Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Menikmati keindahan alam semula jadi Perak dan durian lemak Batu Kurau

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Menikmati keindahan alam semula jadi Perak dan durian lemak Batu Kurau

Gunung Kurau (kiri) terletak di Batu Kurau, berhampiran kawasan Banjaran Bintang yang merentasi Perak dan Kedah hingga ke sempadan Thailand serta isi durian Batu Kurau (kanan) yang lemak, berkrim dan sedap tidak terkata. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 03:17PM Dikemas Kini : 06 Sep 2026 12:02AM
  • Amanah Mustafi dan suaminya memandu dari Singapura ke Batu Kurau, Perak, demi menikmati durian kampung dan pengalaman berkhemah di Tapak Perkhemahan Uzeer Puteh.
  • Mereka turut meneroka Lata Sempeneh, Gunung Kurau, serta Pekan Selama yang terkenal dengan air terjun dan warisan sejarah peninggalan British.
  • Kunjungan kedua mereka bertepatan dengan musim durian, menjadikan suasana kampung lebih sibuk dengan jualan buah-buahan segar di gerai sepanjang Kampung Sempeneh Cempaka.
  • Selain durian, mereka mencari cendol terbaik di Taiping dan Batu Kurau, serta berkongsi tip keselamatan dan kemudahan untuk pelancong yang ingin ke kawasan tersebut.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Destinasi kami kali ini terletak kira-kira 645 kilometer dari rumah - lebih jauh daripada Kuala Lumpur mahupun Ipoh. Yang hairannya, sejauh itu pun kami sanggup tempuhi, bukan dengan kapal terbang, tetapi dengan kereta.

Tidak ramai yang sanggup melakukannya kerana jauhnya bukan kepalang. Namun, demi memenuhi kehendak ‘tekak’, suami dan saya nekad memandu sendiri ke sana.

Destinasi yang menjadi tumpuan ialah Batu Kurau, sebuah daerah terpencil di utara Perak. Setelah beberapa jam memandu secara santai, akhirnya kami tiba di Pekan Batu Kurau.

LATA SEMPENEH

Secara fizikal, pekan ini tidak banyak bezanya daripada pekan-pekan kecil lain yang pernah kami kunjungi. Namun, suasana dan aura yang dirasakan di sini sedikit berbeza.

Namun lokasi tumpuan sebenarnya masih beberapa kilometer lagi.
Related article image
Lata Sempeneh yang bukan sahaja untuk bermandi-manda tetapi juga memancing. Ia juga menjadi tumpuan orang kampung sebagai sumber rezeki. (Gambar: Amanah Mustafi)
Tempatnya ialah Lata Sempeneh yang memang terkenal dalam kalangan orang utara, khususnya Pulau Pinang dan Kedah.

Keindahan air terjun dan aliran sungai di lata ini tidak perlu dipertikaikan. Mereka datang untuk berkelah, memancing dan berkhemah.

Apa yang menarik dari pekan Batu Kurau, terdapat jalan beraspal sehingga ke kawasan itu. Maka itu tidak hairanlah, terdapat banyak tapak perkhemahan dan rumah penginapan di sepanjang Lata Sempeneh.

TAPAK PERKHEMAHAN UZEER PUTEH

Bagi kami, Tapak Perkhemahan Uzeer Puteh menjadi pilihan. Kami sudah berkhemah di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia - Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Pahang. Namun, Tapak Perkhemahan Uzeer Puteh menjentik perasaan yang sedikit berbeza.
Related article image
Landskap sekitaran tapak perkhemahan Uzeer Puteh yang rapi. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apa yang menarik perhatian saya ialah landskap di sekitar tapak perkhemahan ini. Tumbuh-tumbuhan yang menghiasi kawasan tersebut bukan semata-mata terdiri daripada spesies asli hutan di situ. Pemiliknya menanam tumbuhan yang bukan berasal daripada persekitaran semula jadi kawasan berkenaan.

Pemilihan dan susunan tanaman ini memberikan sentuhan kontemporari pada landskap tapak khemah.

Daripada gubahan tanaman hingga susunan batu-batuan, setiap elemen diatur dengan teliti, sekali gus mewujudkan suasana yang menggabungkan keindahan alam dengan nuansa sebuah resort moden.
Related article image
Sekitaran tapak perkhemahan dan udara yang nyaman untuk menenangkan minda dari hiruk-pikuk bandar. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami bergegas mendirikan khemah kerana jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Apabila matahari terbenam, terpaksalah kami menyarung lampu suluh di kepala bagi terus mencacak khemah.

Pada pagi keesokan harinya, barulah saya sempat meneliti sekitaran Tapak Perkhemahan Uzeer Puteh. Saya teruja apabila mendapati pelbagai pohon buah-buahan tumbuh di sekitar kawasan tersebut. Dari dalam khemah, jelas kelihatan gugusan buah dokong yang lebat berjuntai di dahan. Di sebelahnya pula, berdiri tegak sebatang pohon durian.

Rupa-rupanya, jauh di belakang tapak khemah terbentang luas dusun durian. Pokok-pokok durian tumbuh meninggi di lereng bukit.
Related article image
Dusun durian terbentang di belakang tapak perkhemahan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Namun, sayang seribu kali sayang, hanya putik-putik durian yang kelihatan. Begitu juga dengan buah dokong yang masih hijau dan kelat.

Saya diberitahu bahawa dusun durian tersebut diusahakan bagi tujuan komersial. Baik pekerja mahupun pemilik dusun, mereka akan melalui tapak perkhemahan di situ jika hendak ke kawasan kebun.
Oleh sebab itu, sama ada pagi, petang mahupun malam, ada sahaja bunyi kereta atau motosikal yang melintasi tapak perkhemahan di Lata Sempeneh.

TIGA LAGI TEMPAT UNTUK BERMALAM

Di samping Uzeer Puteh, terdapat tiga lagi tempat untuk bermalam, iaitu Tapak Perkhemahan Lubuk Tengas, Chalet Sempeneh River Front dan Resort Sempeneh Riverfront Batu Kurau.

Apabila tiba hujung minggu, hampir setiap ruang di kawasan itu dipenuhi penghuni. Kawasan yang biasanya tenang bertukar menjadi meriah.

Kebanyakan mereka datang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Sepanjang kami berada di sana, tidak nampak sebuah pun kereta dari Singapura.

Sejujurnya, tujuan utama kami ke Batu Kurau adalah kerana duriannya. Berbeza dengan durian yang ditanam secara komersial, durian Batu Kurau merupakan durian kampung yang tumbuh secara semula jadi di lereng-lereng bukit.

Namun, nasib tidak menyebelahi kami. Suami yang “hantu durian” terkilan kerana tidak ada sebiji durian pun. Musim durian dijangka tiba tiga bulan lagi.

GUNUNG KURAU

Di samping durian, Batu Kurau kaya dengan unsur alami. Gunung Kurau merupakan salah satu tarikan yang membolehkan pengunjung meneroka bahagian dalam gunung tersebut. Di kaki gunung, terdapat sebuah papan tanda yang memaparkan panduan untuk memulakan penerokaan.
Related article image
Gunung Kurau terletak di Batu Kurau, berhampiran kawasan Banjaran Bintang yang merentasi Perak dan Kedah hingga ke sempadan Thailand. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya diberitahu, gunung ini dapat memikat pengunjung kerana ia terletak betul-betul di tepi jalan raya menuju Lata Sempeneh.
Related article image
Papan tanda di luar Gunung Kurau menunjukkan laluan yang dibina untuk pelawat ke lokasi menarik dan gua-gua di kawasan itu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Ternyata, gunung ini juga menarik perhatian penerbit televisyen. Sekumpulan kru televisyen dari Kuala Lumpur turut menjalankan penggambaran di kaki gunung tersebut.
Related article image
Kru televisyen dari Kuala Lumpur yang menjalankan penggambaran di kaki gunung Kurau. Jalan raya ini menghala terus ke Lata Sempeneh. (Gambar: Amanah Mustafi)

Dari Batu Kurau, kami meneruskan perjalanan ke arah utara untuk meneroka Pekan Selama yang terletak kira-kira setengah jam dari Pekan Batu Kurau.

Pekan Selama terkenal sebagai pelancongan eko yang memiliki tujuh buah air terjun. Bukan itu sahaja, siapa sangka pekan klasik ini memiliki dua peninggalan dari zaman penjajahan British yang masih kekal hingga hari ini.

Telaga Gergasi dan Sungai Atas Sungai - kedua-duanya terletak dalam 18 kilometer (km) dari pekan Selama. Ia dibina pada 1936 sebagai satu sistem kejuruteraan pengairan bersepadu yang asalnya menyokong kegiatan perlombongan bijih timah serta pengairan sawah padi di sekitar mukim.

Siapa sangka, penjajah British sanggup menjelajah ke kampung utara Perak demi kepentingannya. Sayangnya, kerana tiba lewat, kami terlepas peluang melawat warisan sejarah itu.

DURIAN BATU KURAU

Keesokan harinya, kami berangkat pulang. Ternyata 'panggilan tekak' mengatasi segalanya.

Tiga bulan kemudian, kami kembali ke lokasi yang sama. Kali ini, suasananya jauh berbeza - lebih sibuk dan bertenaga. Semuanya gara-gara durian.

Bukan durian sahaja yang menjadi tarikan. Pelbagai buah-buahan bermusim turut terhidang, antaranya pulasan, cempedak, mangga, dokong dan tembikai yang segar-segar belaka. Kebanyakannya juga baru sahaja dipetik dari pohon.

Related article image
Kami menemui pelbagai jenis buah-buahan yang segar. (Gambar: Amanah Mustafi)

Di sepanjang jalan Kampung Sempeneh Cempaka, saya dapati terdapat lebih daripada lima buah gerai, sedangkan lorong itu tidaklah begitu panjang.

Jalan yang tiga bulan lalu tenang, kini berubah menjadi sibuk. Tidak putus-putus motosikal dan lori keluar masuk untuk memunggah hasil dusun yang segar.

Buah-buahan yang baru dipetik tersusun di gerai dan tentunya mengusik selera. Apatah lagi apabila melihat durian bertimbun-timbun di hadapan mata. Kami pun apa lagi, terus serbu!

Related article image
Setiap hari berbakul-bakul durian Batu Kurau tiba langsung dari dusun. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sekilo durian dijual pada harga sekitar RM4 (S$1.30) hingga RM5 (S$1.60), bergantung pada jenisnya. Isinya agak nipis, manakala bijinya pula besar. Warnanya kuning pucat, namun rasanya lemak dan berkrim. Durian Batu Kurau jelas mempunyai karakter rasa yang tersendiri.
Related article image
Isi durian Batu Kurau yang lemak, berkrim dan sedap tidak terkata. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apa yang saya suka, durian ini tumbuh secara organik dengan campur tangan manusia yang minimum. Buahnya gugur sendiri apabila cukup masak, bukan dipetik sebelum masak dan ranum di tangan manusia.

Sewaktu berkhemah di Uzeer Puteh, rezeki durian datang bertalu-talu. Pekerja di tapak perkhemahan menghadiahkan kami tiga biji durian. Pokok durian di belakang khemah kami juga seakan-akan bermurah hati, menggugurkan buahnya satu demi satu.

Apa lagi, saya pun seronok mengutipnya. Sebenarnya, saya bukanlah penggemar durian. Namun, pengalaman mengutip sendiri buah durian ternyata begitu mengujakan.

Mungkin kerana saya tidak pernah merasai kehidupan di kampung. Justeru, kesempatan memungut durian yang gugur di bawah pokok memberikan suatu pengalaman yang cukup istimewa.

CENDOL DI TENGAH-TENGAH MUSIM DURIAN

Oleh sebab musim durian, kami teruja untuk menikmati cendol. Durian menjadikan cendol lebih enak. Namun, persoalannya, gerai manakah yang menyajikan cendol paling sedap?

Kami memandu turun ke Taiping, kira-kira 23km dari Batu Kurau, untuk mencari cendol yang benar-benar berbaloi. Kami langsung menuju ke stesen kereta api lama Taiping yang telah bertukar menjadi gerai.
Related article image
Stesen kereta api Taiping yang lama. Stesen baru sudah dibina dan terletak hanya 20 meter dari tapak yang lama. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya terpana melihat makanan yang dijual di gerai-gerai itu. Ia bukan hanya menjual makanan tradisi kita tetapi juga makanan Barat.
 
Related article image
Beginilah keadaan dalam stesen kereta api lama Taiping yang sudah berubah menjadi gerai makan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Taiping mempunyai sejarah penting dalam perkembangan sistem kereta api di Tanah Melayu. Tapak asal stesen kereta api Taiping terletak di kawasan yang kini menempatkan Sekolah King Edward VII. Stesen yang mula beroperasi pada 1 Jun 1885 itu merupakan stesen kereta api pertama di negeri-negeri Melayu.
Related article image
Stesen kereta api Taiping yang baharu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Selepas puas mencari, akhirnya kami dapat menikmati cendol yang sedap di gerai Cendol KTM yang terletak di stesen lama Taiping.

Namun, pencarian tidak terhenti di situ kerana kami masih mengidamkan cendol durian dari utara yang benar-benar menepati cita rasa. Setelah bertanya kepada penduduk tempatan, kami akhirnya bertemu dengan Cendol Bismillah. Sekali hirup, terus puas hati. Tidak perlu mencari lagi.
 
Related article image
Cendol utara Perak yang nyaman dan menyegarkan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Puas hati rasanya kerana kunjungan ke Batu Kurau kali ini memberi kami peluang menikmati durian tempatan yang enak, hasil usaha anak negeri yang mengutamakan unsur semula jadi dalam penanamannya.

TIP MELANCONG KE BATU KURAU, PERAK

1. Kenderaan yang Sesuai: Jalan raya di kawasan perkampungan di Perak biasanya tidak begitu lebar. Namun, anda tidak perlu menggunakan kenderaan 4WD kerana kereta sedan biasa sudah memadai.

2. Cabaran Memandu di Kampung: Apabila memandu di daerah kampung atau lorong yang sempit, berhati-hati dengan dahan pokok yang rendah, dinding atau bumbung yang menyempitkan laluan serta kabel elektrik yang kendur.

3. Musim Durian: Musim durian di Batu Kurau, Perak, lazimnya berlaku dua kali setahun, iaitu sekitar bulan Jun hingga Julai dan sekali lagi pada bulan Disember.

4. Melawat Air Terjun: Rancang lawatan ke air terjun pada awal pagi dan periksa keadaan cuaca terlebih dahulu. Pakailah kasut yang selesa dan sesuai untuk kawasan berbatu atau licin.

5. Keselamatan di Air Terjun: Elakkan berenang sekiranya air kelihatan keruh, mengalir deras atau paras air semakin meningkat. Keadaan air boleh berubah dengan cepat selepas hujan, terutama di kawasan hulu.
Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
(Gambar: Amanah Mustafi)
Amanah Mustafi bersara selaku Penolong Naib Presiden Eaglevision Mediacorp, badan penyiaran Singapura. Beliau berpengalaman dalam melakar konsep program televisyen dan skrip televisyen selain penulis buku pelbagai genre.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita