Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Jejak susur galur, cari jati diri di Pulau Bawean

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Jejak susur galur, cari jati diri di Pulau Bawean

Penulis di jeti Pulau Bawean (kiri) dan Tarian Saman, iaitu persembahan budaya tradisional Bawean. (Gambar: Amanah Mustafi)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Jun 2026 02:36PM Dikemas Kini : 06 Jun 2026 02:38PM
SINGAPURA: Makan angin ke destinasi ini amat lain dari yang lain. Bukan kerana tempat itu mempunyai keindahan alam, mempamerkan budaya yang unik atau memiliki peninggalan sejarah yang besar. Bahkan cuaca, flora dan faunanya juga tiada yang menarik. Namun, saya sangat teruja!

Hati saya cukup bersemangat kerana tidak akan ada tempat lain di dunia yang boleh menjadi galang gantinya. Saya begitu akrab dengan tempat itu biarpun saya tidak pernah mengunjunginya. Semua adalah gara-gara cerita yang keluar dari mulut arwah bapa.

Maka pelancongan ini bukan sekadar percutian tetapi lebih daripada menjejaki susur galur keluarga dan mencari jati diri.

Pelancongan ke pulau Bawean adalah sesuatu yang sungguh luar biasa yang akan saya abadikan dalam ingatan.

PULAU BAWEAN

Saya berkunjung ke pulau Bawean secara rombongan, bersama kakak dan adik. Kami menaiki pesawat dan mendarat di Surabaya. Dari bandar kedua terbesar Indonesia itu, kami bergerak ke Gresik. Dari situlah, petualang kami bermula.

Kami menaiki feri laju, Express Bahari untuk menyeberang Laut Jawa. Perjalanan memakan masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke pulau Bawean yang terletak 120 kilometer dari Gresik.

Mujur air laut tenang gara-gara Angin Monsun Barat yang baru berakhir. Jika tidak, pelayaran feri boleh mengambil sehingga empat hingga lima jam untuk mengharungi laut yang bergelora.

Waktu yang paling baik untuk ke Pulau Bawean ialah sekitar bulan April sehingga Oktober di mana tibanya Monsun Angin Timur. Jika tidak, laut Jawa akan bergelora beserta angin ribut dari November hingga Mac.

Jangan kata feri, pelayaran kapal besar juga boleh terganggu gara-gara pukulan Angin Monsun Barat yang amat hebat.

Dari kejauhan sekitar lima kilometer, kami mula nampak pulau warisan itu secara samar-samar. Keghairahan terpancar di wajah setiap rakan rombongan kerana itulah pertama kali mereka berkunjung ke pulau Bawean.
Related article image
Beginilah keadaan jeti di mana pekerja sudah bersiap dengan kereta sorong untuk mengangkut beg dari feri. (Gambar: Amanah Mustafi)
Bagi saya, bukan rasa ghairah tetapi lebih pada kesayuan. Kehadiran pulau itu membuat saya mengimbau cerita bapa tentang kesusahan yang ditempuhinya selepas kedua orang tuanya meninggal dunia sewaktu bapa masih kecil.

Biarpun ibu bapanya meninggalkan tanah sawah dan pokok jati, tiada siapa yang menguruskan kerana kakak dan abangnya masih anak-anak lagi.

Setibanya di jeti, kami disambut dengan kereta dan dibawa terus ke majlis yang mengalu-alukan ketibaan kami. Ia diatur oleh Anak Oreng Phebien (AOP), persatuan sosial di Kuala Lumpur yang mengelolakan lawatan itu.
Related article image
Bersama rakan-rakan serombongan (berbaju hitam seragam), kami ghairah bergambar di jeti sebaik sahaja turun dari feri. (Gambar: Amanah Mustafi)
Ini bukan sebarang lawatan tetapi lawatan yang bertujuan mengerat hubungan anak Bawean dengan tanah leluhur.

Majlis sambutan itu mempamerkan pelbagai persembahan budaya asli Bawean. Satu-satu yang memikat hati saya ialah persembahan tari saman oleh sekumpulan jejaka. Apa yang menarik, rentak lagu dan gerak-geri tarian saman perlahan dan lembut tetapi tetap 'memancing'.

Rasa terpesona melihat gerak tari yang longlai tetapi penuh dengan tenaga dalaman. Kata-kata yang dinyanyikan juga sarat dengan nasihat.
Related article image
Tarian Saman, persembahan budaya tradisional Bawean yang dipersembahkan di majlis menyambut rombongan kami. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sebuah lagi sajian budaya yang menarik hati saya ialah seni muzik Dhungka. Mereka senyawakan kerja harian dengan persembahan muzik.

Hasilnya, kesenian muzik Dhungka di mana benturan alat menumbuk padi seperti lesung dan alu melahirkan irama muzik yang unik dan ritmis (berirama). Saya dapati usahanya nampak mudah tetapi kreatif sebenarnya.

Sebaik sahaja majlis selesai, kami dibawa mengelilingi kampung di selatan Bawean. Tanpa berlengah, saya membuka semua pancaindera seluas-luasnya untuk menyerap keheningan Bawean sebesar mungkin. Ternyata pulau Bawean yang saya temui sekarang, jauh berbeza dari apa yang saya kenali melalui bapa.

Rumah orang Bawean tidak lagi dibuat daripada anyaman bambu atau kayu dan beratap rumbia, tetapi rumah batu sebiji-biji yang tegar dan bercat rapi. Jika dahulu mereka bergantung sepenuhnya pada air sungai atau perigi dan hidup tanpa elekterik tetapi kini lengkap dengan paip air dan kuasa elektrik.
Related article image
Dhurung, binaan yang sering terdapat di depan rumah orang Bawean. Ruang di sebelah atas digunakan untuk menyimpan beras. Di bahagian bawah pula ruang bersantai. (Gambar: Amanah Mustafi)

Jalan bagi kenderaan sehingga ke hujung laluan, sudah beraspal. Bukan tanah merah lagi.

Pada era ini, Pulau Bawean cukup bersiap siaga untuk menerima pelancong dan memberi layanan sebaik mungkin. Berbeza dari 35 tahun lalu, sesiapa yang ke Bawean harus menginap di rumah saudara-mara, gara-gara tiada hotel. Namun sekarang ada banyak rumah penginapan yang sebahagian besar terletak dekat dengan pelabuhan di Sangkapura.

Rombongan kami tinggal di hotel Miranda. Biarpun hotel itu tidak gah, tidak berbintang tetapi cukup selesa. Ia mempunyai alat hawa dingin dan lengkap dengan keperluan asas. Luas pulau Bawean hanya 197 kilometer persegi tetapi ia memiliki 30 buah desa di kecamatan (daerah) Sangkapura di selatan dan kecamatan Tambak di utara.

Related article image
Kebanyakan sawah padi yang terdapat di desa Pulau Bawean terdampar di tanah rata bukan berbukit. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kawan-kawan dalam rombongan kita berasal dari desa yang berbeza-beza. Dalam rombongan itu hanya saya dan seorang rakan lagi yang datang dari Sumberlanas.

Sumberlanas, tanah kelahiran bapa lebih kepada sebuah dusun. Saiz tanahnya kecil sahaja. Sumberlanas terangkum dalam desa utama, Teluk Jati Dawang yang terletak di kecamatan Tambak.

Pada Hari Melawat Kampung Halaman, rombongan berpecah-pecah kerana masing-masing menuju ke desa yang berlainan. Saya dan adik-beradik bergerak ke dusun Sumberlanas. Perjalanan dari hotel ke desa itu memakan masa lebih kurang 30 minit.

Setibanya di Sumberlanas, kami melintasi sawah padi. Alangkah terujanya kami apabila diberitahu tanah sawah itu adalah peninggalan bapa. Jalan yang kami sedang rentasi itu digelar sebagai jalan Tapi-Tapi, sempena nama bapa saya, Mustafi.
Related article image
Jalan Tapi-tapi yang merentasi tanah sawah bapa ini dibina sebagai jalan pintas bagi memudahkan perjalanan. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sudah kian lama kami dengar berbagai kisah sawah padi bapa, barulah sekarang kita bertemu. Apa lagi, klik… klik… klik…, jari-jemari tidak berhenti memetik gambar. Kebetulan pula, padi sedang menguning dengan galaknya.

Kami tiga beradik gembira kerana titik peluh bapa bekerja keras di Singapura untuk mengekalkan tanah peninggalan orang tuanya berhasil. Sekarang, ia memberi manfaat kepada masyarakat dusun Sumberlanas sesudah tanah itu diwakafkan selepas bapa meninggal dunia.
Related article image
Kami tiga beradik meniti permatang sawah padi bekas milik arwah bapa kami. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kami sempat berjumpa saudara-mara yang membawa kami melihat bekas tapak halaman rumah, tanah pokok jati dan sawah padi. Tanah peninggalan itu amat dekat di hati saya kerana bapa pernah menyuruh saya berutusan surat dalam jawi, tentang tanah itu kepada saudara-mara di Sumberlanas.
Related article image
Sawah padi bapa yang diwakafkan pada masyarakat desa Somberlanas. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sesudah melawat kampung halaman, kami pula dibawa melancong ke Pulau Noko, pulau dengan hamparan pasir putih yang terletak kira-kira 4 kilometer dari pulau Bawean. Saya terpana melihat pulau itu yang keindahan pantai serupa itu, tidak pernah saya lihat di seberang tambak.

Kedudukan Pulau Noko di tengah lautan besar yang jernih bersih dari pencemaran, menjadikan pulau itu begitu unggul. Putih, bersih dan halus pasir pantainya memang luar biasa. Tiada sesiapa yang tinggal di pulau itu. Ia lebih merupakan tempat berkelah, snorkel dan beriadah.
Related article image
Kami menaiki bot kecil untuk ke Pulau Noko. (Gambar: Amanah Mustafi)
Biar seronoknya pelancongan, ia tidak akan lengkap selagi tidak berjumpa dengan makhluk yang bertanggungjawab memberi nama Bawean pada pulau itu, lalu kami beramai-ramai membetis ke sebuah pojok di tepi hutan.

Di situlah, kami menemui sekumpulan rusa yang bernama Bawean. Rusa spesies ini hidup semula jadi di situ dan yang menyedihkan, rusa jenis ini mula pupus.
Related article image
Beginilah rupa Rusa Bawean yang merupakan spesies asli dari pulau ini. (Gambar: Amanah Mustafi)
Apa lagi, kami tidak mahu terlepas peluang untuk bergambar dengan rusa Bawean. Namun sayang, kita tidak dapat memeluk si rusa kerana mereka berada dalam kandang.

Pelancongan ke Pulau Bawean bukan sekadar kegiatan berekreasi atau meneroka tempat baharu. Ia adalah perjalanan menjejaki leluhur dan warisan. Pastinya, kepuasan yang diperolehi tidak seperti pelancongan saya yang lain. Lawatan ini memenuhi keperluan emosi dan juga mengukuh jati diri.

Seperti kata tokoh terkenal, Socrates,”Mengenal diri sendiri adalah awal dari sebuah kebijaksanaan.” Pada saat kita tahu siapa diri kita, kita tidak akan goyah oleh penilaian orang kerana standard hidup kita ditentukan dari dalam bukan dari luar.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita