GEN KAKI CUTI: Moden & elegan dengan sentuhan budaya Arab, Abu Dhabi mempesona dengan aura eksklusif
Masjid Sheikh Zayed (kiri) dan KartZone di Marina Circuit, Pulau Yas, Abu Dhabi. (Gambar: Aizam Omar/Unsplash)
Lazimnya, kota ibu negara Amiriah Arab Bersatu (UAE) ini sering dibandingkan dengan Dubai, namun Abu Dhabi sebenarnya memiliki identiti unik yang tersendiri. Ia ternyata lebih tenang, elegan dan kaya dengan unsur budaya Arab yang masih dipelihara dengan baik.
Jika Dubai terkenal dengan gaya hidup glamor dan kepesatan kota metropolitan, Abu Dhabi pula menawarkan gabungan antara kemewahan moden, sejarah Islam, seni bina yang unik dan suasana santai di tepian laut. Menariknya, hanya dua hari sudah cukup untuk menikmati sisi terbaik bandar raya ini.
Dari Dubai jaraknya tidak terlalu jauh dengan masa perjalanan sekitar satu setengah hingga dua jam, bergantung pada keadaan trafik. Sepanjang perjalanan, anda akan dapat menikmati pemandangan padang pasir UAE yang luas terbentang di kiri dan kanan lebuh raya.
Terdapat pelbagai cara untuk ke Abu Dhabi. Antara yang popular, anda boleh menaiki bas 'intercity' yang bergerak dari terminal Al Ghubaiba atau Ibn Battuta di Dubai.
Tambangnya AED30 (S$11) sehala dan pembayaran tambang menggunakan kad NOL, iaitu kad utama bagi sistem pengangkutan awam di Dubai termasuk bas, MRT dan tram yang boleh dibeli dari kaunter bas.
Selain itu, terdapat juga perkhidmatan kereta sewa privet (e-hailing) secara peribadi jika anda inginkan perjalanan yang lebih cepat, selesa dan fleksibel. Khidmat kenderaan seperti Careem dan Uber dari Dubai ke Abu Dhabi ini mengenakan tambang anggaran AED250 hingga AED350 sehala (S$90 hingga S$125), bergantung pada lokasi dan waktu perjalanan.
Walaupun mahal sedikit, ia lebih praktikal bagi keluarga selain mereka yang mempunyai anak kecil dan banyak bagasi. Bagi yang pertama kali ingin memandu ke UAE, perjalanannya juga tidak sesukar yang dibayangkan.
Jalan rayanya luas, papan tanda jelas dan kemudahan rehat di sepanjang lebuh raya juga lengkap. Ramai yang memilih cara ini kerana ia memberi kebebasan untuk berhenti dan menikmati pemandangan seperti padang pasir yang luas terbentang tanpa perlu mengejar masa atau kelam-kabut.
Perjalanan ke Abu Dhabi sangat mudah, lebuh raya Sheikh Zayed Road yang tersusun rapi menjadikan pemanduan lancar dan selesa. Di sepanjang perjalanan, landskap gurun keemasan yang diselangi deretan pokok kurma memberikan suasana yang unik.
MASJID IKONIK
Sebaik memasuki Abu Dhabi, suasananya mula berubah. Kota ini kelihatan lebih tersusun, kurang sibuk jika dibandingkan dengan Dubai dan mempunyai aura yang lebih tenang serta eksklusif. Bangunan moden berdiri megah berdampingan dengan seni bina Islam yang indah, menjadikan Abu Dhabi sebuah bandar yang benar-benar memukau dari segi visual dan suasana.
Masjid serba putih ini benar-benar mempesonakan. Dengan 82 kubah, lebih 1,000 tiang marmar dan lampu candelier bersalut emas 24 karat, seni binanya begitu mengagumkan. Tidak hairanlah ia dianggap sebagai antara masjid tercantik di dunia.
Suasana di dalam kawasan masjid pula cukup tenang. Pantulan bangunan putih ini di kolam air biru jernih mencipta panorama yang sangat cantik, terutama pada waktu pagi ketika cahaya matahari masih lembut dan tidak terlalu terik.
Ramai juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di kawasan air yang ikonik. Pantulan seni bina putih di permukaan air yang tenang membuatkan kawasan ini kelihatan seolah-olah seperti sebuah lukisan hidup yang begitu mempesonakan.
Ditambah pula dengan cahaya semula jadi pada waktu siang hari, setiap sudut tampil lebih dramatik dan fotogenik, menjadikannya antara lokasi bergambar paling ikonik di Abu Dhabi.
Pada setiap hari Jumaat, kunjungan pelawat akan dihentikan buat seketika pada waktu Zuhur bagi memberi ruang untuk solat Jumaat. Lawatan akan dibuka semula selepas solat selesai, sekitar waktu petang.
LOUVRE ABU DHABI
Selain masjid, penerokaan kami diteruskan ke Louvre Abu Dhabi di pulau Saadiyat. Muzium ini bukan sekadar tempat pameran seni, malah bangunannya sendiri ibarat sebuah karya agung moden. Kubahnya yang paling menarik perhatian.
Rekaan geometrinya membolehkan cahaya matahari menembusi ruang dalam, sekali gus mewujudkan pemandangan yang sangat memukau. Di dalam muzium pula terdapat pelbagai koleksi seni dan artifak dari seluruh dunia, termasuk tamadun Asia, Timur Tengah dan Eropah. Lukisan klasik, arca purba dan manuskrip bersejarah yang dipamerkan secara eksklusif.
Walaupun bukan peminat seni tegar, suasana di Louvre Abu Dhabi tetap membuatkan sesiapa sahaja rasa terinspirasi. Muzium ini juga membuktikan bahawa Abu Dhabi bukan hanya sebuah kota moden, tetapi turut memartabatkan seni dan budaya dunia.
Seterusnya, kami juga sempat menuju ke kawasan Corniche untuk makan tengah hari sambil menikmati pemandangan laut dan bangunan mencakar langit Abu Dhabi. Kawasan ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan juga pelancong. Suasananya santai serta dipenuhi restoran dan pelbagai kafe menarik.
Bagi pencinta makanan Timur Tengah, jangan lepaskan peluang mencuba hidangan nasi mandi, kebab kambing atau makanan laut panggang yang cukup segar.
Antara lokasi yang terkenal termasuk restoran di sekitar Le Méridien Abu Dhabi yang menawarkan pengalaman makan dengan pemandangan laut yang sangat cantik.
Suasana di sini sangat berbeza daripada pantai-pantai sibuk di bandar yang lain. Menjelang petang, kawasan ini menjadi semakin hidup apabila penduduk tempatan keluar beriadah bersama keluarga sambil menikmati cuaca yang lebih nyaman.
PULAU YAS
Ia merupakan sebuah pusat hiburan paling terkenal di Abu Dhabi. Pulau Yas ibarat taman permainan gergasi untuk semua peringkat umur. Di sinilah terletaknya Ferrari World, Yas Waterworld dan Yas Marina Circuit yang menjadi lokasi perlumbaan Formula 1 Abu Dhabi Grand Prix.
Selain itu, terdapat juga Yas Mall yang merupakan antara pusat membeli-belah terbesar di Abu Dhabi. Pelbagai jenama antarabangsa, butik mewah dan kedai cenderamata ada di sini.
Di sini anda boleh mengambil peluang untuk membeli coklat Arab, minyak wangi oud dan kurma premium sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Untuk makan malam pula, Yas Marina menawarkan kepelbagaian. Antaranya, restoran mewah dengan pemandangan kapal layar yang cantik.
Selain itu, tempat yang popular dan sering dikunjungi pelancong di sini adalah The Cheesecake Factory dan beberapa restoran seafood premium di kawasan marina.
SEJARAH DAN BUDAYA TRADISIONAL
Hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Qasr Al Hosn, bangunan batu tertua di Abu Dhabi yang suatu ketika dahulu menjadi kediaman keluarga diraja. Berbeza dengan imej moden Abu Dhabi hari ini, Qasr Al Hosn mengajak anda untuk kembali melihat bagaimana kehidupan masyarakat UAE sebelum era minyak menjadikan negara ini kaya-raya.
Muzium di sini memaparkan sejarah perkembangan Abu Dhabi dari sebuah perkampungan nelayan kecil kepada bandar moden bertaraf dunia. Seni bina kubunya yang sederhana tetapi klasik memberi gambaran tentang kehidupan masyarakat Arab dahulu.
Tidak jauh dari situ juga terletaknya Heritage Village, sebuah kawasan budaya yang menampilkan kehidupan tradisional warga Amiriah.
Di sini, pengunjung boleh melihat rumah tradisional padang pasir, bengkel tembikar, anyaman tekstil dan demonstrasi kraf tangan. Ia memberi pengalaman yang menarik terutama bagi mereka yang ingin memahami budaya Arab dengan lebih dekat.
Suasana di sini terasa seperti sebuah kampung lama di tengah kota moden. Bau rempah Arab, muzik tradisional dan dekorasi klasik menjadikan pengalaman di sini sangat autentik.
Bagi pencinta fotografi, kawasan ini juga cukup menarik kerana setiap sudutnya memaparkan seni bina tradisional Arab yang cantik. Dari pondok lama hingga perkakas dan peralatan lama, semuanya memberikan gambaran jelas tentang kehidupan masyarakat warga Amiriah sebelum kemodenan berkembang pesat.
Dalam hanya dua hari, Abu Dhabi berjaya memperlihatkan pelbagai sisi, daripada masjid megah dan muzium seni bertaraf dunia hinggalah pantai indah, taman tema moden serta budaya Arab yang masih utuh dipelihara.
Bagi pelancong yang mahukan pengalaman Timur Tengah yang lebih santai tetapi tetap eksklusif, Abu Dhabi merupakan antara yang menarik untuk diterokai!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.