Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Dari The Pinnacles ke Wave Rock, barat Australia sarat fenomena alam

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Dari The Pinnacles ke Wave Rock, barat Australia sarat fenomena alam

The Pinnacles dan anak penulis (kanan) di Wave Rock di barat Australia. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 03:34PM Dikemas Kini : 04 Jul 2026 03:48PM
SINGAPURA: Makan angin kali ini sangatlah menenangkan. Ini kerana wilayahnya tidak sesak, dengan jumlah penduduk yang amat rendah. Secara purata, hanya ada 1.1 orang setiap kilometer persegi.

Lantaran itu, kami berasa bebas untuk bergerak ke mana sahaja tanpa perlu mencongak-congak. Ini menjadikan percutian kami, seperti anak muda sekarang kata, 'healing' - merehatkan dan menghilangkan stres.

Destinasi yang saya maksudkan ialah barat Australia (Western Australia). Sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Perth, anak saudara saya yang menetap di sana, menyambut ketibaan kami.

Selepas dua malam di Perth, kami mulakan sasaran pertama iaitu The Pinnacles. Ini tempat wajib kerana ia amat popular. Setiap tahun seramai 250,000 pelancong dari setiap pelusuk dunia melawat The Pinnacles.

Setibanya di The Pinnacles, saya terpana. Kejadian alam yang tidak pernah saya nampak sebelum ini. Beribu-ribu bongkah batu berdiri menegak di atas pasir bak pokok. Ada yang tinggi sehingga lima meter dan lebar dua meter.
Related article image
The Pinnacles. (Gambar: Amanah Mustafi)
Landskap gurun itu menjadi cantik kerana warna batu yang pelbagai; kuning pekat, kuning bercampur oren, coklat air, coklat gelap, bergantung pada galian tanah itu.

Sewaktu kita sampai, matahari yang mula meninggi memancar pada batu-batu sehingga warnanya semakin menyerlah. Sememangnya menakjubkan!

Formasi ini terjadi kira-kira 100,000 tahun lalu. Dahulu, seluruh kawasan ini berada di bawah paras air laut yang membuatnya terdedah pada hakisan. Bongkah batu yang menegak itu pula tidak terhakis kerana kaya dengan bahan kimia besi.

Pada keesokan harinya, kami mengunjungi Wave Rock yang terletak empat jam dari Perth. Wave Rock adalah bongkah granit gergasi yang berbentuk seperti ombak besar yang bergulung.
Related article image
Anak penulis di dinding batu ombak bergulung di Wave Rock, Hyden Wildlife Park. (Gambar: Amanah Mustafi)
Melihatkan formasi itu, kita pasti menyangka tanah itu dibentuk oleh ombak. Ternyata tanggapan itu salah kerana tiada laut atau pantai berdekatan.

Hakikatnya, ia terbentuk akibat hakisan oleh dua faktor alam, iaitu air dan angin yang berlaku 2.7 bilion tahun yang lalu. Hasilnya, dinding batu berombak sepanjang 110 meter. Tidak jauh dari Wave Rock, kami juga temui gua Mulka (Mulka's Cave) yang menyorok lebih dari 450 lukisan batu orang asli Australia.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kami menjejakkan kaki ke Perth. Biarpun kami tidak melepaskan peluang bersiar-siar di bandar itu, namun saya tidak begitu tertarik dengan gedung beli-belah dan restoran. Apabila melancong, saya lebih mencari corak tempat yang tidak saya temui di negeri sendiri.
Related article image
Terdapat pelbagai warga di gedung membeli-belah dan restoran Perth. (Gambar: Amanah Mustafi)
Maka itu selepas 5 hari di Perth, hati saya benar-benar hendak meninjau bahagian selatan barat Australia. Perancangan mudah dibuat kerana saya melancong berdua sahaja dengan anak. Ia menjadi lebih senang kerana kami ada kereta sendiri - kereta anak saudara yang tinggal di Perth.

Kami segera meluncur ke Albany yang terletak 418 kilometer dari Perth. Ada dua jalan dari Perth ke Albany. Pertama, mengikuti Lebuh Raya Albany di mana jalannya lurus sahaja. Ia memakan masa 4.5 jam.

Kedua, dengan melalui jalan ke barat daya, melintasi bandar Margaret River. Jalan kedua ini memakan masa hampir tujuh jam.

Oleh kerana kami tidak sabar ke Albany, kami pilih jalan pertama. Sewaktu hendak bertolak, saya bimbang akan bosan memandu kerana saya bukan jenis yang suka memandu.

Namun sangkaan saya meleset. Memandu di Australia tidak meletihkan! Apakan tidak, jalan rayanya baik, tidak sibuk dengan lampu merah atau kamera pemantau. Tambahan lagi, tidak banyak kereta atau lori di jalanan. Motosikal pula langsung tiada. Kita tidak perlu terlalu berwaspada tentang kenderaan yang dipandu cuai atau laju.
Related article image
Jalan raya yang lurus, sunyi serta landskap hijau di sepanjang jalan membuatkan seronok memandu. (Gambar: Amanah Mustafi)
Pada pukul 3.00 petang, kami selamat sampai di Albany, lalu menginap di apartmen. Selepas makan dan solat, kami segera memandu ke Mount Clarence yang terletak hanya lima kilometer dari bandar. Dengan menaiki kereta, kita boleh menanjak ke tahap ketinggian di mana kita boleh saksikan laut membiru, bandar Albany dan pelabuhan.
Related article image
Pemandangan dari Mount Clarence, Albany. (Gambar: Amanah Mustafi)
Sebanyak 75 peratus kawasan Mount Clarence terdiri daripada hutan dan taman. Tempat hijau yang menyegarkan itu membuatkan 'mood' saya bagus sahaja semasa berada di sini.
Related article image
Pandangan ke Lautan Antartika (Southern Ocean) di Albany dari Mount Clarence. (Gambar: Amanah Mustafi)

Sesudah itu, kami langsung ke pantai Middleton yang hanya 10 minit memandu dari Mount Clarence. Pada malamnya, kami menjamu kebab. Seperti di Perth, senang juga untuk mendapat makanan halal di Albany.

Ada satu lagi tempat yang mesti dikunjungi di Albany, The Gap dan Natural Bridge. Ada sebuah platform tinjau (viewing platform) yang membolehkan kita lihat pukulan ombak Lautan Antartika (Southern Ocean) yang sangat hebat. Malangnya setibanya kami di destinasi, kami tidak dapat keluar dari kereta kerana hujan lebat. Terkilan juga kerana gagal melihat keajaiban dunia.

Banyak tempat tarikan di Albany dan yang bagusnya ia terletak dengan bandar, seperti Brig Amity, replika kapal yang membawa penghijrah Eropah ke Australia pada 1826.

Melawat dek atas kapal adalah percuma tetapi bayaran dikenakan jika mengikuti lawatan selanjutnya yang lengkap dengan audio penerangan.

Kami terus memandu beberapa minit untuk ke Emu Point, iaitu pantai untuk memancing, menaiki bot dan berkelah. Oleh kerana hujan, kami perlu masuk cafe. Selepas hujan berhenti, kami berpatah balik kerana tidak rela pulang tanpa menyaksikan The Gap dan Natural Bridge.

Dari platform tinjau, kami menyaksikan bongkah batu yang besar, mampat dan sangat keras. Setiap saat kita hanya dengar hentaman ombak yang begitu kuat sehingga menghasilkan tempias air laut yang besar. Pukulannya begitu hebat sehingga menimbulkan kegerunan di hati. Setelah melawat The Gap, barulah kami bersedia untuk meninggalkan Albany.

Kami meneruskan perjalanan ke Walpole melalui bandar Denmark. Perjalanan tanpa henti itu mengambil masa kira-kira satu setengah jam.

Sebagai orang Singapura, pemanduannya agak jauh tetapi hairan, ia tidak meletihkan. Anehnya, saya tidak mengantuk walaupun telah memandu berjam-jam. Mungkin kerana keindahan pemandangan alam di sepanjang jalan.

Pada pukul 4.30 petang, kami tiba di Walpole, di mana penginapan sudah menanti. Kali ini kami pilih Bayside Villa, yang terlalu besar untuk kami berdua. Vila itu juga lengkap dengan spa.

Keesokan harinya, kami memandu ke Margaret River. Sebelum itu, kami sempat singgah di Valley of the Giants Tree Top Walk yang terletak 19 kilometer dari Walpole. Saya, yang suka dengan kehijauan, berasa seronok berjalan sama tinggi dengan pokok-pokok gergasi.

Disebabkan struktur besi yang dibina setinggi 40 meter, kita dapat melihat daun, dahan dan ranting pokok gergasi itu pada jarak dekat. Pengalaman ini memberikan perspektif yang luar biasa terhadap hutan rimba.

Memandu dari Walpole ke Margaret River turut memberikan keseronokan lain daripada yang lain. Kami bertemu banyak ladang ternakan di sepanjang jalan.

Oleh kerana ghairah sangat melihat lembu dan kambing berkeliar di ladang, saya ajak anak saya 'gatecrash' lalu kami letak kereta di pinggir jalan dan berjalan masuk ke dalam ladang ternakan.

Related article image
Ladang ternakan yang sempat kami masuk sewaktu memandu di Margaret River. (Gambar: Amanah Mustafi)

Kami berjaya melangkah masuk ladang dan berjalan sekitar 10 meter ke depan, tetapi kami hanya mampu melihat ternakan itu dari jauh. Tidak dapat membelainya pun.

Duduk menonton binatang sahaja tidak menyeronokkan lalu kami pulang semula ke kereta.

Di sepanjang jalan, mata kami terus berkeliaran, mencari ladang yang boleh kami rempuh. Nasib menyebelahi kami, akhirnya kami temui sebuah ladang di mana pagarnya tidak begitu tegar.

Tanpa toleh kiri kanan, kami melompat masuk dan terus mengejar kambing biri-biri. Mereka lari lintang-pukang, ketakutan sementara kami pula 'enjoy katak' (berseronok sakan). Sewaktu mengejar, terasa adrenalin naik kerana terlalu ghairah.

Selepas seketika, kami berhenti sebab haiwan itu lari lebih laju. Tidak mungkin kami dapat menyentuh kambing biri-biri itu. Sewaktu berpatah balik, barulah kami perasan banyak najis bersepah. Tetapi hati kami puas tidak terkata.

Kami juga melawat Mammoth Cave, Lake Cave dan menunggang kuda di Margaret River. Namun, pengalaman merempuh masuk ladang ternakan tadi menjadi kenangan yang abadi. Rasanya, tidak mungkin kami dapat pengalaman serupa itu lagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita