Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Krabi - Destinasi mesra Muslim untuk rehat, relaks dan santai

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Krabi - Destinasi mesra Muslim untuk rehat, relaks dan santai
Pemandangan ikonik Pantai Railay di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
SINGAPURA: Jika ada yang masih mencari destinasi bagi percutian singkat atau 'short getaway' bersama keluarga sebelum tamatnya musim cuti Disember ini, Krabi merupakan antara pilihan yang sesuai.

Ia adalah antara destinasi yang jauh dari hiruk-pikuk kota dan pastinya dapat menenangkan minda.

CUACA CERAH BAGI KEGIATAN AIR

Hanya lebih kurang dua jam dengan menaiki pesawat dari kota Singa, Krabi menawarkan daya tarikan yang berbeza mengikut musim.

Dari November hingga Mac, destinasi ini menikmati cuaca cerah, suhu sederhana dan laut yang tenang. Lantas, menjadikan Krabi sebagai destinasi yang sesuai untuk percutian singkat.

Pada hujung tahun, cuaca di destinasi peranginan ini diramalkan cerah dengan suhu purata anggaran 29 darjah Celsius, sekali gus memberi peluang untuk pengunjung menikmati keindahan pantai dan pelbagai kegiatan air dengan selesa.
Related article image
Pemandangan tepi pantai di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
Sebagai persediaan, pastikan untuk membawa pakaian yang tipis dan ringan, pelindung matahari, topi dan losyen pelindung sinaran ultraungu (UV) agar percutian anda lebih sempurna.

MESRA MUSLIM

Terletak di tepi laut Andaman, destinasi ini memikat hati ramai pengunjung dengan keindahan alam semula jadinya, selain keramahan penduduk tempatan dan kepelbagaian aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga.

Lebih menarik lagi, Krabi turut menawarkan pilihan makanan halal serta penginapan mesra Muslim yang menjadikannya destinasi sesuai buat pelancong Islam dari seluruh dunia.

Keunikan Krabi turut terserlah melalui ramai penduduk Muslim di pulau ini. Lantas, ia menjadikan suasananya terasa lebih akrab dan dekat di hati dan mudah untuk mencari makanan halal.

Penduduk tempatan yang ramah-tamah juga dikenali dengan layanan mesra, malah mereka sering membantu pelancong Muslim menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

SYURGA MAKANAN HALAL

Salah satu daya tarikan utama Krabi ialah betapa mudahnya untuk mendapatkan makanan halal yang enak.

Hampir di setiap kawasan pelancongan utama di sana, anda akan menemui restoran atau gerai Muslim yang menawarkan hidangan Thai asli penuh rasa dan aroma.
Related article image
Sajian Pad Thai. (Gambar: Aizam Omar)
Dari Tom Yum Goong pedas yang menyegarkan, Pad Thai berperisa manis masin, hinggalah nasi goreng Thai yang harum dengan daun limau purut, semuanya boleh dinikmati tanpa ragu.

Di sekitar bandar seperti Krabi, Ao Nang dan Koh Lanta, banyak restoran halal yang dikendalikan oleh keluarga tempatan yang mengekalkan resipi tradisi turun-temurun.
Related article image
Sajian halal Thailand. (Gambar: Unsplash)
Antara lokasi popular ialah KoDam Kitchen di Ao Nang yang terkenal dengan masakan Thai asli, selain restoran May & Zin yang turut menawarkan kepelbagaian pilihan sajian tempatan.

Selain restoran dan kafe, pelancong juga boleh menikmati pengalaman di pasar malam Krabi. Di sini terdapat barisan gerai makanan halal menjual aneka juadah seperti sate ayam, pulut mangga, roti pisang dan pelbagai minuman jus segar.

Satu lagi, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Catalunya Walking Street di Ao Nang.

Pasar ini penuh dengan kedai kecil, gerai dan kafe - daripada ais krim 'gourmet' dan fabrik tradisional Thai hingga pakaian.
Related article image
Deretan kedai di Ao Nang. (Gambar: Unsplash)
Apa yang lebih menarik, di sini juga ada tukang jahit yang boleh menjahit pakaian dalam masa beberapa jam sahaja. Kedai ini terletak betul-betul di tepi Pantai Ao Nang.

KEINDAHAN SEMULA JADI DAN TEMPAT MENARIK

Krabi sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang sukar ditandingi.

Bayangkan air laut sejernih kristal, pasir putih halus dan formasi batu kapur yang wajib menjadi latar setiap gambar percutian.

Antara lokasi wajib dikunjungi ialah Pantai Railay, yang disenaraikan sebagai antara pantai tercantik di dunia.

Dikelilingi tebing batu kapur tinggi dan hanya boleh diakses melalui bot, pantai ini berlatarkan pemandangan yang sangat indah. Selain itu, anda juga boleh mengunjungi Pulau Phi Phi yang terkenal dengan kegiatan seperti 'island hopping', snorkeling dan selam skuba.

Bagi yang inginkan suasana yang lebih tenang, Pulau Koh Lanta pula menawarkan pengalaman yang berbeza. Ia memberikan suasana kampung nelayan, pantai luas dan resort eksklusif yang sesuai untuk percutian.

Begitu juga dengan Pulau Poda yang menawan dengan pasir putih halus dan air laut biru jernih yang menjadikannya tempat pilihan untuk santai dan rehat.

Pulau ini turut dihiasi tebing batu kapur ikonik dan panorama tropika yang indah yang pastinya akan memikat hati pengunjung.
Related article image
Kawasan panjat tebing batu kapur di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
Dari pasir putih dan air laut biru, beralih pula ke Gua Phra Nang yang terletak di hujung pantai Railay.

Gua ini terkenal dengan keindahan semula jadinya serta kisah legenda yang unik.

Ia dikelilingi tebing batu kapur dan air laut biru kehijauan dan mempunyai kisah legenda Puteri Laut yang masih hidup dalam kepercayaan penduduk tempatan.

Jika anda seorang pencinta alam, aktiviti berkayak di hutan bakau Ao Thalane atau meneroka gua semula jadi pasti dapat memberikan pengalaman yang menarik.
Related article image
Senja indah di Krabi semasa matahari terbenam. (Gambar: Unsplash)
Pada masa yang sama, anda juga boleh menikmati keindahan matahari terbenam di Ao Nang atau menaiki bot panjang tradisional untuk mengelilingi pulau kecil di sekitar Laut Andaman.

BANYAK MASJID DI KRABI

Kemudahan untuk menunaikan solat di Krabi juga tidak menjadi masalah.

Terdapat banyak masjid yang terletak berhampiran kawasan pelancongan utama. Antara yang terkenal ialah Masjid Heedayah Khlong Hin, yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah tetapi juga pusat masyarakat Muslim tempatan.

Dari pantai yang indah, anda boleh mendengar laungan azan yang menenangkan suasana.

Selain itu, Masjid Madinah Krabi juga menjadi tumpuan pelancong Muslim, terutamanya pada hari Jumaat.

Kebanyakan masjid di sini turut mengendalikan pelbagai aktiviti masyarakat selain majlis ilmu. Lantas, menghidupkan suasana perkampungan Islam di Krabi.
Related article image
Masjid Krabi Town. (Gambar: Aizam Omar)
Selain itu, sikap penduduknya yang lemah-lembut dan suka membantu turut menjadikan pengalaman percutian lebih bermakna.

Mereka sedia memberi panduan arah, mencadangkan tempat makan, malah ada yang juga mempelawa tetamu untuk menikmati minuman teh di rumah mereka.

Ternyata, sifat tolong-menolong dan keramahan inilah yang menjadikan Krabi bukan sekadar tempat percutian, tetapi destinasi yang meninggalkan kesan mendalam di hati ramai pengunjung.

PENUHI KEPERLUAN PELANCONG MUSLIM

Terdapat banyak hotel dan resort di Krabi kini semakin prihatin terhadap keperluan pelancong Muslim yang semakin meningkat.

Tidak hairanlah jika terdapat banyak penginapan yang menawarkan kemudahan mesra Muslim seperti restoran halal untuk tetamu yang datang bercuti.

Antara penginapan yang popular ialah Krabi Front Bay Resort, resort di Krabi ini dilengkapi dengan restoran halal selain mesra keluarga.

Selain itu, Ao Nang Fiore Resort dan The Lai Thai Resort turut menjadi pilihan utama ramai pelancong Muslim kerana lokasinya yang strategik dan dikelilingi alam hijau.

Selalunya pada penghujung tahun, suasana Krabi menjadi semakin meriah dengan kehadiran pelancong dari pelbagai negara.
Related article image
Kegiatan 'snorkeling' di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
Lantas, menjadikannya waktu yang terbaik untuk membawa anak-anak menikmati pelbagai aktiviti keluarga seperti lawatan ke pulau, bermain pasir di pantai, berkunjung ke taman gajah dan tempat daya tarikan lain yang ada di pulau ini.

Bagi ibu bapa pula, anda juga boleh bersantai dengan menikmati urutan Thai tradisional.

Selain itu jangan lepaskan peluang untuk jalan-jalan di pasar malam Ao Nang dan dapatkan cenderamata tempatan.
Related article image
Pasar malam di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
Dari pakaian batik Thailand hingga pelbagai hasil kraf tangan, harganya berpatutan dan boleh dijadikan cenderahati.

LEBIH DARI SEKADAR PERCUTIAN

Apa yang menjadikan Krabi begitu istimewa bukan sekadar keindahan alamnya, tetapi keramahan dan masyarakatnya yang mudah mesra.

Menariknya, pelancong bukan hanya disambut sebagai tetamu, tetapi diraikan sebagai sahabat.

Nilai perpaduan antara satu sama lain, tidak kira agama dan bangsa, dapat dirasai melalui gaya hidup harmoni mereka.

Kini Krabi juga semakin aktif memperkenalkan pelancongan dengan pelbagai program pemeliharaan pantai dan terumbu karang yang dilaksanakan oleh masyarakat tempatan.

Pelancong turut digalakkan menyertai aktiviti seperti penanaman semula pokok bakau dan pembersihan pantai sebagai sebahagian daripada pengalaman percutian beretika.

Tidak kira sama ada anda datang bercuti sekeluarga atau merupakan pengembara solo, Krabi mempunyai sesuatu yang mampu memikat hati.

Dari makanan yang lazat, masyarakat yang ramah hingga ke panorama alam yang memukau, setiap sudut Krabi menawarkan pengalaman yang pastinya menarik.
Related article image
Pemandangan ikonik Pantai Railay di Krabi. (Gambar: Aizam Omar)
Ia bukan sekadar destinasi pelancongan di pulau yang cantik, tetapi sebuah pengalaman menyeluruh yang menggabungkan keindahan, ketenangan dan nilai kemanusiaan.

Di sinilah anda dapat menikmati keajaiban alam sambil menghargai budaya masyarakat yang penuh sopan-santun.

Bagi anda yang sedang mencari destinasi untuk percutian singkat Disember ini, bolehlah sertakan Krabi dalam senarai anda.

Setiap detik di sini menjanjikan kenangan yang kekal tersemat di hati!
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita