GEN KAKI CUTI: Dekat tetapi menyeronokkan, Desaru tawar tarikan alam semula jadi
Penulis bergambar dengan kura-kura gergasi di ladang buah (kiri) dan Pantai Batu Layar. (Gambar: Amanah Mustafi)
Pertama kali, kita akan memikirkan negara atau tempat yang akan dilawati, wang belanja yang diperuntukkan, bilangan hari yang kita ada dan cuaca atau musim yang menanti kita di destinasi.
Namun, semua hal yang saya senaraikan itu boleh menjadi faktor kedua apabila kita membawa anak-anak kecil.
Itulah yang berlaku apabila untuk pertama kalinya, saya ingin bercuti bersama cucu.
Maklum sahajalah usianya belum pun setahun jagung, maka kesejahteraannya menjadi faktor nombor satu.
Keselesaan si kecil dan kemudahan kita untuk menguruskannya menjadi tunjang utama.
Setelah mencongak-congak, kami mengambil keputusan untuk makan angin dengan berkereta dan tempoh percutian harus singkat.
Dengan cara ini, ia dapat mengelak rasa penat yang keterlaluan untuk si kecil dan ibu bapanya.
Maka itu, kami bersetuju bahawa tempat percutian yang paling sesuai ialah Desaru demi meluaskan lingkungan hidup si kecil.
Tidak hairanlah jika keghairahan saya tidak begitu meruncing. Lagipun, Desaru sudah pernah dikunjungi lama dahulu.
Namun, kini perjalanan ke Desaru sangat mudah dan cepat. Kita tidak perlu melalui jalan kampung lagi.
Dari bandar Johor Bahru, kami terus menghala ke Ulu Tiram dan dari situ, kami masuk ke Lebuhraya Senai-Desaru.
Pemanduan kereta juga lancar dan selesa. Dalam hanya 45 minit, kita sudah sampai ke penghujung lebuhraya.
Kemudian dari situ kami memandu selama 15 minit sahaja untuk tiba ke pantai Desaru.
DESARU DAHULU DAN SEKARANG
Saya terpana setibanya di jalan pesisiran pantai Desaru.
Ternyata Desaru sekarang jauh berbeza daripada yang saya kunjungi berpuluh-puluh tahun lalu.
Pemandangan pantai dan laut China Selatan seolah-olah sudah lenyap, gara-gara dihadang oleh bangunan hotel yang tumbuh bak cendawan.
Pantai Desaru pula dimajukan bagi tujuan komersil dengan pembinaan pusat rekreasi dan sukan air yang canggih bagi menarik pengunjung.
Bagi pelawat yang sekadar mahu merehatkan diri, mereka boleh bersantai di pekarangan hotel tanpa perlu berjalan keluar.
Mereka juga boleh bermandi-manda di kolam renang atau di pantai yang terbentang luas depan hotel.
Malangnya, sewaktu kami di sana Monsun Timur Laut melanda.
Kami memandu kereta di pesisiran pantai, menghala ke utara untuk melihat suasana pantai.
Ternyata ramai penduduk tempatan bersiar-siar di sepanjang pantai.
Pihak berkuasa, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia juga mencacak bendera merah di beberapa lokasi pantai yang menghalang pengunjung melakukan kegiatan air.
Namun ada juga pengunjung yang tetap sanggup berendam di gigi air.
Ini kerana ombak Monsun Timur Laut jauh lebih bertenaga daripada ombak yang kita alami di pantai pulau Singapura.
Bagi mengelak angin monsun, sebaiknya kita pergi ke pantai timur Malaysia antara bulan Jun dengan Oktober.
DAYA TARIKAN SESUAI BAGI ANAK KECIL
Walaupun kami tidak mampu mendekati pantai pada waktu itu, rekreasi dalam bentuk lain tetap menanti kami.
Banyak daya tarikan memang direka khas untuk pengunjung pantai Desaru, terutama sekali kanak-kanak yang mahu mengetahui tentang perkebunan dan haiwan.
Ia amat sesuai bagi anak bandar yang terlalu tertumpu pada teknologi dan dunia digital.
Maka itu, kami melawat 'Desaru Fruit Farm' yang terletak betul-betul di tepi jalan raya utama.
Kalau tidak mahu menaiki jip yang boleh memuatkan empat hingga lima orang sahaja, anda boleh naik bas mini.
Bagi khidmat bas, anda perlu turun dan berjalan di sekitar kebun, sementara bagi yang mahu berpetualang, anda boleh menyewa ATV.
Anda bebas meneroka kebun mengikut minat anda. Namun jika kami menyewa jip, kami boleh bersoal jawab dengan si pemandu, memandangkan hanya kami sekeluarga yang bersama.
Setibanya di kebun rambutan, kami diajak turun untuk merasa buah rambutan.
Saya berat hati kerana melihat kulit buah rambutan itu yang masih hijau, kecil dan bulunya pendek serta jarang-jarang.
Namun, saya ternyata teruja selepas memakannya. Rasa rambutan itu manis, isinya tebal dan lekang. Itulah rahsia buah “rambutan anak sekolah”.
Namanya sahaja sudah unik.
Kemudian, kami dibawa ke kebun “pisang 40 hari” - satu lagi nama buah yang tidak pernah saya dengar.
Saya teruja dengan lawatan itu kerana kami dikenalkan dengan buah-buahan yang tidak pernah terfikir wujud di dunia.
'Desaru Fruit Farm' adalah ladang seluas 180 ekar yang menanam bermacam-macam jenis buah tropika.
Antaranya ialah jambu, mata kucing, betik, buah naga, ciku, nangka, cempedak, durian, nenas, belimbing dan banyak lagi.
Sayang kami melawat bukan semasa musim buah durian.
LADANG TERNAKAN
Lawatan tidak berakhir pada kebun buah-buahan sahaja.
Setelah selesai meninjau kebun, kami dibawa ke ladang ternakan pula.
Haiwan yang ada bukan sekadar ayam itik, tetapi merangkumi unta, kura-kura, kambing, keldai dan lain-lain.
Ini lebih-lebih lagi apabila si unta mencakup makanan dengan bekasnya sekali dek tak sabar.
Bukan si kecil yang suka, datuk dan nenek yang terlebih ghairah.
Kemudian pada akhir lawatan, kami dijamu makan buah.
'Desaru Fruit Farm' juga pernah memenangi anugerah bagi tempat pelancongan agro yang terbaik di Malaysia.
MENJAMU SELERA DI SEKITAR DESARU
Selepas lawatan itu, kami menjamu selera di Restoran Terapung Bujang Firefly yang terletak hampir dengan Desaru Fruit Farm.
Berderet bot-bot besar di tebing sungai dan pengunjung boleh menaiki bot itu.
Makan beramai-ramai di dalam bot, dan bukan kedai atau restoran, merupakan suatu pengalaman yang lain daripada biasa.
Ramai pelawat yang lebih suka makan malam di sini kerana anda akan dapat melihat kunang-kunang berterbangan di sekitaran bot.
Sekarang Desaru jelas jauh lebih menarik. Ia bukan sahaja menyediakan tempat peranginan untuk bercuti tetapi juga menjadi lokasi untuk menimba pengetahuan alami.
Jika kita ingin mengenali buaya, anda boleh melawat Taman Buaya Telok Sengat.
Ia terletak dalam 30 kilometer dari pantai Desaru.
Jika anda tidak gemar binatang ganas tetapi lebih suka yang peramah seperti burung unta atau ostrich, memandulah ke Teluk Ramunia.
Selepas memandu selama 30 minit dari pantai Desaru, anda akan dapat berjumpa burung unta.
Walau apa pun, Desaru tidak sepi dari aura bandar.
Memandu kira-kira 7 kilometer dari pantai Desaru, kita bertemu bandar yang lengkap dengan restoran, kedai runcit, klinik, kedai elektronik, gedung beli belah dan lain-lain lagi.
Terdapat kedai yang menawarkan segala bentuk khidmat.
Itulah bandar Penawar yang serba lengkap, moden tetapi tidak sesak.
Keunggulannya menjadi lebih terserlah dengan tersergamnya masjid Al-Syifa yang mampu menampung 2,000 jemaah pada satu masa.
Yang jelas, pengembaraan memberikan perspektif yang baharu pada setiap langkah.
Lantas, kami menjelajah ke selatan, mengarah ke Pengerang.
Kami menjadi teruja apabila nampak papan tanda “Kampung Changi”.
Hanya selat Johor yang memisahkan kedua-duanya.
Mungkinkah tempat ini pernah bersatu dahulu?
Keterangan melalui digital mengatakan bahawa kampung Changi di Johor ini dahulu pernah ditumbuhi dengan pokok cengal atau cengai.
Dalam dialek tempatan, sebutan "Chengai" lama-kelamaan berubah menjadi "Changi".
Dari situlah kampung itu mendapat namanya.
Semasa kita memandu ke selatan pantai Desaru, kami berjumpa Medan Selera, Taman Bayu Damai yang menyajikan pelbagai jenis makanan Melayu dan makanan laut.
Jika kita teruskan pemanduan, anda akan berjumpa Tanjung Pengelih.
Ia merupakan satu lagi pintu masuk ke Desaru. Kita boleh naik bot dari Tanah Merah, Terminal Feri Changi.
Dalam masa 45 minit, anda boleh tiba ke Tanjung Pengelih, di Pengerang, Johor.
Dari situ, anda boleh menaiki bas atau kereta untuk ke pantai Desaru.
Pelbagai kemudahan disediakan untuk menjadikan percutian di Desaru seronok biarpun dekat dengan rumah.
Tidak bermakna percutian yang dekat tak 'best' tau!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.