GEN KAKI CUTI: Kembara Solo Finland - Dari Santa Claus Village hingga pengalaman naik kereta luncur salji
Penulis di Rovaniemi, Finland dan pengalamannya menaiki kereta luncur husky. (Gambar: Amira Rahmat)
- Amira, a travel content creator and former Finnair flight attendant, explored Rovaniemi on her own during two work stopovers, each lasting just one night, in very cold winter weather.
- She chose strategically located budget accommodation, then visited Santa Claus Village, eight kilometres from the city centre, the Santa Claus post office and Snowman World.
- Husky sledding and an ice-sliding experience were the main attractions, while Santa’s Salmon Place offered a seafood option when halal food was hard to find.
- Amira felt safe and warmly welcomed as a Muslim woman who wears a hijab. She advised visitors to plan their transport and prayer times, bring food and suitable clothing, and said she hoped to return with her family.
- Amira, pencipta kandungan perjalanan dan bekas pramugari Finnair, meneroka Rovaniemi seorang diri ketika dua persinggahan kerja, masing-masing hanya satu malam, dalam cuaca musim sejuk yang sangat dingin.
- Dia memilih penginapan bajet yang strategik, lalu mengunjungi Santa Claus Village yang terletak lapan kilometer dari pusat bandar, pejabat pos Santa dan Snowman World.
- Husky sledding dan pengalaman luncur ais menjadi tarikan utama, sementara Santa’s Salmon Place menawarkan pilihan makanan laut ketika makanan halal sukar didapati.
- Amira berasa selamat dan disambut mesra sebagai wanita Muslim bertudung; dia mengingatkan pengunjung supaya merancang pengangkutan dan waktu solat, membawa makanan serta pakaian sesuai, dan berharap kembali bersama keluarga.
Namun bagi saya, Rovaniemi bukan sekadar destinasi untuk bertemu Santa. Ia sebuah bandar kecil di Lingkaran Artik (Arctic Circle) yang membuatkan saya - anak kota yang membesar dengan cuaca panas sepanjang tahun - berdiri di tengah hamparan salji dengan jari kaki membeku, sambil tergelak sendiri kerana tidak menyangka cuaca boleh menjadi sedingin itu.
Saya pernah berkhidmat sebagai pramugari bersama Finnair, jadi Finland bukanlah destinasi asing bagi saya.
Saya pernah ke sana dalam pelbagai musim, malah sempat menyambut Tahun Baharu ketika suhu menjunam hingga -30°C.
Namun, bagi saya, musim sejuk tetap mempunyai keajaibannya yang tersendiri.
Perjalanan kali ini pula sedikit berbeza. Saya mengembara solo semasa persinggahan atau 'layover' kerja dalam dua perjalanan berasingan, masing-masing hanya satu malam. Walaupun singkat, banyak juga yang sempat saya terokai dan alami.
PENGINAPAN STRATEGIK
Bagi kedua-dua perjalanan, saya menempah antara penginapan termurah yang ditemui.
Kedua-duanya menawarkan tandas berkongsi, tetapi lokasinya strategik sehingga saya boleh berjalan kaki ke hampir semua tempat.
Bagi pengembara solo yang mahu berjimat dan tidak mahu pening memikirkan soal pengangkutan pada lewat malam, pilihan sebegini memang praktikal.
SANTA CLAUS VILLAGE – BUKAN SEKADAR BERTEMU SANTA
Ramai mungkin menyangka 'Santa Claus Village' terletak di tengah-tengah bandar Rovaniemi. Sebenarnya, ia terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar dan betul-betul di garisan Lingkaran Artik.
Salah satu tempat yang membuatkan saya berdiri lama ialah penanda rasmi Lingkaran Artik.
Pada hari saya berkunjung, suhu mencecah -19°C. Hanya selepas beberapa minit berdiri untuk bergambar, jari tangan dan kaki saya sudah terasa membeku.
Satu kegiatan yang belum sempat saya cuba di sini ialah bermain ski. Sepanjang bertugas bersama Finnair, saya sudah beberapa kali bermain ski di Helsinki, tetapi tidak pernah melakukannya di Rovaniemi.
MENAIKI KERETA LUNCUR SALJI SEORANG DIRI
Kalau perlu memilih satu kegiatan yang paling terpahat dalam ingatan, jawapannya sudah tentu 'husky sledding'.
Sebelum menaiki kereta luncur, kami dibawa bertemu anjing-anjing husky. Dengan bimbingan kakitangan di sana, saya sempat bergambar bersama haiwan-haiwan itu.
Bunyi 'howling' mereka bergema dalam udara dingin, seolah-olah semuanya sudah tidak sabar untuk berlari. Suasana ketika itu benar-benar terasa magis.
Oleh sebab saya datang seorang diri, satu kereta luncur itu menjadi milik saya sepenuhnya, sedangkan kebanyakan pengunjung lain datang berpasangan atau berkumpulan.
Jadi, saya dapat menikmati ketenangan sepenuhnya - meluncur seorang diri merentasi hutan, dikelilingi pepohon bersalut salji, dengan salji turun perlahan-lahan sepanjang perjalanan.
Saya hanya mampu tergelak sendiri. Barulah saya faham bagaimana rasanya “menggigil sampai ke bulu mata”.
SNOWMAN WORLD
Selepas itu, saya singgah di 'Snowman World', sebuah taman salji di kawasan 'Santa Claus Village'.
Di situ terdapat tarikan berasaskan ais, ukiran ais yang bercahaya pada waktu malam, gelanggang luncur ais (ice skating), bar ais dan ruang santai – semuanya diperbuat daripada ais!
Namun, perkara yang paling membuatkan saya tersenyum pada hari itu ialah keramahan orang di sekeliling, walaupun saya jelas kelihatan berbeza dengan tudung yang dipakai.
Malah ada satu detik kecil yang masih saya ingat hingga sekarang.
Seorang wanita yang memakai 'hoodie' dan jaket salji datang menghampiri saya bersama anaknya. Pada mulanya, saya tidak menyedari bahawa dia seorang wanita Muslim sehinggalah dia berkata: “You look so beautiful, and your hijab is so beautiful (Anda kelihatan sangat cantik, dan tudung anda sangat cantik).”
Saya ketika itu hanya seorang pengembara solo yang sedang berseronok sendirian. Namun, sapaan kecil seperti itu benar-benar menyentuh hati.
PENGALAMAN MESRA MUSLIM DI 'SANTA’S SALMON PLACE'
Sebagai pengembara Muslim, antara soalan yang paling kerap saya terima ialah: Bagaimana pula dengan makanan halal?
Sejujurnya, di tempat seperti Rovaniemi, pilihan makanan halal agak terhad. Jadi, saya lebih selesa memilih makanan laut, khususnya salmon.
Kalau saya perlu mencadangkan hanya satu tempat, pilihan saya ialah 'Santa’s Salmon Place' di 'Santa Claus Village'.
Ia sebuah khemah kecil atau 'lavvu' dengan unggun api di tengah-tengah. Para pengunjung duduk bersama mengelilingi api dalam suasana yang mengingatkan saya kepada kehidupan tradisional Sámi sambil menunggu makanan masing-masing.
Menunya ringkas - salmon panggang, keju tempatan bersama jem 'cloudberry' dan kek keju (cheesecake).
Salmonnya pula antara yang paling sedap pernah saya rasa.
Lebih menarik, pengunjung dapat menyaksikan sendiri proses penyediaannya. Salmon dipotong dan dipanggang perlahan-lahan di atas api betul-betul di hadapan mata.
Saya sempat merakam keseluruhan pengalaman itu sebagai seorang pengembara solo Muslim yang mencari pilihan makanan mesra Muslim di tengah-tengah Lapland.
Walaupun perlu beratur lama, bagi saya pengalaman itu memang berbaloi.
WAKTU SOLAT MUSIM SEJUK SANGAT BERBEZA
Satu lagi perkara menarik ialah waktu solat ketika musim sejuk.
Zuhur masuk sekitar tengah hari dan tidak lama kemudian sudah masuk waktu Asar. Sebelum 3.00 petang, langit mula gelap dan waktu Maghrib pula tiba.
Bayangkan betapa singkatnya tempoh siang!
Jika anda merancang berkunjung pada musim sejuk, pastikan waktu solat harian diperiksa dengan teliti kerana jadualnya sangat berbeza berbanding Singapura.
SOLO, BERTUDUNG DAN BERASA SELAMAT
Sebagai pengembara solo Muslim, saya rasa pengalaman ini penting untuk dikongsikan.
Tidak ramai pengembara seperti saya yang saya temui di Rovaniemi. Kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga atau pasangan dan ramai juga datang daripada latar belakang yang berbeza daripada saya.
Namun, sepanjang berada di sana, tidak pernah sekali pun saya berasa tidak selamat atau dilayan secara berbeza.
Di tempat-tempat pelancongan yang saya kunjungi, penduduk tempatan dan pengunjung lain akan tersenyum apabila berselisih. Ada juga yang berhenti untuk bertegur sapa walaupun kami langsung tidak mengenali satu sama lain.
Tiada pandangan pelik dan tiada rasa canggung. Malah ketika berjalan sendirian pada waktu malam, saya tidak pernah berasa gelisah.
Pengalaman itu penting untuk saya kongsikan, terutama kepada wanita Muslim bertudung yang mungkin teragak-agak untuk mengembara solo ke destinasi yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam seperti Lapland.
Ia mengajar saya bahawa rasa selamat, tenang dan keramahan sesebuah tempat tidak semestinya bergantung pada sama ada kita “kelihatan sama” dengan orang di sekeliling.
IMPIAN UNTUK KEMBALI BERSAMA KELUARGA
Saya sebenarnya berharap dapat menyaksikan Aurora Borealis di Rovaniemi, tetapi belum ada rezeki kali ini.
Dua malam sahaja, dalam dua perjalanan berasingan, tetapi Rovaniemi memberikan pengalaman yang terasa jauh lebih besar daripada tempoh masa yang saya habiskan di sana.
Mengembara solo dalam cuaca yang begitu dingin, tanpa itinerari mewah atau perancangan yang terlalu rumit, kadangkala menjadi cara terbaik untuk benar-benar menikmati sesebuah tempat.
Pada kesempatan lain, saya mahu kembali bersama keluarga, terutama anak-anak buah kembar saya.
Saya juga mahu mencuba 'Santa Claus Express' - kereta api malam dengan kemudahan tempat tidur (sleeper train) yang menghubungkan Helsinki dengan Rovaniemi dalam perjalanan semalaman sekitar 11 hingga 12 jam.
Bayangkan tidur dalam kabin sendiri dan apabila bangun, anda sudah tiba di pintu masuk Lapland yang diselaputi salji.
Bagi keluarga yang mahukan perjalanan lebih berkesan dan penuh kenangan, pengalaman seperti ini tentunya menarik untuk dicuba.
Buat masa ini, perjalanan solo yang singkat ini sudah cukup membuatkan saya jatuh cinta dengan musim sejuk di Lingkaran Artik Finland.
Cuacanya mungkin cukup sejuk hingga membuatkan bulu mata membeku, tetapi pengalaman yang saya bawa pulang memang sukar dilupakan.
TIP KEMBARA FINLAND
1. Rancang pengangkutan awal: Santa Claus Village tidak terletak dalam pusat bandar. Ia kira-kira 8 km dari bandar, jadi rancang pengangkutan anda awal!
2. Bawa makanan sendiri: Bawa makanan halal sendiri, terutamanya yang dalam tin. Makanan di sana agak mahal dan pilihan halal juga terhad, jadi bawa makanan dalam tin. Ia juga lebih menjimatkan.
3. Penginapan dengan dapur: Kalau boleh, pilih penginapan yang ada dapur. Anda boleh masak sendiri atau panaskan bekalan makanan dari rumah, dan tidak perlu risau cari makanan halal atau habiskan duit makan di luar.
4. Bawa pakaian sesuai: Bawa sarung tangan lebih, 'ear muff' dan skarf. Kalau pergi pada musim sejuk, suhu boleh jatuh antara −10 °C to −30 °C, jadi bawa lebih banyak aksesori pakaian sedemikian bersama 'heat pack' dari Daiso kerana memang tidak dapat ditemui di Eropah.
5. Usah risau tentang bahasa: Mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris di sana, dan sebab ia merupakan tempat tarikan pelancong, saya sering jumpa orang yang peramah di sana yang sedia membantu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.