Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Kembara ke Selatan Itali, kaki mesti kuat

Biasanya bila cakap tentang cuti ke Itali, apa yang terlintas di minda ialah menara condong Pisa, bangunan bersejarah dengan tiang-tiang Roman dan naik gondola di Venice.

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Kembara ke Selatan Itali, kaki mesti kuat

Melawat Vatican City, yang luasnya hanya 100 ekar tetapi merupakan negara yang berdikari paling kecil di dunia. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 06 Sep 2025 11:29PM Dikemas Kini : 03 Jan 2026 04:12PM
SINGAPURA: Biasanya bila cakap tentang cuti ke Itali, apa yang terlintas di minda ialah menara condong Pisa, bangunan bersejarah dengan tiang-tiang Roman dan naik gondola di Venice.

Sementara bagi mereka yang suka bergaya, pastinya kota fesyen, Milan tertangkap di minda.

Memang tidak boleh disangkal, Itali menawarkan tempat pelancongan yang amat unik. Negeri lain tidak akan dapat memberikan apa yang ada di Itali. Berbeza dengan Disneyland yang boleh anda temui di California, Paris, Jepun dan Hong Kong.

Maka itu, tidak hairanlah jika pelancong tidak putus-putus berkunjung ke Itali.

Sewaktu saya melawatnya pada bulan Mei 2023, negeri itu sesak dengan pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Bukan sahaja pengunjung dari Eropah, tidak kurang pelancong dari Indonesia dan Filipina yang melawat secara berkumpulan.

59 TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO
Itali mempunyai paling banyak Tapak Warisan Dunia, Unesco. Dengan keluasan hanya 301 kilometer persegi, ia merangkul sebanyak 59 Tapak Warisan Dunia, Unesco.

Antaranya adalah bangunan bersejarah Colosseum, Roman Forum, Pantheon Trevi Fountain, Pompeii, Naples dan Ferrara. Di bandar Rom sahaja, terdapat 13 tapak warisan Unesco. Ini bermakna di mana sahaja kita berpijak di kota Rom, ia merupakan tanah bersejarah yang tiada ternilai harganya.
Related article image
Pendek kata, semua pelancong beraksi seperti saya, konon menahan menara itu dari terus menyenget. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apabila kita perincikan, tarikan untuk melancong ke Itali tidak terletak hanya pada pengiktirafan Unesco yang ia miliki. Hal ini dapat kita rasai apabila mengembara ke selatan negara itu di mana terletaknya Amalfi, Positano dan Priano.
Related article image
Pemandangan perjalanan ke pulau Capri. (Gambar: Amanah Mustafi)
SELATAN ITALI MEMPESONAKAN... HARUS SEDIA DAKI TEBING CURAM, BERBATU

Dari segi geografi, Selatan Itali dikuasai oleh banjaran Apennine. Pada hakikatnya, tanah itu tidak sesuai untuk kediaman. Tiada langsung tanah rata. Yang ada adalah cerun berbatu yang curam dan terus menerjun ke laut. Perbuatan yang disebut ‘berjalan’ tidak mungkin berlaku di Selatan Itali.

Jika anda mahu ke mana-mana, anda tidak akan berjalan. Sebaliknya, anda akan mendaki dan terus mendaki. Selain daripada itu, tidak ada frasa yang mengatakan ‘jiran anda tinggal di sebelah rumah.’ Ini kerana jiran anda akan tinggal di atas atau di bawah rumah anda. Jika anda hendak bertandang ke rumah jiran, anda perlu naik tangga atau turun tangga. Semua ini gara-gara, mereka tinggal di lereng gunung.
Related article image
Sempat berfoto bagi menangkap pemandangan menarik, gara-gara menyewa kereta yang mampu membawa ke berbagai tempat menarik di Tuscany. (Gambar: Amanah Mustafi)
Jika kita rasakan Singapura ini sesak, Selatan Itali lebih padat penduduk. Rumah mereka bersusun rapat-rapat. Pintu jiran anda terletak kurang satu depa dari pintu anda. Dan di depan pintu anda, tiada ruang legar. Yang ada, hanya sebuah anak tangga kecil yang menjurus terus ke kaki lima awam.
Related article image
Berada di Montepulciano, bandar bukit di wilayah Siena, Selatan Tuscany. (Gambar: Amanah Mustafi)
Ada rumah, yang pintu utamanya terletak betul-betul di hadapan jalan raya. Dan jalan raya ini adalah jalan raya yang sibuk, tidak putus dengan kenderaan lalu-lalang seperti PIE. Bayangkanlah, sebaik sahaja anda membuka pintu, melangkah setapak sahaja, anda sudah berada di atas jalan raya utama!

JALAN SEMPIT, KECUT PERUT
Related article image
Berada di Pantai Grande yang membelakangi Positano, kediaman di lereng gunung di Selatan Itali, Amalfi. (Gambar: Amanah Mustafi)
Jalan raya adalah penghubung yang paling penting di Selatan Itali. Jika lihat alam semulajadi wilayah itu, sebatang jalan raya pun tidak mampu dibangunkan kerana ciri fizikal buminya. Namun, dengan sistem teknoloji yang tinggi, jalan raya dapat dibina. Biarpun begitu, lebar jalan rayanya amat terhad. Bukan hanya sempit, jalan rayanya bersimpang-siur dan ada ketikanya bertikung tajam.

Jika anda memandu di Praiano, Amalfi atau Positano, dengan tidak disangka-sangka, anda boleh bertembung dengan sebongkah batu gunung. Bongkah ini terjulur keluar dari bahagian kiri jalan. Sementara di sebelah kanan jalan pula, ada jurang menjurus ke laut. Tanpa kecekapan memandu, dengan mudah sahaja anda boleh terlibat dalam kemalangan.
Oleh kerana kegiatan pelancongan sangat rancak, jalan raya yang sempit tidak sunyi dengan bas pelancongan. Setiap kali kita bergerak dari Amalfi, ke Praiano dan ke Positano, pasti berlaku insiden di mana kenderaan tidak dapat lalu gara-gara jalan raya sempit. Beberapa orang akan turun dari kenderaan untuk membantu. Keadaannya amat mengerikan kerana kenderaan berderet-deret dan berada betul-betul di tepi jurang. Ternyata, pemandu di sana memang cekap dan sabar. Oleh itu, tidak hairanlah jika kebanyakan kereta di sana bersaiz kecil.
Related article image
Berfoto di Vittoriano yang menjadi tumpuan para pelancong. (Gambar: Amanah Mustafi)
Related article image
(Gambar: Amanah Mustafi)
Bagi pelancong yang hendak memandu di Selatan Itali, sebaiknya anda memilih kereta kecil. Namun, memilih kereta kecil sahaja tidak mencukupi. Anda perlu kemahiran yang jitu dan yak mudah kecut perut! Saya kagum dengan anak menantu saya yang berjaya mengendalikan kereta dengan cekap tanpa sebarang stres. Malah, dia begitu teruja kerana memandu dalam keadaan yang sangat mencabar. Kalaulah saya yang memegang steering, pastinya kereta itu ditinggal buntang di tepi jalan.

Di Selatan Itali, ada satu tempat tarikan yang diberi nama Path of the Gods. Ia merupakan jalan sepanjang 7km, di ketinggian 600 meter dari paras laut. Perjalanannya memang menggugah kerana kita harus terus mendaki, membuatkan jantung saya berdegup keras.
Related article image
Berfoto di pintu keluar dari rumah sewa di Selatan Itali, Praiano. (Gambar: Amanah Mustafi)
PENDUDUK RAMAH; PENGALAMAN BUDAYA UNIK

Pemandangan dari jalanan memang mengasyikkan. Terdapat bunga-bunga liar di sepanjang jalan. Oleh kerana jakun dengan kecantikan bunga-bunga itu, saya petik dan selitkan di saku blaus yang terletak dekat dengan muka saya. Kebetulan, kami berpapasan dengan seorang pemuda Itali. Dia sedang bergegas untuk urusannya tetapi sanggup berhenti untuk menerangkan bahawa bunga liar yang tersisip di saku saya boleh memudaratkan kulit. Dia sungguh-sungguh menjelaskan kerana bimbang akan kemaslahatan saya. Saya tersentak dengan keprihatinannya itu.

Begitu juga dengan pemilik rumah penginapan kami di Praiano. Dalam kesibukan menguruskan rumah yang baru kami masuk, dia sempat menegur agar kami turunkan tripod yang berdiri tinggi di atas meja balkoni. Kemungkinan besar tripod dan kamera itu akan tumbang kerana angin kuat pada musim itu. Sekali lagi, saya tersentak kerana perbuatan menegur bukanlah sesuatu yang dipraktikan dalam kalangan masyarakat Barat, gara-gara menghormati privasi orang lain.
Related article image
Pemandangan menjelang maghrib dari rumah sewa kami di Praiano. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya perasan perbuatan bertegur sapa dan berbual santai adalah lumrah pada penduduk Selatan Itali. Keperibadian seperti itu lebih ketara sewaktu membeli-belah. Dengan bersahaja, si penjual boleh berbual tentang hal lain yang tiada kaitan dengan barang jualan. Mereka juga tidak canggung untuk bercakap mengenai hal peribadi, sekadar untuk menjalin hubungan. Suasana yang sama tidak ujud semasa saya melawat Milan, Venice, Tuscany dan Rom. Interaksi dengan mereka lebih formal dan terhad pada urusan jual beli sahaja. Peribadi penduduk di Selatan Itali lebih mirip pada keperibadian orang Asia atau lebih khususnya, orang Melayu.

Apa yang saya tahu, orang di Selatan Itali memiliki ikatan kekeluargaan yang kuat. Dan sejarah pula menunjukkan Selatan Itali ditakluki oleh Arab, Greek dan Sepanyol. Berbeza dengan wilayah Utara Itali yang dijajah oleh Perancis, Celts dan kaum Germanic.

KEINDAHAN ALAM
Mereka di Selatan Itali lebih akrab pada bumi walaupun tanah yang mereka duduki, tidak subur untuk tanaman. Tetapi kegigihan penduduk telah merubah wilayah itu. Dari rumah penginapan, saya memerhatikan tiga orang lelaki tempatan gigih mengerjakan tanah lahan. Tidaklah besar mana luasnya sebab tanah lereng gunung itu dihimpit rumah, di sebelah atas dan bawah. Namun, tanah lahan sekangkang kera itu penuh dengan tanaman. Di antara tanaman yang tumbuh melata ialah lemon yang segar-bugar. Buah-buahannya tumbuh lebat dan bergayut-gayutan sehingga menutup dahan pokok itu.
Begitulah suasana alami yang saya lihat di Ristorante Costa Diva, Praiano. Pokok lemon dijadikan penyeri restoran itu. Berpuluh-puluh lemon bergantungan di atas kepala semasa anda menikmati juadah! Sungguh menyeronokkan. Sememangnya Selatan Itali terkenal dengan lemon sehingga ia menjadi simbol dan objek bagi seramik yang mereka hasilkan.

HATI-HATI PENCOPET
Related article image
Milan, Quadrilatero – syurga membeli-belah barang berjenama Itali. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kemasyhuran Itali sebagai negeri pelancongan yang 'top', tidak boleh dibendung lagi. Tarikan popular di Itali menarik orang ramai dari mana-mana pelusuk dunia. Malangnya, mereka juga menarik penyeluk saku dengan jumlah pelancong.

Dengan bilangan pengangguran yang tinggi, kecurian menjadi sangat berleluasa. Pencurian yang dilakukan secara licik dan cepat seperti kilat. Pencurian yang dilakukan dengan cara yang sangat ‘profesional’. Walau apapun, ia tidak harus menjadi penghalang kerana peradaban dan ketamadunan Itali yang unggul itu tidak akan kita temui di negeri lain di dunia.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita