Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Dari Desaru ke Sabah, ini 5 destinasi cuti ‘last minute’ mesra keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Dari Desaru ke Sabah, ini 5 destinasi cuti ‘last minute’ mesra keluarga

Kawasan di sekitar Hard Rock Hotel Desaru Coast (kiri) dan penulis dan anaknya di kolam renang Hard Rock Hotel Desaru Coast. (Gambar: Aizam Omar)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Jun 2026 10:33PM
SINGAPURA: Tidak perlu memandu jauh atau menaiki penerbangan berjam-jam untuk menikmati percutian keluarga yang menyeronokkan.

Negara jiran, Malaysia yang dekat dan mudah diakses dari kota Singa, terus menjadi antara destinasi ideal dengan pelbagai pilihan penginapan serta aktiviti menarik untuk semua peringkat usia.

Ini termasuk kemudahan santai untuk ibu bapa yang mahu menikmati waktu rehat, terutama sekali ketika musim Piala Dunia yang sedang berlangsung.

Bagi ibu bapa yang meminati bola sepak, musim Piala Dunia tidak semestinya perlu terlepas walaupun sedang bercuti. Di beberapa hotel dan resort bertaraf antarabangsa, ruang 'lounge' lazimnya menyediakan siaran langsung perlawanan, membolehkan tetamu mengikuti aksi antarabangsa secara santai tanpa mengganggu masa bersama keluarga.

Bagi yang masih sedang merancang untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak sebelum sesi persekolahan dibuka semula minggu depan, percutian singkat ke destinasi berdekatan juga tidak kurang menariknya.

Walaupun hanya dua atau tiga hari, terdapat banyak pusat peranginan mesra keluarga yang sesuai untuk percutian singkat.

Daripada kolam renang dan taman permainan air hinggalah aktiviti alam semula jadi, pantai yang indah serta pelbagai pilihan sajian, semuanya tersedia untuk mencipta pengalaman percutian mesra keluarga yang santai dan menyeronokkan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.

5 PUSAT PERANGINAN MESRA KELUARGA

1. Hard Rock Hotel Desaru Coast
Related article image
Lambang ikonik di Hard Rock Hotel Desaru Coast. (Gambar: Aizam Omar)
Pusat peranginan ini sering menjadi pilihan utama untuk percutian keluarga, khususnya bagi mereka yang mencari destinasi dekat tetapi tetap menawarkan pengalaman resort penuh.

Lokasinya yang mudah diakses dengan memandu dari Singapura menjadikannya antara pilihan paling praktikal untuk percutian 'last minute' atau pada saat-saat akhir' tanpa perlu banyak perancangan.

Sebaik melangkah masuk, gabungan muzik, pencahayaan dan reka bentuk moden hotel ini terus mencipta suasana percutian yang penuh tenaga.
Related article image
Pakaian yang pernah diperagakan Lady Gaga dan Tim Skold dipamerkan di Hard Rock Hotel Desaru Coast. (Gambar: Aizam Omar)
Hard Rock Hotel Desaru Coast mengekalkan identiti jenamanya yang santai, menjadikannya pilihan sesuai untuk keluarga yang mahukan persekitaran tidak terlalu formal tetapi tetap selesa.

Antara tarikan utama ialah kolam renang lagun yang luas, lengkap dengan kawasan permainan air untuk kanak-kanak. Anak-anak boleh menghabiskan masa berjam-jam bermain air, manakala ibu bapa boleh bersantai di sekitar kolam dengan suasana tropika yang tenang.
Related article image
Hard Rock Hotel Desaru Coast berlatarbelakangkan taman tema air. (Gambar: Aizam Omar)
Kelab kanak-kanak yang ada di sini turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti seni dan kraf, permainan interaktif serta aktiviti yang memastikan si kecil sentiasa terhibur.

Apa yang lebih menarik, bagi ibu bapa yang mengikuti musim Piala Dunia, pengalaman percutian masih boleh diteruskan tanpa perlu ketinggalan menyaksikan perlawanan bagi kejohanan antarabangsa ini.

Ruang 'lounge' atau bar di hotel lazimnya menyediakan skrin besar atau siaran sukan langsung, membolehkan tetamu menikmati perlawanan dalam suasana santai selepas seharian bersama keluarga melakukan pelbagai aktiviti.

Pada masa yang sama, lokasi resort ini juga terletak berhampiran Desaru Coast Adventure Waterpark, salah satu taman tema air terbesar di Malaysia. Ada pelbagai gelongsor air, zon permainan dan tarikan mesra keluarga yang menepati citarasa ramai.
Related article image
Hidangan burger di Hard Rock Hotel Desaru Coast. (Gambar: Aizam Omar)
Dari segi makanan pula, Hard Rock Hotel Desaru Coast menawarkan pelbagai pilihan bufet antarabangsa dengan gabungan hidangan tempatan dan Barat yang menepati citarasa semua peringkat usia.

Selain itu, di sekitar kawasan Desaru Coast, pengunjung juga boleh menikmati restoran makanan laut segar, kunjungi kafe dengan pilihan makan malam santai yang sesuai untuk keluarga selepas seharian beraktiviti.

2. Golden Sands Pulau Pinang

Dengan penerbangan singkat sekitar 1.5 jam dari Singapura, Pulau Pinang juga merupakan antara destinasi pilihan untuk percutian keluarga.

Pulau ini menawarkan gabungan lengkap antara pantai, budaya, sajian tempatan dan pelbagai aktiviti santai yang sesuai untuk semua peringkat usia.

Terletak di Batu Ferringhi, Shangri-La Golden Sands menawarkan suasana resort tepi pantai yang selesa dengan akses mudah ke pelbagai daya tarikan.

Hotel ini terkenal dengan kemudahan mesra keluarga termasuk kawasan permainan air, gelongsor dan Kids Club, menjadikannya pilihan popular terutama bagi keluarga dengan anak kecil.

Bagi mereka yang gemar aktiviti lebih aktif, kawasan sekitar Batu Ferringhi turut menawarkan pengalaman seperti 'banana boat', 'parasailing' serta pelbagai aktiviti pantai sepanjang percutian anda.

Lebih menarik lagi, seperti kebanyakan resort terkemuka yang lain, ruang 'lounge' atau restoran tertentu lazimnya menyediakan siaran Piala Dunia secara langsung. Lantas, membolehkan ibu bapa menikmati perlawanan sambil berehat selepas seharian bersama keluarga.

Selain itu, menginap di sini juga memudahkan pengunjung untuk meneroka George Town yang terletak kira-kira 30 minit dari hotel. Kawasan warisan ini terkenal dengan seni jalanan di Armenian Street, bangunan bersejarah dan suasana bandar lama yang diiktiraf UNESCO.

Related article image
Jalan-jalan di sekitar bandar Pulau Pinang. (Gambar: Aizam Omar)
Apabila di Pulau Pinang, rasanya tidak lengkap kunjungan tanpa menikmati hidangan tempatan seperti char kuey teow, asam laksa, cendol dan semestinya nasi kandar.
Related article image
Penulis di Armenian Street di George Town, Pulau Pinang. (Gambar: Aizam Omar)

Gabungan makanan, budaya dan pantai menjadikan Pulau Pinang antara destinasi yang sesuai untuk percutian singkat sekeluarga.

3. Lexis Hibiscus Port Dickson

Lexis Hibiscus Port Dickson terkenal dengan reka bentuk ikonik berbentuk bunga raya yang boleh dilihat dari udara.

Resort ini menawarkan pengalaman vila atas air yang dilengkapi kolam renang peribadi, memberikan tahap privasi dan keselesaan yang lebih eksklusif untuk keluarga.

Related article image
Vila atas air di Lexis Hibiscus Port Dickson. (Gambar: Pexels)

Bagi kanak-kanak, kolam renang peribadi di setiap vila menjadi tarikan utama kerana mereka boleh bermain air pada bila-bila masa tanpa perlu berkongsi ruang dengan pengunjung lain.

Ibu bapa pula dapat menikmati suasana lebih tenang sambil bersantai di ruang penginapan sendiri.

Selain itu, pelbagai aktiviti santai turut disediakan seperti kegiatan berbasikal, permainan mesra keluarga dan berjalan di pesisir pantai.

Port Dickson juga menawarkan beberapa tarikan menarik seperti Rumah Api Tanjung Tuan serta Muzium Tentera Darat yang sesuai untuk kunjungan seisi keluarga.

Selain itu, terdapat pelbagai pilihan makanan laut di sekitar Port Dickson yang boleh dinikmati dengan harga yang berpatutan, menjadikannya antara destinasi yang praktikal untuk percutian singkat sekeluarga.

4. The Residence Bintan

Related article image
Bilik 'Deluxe Beach Front Villa' di The Residence Bintan. (Gambar: The Residence Bintan)

Pusat peranginan ini sesuai untuk mereka yang mahukan percutian dekat tetapi tetap terasa seperti berada jauh dari kesibukan kota.

Dengan konsep ruang terbuka dan dikelilingi suasana alam semula jadi, ia menawarkan persekitaran yang tenang dan santai untuk seisi keluarga.

Vila yang luas serta kemudahan mesra kanak-kanak seperti khemah kecil di dalam bilik menjadikannya antara tarikan yang sering digemari si kecil.

Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang penginapan. Antaranya aktiviti berbasikal di sekitar resort, menaiki ATV merentasi laluan lasak, serta pelayaran menyusuri Sungai Sebung yang menawarkan pemandangan hutan bakau, kampung nelayan dan suasana alam semula jadi yang menenangkan.

Menjelang waktu senja, pengunjung juga berpeluang menyaksikan kunang-kunang yang merupakan antara pengalaman unik di sini.

Selain aktiviti rekreasi, resort ini turut menekankan elemen pembelajaran melalui ladang mini, taman lebah dan inisiatif kitar semula.

Kelab kanak-kanak Kakatu pula menyediakan pelbagai aktiviti kreatif seperti batik 'tie-dye', kelas memasak dan aktiviti seni dalam suasana yang selamat dan teratur, sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa untuk menikmati masa di spa atau meluangkan sedikit masa untuk 'me time'.

5. Shangri-La Rasa Ria Sabah

Antara tarikan utama berdekatan hotel Shangri-La Rasa Ria di Sabah ini ialah hutan simpanan yang membolehkan tetamu menyertai lawatan berpandu untuk mengenali flora dan fauna tempatan.

Kanak-kanak berpeluang mempelajari tentang ekosistem secara langsung, menjadikan percutian ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik.

Shangri-La Rasa Ria di Sabah menawarkan pengalaman percutian yang lebih berbeza dengan gabungan pantai privet dan hutan simpan yang luas. Ia sangat sesuai untuk keluarga yang ingin menikmati percutian santai dengan elemen alam semula jadi.

Selain itu, pelbagai aktiviti luar juga ada disediakan seperti berbasikal, memanah, menunggang kuda dan permainan pantai.

Bagi mereka yang mahu meneroka lebih jauh, Kota Kinabalu yang terletak berhampiran juga turut menawarkan pelbagai pilihan lawatan termasuk 'island hopping' di Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Menyentuh tentan sajian pula, pilihan makanan di resort ini juga luas, daripada bufet antarabangsa hinggalah makanan laut segar Sabah yang terkenal dengan rasa autentiknya.

CIPTA MEMORI BERSAMA SI CILIK

Tidak kira destinasi mana yang menjadi pilihan untuk cuti singkat ini, setiap keluarga mempunyai keutamaan berbeza.

Ada yang mencari aktiviti tanpa henti untuk anak-anak, ada yang menginginkan ketenangan di tepi pantai dan ada juga yang mahu menggabungkan percutian dengan pengalaman budaya, alam semula jadi serta makanan tempatan.

Apa pun pilihannya, setiap destinasi menawarkan pengalaman yang tersendiri. Percutian tidak semestinya tempat yang dituju harus jauh atau mewah, tetapi tentang masa berkualiti yang diluangkan bersama keluarga.

Dalam kesibukan tugas harian, meluangkan beberapa hari bersama insan tersayang boleh menjadi pelaburan paling bermakna.

Yang penting, anak-anak gembira, ibu bapa dapat berehat dan tercipta satu lagi memori indah walaupun hanya percutian singkat dan dekat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita