Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Melaka dekat, kaya sejarah; aneka juadah menggoda selera

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Melaka dekat, kaya sejarah; aneka juadah menggoda selera

Penulis (paling kanan) bersama keluarganya di hadapan Masjid Selat Melaka. Melaka juga terkenal dengan hidangan Asam Pedas. (Gambar: Aizam Omar)

Diterbitkan : 15 Aug 2026 09:11PM Dikemas Kini : 15 Aug 2026 09:29PM
SINGAPURA: Ada destinasi yang tidak perlu jauh untuk membuatkan kita rasa benar-benar bercuti. Bagi saya, Melaka antara destinasi itu.

Walaupun sudah beberapa kali ke kota bersejarah ini, setiap kunjungan tetap terasa sedikit berbeza. Ada tempat yang sudah biasa kami singgahi, ada pula sudut baharu yang membuatkan saya tertanya-tanya, bila pula tempat ini muncul?

Mungkin itulah antara daya tarikan Melaka. Kita boleh datang berkali-kali, tetapi masih ada sesuatu yang boleh ditemui. Dari Singapura, perjalanan ke Melaka juga cukup mudah, sama ada dengan memandu, menaiki koc atau menaiki penerbangan singkat dengan Scoot yang mengambil masa hampir satu jam.

Bagi saya, memandu masih menjadi pilihan. Perjalanan sekitar tiga hingga empat jam tidak terasa terlalu panjang kerana kami biasanya berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk menikmati kudapan, minum kopi, solat atau sekadar meregangkan kaki.

Perjalanan begini membuatkan kami tidak berasa terlalu mengejar masa. Sampai sahaja di Melaka, percutian pun boleh dimulakan dengan santai.

Setiap kali kembali, ada sahaja lokasi baharu yang menarik perhatian. Usah anggap Melaka sekadar destinasi lama yang hanya bergantung pada A’Famosa atau Jonker Walk.

Di celah-celah rumah kedai lama dan bangunan bersejarah, kini muncul kafe moden, hotel butik, galeri seni, kedai barangan kraf serta ruang kreatif yang memberikan nafas baharu kepada bandar ini.

ANTARA RETRO DENGAN MODEN

Ada destinasi yang memikat kerana kemodenannya, ada pula yang membuat kita jatuh hati kerana sejarahnya. Tapi, Melaka mempunyai kedua-duanya. Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, bandar ini menyimpan kisah tentang perdagangan, pelayaran dan pertemuan pelbagai budaya yang membentuk wajahnya hingga hari ini.

Related article image
Kapal replika Portugis di Muzium Samudera. (Gambar: Aizam Omar)

Apa yang saya perasan sepanjang percutian kali ini, bandar lama Melaka mempunyai rentak yang berbeza mengikut waktu. Pada waktu pagi, suasananya lebih tenang. Kedai kopi ‘old school’ mula membuka pintu, penduduk tempatan menikmati sarapan, sementara pengunjung berjalan perlahan menyusuri lorong sambil mengagumi deretan bangunan bersejarah.

Menjelang petang, rentaknya mula berubah. Kafe semakin dipenuhi pengunjung, lampu kedai mula menyala dan jalan-jalan di sekitar bandar lama bertambah meriah. Aroma makanan yang memenuhi udara pula seakan-akan mengundang sesiapa sahaja untuk berhenti seketika.

Apabila malam tiba, Jonker Walk menjadi antara kawasan yang paling meriah, terutama pada hujung minggu apabila pasar malam dibuka hingga lewat.

Deretan gerai menawarkan pelbagai pilihan makanan, pakaian, pencuci mulut, cenderamata dan barangan tempatan, sementara pemuzik jalanan menambahkan lagi kemeriahan.

Di celah bangunan lama, kedai antik, butik, galeri seni dan kafe pula terus menjadi tumpuan. Bagi keluarga yang membawa anak-anak pula, suasana yang berwarna-warni dan pelbagai pilihan makanan cukup menghiburkan. Anak muda dan remaja pula boleh menjengah butik dan kafe sambil mencari sudut menarik untuk bergambar atau berswafoto.

Mungkin inilah sebabnya ramai, termasuk saya, tidak jemu kembali ke Melaka walaupun sudah pernah berkunjung. Setiap kali datang, bandar ini seolah-olah mempunyai cerita baharu untuk dikongsi.

BELI-BELAH

Kalau sudah sampai Melaka, rasanya tidak lengkap jika pulang dengan tangan kosong. Selain gerai dan kedai di Jonker Walk, kawasan sekitar bandar lama ini menawarkan kepelbagaian, daripada cenderamata, barangan kraf dan pakaian hinggalah makanan tempatan.

Antara yang mudah ditemui termasuk dodol, gula Melaka, kuih-muih, kopi serta pelbagai makanan ringan dan kudapan. Bagi yang gemar mencari barangan unik, kedai-kedai lama di sekitar Jonker Walk juga menarik untuk dijelajah perlahan-lahan kerana sentiasa ada sesuatu yang mencuri perhatian.
Sementara itu, bagi yang gemar berkebaya, anda boleh singgah ke Nyonya Art Studio di Jonker Walk. Pilihannya menarik, dengan pelbagai corak dan warna untuk dibeli dan ada juga koleksi untuk disewa beberapa jam setakat untuk bergambar di sekitar bandar Melaka.

Dan, untuk meneruskan sesi membeli-belah, Dataran Pahlawan Melaka Megamall atau Mahkota Parade juga boleh menjadi pilihan. Kedua-duanya tidak jauh dari Bandar Hilir, terdapat pelbagai kedai, tempat makan dan hiburan untuk seisi keluarga.

SUNGAI MELAKA

Setelah puas berjalan kaki menyusuri Jonker Walk, singgah di kafe dan menjengah deretan kedai di bandar lama, keesokan harinya kami meneroka sisi Melaka yang berbeza pula dengan menaiki bot di Melaka River Cruise.

Perjalanan hampir satu jam ini membawa kami melewati bangunan lama, jambatan, mural berwarna-warni serta deretan kafe dan restoran yang menghadap sungai. Kami memilih untuk menaiki bot menjelang petang, ketika bahang matahari mula reda. Apabila hari semakin gelap, lampu mula menerangi kawasan tebing dan pantulannya berkilauan di permukaan air, memberikan suasana yang berbeza pula.
Bagi yang membawa anak-anak kecil, perjalanan menyusuri sungai juga memberi mereka peluang melihat Melaka tanpa perlu banyak berjalan. Si cilik pasti seronok menikmati pemandangan, melihat mural dan jambatan sambil merasai pengalaman menaiki bot.

MASJID SELAT MELAKA

Di sebalik kemeriahan bandar lama, Melaka juga mempunyai sudut yang lebih tenang. Salah satunya di Masjid Selat Melaka yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung. Terletak menghadap Selat Melaka, masjid ini menjadi antara mercu tanda yang menghiasi pesisir bandar.

Reka bentuknya yang tersendiri memberikan gambaran seolah-olah bangunan itu terapung di atas laut apabila dilihat dari kejauhan. Saya sempat berkunjung pada pagi Jumaat ketika suasana tidak terlalu sibuk dan sempat meneroka kawasan di dalam sekitar masjid.

Kedudukannya yang menghadap laut memberikan pengalaman yang cukup berbeza daripada kesibukan di bandar. Angin laut yang bertiup perlahan dan pemandangan Selat Melaka yang terbentang luas menjadikan tempat ini sesuai untuk berhenti seketika, menikmati suasana atau sekadar mengambil gambar.
Saya juga diberitahu bahawa waktu petang merupakan antara masa yang menarik untuk berkunjung. Apabila matahari semakin rendah, cahaya keemasan yang menyinari kubah dan struktur masjid memberikan latar yang cukup cantik, terutama apabila langit mula berubah warna menjelang senja.

Jika berkunjung pada hari Jumaat, masjid ini akan ditutup kepada pengunjung selama beberapa jam bermula sekitar 11.00 pagi hingga selepas zuhur untuk memberi laluan kepada jemaah menunaikan solat Jumaat pada tengah hari.

MAKAN-MAKAN

Menyentuh tentang selera rasa pula, kunjungan ke Melaka pastinya tidak lengkap tanpa mencuba hidangan yang menjadi identiti bandar ini. Asam pedas tentunya antara yang paling sinonim dengan Melaka.

Bagi saya, nasi panas bersama lauk yang disiram kuah asam pedas yang pekat, pedas dan beraroma memang antara hidangan yang dinanti-nantikan setiap kali ke sini. Kuahnya yang merah menyala, rasa pedas yang diseimbangkan dengan masam serta aroma daun kesum dan rempah menjadikan hidangan ini cukup menggoda.

Kali ini, kami sempat mencuba Asam Pedas Claypot 5 Beradik yang berhampiran Plaza Mahkota di Bandar Hilir. Pelbagai jenis asam pedas ikan yang ditawarkan, antaranya ikan pari dan ikan merah yang dimasak dalam claypot. Bagi saya, rasanya memang padu, pedas, masam dan cukup beraroma. Memang ada oomph! Namun, soal rasa selalunya bergantung kepada selera masing-masing.
Tidak kurang menarik ialah ikan bakar, yang juga antara hidangan yang sering dicari apabila berkunjung ke Melaka. Ikan yang dipanggang bersama sambal dan dinikmati dengan nasi serta pencicah memang sesuai untuk dikongsi seisi keluarga.

Selain asam pedas dan ikan bakar, Melaka juga terkenal dengan nasi ayam bebola yang biasanya digandingkan dengan sos istimewa. Bagi penggemar masakan Peranakan pula, hidangan seperti ayam pongteh halal, laksa Nyonya dan kuih pai tee menawarkan cita rasa yang berbeza dan wajar dicuba.

SANTAI DI KLEBANG

Selepas puas menjamu selera dan berjalan di sekitar bandar lama Melaka selama dua hari, seterusnya kami memandu menuju ke Klebang untuk menikmati suasana yang berbeza. Kawasan pesisir ini terasa lebih lapang dan santai, dengan tiupan angin lautsepoi-sepoi. Sudah tentu, kalau ke Klebang, 'coconut shake' dan cendol antara yang sukar untuk dilepaskan.

Dari Klebang, kami kemudian bergerak ke arah Tanjung Kling dan kebetulan melalui kawasan Makam Hang Tuah. Walaupun tidak sempat singgah, kami dapat melihat sekilas kawasan makam yang dipercayai sebagai tempat pengebumian pahlawan Melayu terkenal itu.
Daripada angin laut dan pencuci mulut yang menyegarkan di Klebang, perjalanan kami kemudian membawa kepada kisah sejarah yang lain pula. Bagi saya, peluang seperti inilah yang membuatkan perjalanan di Melaka terasa menarik.

Kita tidak semestinya perlu merancang setiap persinggahan dengan terperinci. Kadangkala, perkara yang ditemui secara tidak sengaja sepanjang perjalanan itulah yang paling melekat dalam ingatan.

WARISAN DENGAN SENTUHAN MODEN

Ternyata, Melaka bukan sahaja kaya dengan sejarah dan makanan, malah mempunyai sisi moden dan kreatif yang semakin menyerlah. Kafe dengan konsep dan suasana tersendiri kini turut mewarnai bandar ini, menawarkan pengalaman berbeza selepas seharian meneroka kawasan bersejarah.

Salah satu yang sempat kami singgah ialah Wildseed Cafe & Bistro, yang terletak di bangunan 1-Altitude Melaka, betul-betul bersebelahan dengan hotel penginapan kami. Kafe berkonsep terbuka di aras 44 ini menawarkan pemandangan luas menghadap bandar dan Selat Melaka, terutama ketika matahari mula terbenam.
Dari atas, kesibukan bandar kelihatan lebih tenang, sementara cahaya petang perlahan-lahan menyelimuti bangunan dan kawasan sekitarnya. Kami singgah untuk menikmati waktu minum petang sambil ditemani alunan muzik dan tiupan angin sepoi-sepoi.

Pelbagai pilihan minuman serta sajian seperti piza, pasta dan sebagainya ada dijual di sini. Selepas seharian meneroka Melaka, duduk santai menikmati minuman sambil menyaksikan matahari terbenam dari aras tinggi dengan ditemani muzik menjadi penutup hari yang cukup memuaskan.

DEKAT TETAPI PENUH CERITA

Selepas tiga hari meneroka pelbagai sisi Melaka, ternyata sesebuah destinasi tidak perlu jauh untuk meninggalkan kesan. Melaka mungkin hanya beberapa jam perjalanan dari kota Singa, tetapi kepelbagaian yang ditawarkan cukup untuk mengisi percutian singkat bersama keluarga.

Daripada lorong warisan yang sarat dengan kisah silam, Jonker Walk yang hidup dengan warna dan bunyi, makanan yang menggamit selera hinggalah aktiviti yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia, ada sahaja yang boleh dilakukan dan diterokai.

Bagi saya, inilah yang membuatkan perjalanan ke Melaka kali ini terasa berbeza. Kami bukan sekadar kembali ke tempat yang sudah pernah dikunjungi, tetapi turut menemukan sisi lain bandar ini, menikmati asam pedas dan cendol, santai di Klebang, mencari buah tangan, menyusuri Sungai Melaka hinggalah mengakhiri hari dengan pemandangan bandar dari kafe dari aras tinggi.

Inilah Melaka. Dekat, tetapi penuh cerita. Cuti sekolah September nanti, mungkin giliran keluarga anda pula mencipta cerita di kota ini!
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita