun, kami harus membetis hampir dua jam semata-mata untuk sampai ke tasik Bachalpsee. Namun begitu, perjalanan itu cukup berbaloi. Tasik Bachalpsee adalah tasik di atas banjaran di mana airnya sejernih kristal. Tasik ini merupakan mutiara Alps yang cukup terkenal.
GEREK TERBANG MACAM BURUNG!
Keesokannya, kami bergegas ke tempat yang sama. Mike, pemandunya sempat bertanya pada anak saya jika saya mampu berlari. Satu keupayaan yang perlu ada jika hendak paragliding. Saya bersama pemandu dikehendaki berlari dalam 50 meter sehingga ke tebing gunung. Sewaktu berlari itu, kami berdua mengheret sama kanvas paragliding yang sudah diikat pada tubuh. Setibanya di tepi gunung, kanvas itu akan berkembang dan lantas membawa kami terbang. Seronok dapat melihat keindahan Grindelwald dari udara.
Terbang di udara tanpa halangan memang seronok, ditambah lagi dengan cuaca yang baik. Setelah hampir setengah jam, kami bersedia untuk mendarat. Semasa hendak menjejak tanah, entah macam mana, kaki saya gagal menegak. Kaki saya terbengkok sedikit. Mujur saya dapat tegakkan semula dan sambung berlari. Alhamdullilah kami berpijak ke bumi dengan selamat. Dah mencuba paragliding, saya tak teringin hendak mencuba rekreasi yang lain. Paragliding di Switzerland memang gerek!!!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.