GEN KAKI CUTI: Kembara di Flores menakjubkan!
Bukan satu atau dua tetapi tiga teluk pada satu-satu tempat itu.
Yang uniknya, ketiga-tiga teluk ini memiliki ciri-ciri pasir yang berlainan. Salah satu pesisiran pantainya, putih bersih. Yang satu lagi, berpasir hitam akibat sisa gunung berapi, sementara pantai yang satu lagi berpasir merah jambu!
Malah, kesemua pantai ini terletak bersebelahan satu sama lain tetapi tidak kelihatan sesama sendiri. Jika kita berada di atas pantai putih, kita tidak akan dapat melihat pantai berpasir hitam dan pantai merah jambu gara-gara dipisahkan oleh jaluran bukit yang tirus.
Hanya apabila kita mendaki ke satu tahap ketinggian, barulah kita dapat melihat ketiga-tiga pantai itu sekali gus. Inilah perkara menakjubkan yang saya alami di Pulau Padar yang terletak di bahagian barat Flores, Indonesia.
TIP PENDAKIAN
Setibanya di Pulau Padar, kita perlu menanjak lereng dalam masa kurang dari 30 minit.
Bagi warga emas, usah bimbang kerana pendakiannya sebenarnya agak selesa. Terdapat tangga yang lebar dan bersih dibina dari aras bawah sehingga ke puncak, yang boleh menaiki secara beramai-ramai.
Hanya ada satu dua bahagian di mana tangga itu agak sempit. Namun, ia masih selesa dan selamat kerana pendakian itu melandai.
Satu lagi tip adalah kita perlu memakai kasut yang sesuai dan berjalanlah dengan santai untuk menikmati keindahan alam.
Ada beberapa lokasi yang boleh anda bergambar untuk merakam ketiga-tiga pantai berteluk itu sekali gus. Panorama yang memang menakjubkan!
Rasa penat juga lenyap serta-merta sebaik sahaja selepas bergambar.
PASIR MERAH JAMBU MEMIKAT JIWA
Keseronokan ke pulau Padar ternyata tidak terhad pada bergambar sahaja.
Sebaik sahaja pulang ke bot, kami diajak menjejak pantai Merah Jambu.
Bayangkan betapa terujanya kami apabila pasir pantai yang kita pijak berwarna merah jambu.
Saya kaup pasir itu dan saya dapati terdapat pecahan-pecahan kecil berwarna merah bercampur dengan pasir yang biasa kita temui.
Rupa-rupanya, pecahan-pecahan merah itu datang dari batu karang yang terdapat di dasar laut.
Dari jauh, percampuran batu karang merah dengan pasir dan air, memberikan warna merah jambu. Luar biasa!
Pihak taman negara meletakkan beberapa bongkah batu karang merah di pantai. Inilah juga kali pertama saya melihat batu karang berwarna merah darah.
Selain Pulau Padar, ada sebuah lagi pulau yang wajib dikunjungi.
Terletak tidak jauh dari Pulau Padar ialah Pulau Komodo.
Pulau Komodo tergolong dalam tujuh keajaiban alam semula jadi yang baharu (New 7 Wonders of Nature).
Sebaik sahaja kami tiba di pulau itu menaiki bot, kami disambut dengan warung makan dan minum serta kedai menjual cenderahati.
Terdapat pejabat serta kemudahan lain yang juga disediakan bagi keselesaan pelancong.
Tiada orang luar yang boleh berjalan sendirian di pulau itu tanpa pemandu pelancong atas sebab keselamatan.
Malah, saya perhatikan semua pegawai yang mengiringi rombongan membawa sebatang kayu panjang, yang penting untuk menghindari serangan komodo.
Ternyata biawak besar atau komodo itu berkeliaran di merata pulau dengan bebas.
Kebanyakan komodo yang kita temui berbadan besar dan mempunyai panjang tubuh lebih daripada 1 meter.
Rombongan kami bernasib baik kerana dapat menyaksikan enam ekor komodo.
Yang anehnya, semua komodo yang kita temui diam membatu, tidak bergerak walau sedikit pun. Mungkin kerana itu, saya tidak berasa takut.
Lebih penting lagi, usah cuba memberi makan atau mengganggunya bagi mengelak komodo menyerang dengan ganas.
Lubang-lubang besar yang terdapat pada tebing tanah pula rupa-rupanya rumah si komodo.
Rupa-rupanya ada juga perkampungan di bahagian atas pulau itu, bermakna penduduk berkongsi habitat dengan komodo!
Di samping berkunjung dari pulau ke pulau, pelancong juga diberikan pengalaman berenang di dalam air laut Flores.
Sebaik sahaja wisel ditiup, rakan pengunjung lain terjun menjunam ke dalam laut untuk berenang ke satu lokasi yang membolehkan mereka berjumpa dengan 'manta ray' atau ikan pari hantu.
Perairan laut berdekatan dengan Pulau Kanawa adalah kawasan yang banyak ikan pari hantu.
Pastinya, tiada siapa dapat menafikan syurga alam laut terletak di bumi Flores.
Keindahan pulau dan pantai memang menakjubkan.
Apatah lagi, apabila meneroka ke dasar laut yang menyajikan kenikmatan yang lebih besar.
Oleh kerana itu, kegiatan yang berkaitan dengan laut dipergiatkan dengan rancak.
Antaranya ialah belayar berhari-hari di atas kapal layar, 'snorkel' untuk meninjau hidupan laut, menyelam bagi mencari ikan jerung, penyu laut, ikan pari hantu dan ribuan hidupan laut yang luar biasa.
KAYA TRADISI DAN BUDAYA
Namun, bagi yang tidak mesra dengan alam dasar laut, anda masih boleh berasa seronok.
Flores kaya dengan tradisi dan budaya suku kaum yang tidak akan ditemui di bahagian lain di Indonesia.
Ini termasuk kampung Melo yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Labuan Bajo. Oleh kerana jalan rayanya bersimpang-siur dan menanjak, perjalanan memakan masa 45 minit.
Yang menariknya, setibanya di lokasi, kami tidak perlu berjalan jauh untuk ke rumah tradisi. Sekadar naik tangga selama lima minit sahaja, sudah tersergam rumah tradisi Melo di depan mata.
Di kampung itu, kami diberikan pendedahan akan budaya dan tradisi Manggarai.
Kain tenunan dan barang-barang yang mereka hasilkan memang unik. Ia melambangkan kebudayaan unggul mereka yang berbeza dari suku kaum lain.
Oleh kerana kami datang tanpa melakukan pendaftaran terlebih dahulu, maka tiada persembahan budaya yang biasanya dipamerkan pada para pengunjung.
Biarpun begitu, mereka sangat ramah dan rajin melayan saya untuk mengenakan pakaian tradisi mereka.
Sebagai balasan, pengunjung digalakkan menderma bagi menyumbang dana untuk menampung program budaya.
GUA BATU CERMIN
Bagi menikmati keindahan alam semula jadi, tidak semestinya perlu naik bot menyusur ke laut.
Ada destinasi menarik yang terletak dekat dengan bandar.
Hanya empat kilometer dari bandar Labuan Bajo, kita boleh melawat Gua Batu Cermin.
Kami menyewa kereta untuk berkunjung ke sana.
Boleh tahan rasa panas yang dialami sewaktu berada dalam gua itu. Berpeluh-peluh saya dibuatnya tetapi rasa panas itu terhindar apabila saya menyaksikan sinaran matahari yang masuk dari celah-celah lubang, lantas memancar ke dinding gua dan kemudian memantulkan cahaya, seolah-olah ada cermin dalam gua itu.
Keajaiban ini boleh dilihat jika kita berkunjung dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi.
Fenomena inilah yang memberi jolokan nama Batu Cermin pada gua itu.
Gua ini juga dipenuhi dengan stalaktit dan stalagmit yang sangat utuh dengan pelbagai bentuk yang tidak pernah saya lihat di gua lain sebelum ini.
Selain itu, ada satu lagi tempat yang popular. Ia terletak hanya setengah jam perjalanan dari Labuan Bajo. Ia tidak begitu jauh, hanya memakan masa 15 minit.
Selepas sampai di jeti, kita perlu berjalan kira-kira limit minit sahaja. Keindahan yang menanti memang tidak boleh disangkal.
Gua Rangko adalah gua batu kapur yang amat cantik dengan air jernih yang biru kehijau-hijauan.
Sinar matahari turut memancar ke dalam gua antara pukul 2.00 hingga 3.00 petang.
Pantulan cahaya pada tembok gua dan air jelas meningkatkan lagi keindahan Gua Rangko.
Terdapat anak tangga untuk kita turun bagi melihat air gua itu.
Kita harus menapak dengan berhati-hati kerana batunya yang licin. Kawasan gua ini juga agak kecil dan sebaiknya kita melawat antara bulan Mac dan Mei - waktu yang lengang.
Yang jelas, percutian di Flores bukan sekadar hiburan bagi melegakan fikiran, tetapi ia meninggalkan jejak yang berkesan di hati dan fikiran untuk saya melihat kehidupan dan keindahan alam dengan perspektif yang baharu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.