Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Club Med Cherating pilihan percutian keluarga di bawah satu bumbung

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Club Med Cherating pilihan percutian keluarga di bawah satu bumbung

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di Club Med Cherating. (Gambar-gambar: Aizam Omar)

SINGAPURA: Jika anda sedang mencari destinasi percutian yang bukan sekadar untuk bersantai dan berehat, tetapi turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik bagi semua peringkat usia serta sajian enak yang memikat selera, Club Med Cherating di Kuantan merupakan antara pilihan yang tepat.

Dari Singapura, anda boleh menaiki penerbangan Scoot untuk ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Penerbangan singkat ini mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit sebelum meneruskan perjalanan ke resort dengan perkhidmatan bas atau van mini yang disediakan oleh Club Med, yang mengambil masa hampir satu jam.

Yang penting pastikan tempahan pengangkutan dibuat lebih awal melalui Club Med bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar.

Bagi yang gemar memandu sendiri, perjalanan dari Singapura ke Kuantan mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam, bergantung pada keadaan trafik. Anda boleh singgah dan bermalam di Melaka atau Kuala Lumpur untuk rehat mengikut keselesaan masing-masing.

Apa jua pilihan perjalanan anda, pastikan tempahan dibuat lebih awal sebelum bercuti di Club Med, terutamanya ketika musim cuti sekolah.

PERCUTIAN UNIK

Terletak di pesisir timur semenanjung Malaysia, Club Med Cherating merupakan pusat peranginan yang menawarkan segala-galanya.
Ia menggabungkan elemen ketenangan alam semula jadi dengan pelbagai aktiviti lasak, hiburan tanpa henti selain layanan mesra bertaraf antarabangsa.

Lantas, menjadikannya antara destinasi percutian yang unik di rantau ini bagi setiap individu atau keluarga yang inginkan percutian yang lebih daripada sekadar pusat peranginan yang biasa-biasa.

Di sini, terdapat pelbagai sukan air seperti kayak atau 'paddle boarding', 'flying trapeze', kelas yoga di tepi pantai atau sekadar berbasikal menyusuri kehijauan hutan tropika.
Related article image
Kegiatan berkayak di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Bagi yang gemarkan aktiviti santai, terdapat juga sesi tarian, permainan di tepi pantai, selain acara persembahan malam untuk seisi keluarga yang meriah, menjadikan setiap hari sentiasa hidup dengan pelbagai acara dan pengalaman baharu.
Related article image
Kawasan tepi pantai di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Secara ringkas, jenama Club Med ini memang tidak asing lagi dan sudah wujud sejak tahun 1950. Ia berasal dari Perancis dan terkenal dengan konsep percutian menyeluruh.

Sejak diperkenalkan, Club Med telah berkembang pesat menjadi antara jenama global dengan lebih 70 pusat peranginan di seluruh dunia termasuk di Asia.

Antara Club Med yang ada di Asia, Bintan, Phuket, Thailand, Hokkaido, Bali, Jepun, Maldives, Cherating dan yang terkini di Borneo, Sabah yang akan dibuka pada tidak lama lagi pada hujung tahun ini.

Tidak kira sama ada destinasi di Asia, Eropah atau di mana sahaja, setiap destinasi Club Med mempunyai identiti yang tersendiri dengan pelbagai aktiviti seperti ski, aktiviti laut, sukan dan banyak lagi.
Related article image
Minuman di tepi kolam renang Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Pendek kata percutian di Club Med 'gerenti' tidak membosankan, terutama bagi keluarga yang gemar bersukan atau yang ingin menyertai pelbagai aktiviti-aktiviti sepanjang hari.

Bagi saya dan keluarga, kami gemar ke Club Med Cherating bukan sahaja ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik, tapi juga menikmati aneka sajian halal.

Anda tidak akan rasa lapar kerana terdapat bermacam jenis makanan sepanjang hari. Apatah lagi jika anda bercuti bersama anak-anak kecil, mereka juga pasti akan rasa teruja.

SUASANA KAMPUNG YANG TENANG

Berbeza dengan penginapan di bandar atau destinasi lain yang pernah dikunjungi, sebaik sahaja tiba di kawasan Club Med Cherating, anda akan disambut dengan pemandangan yang cantik dan suasana yang tenang.

Menariknya, struktur penginapan di sini juga dibina berinspirasikan rumah tradisional Melayu dan konsep kampung tropika.
Related article image
Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Bangunan bertingkat berasaskan kayu serta suasana kehijauan hutan menjadikan pengalaman ini terasa sangat dekat dengan alam semulajadi dan dikelilingi udara segar.

Jauh daripada hiruk-pikuk kota, setiap unit penginapan juga berhawa dingin dan disusun dalam persekitaran semula jadi yang menenangkan.

Tidak kira di mana lokasi Club Med yang anda kunjungi di merata dunia, kebanyakan tetamu jarang menghabiskan masa di dalam bilik kerana pelbagai aktiviti menarik sentiasa menanti di luar sepanjang percutian.

Bilik penginapan yang ditempah sebaliknya lebih berfungsi sebagai tempat berehat dan tidur selepas jadual seharian yang padat dengan pelbagai acara dan aktiviti.

Di Club Med Cherating, terdapat beberapa sudut yang tampil lebih klasik dan vintaj.

Baru-baru ini pusat peranginan ini juga telah menjalani renovasi tanpa menjejas konsep asal klasik ala sebuah perkampungan. Malah, ia menambahkan lagi nilai nostalgia dan keunikannya yang tersendiri.
Related article image
Pantai berhampiran Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Bagi pengunjung yang inginkan pengalaman percutian yang lebih rileks dan santai, zon Pantai Beach merupakan antara tempat yang menjadi pilihan ramai.

Dengan menaiki tram yang disediakan, tetamu boleh ke kawasan ini yang menempatkan Zen Pool serta pemandangan pantai yang menenangkan.

Jika berpeluang menyaksikan matahari terbenam di sini, pemandangannya benar-benar memukau dan tidak hairanlah ia menjadi antara sudut kegemaran pengunjung.

ANEKA SAJIAN HALAL

Setelah seharian melakukan pelbagai aktiviti, apabila tiba waktu makan, sudah pasti perut terasa lapar dan tekak pula dahaga.

Untuk kembali bertenaga dan segar, anda boleh menikmati pelbagai pilihan sajian enak yang disediakan di Club Med.

Inilah antara sebab utama kami sentiasa kembali ke Club Med Cherating kerana pengalaman menjamu selera yang tidak pernah mengecewakan.

Lebih meyakinkan, sajian yang dihidangkan adalah halal, sekali gus memberikan ketenangan kepada tetamu Muslim tanpa perlu risau tentang pemilihan hidangan.
Related article image
Antara sajian halal di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Lebih meyakinkan, sajian yang dihidangkan adalah halal, sekali gus memberikan ketenangan kepada tetamu Muslim tanpa perlu risau tentang pemilihan hidangan.

Terdapat tiga restoran utama di dalam resort ini. Antaranya, Mutiara yang menawarkan bufet harian lengkap untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan pelbagai pilihan hidangan yang membangkitkan selera semua tetamu tidak kira usia.

Ia merangkumi hidangan tempatan, Asia, Barat, Jepun, India, Korea dan lain-lain. Setiap hari menu akan berubah, menjadikan pengalaman makan tidak pernah membosankan.

Antara kegemaran kami sekeluarga ialah hidangan kambing panggang yang isinya sangat lembut - enak dinikmati dengan pilihan sos, nasi dan salada.

Ada kalanya dalam keseronokan melakukan pelbagai aktiviti mungkin ada yang terlewat atau terlepas waktu makan utama.

Jika anda terlepas waktu makan, usah khuatir kerana satu lagi kafe yang digelar Enak, ada menyediakan pilihan makanan ringan sepanjang hari. Ia menawarkan snek dan cemilan untuk alas perut dan membolehkan anda untuk menyambung aktiviti seterusnya.
Related article image
Papan tanda di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Selain itu, The Rembulan pula menawarkan pengalaman makan malam lebih eksklusif dengan hidangan set. Jika ingin ke sini, sebaik-baiknya anda membuat tempahan lebih awal kerana kapasiti yang terhad.

Pada masa yang sama, terdapat juga kios makanan ringan di lobi utama yang menyediakan buah-buahan segar, pankek dan pelbagai snek.

SEMINIT TIDAK RASA BOSAN

Seperti Club Med yang lain di merata dunia, Club Med Cherating juga terkenal dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan setiap hari. Anda boleh menyemak jadual aktiviti melalui aplikasi Club Med untuk merancang itinerari anda agar lebih teratur.

Aktiviti yang disediakan kepelbagaian, daripada sukan santai hingga aktiviti ekstrem. Antara yang popular termasuk tenis, badminton, futsal, memanah, yoga, serta sukan air seperti kayak dan pelayaran.
Related article image
Aktiviti memanah di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Bagi mereka yang lebih berani dan gemarkan cabaran, aktiviti seperti 'flying trapeze' memberikan pengalaman adrenalin yang luar biasa. Apa yang lebih menarik, setiap aktiviti ini dikendalikan oleh jurulatih profesional, menjadikannya selamat walaupun mencabar.
Related article image
'Flying trapeze' di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Selain itu, terdapat juga aktiviti air di Pantai Beach seperti berkayak dan belayar yang popular di kalangan ramai.
Related article image
Aktiviti belayar di Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Bagi penggemar alam semula jadi pula, anda boleh merasakan pengalaman unik dengan menyertai program baharu yang berkonsepkan alam semula jadi yang digelar Journey into the Wild. Program ini direka untuk mendekatkan pengunjung dengan alam sekitar.

Antara aktivitinya ialah cabaran alam semula jadi untuk seisi keluarga seperti trek hutan, mencari dan menyelamatkan telur penyu, melihat bintang malam dan lain-lain.

Program ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik, terutama jika anda mempunyai anak kecil yang ingin memahami atau mempelajari tentang alam sekitar dengan lebih dekat.

Pada waktu malam pula, resort ini bertukar menjadi pusat hiburan. Persembahan pentas yang dikendalikan sendiri oleh petugas Club Med, yang menggelarkan diri mereka GO, atau Gentil Organisateurs dalam bahasa Perancis, yang bermakna penganjur yang bertugas atau staf yang sangat menghiburkan.
Related article image
Kakitangan resort yang menghiburkan. (Gambar: Aizam Omar)
Tetamu di Club Med akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian, muzik dan komedi. Kanak-kanak juga diberi peluang untuk mempersembahkan bakat mereka, menjadikan suasana lebih meriah dan mesra keluarga.

LAYANAN MESRA

Bagi kami sekeluarga, alasan utama untuk kembali bercuti di Club Med Cherating bukan sahaja kerana pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan, tetapi juga layanan mesra GO.

Dari saat ketibaan hingga hari terakhir, setiap GO mempunyai keramahan yang luar biasa. Mereka bukan sekadar kakitangan resort, tetapi akan sentiasa memastikan setiap tetamu menikmati pengalaman percutian yang terbaik.

Interaksi yang mesra ini menjadikan suasana percutian di resort ini lebih menarik, santai dan peribadi. Ramai tetamu akan pulang dengan kenangan indah bukan sahaja kerana kemudahan yang ditawarkan, tetapi juga kehadiran GO yang sentiasa menceriakan dan memeriahkan suasana sepanjang percutian.

Club Med Cherating bukan sekadar destinasi percutian biasa, tetapi satu pengalaman gaya hidup yang menggabungkan keseronokan, ketenangan, aktiviti fizikal, hiburan dan interaksi sosial dalam satu pakej lengkap.
Related article image
Suasana di tepi pantai Club Med Cherating. (Gambar: Aizam Omar)
Untuk benar-benar menikmati pengalaman di sini, pengunjung digalakkan untuk menyertai dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Sama ada anda seorang yang suka bersantai, pencinta sukan atau ingin mencari pengalaman baharu, resort ini pasti mempunyai sesuatu yang sesuai untuk semua, tidak kira usia.
Related article image
Lokasi 'Club Med Spa by Mandara'. (Gambar: Aizam Omar)
Jika ada masa sebelum pulang, manjakan tubuh, rehatkan otot dengan pilihan rawatan spa di Club Med Spa by Mandara. Terdapat pelbagai rawatan untuk memulihkan tenaga dan memberikan rasa segar semula.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita