GEN KAKI CUTI: Nikmatnya tinggal di Banjaran Alps Switzerland
Nikmat yang Tuhan berikan dari alam yang disebut sebagai banjaran gunung sememangnya lain dari yang lain, lebih-lebih lagi jika banjaran itu terletak di Eropah.
Teriknya cahaya mentari di Jungfrau sewaktu musim panas. (Gambar: Amanah Mustafi)
Oleh itu, sewaktu melancong ke Switzerland, saya bertekad untuk menginap di hotel yang membolehkan saya bukan sekadar dapat lihat tetapi berada di tengah-tengah alam pergunungan. Sememangnya banyak hotel didirikan di pergunungan. Namun saya harus bijak memilih lokasi yang dapat memberi kepuasan yang besar. Setelah puas membaca komen-komen di internet, saya tertarik pada Murren.
Menginap di Murren seperti berada di syurga pergunungan. Apabila saya berdiri di anjung hotel, gunung Eiger, Monch dan Jungfrau bukan sahaja terpampang di depan mata tetapi berada dekat betul, seolah-olah gunung itu dapat dicapai. Saya terpana seketika kerana tidak menyangka saya boleh berada nun tinggi di banjaran Alps. Banjaran yang saya kenal semasa belajar ilmu alam di sekolah dulu.
DUDUK KANAN KABIN KERETA API RAKAM PEMANDANGAN
Sewaktu berada di Almendhubell, saya seakan didakap dan ditatang oleh banjaran Alps. Lebih seronok lagi, banjaran ini ditumbuhi dengan bunga yang berwarna-warni. Mujur saya melawat pada musim panas, keindahan alam banjaran benar-benar menyerlah. Terdapat kira-kira 150 jenis bunga Alps di sini yang termasuk edelweiss, ros Alpine dan gentians. Bunga-bungaan yang tidak akan kita temui di tempat lain di dunia. Setelah puas bergambar, saya berjalan turun gunung. Perjalanan yang memakan masa lebih dari sejam itu ternyata mendatar dan nyaman. Sedikit pun tidak rasa penat kerana udara yang dingin dan segar serta pemandangan yang mempesonakan. Perasaan itu terpahat di minda sehingga hari ini.
RESTORAN MAKANAN SG DI PUNCAK ALPS
Bercakap tentang restoran, alangkah terkejutnya apabila saya terserempak dengan sebuah restoran yang menyajikan makanan Singapura - mi wonton, popiah, sup sayur dan banyak lagi. Pendek kata, serba-serbi makanan ala-Cina Singapura. Rupa-rupanya, restoran itu dimiliki oleh Encik Tham Kok Kheong yang berasal dari Singapura dan kini bermastautin di Switzerland. Biarpun saya tidak boleh menikmati hidangannya kerana tidak halal, saya tetap berbangga. Makanan Singapura dipromosikan di Switzerland dan secara langsung, para pelancong kenal akan negeri dan budaya kita. Ayuh Singapura! Bendera kita terus berkibar walau di mana kita berada!
LIHAT ‘LIVE CAM’, MAKLUMAT TERKINI KEADAAN DI PUNCAK
Untuk ke puncak, saya harus menaiki kereta api sama ada dari stesen Kleine Scheidegg atau Eiger Clacier. Dari kedua-dua stesen ini, kami melalui landasan kereta api cogwheel untuk sampai ke Jungfrau. (Landasan kereta api cogwheel direka khas untuk mendaki ketinggian yang curam dan bersalji) Perjalanan memakan masa hanya 35 minit di mana kereta api bergerak dalam kecuraman 1400m. Untuk sampai ke puncak, kereta api bergerak sepanjang 9km, di mana 7km daripadanya merupakan terowong yang membelah gunung Eiger dan Monch. Setelah itu baru kami tiba di stesen Jungfraujoch yang terletak di ketinggian 3454m, suatu hakikat yang sungguh hebat!
Semestinya Jungfrau bercuaca sejuk menggigil kerana diselaputi salji tebal. Namun setibanya di Jungfrau, saya berasa kurang selesa, bukan kerana sejuk tetapi terik mentari yang benar-benar menggigit. Oleh kerana bahang panasnya amat mencengkam, saya dapat rasakan kulit saya seakan terbakar. Biasanya pelancong tidak akan berdiri lama di luar. Selepas bergelongsor di lereng bersalji, saya cepat-cepat masuk ke dalam bangunan bagi mengelakkan cahaya matahari. Hmmm.... ada bangunan di puncak gunung? (Tip: Bawa cermin mata hitam Kategori 4 bagi perlindungan UV, pantulan cahaya dari salji.)
BANDAR DI ATAS AWAN, ADA MAKANAN HALAL
Nun tinggi di banjaran gunung itu terbina sebuah bandar kecil. Ia lengkap dengan pusat beli-belah, restoran dan rekreasi tak ubah seperti di pulau Sentosa. (Tip: Jangan lupa bawa wang tunai. Ada tempat tidak terima kad kredit.). Salah satu daya tarikannya ialah Istana Ais yang mempamerkan ukiran air batu berbagai jenis binatang liar.
Biarpun di puncak Eropah, anda tidak perlu khuatir anda akan kelaparan. Pelbagai jenis makanan untuk memenuhi selera berbagai bangsa ada dijual. Dalam banyak-banyak restoran, saya terpana apabila nampak Restoran Bollywood yang menyajikan makanan halal. Siapa sangka ada sajian halal di Jungfrau. Nama restoran itu membuat saya mengimbau filem Hindustan berjodol Sangam (1964) yang sangat popular pada masa itu. Ia menunjukkan wira dan temanitanya seronok bermain salji di banjaran Alps. Filem Hindustan pada masa dulu sering menjadikan Switzerland sebagai lokasi perfileman.Di samping makanan, pakaian, beg dan pastinya, jam tangan buatan Switzerland, cokelat Lindt ada dijual di banjaran gunung salju itu. Maka apa lagi, pelancong pun berbelanja sakan. Jika orang tanya, “di mana awak beli jam itu?” Jawapan yang terpantul bukan setakat “saya beli di Switzerland” tetapi “Saya beli dari kedai yang terletak di puncak paling tinggi di Eropah!” Class kan!
SUSURI JAMBATAN GANTUNG, MERANGKAK JALAN DI TITIAN BESI
Tidak dapat dinafikan, Murren dan Jungfrau memberikan pengalaman manis di banjaran gunung bersalji. Namun, tidak semua tempat di Switzerland memberikan pengalaman yang sama. Kunjungan ke Glacier Canyon menyuntik perasaan yang agak ngeri. Di sini, saya berdepan dengan dinding batu yang keras. Tembok batu yang hitam gelap dan ada bahagian pula yang kekuningan. Ia berdiri menegak tinggi sehingga mencapai lebih dari 100m ke atas. Pandang ke bawah pula, batu hitam keras yang membentuk seakan gaung. Jauh 300m ke bawah terdapat sebatang sungai yang mengalir deras. Keadaan alaminya tidak menyuntik perasaan yang enak tetapi menggerunkan! Ditambah pula dengan bunyi air yang kuat dan ganas yang menenggelamkan suara sendiri. Begitulah keadaan yang dialami dari mula saya masuk sehingga ke hujung jalan. Pengunjung berjalan di titian besi yang dibina di tepi tembok batu keras itu. Glacier Canyon yang terletak di Grindelwald merupakan bekas hakisan glasier yang berlaku berabad dulu.
Ternyata hidup di alam banjaran memang nyaman. Namun cabaran yang menanti juga tidak kurang hebatnya. Tanpa kegigihan usaha mereka, pastinya Switzerland tidak akan menarik ramai pengunjung. Namun yang pasti, alam semula jadi Switzerland menjelaskan akan ciptaan yang amat menakjubkan!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.