GEN KAKI CUTI: Hujung minggu di KL - Bazar Ramadan, buka puasa & 'shopping' Raya!
Perjalanan dari kota Singa untuk ke KL boleh jadi agak meletihkan jika memandu dalam cuaca yang tidak menentu selain berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang tidak dijangka.
Sebagai alternatif kepada penerbangan atau bas, kali ini kami memilih untuk mencuba Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dilancarkan baru-baru ini.
Untuk menaiki ETS ke KL, anda harus ke Johor Bahru Sentral.
Perjalanan dari Johor Bahru (JB) ke KL hanya mengambil masa sekitar 4.5 jam, membolehkan anda untuk berehat, membaca selain menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.
Ramadan adalah antara masa yang terbaik untuk melihat sisi KL yang meriah dan warna-warni.
Dari aktiviti membeli-belah hinggalah mencuba pelbagai sajian serta jamuan untuk berbuka puasa.
Selain keriuhan di bazar-bazar, kawasan membeli-belah di sekitar bandar juga turut menjadi tumpuan orang ramai.
Tidak kiralah sama ada anda ingin melihat-lihat atau mencari keperluan perayaan, bandar ini menawarkan kepelbagaian.
Setiap kali tibanya Ramadan, bandar KL berubah menjadi sebuah kota yang penuh warna dengan aroma juadah yang cukup menggoda selera di sana sini.
Bazar-bazar Ramadan menjadi tumpuan utama penduduk setempat dan juga pengunjung yang ingin rasa keunikan budaya dan makanan istimewa sepanjang bulan Ramadan.
Antaranya:
Kampung Baru
Kawasan lama di KL ini masih mengekalkan seni bina Melayu tradisional.
Ia terkenal dengan juadah tempatan autentik dan bila tibanya Ramadan, kawasan ini semakin meriah dengan deretan gerai bazar yang menawarkan hidangan kegemaran ramai seperti sate, nasi lemak, roti John, bubur lambuk dan pelbagai kuih muih klasik.
Inilah antara kawasan membeli-belah popular yang sibuk di KL dan menjadi tumpuan setiap kali tibanya Ramadan.
Bazar di sini menawarkan pelbagai pilihan makanan seperti nasi beriani, capati, dim sum, murtabak, lempeng berinti daging yang dimasak dengan rempah ratus dan banyak lagi.
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)
Membentang luas di hadapan bangunan ikonik Sultan Abdul Samad, deretan bazar di sini menjual pelbagai juadah tradisional dan moden.
Bukit Bintang
Inilah antara lokasi strategik dan popular di KL, terkenal dengan pelbagai pusat beli-belah selain deretan restoran.
Apabila tiba Ramadan, kawasan ini turut meriah dengan bazar yang menawarkan pelbagai juadah berbuka, daripada hidangan tradisional Melayu hinggalah pilihan moden dan antarabangsa.
Antara menu yang sering menjadi pilihan ialah roti john yang berintikan daging dan sayur yang dimasak bersama telur dan sos, sesuai untuk berbuka ringkas tetapi mengenyangkan.
Terletak berhampiran stesen MRT TTDI, bazar ini menawarkan pelbagai juadah dan minuman.
Dari kuih-muih tradisional, kunafa, murtabak, hingga jus segar, setiap sudut menyajikan kepelbagaian rasa yang memikat selera.
Pada masa yang sama anda juga boleh menikmati sajian seperti nasi lemak, Takoyaki dan burger Ramly.
Namun, pengunjung harus datang awal kerana suasana meriah dan barangan popular ada kalanya habis sebelum pukul 6.00 petang.
BERBUKA PUASA DI HOTEL
Bagi yang teringin untuk berbuka puasa dalam suasana hotel yang selesa dan berhawa dingin dengan pilihan bufet yang kepelbagaian, hotel-hotel di KL turut menawarkan pengalaman yang menarik.
Terdapat pelbagai pilihan di sekitar kota ini, apa pun yang menjadi pilihan, sebaiknya buat tempahan lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Berikut antara hotel yang boleh dikunjungi untuk berbuka puasa:
Crowne Plaza KL, City Centre
Bertemakan Selera Kampungku, ia menawarkan pengalaman berbuka dengan sentuhan menarik, menampilkan resipi kampung yang direka khas sempena Ramadan. Hidangan seperti Siput Sedut dan Rendang Itik Salai merupakan antara sorotan sajian tradisional yang mesti dicuba.
DoubleTree by Hilton
Inilah pilihan popular bagi yang gemarkan suasana bufet beraneka pilihan.
Bertemakan Santapan Lagenda, anda boleh menikmati pelbagai hidangan serantau dengan stesen Bakar-Bakar menjadi antara tarikan utama.
Antaranya, Sum Sum Tulang Bakar yang dipanggang hingga lembut dan kaya rasa.
Hotel Four Seasons
Bufet berbuka puasa bertemakan House of Nyonya.
Nikmati hidangan istimewa seperti Chicken Curry Kapitan, Nyonya Curry Green Lobster dan Nasi Ulam dengan sentuhan black truffle dan daging wagyu cincang.
Selain itu ada juga Sup Gear-Box, pencuci mulut Pandan Apam Balik dan banyak lagi.
Four Points By Sheraton, City Centre
Bertemakan nostalgia Kampung Baru dalam suasana yang moden dan selesa.
Sajian tradisi Kampung Baru di restoran The Mesh mengetengahkan hidangan warisan seperti ulam kampung dan gulai yang dimasak perlahan, dengan cita rasa yang kekal asli.
Hyatt Centric City Centre
Pengalaman berbuka di sini dihadkan kepada 120 tetamu sahaja, menjadikan ia lebih eksklusif dan selesa berhawa dingin.
Tiada deretan bufet panjang, sebaliknya gerai-gerai yang dikendalikan oleh cef, menawarkan sajian seperti Curry Laksa dan Nasi Kambing Bokhari.
Lemon Garden - Shangri-La Kuala Lumpur
Hidangan istimewa dari seluruh negara seperti Kambing Golek Panggang ‘Meletup’, Patin Tempoyak, Rendang Tok, Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Laksa Johor, Gulai Ayam Kampung dan Manok Pansuh yang benar-benar membuka selera.
Selain pelbagai pilihan makanan untuk berbuka puasa, suasana sekeliling KL juga menjadi lebih meriah sepanjang Ramadan dengan adanya pelbagai kedai, butik dan pusat beli-belah yang sudah mula menawarkan promosi dan koleksi khas pakaian tradisional untuk Hari Raya.
Jalan Masjid India contohnya bukan sahaja terkenal dengan jualan pelbagai sajian untuk berbuka, tetapi ia juga menjadi destinasi ramai untuk membeli-belah.
Setiap Ramadan, kedai-kedai di kawasan ini menawarkan pelbagai keperluan untuk persiapan raya.
Dari rekaan ringkas untuk gaya harian hingga koleksi berhias untuk pagi Syawal, semuanya ada.
Harga pula boleh tahan, dari bajet mesra sehingga eksklusif.
Tidak jauh dari Masjid India terletaknya Pasar Seni yang turut menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih tenang.
Di sini, pengunjung boleh mendapatkan kepelbagaian seperti batik, songket, selendang dan aksesori unik.
Bagi yang inginkan keselesaan membeli-belah dalam suasana berhawa dingin, KL juga dikelilingi dengan pelbagai pusat beli-belah yang menawarkan kelengkapan untuk Ramadan dan juga Lebaran.
Antaranya, Mid Valley Megamall, Pavilion Kuala Lumpur, Suria KLCC dan banyak lagi.
Kanak-kanak juga tidak ketinggalan, dengan rekaan kreatif dan praktikal yang memudahkan seluruh keluarga bergaya sedondon pada pagi Syawal nanti.
3 HARI PENUH WARNA
Menikmati Ramadan di KL bukan sekadar tentang juadah, bazar dan membeli-belah.
Suasananya yang meriah menjadikan setiap langkah di lorong-lorong bazar begitu meriah.
Bagi yang ingin ‘melarikan’ diri seketika daripada jadual seharian yang padat, percutian singkat ke KL pastinya merupakan antara pilihan yang tepat.
Luangkan masa untuk cuti singkat di KL pada hujung minggu atau pada cuti sekolah seminggu di bulan Mac nanti.
Anda bukan sahaja dapat membeli-belah keperluan untuk Lebaran, tapi juga dapat mencuba pelbagai juadah berbuka puasa, dan sekali gus menikmati kemeriahan Ramadan di negara jiran.
Walaupun singkat, cuti ini pasti akan dapat memberi ruang untuk rehat dan meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan, sekali gus 'shopping' untuk persiapan Raya!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.