Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Melancong solo ke Antartika

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Melancong solo ke Antartika

Penulis semasa di Antartika. (Gambar: Masrifah Unang)

BERITA Mediacorp: Ekspedisi saya ke Antartika pada 2023, ketika usia sudah menginjak 60-an tahun adalah sebuah perjalanan yang berbeza dari yang lain. Saya sememangnya sudah menjangkakan berdepan dengan pemandangan yang menakjubkan. Apa yang tidak saya sangka ialah begitu teruja sekali bila berjumpa dengan hidupan liar, ditambah pula dengan sensasi menyelam di perairan kutub.

Ada beberapa aktiviti yang mungkin dianggap sebagai keterlaluan dan tidak masuk akal, namun saya cekalkan hati mesti dicuba sekurang-kurangnya sekali dalam hidup.  

'POLAR PLUNGE'

Salah satu yang dimaksudkan ialah polar plunge iaitu terjun dan berenang di air yang sangat dingin di Antartika, menggigil, dan tak terbayangkan sejuknya di wilayah kutub.
Related article image

Walaupun rasa takut, apatah lagi tidak begitu tahu berenang saya tetap kuatkan hati mahu melakukannya juga kerana ia pengalaman sekali seumur hidup. BERJAYA !!!

Untuk sampai ke lokasi terjunan di Antartika, perlu menempuh penerbangan lebih kurang 25 jam dari Singapura, dengan persinggahan di Frankfurt, Jerman dan Buenos Aires, Argentina. Dari Buenos Aires, kami menaiki lagi pesawat penerbangan dalam negeri selama tiga jam menuju Ushuaia, bahagian darat dunia paling Selatan dan dekat dengan Antartika.

Related article image

Dari pelabuhan Ushuaia, rombongan kami beralih menaiki kapal ke Falkland. Pelayaran ini mengambil masa dua hari. Pendaratan pertama pada 10 November di pulau kecil, West Point, Falklands.

KEINDAHAN ALAM

Sepanjang perjalanan kami disambut dengan pemandangan yang memukau. Padang rumput, gunung-ganang dan bongkah ais serta flora fauna dan hidupan liar – semuanya menyatu, menyajikan pemandangan amat indah dan menakjubkan.

Related article image
Penulis di Falkland.

Selepas dua hari di laut, kami begitu bersemangat untuk menjejakkan kaki di darat. Pelayaran Antartika dilakukan dalam dua jenis kapal utama yakni kapal persiaran besar untuk pemandangan dari atas kapal dan kapal ekspedisi lebih kecil yang boleh buat pendaratan di darat.

Kami menghabiskan masa kira-kira dua jam di West Point dengan disambut pelbagai spesies penguin dan anjing laut.   

Related article image

Ketika mendarat di Pulau Saunders pula, yang terletak di bahagian barat Falkland, pemandangannya begitu indah dan sukar digambarkan – pantainya pasir berwarna putih dan laut biru. Di sini juga kami melihat empat jenis penguin - Magellanic, gentoo, rockhopper dan king.

Related article image

Pelayaran seterusnya di Laut Scotia menuju pulau South Georgia juga lancar, tiada ombak besar. Kami juga mula lihat bongkah-bongkah air batu yang besar – menakjubkan. Malahan ada satu hari apabila saya bangun tidur, terkejut melihat bongkah air batu benar-benar berada di depan mata. 

Penerokaan kami di Teluk Hercules lebih mencabar dengan ombak yang agak tinggi. Pembentukan batu-batu di teluk ini yang unik - tersusun seperti “pancake” menjadi daya tarikan. Di tebingnya yang curam menjadi tempat bertelur burung-burung albatross dan penguin macaroni.

Related article image

Ada juga sebuah air terjun di kawasan pantai yang banyak elephant seal, king dan gentoo penguin serta Antartic Fur Seal. Pemandangan yang cukup indah untuk bergambar.

Namun pada saya daya tarikan utama South Georgia ialah Fortuna Bay.

Related article image

Dikelilingi gunung-gunung bersalji, terletak sebuah kawasan tanah rata yang dipenuhi puluhan ribu King Penguin termasuk anak-anaknya yang lucu – gemuk dan berbulu coklat. Sungguh menakjubkan dan riuh dengan suara dari penguin-penguin itu. Ia satu peringatan kuat tentang hidupan liar yang memenuhi persekitaran terpencil ini. Kami juga dapat lihat anak-anak King Penguin yang sedang tukar bulu atau moulting menjelang menjadi dewasa. 

Related article image
Di sepanjang pantainya juga banyak penguin serta ratusan ekor seal pelbagai jenis seperti elephant dan fur. Tidak ketinggalan, burung-burung laut.
Related article image

Pengembaraan kami ke beberapa lagi tempat menarik di South Georgia hanya boleh dilakukan dengan menaiki bot getah, Zodiac kerana tempat-tempat itu sedang mengalami penularan flu burung yang teruk.

Related article image

SEJARAH, ILMU PENGETAHUAN

Kami juga sempat berbelanja sedikit cenderamata di Port Stanley, ibu kota Falkland. Ciri-ciri British begitu ketara di sini, dengan terdapat banyak juga rumah dan bangunan kerajaan serta pejabat pos. Argentina pernah melancarkan perang di sini untuk menguasainya dari tangan Britain. Ada sebuah tugu peringatan bagi askar-askar Britain yang gugur semasa perang itu dan berhampirannya ada arca mantan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.

Related article image

Di Grytviken, ibu kota South Georgia pula, kami melawat sebuah tanah perkuburan di mana peneroka terkenal Ernest Henry Shakleton dan para penangkap ikan paus zaman lampau diabadikan. Kami juga ke bekas tempat memproses ikan paus. Berhampirannya ada sebuah muzium kecil, gereja, pejabat pos dan kedai cenderamata serta pusat penyelidikan Britain. Di sini juga kami dapat lihat dengan amat dekat beberapa ekor fur jantan, elephant seal dan “weaner” (anak elephant seal), King Penguin, burung pipit dan itik South Georgia.

DEKAT BETUL DENGAN HAIWAN LIAR

Teluk Cooper, di South Georgia  adalah tempat koloni penguin jenis Chinstrap dan Macaroni. Di pantainya juga banyak elephant dan fur seal serta King Penguin. Walaupun terus berada di dalam Zodiac, kami masih boleh melihat haiwan-haiwan itu dengan agak dekat. Ada juga kejutan apabila seekor Lizard Seal berenang dekat dengan Zodiac kami. Begitu juga dengan pelbagai jenis burung laut yang berenang berhampiran bot kami. Ada juga burung-burung yang sedang makan bangkai seal yang mati kerana dijangkiti flu burung. 

Kami meneroka Gold Harbour pada sebelah pagi di mana ada beberapa glasier tergantung dan gunung-ganang bersalji. Di pantainya juga banyak King Penguin dan pelbagai jenis seal tetapi agak menyedihkan melihat beberapa ekor anak seal mati akibat flu burung.

Related article image

Kami diingatkan protokol ketat supaya tidak berada terlalu dekat dengan hidupan liar; jarak minimum lima meter adalah wajib.

Pelawat juga dilarang duduk dan berbaring di pantai; semua barang perlu dibersihkan dalam tab nyah kuman sebelum menyentuh darat.

Persinggahan terakhir kami ialah Drygalski Fjord. Semakin banyak bongkah air batu sepanjang pelayaran menuju ke fjord ini. Pemandangannya begitu indah apatah lagi disertai sinaran matahari petang. Semasa di fjord itu sendiri kami dapat melihat kejadian air batu runtuh dari tebing tingginya. 

Related article image

Kami meninggalkan Drygalski Fjord sekitar 4.00 petang, menuju ke Semenanjung Antartika.

SELAMAT DATANG KE ANTARTIKA

Kami mendapat beberapa kejutan dari alam dalam pelayaran panjang dari South Georgia menuju destinasi utama kami, Benua Antartika.

Salah satunya – melihat aksi beberapa ikan paus Humpback dan Orca (killer whale) pada dua hari yang berasingan di sekitar kapal kami.

Related article image
Kami mengalami angin kencang dan ombak besar sepanjang malam sehari sebelum tiba di Semenanjung Antartika. Namun pada malam itu juga, ketua pengembara, Ab, mengumumkan menerusi pembesar suara bahawa kapal kami sudah melintasi garis lintang 60 darjah dan secara rasmi masuk ke kawasan Lautan Antartik. Walaupun sudah malam, saya dapat mendengar bunyi tepukan dan sorakan. Cuaca buruk berterusan sehingga pagi. Kami berjalan terhoyong-hayang ke tempat sarapan kerana kapal dipukul ombak besar. 
Related article image

Bagi saya sendiri, saya menikmatinya kerana ia satu pengalaman baharu. Cuaca kembali baik selepas beberapa jam dan pada sebelah petang, seseorang memberitahu telah melihat daratan. Saya meluru ke balkoni kabin dan tidak terasa, keluar air mata kerana terlalu gembira, akhirnya benua air batu, benua paling selatan - ANTARTIKA, kini di depan mata.

TANGKAP GAMBAR EMPEROR PENGUIN

Rombongan kami benar-benar bernasib baik.  Kami amat terkejut apabila pada awal pagi hari pertama di Antartika, ketua pengembara, Abb, mengumumkan kemungkinan ada dua ekor Emperor Penguin, di sekeping air batu. Emperor Penguin disifatkan sebagai penguin yang paling sukar untuk ditemui. Apa lagi  kami semua bergegas menuju ke bahagian luar kapal dengan membawa kamera masing-masing. Kapten berjaya mengemudi kapal perlahan-lahan menghampiri dua ekor penguin itu dan terbukti benar-benar Emperor Penguin. Kami menghabiskan masa sekitar sejam untuk melihatnya.

Kami mula mendarat di Antartika pada sebelah pagi bukan di benuanya tetapi di Pulau Useful. Pulau itu dikelilingi banjaran gunung benua Antartika. Kami benar-benar menjejakkan kaki di Antartika pada hari kedua iaitu pada 22 November 2023  apabila mendarat di bahagian semenanjung benua itu di Orne Harbour.  Pendaratannya tidak mudah kerana keadaan pantainya yang curam dan ditutupi salji tebal. Namun rasa gembira benar-benar kelihatan di wajah kesemua hampir 100 anggota kumpulan kami serta para jurupandu.  

Related article image

Di sini terdapat koloni penguin Chinstrap tetapi perlu mendaki bukit bersalji yang agak tinggi. Saya membuat keputusan tidak mendakinya kerana tidak sanggup dan tidak larat. Saya hanya menghabiskan masa di kawasan pantainya sambil menikmati pemandangan yang amat indah. Walaupun tidak mendaki bukit, kami dibawa meneroka kawasan pantainya. Kami dapat melihat air batu tergantung di sepanjang pantai dan juga banyak penguin Chinstrap yang bertenggek di tebing-tebing tinggi di sana.

Pemandangan di di Selat Gerlache juga amat indah, dikelilingi bukit-bukau bersalji tebal, air laut yang biru dan cahaya kemerah-merahan dari matahari yang mula tenggelam (sekitar 9.00 malam).

Related article image

Malangnya, jadual untuk melakukan satu lagi pendaratan di Antartika, di Mikkelsen Harbour untuk melihat pelbagai bentuk air batu terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan kapal bertembung dengan ribut yang buruk di Selat Drake dalam pelayaran pulang ke Ushuaia. 

Walaupun berasa agak kecewa, kami terpaksa menerimanya demi keselamatan.  Kami dapat merasakan sedikit keadaan kapal yang berolang-aleng semasa menempuh Selat Drake sebelum sampai ke tempat “perlindungan” di Terusan Beagle yang dipagari banjaran bukit bersalji. 

Kami sampai semula di Ushuaia pada 26 November yang menandakan berakhirnya pengembaraan di laut selama 17 hari. Perjalanan ini amat mencabar bagi saya yang sudah tidak muda lagi, apatah lagi kurang bersenam di Singapura.

Related article image

Namun, saya boleh dabik dada kerana beranikan diri menyertai pelbagi kegiatan seperti ‘polar plunge’, berjalan di salji, snowshoeing serta mendaki bukit di Pulau Danco. 

Satu pengalaman indah yang sukar dilupakan bagi diri saya. Impian saya tercapai!

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita