Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: 'Healing' di Kyoto - Destinasi tenang bagi percutian singkat

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: 'Healing' di Kyoto - Destinasi tenang bagi percutian singkat
Kinkaku-ji atau Pavilion Emas, dan geisha berjalan menuju ke rumah teh di Kyoto. (Gambar: Unsplash/Aqilah Juhari)
SINGAPURA: Kyoto adalah sebuah bandar yang membuatkan saya teruja dan benar-benar berasa seolah-olah telah mengembara merentas masa.

Jika Tokyo ialah wajah moden Jepun, Kyoto pula adalah jiwanya.

Walaupun Kyoto tidak mempunyai lapangan terbang antarabangsa utama, akses ke bandar ini amat mudah.

Kebanyakan pelancong akan tiba di Osaka terlebih dahulu melalui Lapangan Terbang Itami, Kansai atau lapangan terbang berdekatan, sebelum meneruskan perjalanan ke Kyoto yang hanya mengambil masa kurang satu jam dengan menaiki kereta api atau bas.

Bagi yang sedang mencari idea untuk cuti singkat tetapi tidak mahu itinerari yang terlalu padat sehingga keletihan dan kehabisan tenaga sebelum hari kedua dan seterusnya, anda boleh sertakan Kyoto dalam senarai destinasi percutian untuk dikunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan.
Related article image
Bandar di Kyoto. (Gambar: Pexels)
Ia adalah sebuah bandar yang sarat dengan tradisi, diselimuti suasana yang damai, tenang dan kaya dengan sejarah.

Bandar ini mungkin tidak akan terus memikat hati sebaik saja anda tiba - tiada bangunan pencakar langit atau tarikan yang mengujakan.

Ia juga bukan destinasi untuk anda bergegas dari satu tempat menarik ke tempat yang lain.

Di sini, semuanya berjalan dengan perlahan, bak kata orang ‘slow and steady’, mengajak anda untuk menikmati setiap detik dengan lebih tenang dan santai.
Related article image
Pelancong pada hujung minggu di Kyoto. (Gambar: Aqilah Juhari)
Kyoto terkenal dengan lorong-lorong batu yang sempit, rumah kayu berusia ratusan tahun dan cara kehidupan yang tidak tergesa-gesa.

Namun apa yang menarik, Kyoto kini semakin mesra pelancong Muslim. Ia mengajak anda untuk memperlahankan langkah dan bagi saya di situlah letaknya kepuasan sebenar sebuah percutian yang singkat.

Dari hari pertama, saya sudah dapat rasakan tempo kehidupan di Kyoto terasa lebih perlahan. Orang berjalan dengan tenang, suasana keseluruhannya tidak tergesa-gesa dan pengangkutan awam seperti bas tiba tepat pada masa yang ditetapkan.
Related article image
Deretan rumah di Kyoto. (Gambar: Pexels)

Lantas, menjadikan ia antara destinasi yang sangat sesuai bagi mereka yang inginkan percutian yang santai sambil menikmati ketenangan.

Semasa meneroka di sekitar bandar, jelas kelihatan gabungan unik antara lama dan baharu.

Di satu sudut, terdapat kedai kopi moden, sementara di sudut lain pula terletak rumah kayu tradisional digelar 'machiya' yang kelihatan seolah-olah tidak berubah sejak ratusan tahun lalu. Itulah antara keistimewaan dan keunikan Kyoto.

BANDAR LAMA YANG MASIH BERNAFAS

Percutian yang ringkas ada kalanya lebih bermakna daripada yang panjang.

Kyoto membuktikan bahawa tempoh 4 hingga 5 hari sudah memadai jika ia dimanfaatkan sepenuhnya.

Ia adalah bandar yang sesuai untuk cuti singkat kerana jarak antara tarikan tidak terlalu jauh selain pengangkutan awam yang mudah dan teratur.

Related article image
Yasaka Pagoda. (Gambar: Aqilah Juhari)
Bagi yang ingin bercuti dengan anak kecil, Kyoto juga adalah antara destinasi yang mesra kanak-kanak. Suasana sekelilingnya yang tenang dan teratur membuat anda tidak perlu tergesa-gesa mengejar masa untuk ke sana sini bersama si cilik.

Bagi ramai pengunjung, suasana ini sering menjadi pengalaman pertama melihat dunia yang bergerak tenang tanpa bising dan tidak kelam kabut.

Tiada bunyi hon atau orang ramai serta penduduk setempat yang berasak-asak untuk menaiki kenderaan umum, berjalan pantas atau tergesa-gesa. Semuanya relaks saja.
Related article image
Deretan kedai di Kyoto. (Gambar: Aqilah Juhari)
Berbeza dengan destinasi-destinasi lain yang pernah dikunjungi, apa yang saya perasan, peniaga-peniaga kecil di Kyoto juga akan membuka kedai tepat pada waktunya sementara pelajar sekolah pula akan menunduk hormat sebelum melintas jalan.

Secara tidak langsung, Kyoto juga mengajar tentang tertib, kesabaran, hormat dan ia adalah sesuatu yang sangat berharga.

MESRA MUSLIM

Di bandar ini juga terdapat masjid yang digelar 'Kyoto Mosque' yang terletak di kawasan Sakyo-ku.

Pengunjung boleh menunaikan solat dengan selesa dalam suasana yang tenang.
Related article image
Masjid Al Huda di Kyoto. (Gambar: Aqilah Juhari)
Selain tempat solat, satu lagi perkara yang sering merisaukan pelancong Muslim bila ke Kyoto sudah tentu soal makanan halal.

Tetapi anda tidak perlu bimbang kerana walaupun Kyoto mungkin bukan bandar majoriti Muslim, kini sajian halal semakin mudah dinikmati di sana.

Kyoto ternyata semakin mesra Muslim. Contohnya, di kawasan popular seperti di Stesen Kyoto, Gion dan Pasar Nishiki, memang mudah untuk mendapatkan pilihan makanan halal.
Related article image
Pasar Nishiki. (Gambar: Aqilah Juhari)
Dari ramen autentik, yakiniku daging wagyu yang menyelerakan hinggalah kafe-kafe yang menawarkan pencuci mulut seperti parfait matcha dan mochi yang enak untuk dinikmati.

Di samping itu, aplikasi terjemahan seperti Google Translate atau Papago juga cukup membantu, terutama ketika ingin membaca menu atau jika anda ingin bertanya soalan ringkas.
Related article image
Mi daging wagyu di Gion. (Gambar: Aqilah Juhari)

Tidak kiralah sama ada ingin menikmati semangkuk ramen, memanggang yakiniku yang lembut selain mencuba manisan matcha, pengalaman menjamu selera di Kyoto ternyata enak dan lebih daripada sekadar mengenyangkan.

Berikut antara tempat makan yang halal:

  • Ayam-Ya Karasuma Kyoto - Aneka ramen yang sangat popular
  • Bali Bali Indonesia di Gion - Masakan Indonesia seperti gado-gado, mi dan banyak lagi.
  • Gion sushi & Sashimi - Pelbagai pilihan sushi
  • Naritaya Gion - Terkenal dengan daging wagyu yang lembut
  • Nishiki Market - Pasar berbumbung yang dipenuhi dengan aneka makanan tempatan, snek dan banyak lagi.
  • Tsujiri Tea House di Gion - Menawarkan pelbagai pencuci mulut matcha
  • Wife and Husband - Kafe unik untuk menikmati aneka minuman dan matcha tiramisu
  • Yoshiya Arashiyama - Sajian bento Jepun seperti karaage dan lain-lain
Related article image
Kafe Wife and Husband. (Gambar: Aqilah Juhari)

Untuk dapatkan alamat restoran dan kafe Halal, anda boleh muat turun dan menggunakan aplikasi Halal Navi dan Happy Cow yang dapat membantu mengenal pasti restoran halal atau mesra Muslim.

DAYA TARIKAN IKONIK

Selain dapat menikmati sajian halal autentik Jepun, Kyoto juga terkenal dan dikelilingi dengan pelbagai tempat unik yang menarik.

Ternyata ia sememangnya kaya dengan sejarah selain pemandangan cantik.

Setiap sudut bandar ini mempunyai cerita yang tersendiri, menjadikan pengalaman percutian begitu bermakna.

Berikut antara daya tarikan yang boleh anda kunjungi:

1. Kinkaku-ji (Pavilion Emas)

Related article image
Kinkakuji. (Gambar: Unsplash)
Ia adalah antara ikon yang terkenal di Kyoto dan menarik perhatian ramai.

Bangunan yang disaluti daun emas ini kelihatan unik, terutamanya apabila cahaya matahari memantul di atas kolam di hadapannya.

Suasana di sekelilingnya tenang dan damai, membuatkan pengunjung ingin duduk lebih lama sekadar menikmati pemandangan.

Pastikan untuk datang awal pagi untuk elakkan kesesakan dan dapatkan gambar terbaik.

2. Fushimi Inari Taisha
Related article image
Fushimi Inari Taisha. (Gambar: Unsplash)
Laluan torii seakan tiada penghujung di sini.

Ia menawarkan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Berjalan di bawah ribuan gerbang torii merah terang di Fushimi Inari membawa pengunjung semakin jauh ke dalam hutan, perlahan-lahan meninggalkan hiruk-pikuk bandar.

Setiap sudutnya menarik untuk dirakam sebagai kenangan.

Jika masa anda terhad, tidak perlu mendaki hingga ke puncak kerana laluan awalnya sudah cukup indah dan bermakna.

3. Hutan buluh Arashiyama
Related article image
Hutan buluh Arashiyama. (Gambar: Aqilah Juhari)
Dengan suasana sekeliling yang damai dan tenang, Arashiyama terasa seperti dunia yang berbeza.

Angin yang menyapa batang-batang buluh tinggi memberikan rasa relaks dan nyaman. Selain hutan buluh, terdapat jambatan Togetsukyo dan kedai-kedai kecil yang menjual cenderamata.

4. Kiyomizu-dera
Related article image
Kuil Kiyomizu-dera. (Gambar: Unsplash)
Inilah antara tempat yang mempunyai pemandangan cantik.

Kuil Kiyomizu-dera merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO yang menawarkan pemandangan luas bandar Kyoto dari teres kayunya.

Dibina tanpa menggunakan paku, seni bina kuil ini benar-benar mengagumkan.

5. Gion
Related article image
Geisha berjalan pantas menuju ke rumah teh. (Gambar: Aqilah Juhari)

Jika ingin merasai Kyoto yang klasik, Gion ialah tempatnya.

Jalan-jalan berbatu, rumah kayu lama dan tanglung yang menyala pada waktu petang mencipta suasana magis.

Jika bernasib baik, anda mungkin boleh terserempak dengan geisha atau maiko yang berjalan pantas menuju ke rumah teh. Tetapi, tidak semua tempat di Gion sesuai untuk pelancong Muslim dari segi makanan.

Walaupun demikian, kawasan ini tetap berbaloi untuk diterokai dari sudut budaya dan seni bina.

EMPAT MUSIM

Kyoto amat menawan sepanjang tahun. Dari sakura mekar di musim bunga, daun merah di musim luruh, salji putih di musim sejuk hinggalah musim panas yang terang bersinar.

Setiap musim cukup unik dan pastinya sesuai untuk pengunjung datang bercuti pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Musim Bunga

Mac hingga April adalah antara waktu paling popular ketika sakura mekar memenuhi taman dan lorong dengan warna merah jambu yang menawan.

Suasana segar ini menjadikan ia masa terbaik untuk menikmati keindahan semula jadi yang unik.

Musim Panas

Walaupun panas dan lembap dari Jun hingga Ogos, persekitaran Kyoto lebih tenang tanpa kesesakan pelancong.

Ia juga sesuai bagi pengunjung yang mahu menikmati bandar dengan lebih santai dan ruang yang lebih lapang.

Musim Luruh

Dari Oktober hingga November, pengunjung akan dapat menikmati pemandangan daun-daun yang berwarna-warni - merah, jingga, kuning.

Ia mencipta panorama cantik dan inilah masa paling ideal untuk berjalan santai sambil menghayati keindahan alam.

Musim Sejuk

Berbeza dari bulan-bulan yang lain, Disember hingga Februari menawarkan pengalaman yang lebih unik di Kyoto. Menurut penduduk setempat, ada kalanya salji nipis akan turun menyelimuti bandar, memberikan suasana magis yang jarang didapati di tempat lain.

SELAMAT TINGGAL KYOTO!

Mengembara ke Kyoto bukan sekadar tentang melihat tempat baharu, tetapi juga merasai cara hidup yang jauh lebih ringkas dan penuh tradisi.

Related article image
Penduduk tempatan memakai kimono. (Gambar: Aqilah Juhari)
Dengan setiap kecantikan dan keunikannya, Kyoto membuka pintu buat setiap pengunjung untuk menyelami pengalaman Jepun yang asli.

Yang pasti, Kyoto kini semakin mesra untuk pengembara Muslim tidak kira usia.
Related article image
Kafe di tengah bandar Kyoto. (Gambar: Aqilah Juhari)
Dengan persediaan ringkas, bandar tradisi ini bukan sahaja indah untuk diterokai, tetapi juga tenang untuk dinikmati, menepati rentaknya yang perlahan dan penuh tertib.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita