Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Jejak paranormal di New Orleans

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Jejak paranormal di New Orleans

Gedung berhantu LaLaurie Mansion (kiri) dan penulis di sebuah paya di wilayah Louisiana. (Gambar: LaLaurie Mansion/Facebook/Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 11 Oct 2025 04:41PM Dikemas Kini : 03 Jan 2026 04:10PM
SINGAPURA: Sudah menjadi lumrah, kita melancong untuk menikmati alam semula jadi yang indah, meneroka bangunan bersejarah dan mencari makanan yang sedap.

Pendek kata, apa-apa sahajalah untuk membuat hati senang.
Related article image
Teruja dapat menjejaki bumi Amerika. (Gambar: Amanah Mustafi)
Namun, lain halnya sewaktu saya ke New Orleans yang terletak di Louisiana - sekitar 170 kilometer dari Teluk Mexico - yang terkenal sebagai tempat berhantu!

Maka banyak lawatan paranormal disediakan dan ia menjadi tarikan utama pelancong.

Antaranya ialah lawatan ke rumah gedung berhantu Lalaurie Mansion, jelajah 'vampire' serta lawatan jejak hantu (ghost tour) di French Quarter.
Related article image
Gedung berhantu LaLaurie Mansion di New Orleans. (Gambar: LaLaurie Mansion/Facebook)

Yang menariknya, kebanyakan lawatan dilakukan pada waktu malam.

Bayaran bagi lawatan jejak hantu itu boleh tahan harganya, antara AS$25 (S$32) sehingga AS$35 (S$45).

Ada juga yang mencecah sehingga AS$65 ($84) jika ia memberikan pengalaman menyeramkan yang lebih hebat.

Lawatan berjalan kaki biasanya memakan masa satu setengah jam hingga dua jam, sementara lawatan dengan bas dan yang merangkumi pengalaman tertentu akan berlanjutan sehingga tiga jam.

Ada pula yang membawa pelancong menaiki kereta kuda untuk berjumpa hantu.

Bagi warga emas yang berminat mengikuti lawatan sebegini, digalakkan membawa lampu suluh, terutama sekali jika ia dijalankan pada malam hari.

Satu lagi, kita perlu mengenakan kasut yang selesa kerana kita banyak berjalan.

Saya pun terpanggil untuk mengikuti rombongan itu. Kita perlu membuat tempahan awal-awal lagi kerana lawatan jejak hantu memang popular.

Mana mungkin saya ke New Orleans jika tidak mengikuti lawatan paranormal.

Saya dan seorang lagi rakan bersama beberapa pelancong lain melawat tanah perkuburan St. Louis No. 1 yang terletak di Basin Street. Sanggup bayar untuk ziarah kubur!

Related article image
Tanah perkuburan St. Louis Cemetery No. 1 di Basin Street. (Gambar: Cemetery Tour New Orleans at Basin St. Station/Facebook)
Namun, hati saya membuak-buak kerana berdasarkan maklumat yang saya baca, tanah perkuburan itu memang lain daripada yang lain! Saya mahu lihat sendiri keunikan kawasan tanah perkuburan itu.

Tanah perkuburan St. Louis sudah ada sejak tahun 1789. Ia adalah perkuburan unik dengan cirinya yang tersendiri sehingga menarik pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Terdapat hampir 15 orang dalam rombongan lawatan kami. Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke pekarangan kubur, saya dapati sekitarannya bersih, tidak berserabut dengan pokok renek atau pohon besar. Segalanya kelihatan teratur dan terjaga.

Namun, tarikan perkuburan St. Louis lebih daripada itu. Tidak seperti tanah perkuburan lain, mayat di sana tidak ditanam di dalam tanah.

Sebaliknya, semua mayat diletakkan di atas permukaan tanah, gara-gara tempat itu sering mengalami banjir.

Bukan itu sahaja, setiap mayat baharu tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil lot kosong yang ada. Ia adalah kerana setiap keluarga diperuntukkan hanya satu ruang tanah di perkuburan itu.

Dalam erti kata lain, sebuah keluarga perlu berkongsi ruang yang sama untuk mengebumikan ahli keluarga mereka.

Apabila ada anggota keluarga yang baru meninggal dunia, sisa-sisa mayat lama yang sudah ditanam di lot itu akan dikumpulkan, dibakar dan kemudian ditanam semula di tempat yang sama.

Hal ini perlu dilakukan bagi memberikan laluan pada mayat yang baharu. Biarpun cara pengebumian sedemikian dipraktikkan, kebersihan tanah perkuburan itu terus terjamin.

Saya juga tidak dapat menghidu sebarang bau yang kurang menyenangkan berlegar di kawasan itu.
Related article image
Struktur batu di tanah perkuburan St. Louis Cemetery No. 1. (Gambar: Cemetery Tour New Orleans at Basin St. Station/Facebook)
Biasanya juga, struktur batu di tanah perkuburan itu berbentuk empat persegi bujur yang menegak. Namun, ada sebuah struktur yang menarik perhatian saya. Ia berbentuk tiga segi, saling tak tumpah seperti bentuk piramid di Mesir.

Rupa-rupanya, struktur itu dipunyai oleh keluarga pelakon Amerika yang terkenal, Nicolas Cage.

Mana-mana pelancong akan berhenti untuk bergambar di depannya kerana bentuknya yang klasik. Dan pastinya kerana nama artis tersohor itu.

KEMBARA KE PAYA

Namun ternyata, kegiatan pelancongan di New Orleans tidak terbatas pada paranormal sahaja.

New Orleans terletak di sungai Mississippi. Oleh itu, ia mempunyai banyak kembara ke paya disebabkan lokasinya.

Yang menarik hati saya, ia bukan sungai, tasik atau kolam yang biasa saya kunjungi, tetapi paya, dan paya New Orleans ternyata luar biasa!
Related article image
Lubuk paya di wilayah Louisiana mengandungi air tawar atau air masin, bergantung pada lokasi. (Gambar: Amanah Mustafi)
Ia meliputi ekosistem yang unik dan habitat bagi pelbagai jenis burung dan juga buaya!

JALAN-JALAN CARI BUAYA

Pelancongan dengan buaya juga popular di New Orleans, yang dikatakan menyumbang jutaan dolar untuk pendapatan negara.

Setelah membaca penerangannya, hati saya pun berkobar-kobar. Tidak ada kawan yang dapat pergi kerana masing-masing punya rancangan sendiri.

Tak 'gerek' kalau tidak ke paya menyapa buaya di New Orleans. Mahu tak mahu, pergilah seorang diri.

Saya memilih Bayou Segnette, lubuk buaya yang terkenal di New Orleans. Saya menaiki bas untuk ke stesen, tempat berkumpul sebelum bertolak ke lubuk.
Related article image
Papan tanda di lubuk buaya Bayou Segnette. (Gambar: Bayou Segnette State Park/Facebook)
Oleh itu, bagi warga emas, bersedialah untuk meneroka sendiri sekiranya ahli keluarga atau rakan-rakan anda mempunyai rencana sendiri.

Jangan lupa untuk membawa keperluan peribadi dan ubat-ubatan ke mana sahaja anda pergi!

Setelah menunggu seketika, maka datanglah 'airboat' - bot yang dilengkapi dengan kipas besar di bahagian belakang - yang saling tak tumpah seperti yang saya tonton dalam siri drama televisyen pada tahun 60-an, berjudul “Everglades”.
Related article image
Paparan 'airboat' atau bot yang dilengkapi dengan kipas besar di bahagian belakang dalam sedutan filem 'Everglades'. (Gambar: Petikan skrin dari video Instagram/@islandiajournal)
Sebaik sahaja nampak kenderaan itu, keghairahan saya semakin meluap-luap. Teruja benar hendak menaiki 'airboat' yang saya tonton 40 tahun dahulu.

Kipas besar yang dipasang di belakang bot membolehkannya bergerak laju walau air cetek dan berumput.

Jika anda berminat untuk ke kawasan ini, anda dinasihati untuk membawa ponco atau baju hujan sebelum ke lubuk buaya ini.

Pastikan pakaian kita ringan tetapi tertutup rapi bagi melindungi dari gigitan serangga.

Anda juga digalakkan melawat semasa cuaca panas.

Buaya aktif apabila suhu panas dan ia membolehkan kita melihat gerak laku si buaya.

Perjalanan ke lubuk buaya itu memakan masa hampir satu jam. Sebaik sahaja pemandu pelancong kami turun dari 'airboat' dan berjalan di tebing, satu persatu buaya berjalan ke arahnya.
Related article image
Anak-anak buaya di Bayou Segnette. (Gambar: Bayou Segnette State Park/Facebook)
Mujur buaya yang mendekatinya adalah anak buaya. Kalau tidak, tidak tahulah apa yang akan berlaku!

Lubuk ini juga menampung tiga juta ekor buaya yang mulutnya berbentuk U dan bergigi lebar. Kemudian 'airboat' bergerak lagi dan kini berhenti di tengah-tengah lubuk.

Dalam sekelip mata, berpuluh-puluh buaya datang berkerumun. Saya enggan melepaskan peluang apabila pemandu pelancong itu mengajak saya mendukung anak buaya. Apa lagi, tanpa berlengah, saya pun mengangkat anak buaya. Tidak berbahaya kerana buaya itu berusia tujuh hari sahaja.

Puas hati ... Berpetualang di New Orleans seronok semacam!
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita