Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Jentik nostalgia 60-an, Tanjung Pinang cukup mempesona

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Jentik nostalgia 60-an, Tanjung Pinang cukup mempesona

Penulis di jeti Tanjung Pinang (kiri) dan penulis bersama suami di pintu masuk utama ke Pulau Penyengat. (Gambar: Amanah Mustafi)

SINGAPURA: Biarpun dekat, hanya beberapa jam dengan menaiki feri laju, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Tanjung Pinang. Jauh di lubuk hati, saya ingin sangat mengunjunginya bukan untuk melihat Tanjung Pinang tetapi lebih pada untuk menziarah Pulau Penyengat, pulau yang sarat dengan sejarah dan warisan Melayu.

Melalui perbualan santai, suami saya diberitahu bahawa dia ada saudara menetap di Tanjung Pinang. Beliau adalah anak saudaranya sebelah ibu yang mana mereka merupakan orang Melayu Riau-Lingga.

Khabar ini menjadi pancingan kuat untuk berkunjung ke Tanjung Pinang. Tanpa berlengah, kami pun membuat rancangan percutian.

Memandangkan perjalanan melintasi sempadan antarabangsa, pasport kami diperiksa sebelum melangkah masuk feri. Pemeriksaan dilakukan di terminal feri Tanah Merah di Changi, bukan Harbourfront di Telok Blangah. Bayaran feri adalah S$86 bagi perjalanan ulang-alik.

Perjalanan laut aman tanpa gelora, sesuatu yang menakjubkan, padahal jarak Tanjung Pinang dan Singapura adalah kira-kira 80 km. Selepas dua jam, feri sudah tiba di Tanjung Pinang, ibu kota Bintan.

Setibanya di pelabuhan, kami meniti jeti berlantai batu mengarah ke jalan raya. Saya dapat merasakan aura yang lain dari yang lain. Saya seolah-olah ditarik ke era 60-an dengan struktur bangunan dan suasana sekitaran yang tidak nampak lagi di tempat kita. Ia menjentik satu macam perasaan yang tidak pernah saya alami apabila bercuti di Malaysia, biarpun saya berada di pekan.
Related article image
Penulis berada di jeti masuk ke Tanjung Pinang. (Gambar: Amanah Mustafi)

Suasana percutian juga berbeza kerana kami tidak berdua seperti yang lazim berlaku sebelum ini. Kini segala program percutian harus mengambil kira akan kehadiran saudara kami. Yang menariknya, kami tidak perlu pening kepala pun kerana penginapan, pengangkutan dan lawatan diatur oleh mereka. Seronok!

Kami diberikan rumah tamu yang mempunyai bumbung tersendiri, terpisah dari banglo mereka. Di hadapan rumah tamu itu, terdapat halaman yang dipenuhi dengan pokok bunga dan pohon buah belimbing. Selesa benar! Apakan tidak, kami boleh memasak dan membasuh tanpa gangguan bak tinggal di rumah sendiri.

Related article image
Berkunjung ke rumah kawan anak saudara yang terletak di tepi laut yang berbakau. (Gambar: Amanah Mustafi)

Layanan yang diberikan saudara kami ini memang luar biasa. Kami tidak dibenarkan berjalan sendiri tanpa bersama mereka. Biar sibuk dengan urusan, mereka akan mencari masa untuk keluar dengan kami.

Ia adalah sesuatu yang harus mereka lakukan sebagai menyanjung ikatan persaudaraan. Dan yang uniknya, mereka melakukan dengan ikhlas. Budi bicara mereka ini menyentuh hati saya kerana sikap sedemikian payah ditemui di kalangan kita.

Bagi memastikan perut kami sentiasa berisi, jalan-jalan cari makan menjadi kegiatan utama melancong ke Tanjung Pinang.

Tempat pertama yang menjadi sasaran ialah Akau Potong Lembu: istilah dialek Kepulauan Riau di mana Akau merujuk pada warung atau tempat makan. Tempat makan yang banyak menyajikan daging lembu segar.

Related article image
Beginilah suasana yang santai sewaktu malam malam di Akau Potong Lembu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa tempat ini menjadi destinasi pertama. Ia adalah kerana tempat makan ini mengambil konsep pusat penjaja makanan Singapura.

Berbagai jenis makanan boleh dibeli dari satu lokasi, dengan harga yang berpatutan. Di Akau Potong Lembu, kita boleh mendapat juadah Melayu, Cina dan Padang. Bagi membangkitkan konsep Singapura, makanan yang lazim terdapat di pusat penjaja kita, dijual di sana seperti 'char kway teow', sate, mi wantan, teh tarik dan telur dadar tiram.

Namun, jangan datang ke Akau Potong Lembu pada siang hari. Anda tidak akan temui sebarang makanan. Sebaliknya, anda akan jumpa tempat meletak kereta.

Tempat makan ini beroperasi dari pukul 5.00 petang sehingga 12.00 malam. Kita boleh duduk dan menikmati juadah di tempat terbuka dengan bertemankan bulan dan bintang. Saya diberitahu orang Cina Indonesia senang melanggani tempat itu.

Teruja menjamu selera di Akau kerana ia nostalgik. Menjamu makanan gaya begini wujud di Singapura sewaktu tahun-tahun 60-an di mana tempat meletak kereta bertukar menjadi medan makanan pada malam hari. Penjual membawa kereta sorong penuh dengan jualan serta meja dan bangku untuk pelanggan.

Kami juga diajak ke Rimba Jaya, sebuah pusat makanan yang menjual puluhan jenis juadah dengan harga yang ringan. Namun, ia berbeza sedikit kerana Rimba Jaya berbumbung teguh, terang-benderang dan berlantai simen. Ini membuatkan Rimba Jaya kelihatan lebih rapi dan bersih.

Sebenarnya hati saya tidak sabar untuk melawat Pulau Penyengat, tarikan utama Bintan. Kami perlu menaiki bot kayu atau yang digelar sebagai pompong dengan bayaran 5,000 rupiah bagi setiap orang. Pulau Penyengat terletak hanya kira-kira 6km dari tanah besar Bintan.

Dari dalam bot, kita sudah nampak warna kuning menyambut kehadiran kami. Tembok batu, dinding masjid, pendek kata sebahagian besar tembok yang berdiri di Pulau Penyengat bercat kuning.
Related article image
Pintu masuk utama ke Pulau Penyengat yang terletak di jeti selepas turun dari bot. (Gambar: Amanah Mustafi)
Melangkah beberapa meter sahaja dari jeti, kita sudah bertemu dengan Masjid Raya Sultan Riau. Masjid itu dibina di tanah yang lebih tinggi sekali gus menjulang keunggulan masjid.

Masjid ini memakan masa lebih kurang 40 tahun untuk dibina, masa yang agak lama memandangkan proses pembinaan berjalan berperingkat-peringkat. Suatu yang dikagumi, Masjid Raya Sultan Riau dibina dengan menggunakan putih telur yang bertindak sebagai simen.

Mungkin ramai generasi baharu tidak menyedari akan keistimewaan Pulau Penyengat. Setiap pelancong yang berkunjung ke Tanjung Pinang wajib melawat Pulau Penyengat.

Ia adalah permata yang tiada bandingan nilainya memandangkan peranan yang telah dimainkan pada zaman lalu. Meskipun saiznya tidak besar, pulau ini telah menyumbang pada tiga sektor besar yang menjulang kemakmuran masyarakat Melayu.

Pertama ia menjadi pusat pemerintahan dan kebudayaan Kesultanan Riau-Lingga di mana ia menguasai Riau, Lingga dan sebahagian Johor, selepas kejatuhan Melaka. Kedua, ia menjadi wadah intelektual keugamaan. Dan ketiga, ia adalah nadi perkembangan sastera Melayu di Nusantara.

Di sinilah, lahirnya ramai tokoh penting, termasuk Raja Ali Haji, seorang sasterawan dan ulama yang termasyhur. Karya agung, Gurindam Dua Belas menjadi warisan sastera yang sangat berpengaruh. Teks puisi itu dipamerkan di tembok bangunan lawatan.

Untuk meneroka pulau itu dengan selesa, anda boleh menyewa beca yang besar. Bayaran beca bergantung pada sejauh mana anda bersiar-siar. Anda juga boleh menyewa dengan bayaran sebanyak 20,000 rupiah untuk pergi ke banyak bahagian.

Dengan kenderaan itu, anda dapat melihat istana lama, kompleks Istana Kantor di Bukit Krusi yang menyaksikan pergolakan politik Kesultanan Riau-Lingga dengan negeri-negeri Melayu dan juga dengan penjajah Belanda.

Di samping itu, kami juga menemui perkuburan makam tokoh budaya, agama serta pahlawan negeri yang telah menyumbang pada kemakmuran masyarakat Melayu.

Untuk menyuntik secebis hiburan, ada ruang yang mempersembahkan adat istiadat dan budaya Melayu untuk tontonan pelancong. Terdapat juga pameran khazanah warisan seperti pelamin, keris, pakaian, perabut dan banyak lagi.

Barang bukan sekadar ditayangkan tetapi pelawat boleh memakainya dan bergambar di mana pojok yang kita senangi. Maka dapatlah kami menjadi pengantin sekali lagi di Pulau Penyengat.
Related article image
Pelancong berpeluang menikmati warisan Melayu di galeri yang terdapat di Pulau Penyengat. (Gambar: Amanah Mustafi)
Saya berasa sangat puas sekembalinya dari pulau itu. Aura sejarah dan warisan di Pulau Penyengat amat kuat sehingga menyerap ke sanubari biarpun kegemilangannya sudah berabad lalu. Pada tahun 2021, pemerintah Kepulauan Riau mengajukan agar Pulau Penyengat mendapat pengiktirafan UNESCO. Semoga usulan itu diterima satu hari nanti.

Tanjung Pinang juga tidak sepi dari keindahan alam. Pada hari selanjutnya, kami dibawa melawat pantai yang paling cantik dan panjang di Bintan, iaitu pantai Trikora. Ia terletak di bahagian timur Bintan. Dari kota Tanjung Pinang, kami harus mengarah ke utara untuk ke Trikora. Perjalanan memakan masa 1 jam atau sekitar 45km dari pusat kota.

Oleh kerana pantai ini sangat panjang, ia disusun menjadi 4 bahagian. Pantai Trikora 1 dan 2 adalah bahagian pantai yang masih alami. Sejauh mata memandang, kita dapat lihat hamparan pasir dan air laut, tidak ada sebuah bangunan pun yang menyekat pandangan kita. Pelancong boleh berkelah atau bersnorkel untuk menikmati keindahan dasar lautan.
Related article image
Bergambar di pantai Trikora sewaktu bersiar-siar dengan anak saudara (kiri). (Gambar: Amanah Mustafi)
Pantai Trikora 3 dan 4 pula sesuai bagi pelancong yang ingin bermalam. Banyak pilihan rumah penginapan tersedia untuk pelawat. Kami sekadar memandu lalu di sepanjang pantai itu dan kemudian berhenti untuk bergambar.
 
Related article image
Pantai Trikora, pantai paling panjang dan indah di Bintan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Di samping meneroka alam, warisan dan sejarah, Tanjung Pinang juga syurga membeli-belah terutama kain baju, selendang dan telekung. Pelbagai jenis kain dan corak tradisi Melayu yang unik yang tidak kita temui di sini. Harganya pula amat berpatutan.

Sesungguhnya, membeli-belah menjadi terapi neutral yang menyeronokkan. Mungkin ini yang akan menarik saya untuk berkunjung ke Tanjung Pinang lagi.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita