GEN KAKI CUTI: Destinasi beli-belah & sajian Cina halal asli, Guangzhou pikat hati pelancong
SINGAPURA: Bayangkan sebuah bandar yang menggabungkan warisan berusia beribu-ribu tahun dengan denyut kehidupan moden yang tidak pernah berhenti.
Inilah Guangzhou, sebuah bandar kosmopolitan di selatan China yang sentiasa memikat pengunjung dengan keunikan budaya, sejarah dan gaya hidupnya.
Dikenali juga sebagai Canton, Guangzhou merupakan antara bandar terbesar di selatan China dan juga merupakan hab perdagangan antarabangsa sejak berabad-abad lamanya.
Hari ini, bandar ini terus berkembang sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman pelbagai dimensi, dari warisan sejarah hinggalah pelbagai tarikan moden dan pusat beli-belah.
Percutian singkat di Guangzhou ibarat menyelami gabungan masa silam dan masa kini.
Setiap sudut bandar ini mempunyai cerita yang tersendiri, menjadikannya destinasi yang sukar dilupakan oleh sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki ke sini.
Bagi yang gemar menikmati gaya hidup santai sambil membeli-belah dan menjamu selera, Guangzhou menawarkan tarikan yang cukup memikat hati. Bandar kosmopolitan ini bukan sahaja dipenuhi deretan pusat beli-belah yang moden dan meriah, malah semakin mesra pelancong Muslim dengan pelbagai pilihan sajian halal yang menyelerakan.
DAYA TARIKAN MENARIK
Dalam suasana bandar yang aktif dan bertenaga, pengunjung berpeluang meluangkan masa meneroka kepelbagaian budaya, sejarah serta gaya hidup setempat.
Lantas, menjadikan percutian singkat di Guangzhou lebih santai, menyeronokkan dan bermakna. Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong di Guangzhou ialah:
1. 'Shangxiajiu Pedestrian Street'
Terletak di daerah Liwan dan ia merupakan salah satu laluan untuk berjalan kaki yang paling sibuk di China.
Jalan sepanjang 1,218 meter ini mempunyai lebih daripada 300 kedai yang menampilkan gabungan seni bina yang menarik.
Rata-rata pelancong datang ke sini bukan sahaja untuk membeli-belah tetapi juga untuk menikmati pelbagai hidangan tradisional dan moden.
2. Persinggahan malam di Sungai Mutiara
Inilah sungai ketiga terpanjang di China yang dikatakan berukuran lebih daripada 2,000 kilometer. Sungai ini mengalir melalui Guangzhou dan berhubung dengan empat sistem sungai yang lain.
Tibanya malam hari, lampu neon di sepanjang sungai memantul pada permukaan air dan merubah kawasan ini menjadi cantik.
3. Gunung Baiyun
Di sini dikatakan terdapat 30 puncak dan enam zon lawatan yang berbeza-beza, di mana setiap satunya unik dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
Gunung awan putih ini merupakan daya tarikan semula jadi yang menakjubkan dengan pemandangan alam yang indah dan diperkaya dengan pelbagai sejarah. Secara ringkas, tempat ia dinamakan sempena awan putih yang sering melingkari gunung.
Dari puncak gunung, pengunjung boleh melihat seluruh bandar Guangzhou dan Sungai Pearl. Gunung ini sesuai bagi mereka yang inginkan suasana yang tenang dan jauh dari kesibukan bandar.
Pada masa yang sama, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan sekelilingnya yang cantik sambil menikmati udara segar.
4. Opera dan menara Canton
Pusat kebudayaan moden ini menampilkan seni persembahan klasik dan kontemporari. Lawatan ke sini menawarkan pengalaman budaya yang unik, terutamanya bagi penggemar seni persembahan.
5. Beijing Lu (Beijing Road)
Ia merupakan antara kawasan beli-belah paling popular di Guangzhou, menampilkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.
Suasananya yang sentiasa meriah seperti Orchard Road menjadikannya antara lokasi yang wajib singgah, terutama bagi yang ‘hantu shopping'.
Di sepanjang jalan ini, ia dipenuhi dengan deretan kedai dan pusat beli-belah seperti Guangzhou Grand Shopping Mall dan Tianhecheng Grand Shopping Mall yang menawarkan pelbagai pilihan untuk setiap citarasa.
Lebih kurang 15 minit perjalanan dengan menaiki khidmat Didi Car ala seperti Grab dengan anggaran tambang S$5 (muat turun aplikasi Alipay dan tempah khidmat Didi melalui aplikasi ini).
Dongshankou merupakan kawasan menarik di mana yang lama bertemu dengan yang moden.
Terdapat pelbagai kafe sepanjang daerah ini dan kawasan ini juga turut dikenali sebagai ‘syurga’ membeli-belah.
7. Pulau Shamian
Jauh dari hiruk-pikuk kota, pulau ini menawarkan suasana yang lebih tenang.
Terkenal dengan seni bina berinspirasikan Eropah dan kehijauan yang menyegarkan, anda boleh teroka tempat ini dengan berjalan santai sambil menikmati pemandangan sekeliling.
Deretan bangunan klasik yang masih terpelihara menjadikan setiap sudut Pulau Shamian kaya dengan nilai sejarah.
Dengan lalu lintas kenderaan yang terhad, pengunjung boleh bersantai sambil memetik gambar cantik dan 'Instagram-worthy' sebagai kenangan percutian di Guangzhou.
8. Yong Qing Fang
Opera Kantonis ini terletak di Liwan, sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah dan budaya seni.
Di sini juga terdapat pelbagai kedai, menjadikannya antara lokasi menarik untuk diterokai.
Ia ibarat Arab Street, di mana pelancong boleh mendapatkan cenderamata selain pakaian dengan harga yang berpatutan.
Pada waktu malam, kawasan ini tampil lebih meriah dengan hiasan lampu selain bunga-bunga yang menjadikan ia tempat yang sesuai untuk bersantai.
SAJIAN HALAL
Menyentuh soal makanan, pengunjung Muslim tidak perlu bimbang. Guangzhou adalah bandar yang mesra Muslim dan mudah untuk mencari makanan halal.
1. Xinyue Muslim Restaurant
Menyajikan masakan Cina Muslim dan Uyghur seperti kambing panggang, big plate chicken dan mi tarik.
Alamat: 3/F, Xinjiang Building, No. 76 Tianhe North Road, Daerah Tianhe, Guangzhou.
2. Bosphorus Turkish Restaurant
Menawarkan hidangan Turki dan Timur Tengah termasuk pide, kebab dan shawarma.
Alamat: No. 304, Huanshi Middle Road, Daerah Yuexiu, Guangzhou.
3. Hui Min Restaurant
Di sini anda boleh menikmati masakan Kantonis seperti mi tarik, sup dan daging rebus.
Alamat: No. 325, Zhongshan 6th Road, Yuexiu District, Guangzhou.
4. Xiang Man Lou Muslim Restaurant
Ingin mencuba dim sum dan sajian Kantonis autentik lain seperti ayam panggang dan makanan laut. Restoran ini menawarkan kepelbagaian, membuatnya sesuai untuk kujungan keluarga atau rombongan pelancong.
Alamat: 420 Huan Shi East Road, Guangzhou
5. Sekitar Masjid Huaisheng
Kawasan yang juga digelar 'Muslim Quarter' ini mempunyai pelbagai restoran halal, gerai makanan dan pasar Muslim. Sesuai untuk pelancong yang ingin mencari makanan halal dan sekali gus ini menikmati suasana masyarakat Muslim tempatan di sana.
- Sentiasa periksa logo (halal) sebelum makan.
- Gunakan aplikasi seperti Amaps, Dianping atau Trip.com untuk mencari restoran halal.
- Jika ingin ke tempat mesra Muslim, kunjungi kawasan Xiaobei. Di sana terdapat banyak restoran halal berhampiran masjid seperti Huaisheng Mosque dan Saad Abi Waqqas Mosque.
- Tanya kakitangan restoran tentang kandungan makanan untuk memastikan ia halal, terutamanya jika bercampur dengan masakan Cina.
- Buat persiapan awal, letakkan senarai restoran halal dan alamatnya dalam telefon bimbit untuk kemudahan.
- Jangan terlepas peluang untuk mencuba sajian halal setempat seperti dim sum, kambing panggang Uyghur dan aneka hidangan Turki dan juga Timur Tengah.
Seperti negera-negara moden yang lain, Guangzhou turut mempunyai sistem pengangkutan yang moden dan mudah diakses oleh ramai, termasuk pelancong.
- Metro - Rangkaian metro yang luas dengan lebih daripada 14 laluan, mudah untuk ke kawasan tarikan utama. Stesen utama berhampiran tempat pelancongan termasuk seperti Tianhe, Yuexiu dan Ximenkou.
- Bas awam - Beroperasi ke hampir semua kawasan, termasuk lokasi pelancongan popular. Walaupun lebih murah, anda perlu tahu arah yang ingin dituju dan lebih baik jika anda tahu bahasa Cina asas. Ia cukup membantu jika anda dapatkan arahan dari pemandu bas.
- Teksi dan Didi - Mudah didapati dan harganya berpatutan. Untuk kemudahan, perkhidmatan Didi sangat membantu, terutamanya untuk pelancong yang tidak tahu atau kurang fasih berbahasa Cina.
- Bot di Sungai Mutiara – Untuk lawatan malam dan pemandangan panorama, anda boleh menaiki bot yang akan membawa mengelilingi tempat-tempat menarik. Tempahan awal boleh dibuat di secara online di laman seperti trip.com, klook dan sebagainya. Pada masa yang sama anda juga boleh beli tiket dari kaunter.
- Basikal & skuter elektrik - Sesuai bagi anda yang ingin cuba meneroka kawasan berhampiran dengan fleksibiliti menaiki basikal. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi seperti Alipay.
Pada masa yang sama, anda harus sentiasa berhati-hati, demi keselamatan dan cuba elakkan menggunakan perkhidmatan teksi yang tidak rasmi.
Secara ringkas, Guangzhou menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh, dari sejarah dan budaya hinggalah sajian halal yang dapat memenuhi pelbagai citarasa pelancong.
'Zai jian', Guangzhou! (Selamat tinggal, Guangzhou!)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.