GEN KAKI CUTI: Bukan sekadar syurga beli-belah, Bandung kini nadi gaya hidup kontemporari
Budaya kopi di Bandung turut menjadi pengalaman yang dinikmati penulis dan keluarganya (kanan). (Gambar: Aizam Omar)
Kali ini, Bandung menyambut saya dengan wajah yang berbeza. Di sebalik warisan sebagai destinasi membeli-belah, kota ini kini berkembang sebagai nadi gaya hidup yang meraikan kreativiti tempatan, budaya kopi, gastronomi dan kehijauan alam.
Bandung bukan lagi sekadar tempat untuk berbelanja, tetapi sebuah kota yang mengajak pengunjung menikmati pengalaman yang lebih bermakna.
Percutian yang dirancang secara spontan ini bermula di Jakarta. Dari ibu kota Indonesia itu, kami menaiki kereta api Panoramic yang terkenal dengan pemandangan indah sepanjang perjalanan untuk ke Bandung.
Dengan tambang kelas eksekutif sekitar S$38 seorang, kereta api Panoramic ini menyusuri antara laluan rel tercantik di Indonesia.
Banjaran gunung yang diselubungi kabus nipis melengkapkan pemandangan dan tanpa disedari, saya lebih banyak menikmati panorama di luar tingkap kereta api yang luas daripada menatap telefon. Tiga jam berlalu tanpa terasa.
Di sebalik wajahnya yang moden, kota ini masih dikelilingi gunung-ganang yang menjadikan udaranya sejuk dan nyaman, permulaan yang sempurna untuk meneroka Bandung dari sudut yang baharu.
Selain mudah diakses, Bandung juga menawarkan kos pengangkutan yang sangat berpatutan. Sepanjang berada di sana, kami memilih untuk menggunakan khidmat Grab hampir sepenuhnya kerana ia sangat berbaloi, mudah ditempah dan menjimatkan masa.
Kebanyakan perjalanan dalam bandar hanya berharga sekitar antara Rp15,000 hingga Rp40,000 ($1.20 hingga $3.20) dan perjalanan ke kawasan yang lebih jauh dalam lingkungan Rp80,000 dengan Rp130,000 ($6.50 hingga $12), bergantung pada jarak dan keadaan trafik.
Tanpa perlu berkira soal tambang, anda bebas untuk meneroka pelbagai tempat-tempat menarik. Fleksibiliti inilah yang menjadikan pengalaman meneroka Bandung kali ini terasa lebih santai dan menyeronokkan.
BRAGA
Jalan Braga menjadi hentian pertama kami di Bandung. Dengan lokasi yang hanya beberapa minit dari hotel penginapan, ia merupakan tempat yang ideal untuk mengenali sisi kota ini yang menggabungkan warisan kolonial dengan budaya kreatif dan gaya hidup kontemporari.
Ketika langit mula bertukar jingga, cahaya lampu yang menerangi bangunan kolonial di sepanjang jalan menghadirkan suasana yang begitu mempesona.
Menjelang malam, Braga semakin hidup dengan kehadiran pemuzik jalanan, pelukis potret, pelancong dan penduduk tempatan yang berjalan santai menikmati suasana di sekeliling.
Bangunan yang suatu ketika dahulu menjadi nadi perdagangan kini diberi nafas baharu sebagai galeri seni, butik tempatan, restoran dan kafe.
Ketika menyusuri jalan ini, saya singgah di sebuah kafe, Braga Bakkerij. Haruman kopi yang memenuhi ruang kafe berpadu dengan aroma roti dan pastri yang baru keluar dari ketuhar, cukup untuk membangkitkan selera.
Di tengah-tengah deretan kafe moden ini juga terdapat sebuah kedai yang menjual pelbagai kuih muih tradisional. Antaranya, Toko Kue Lakker menawarkan pengalaman yang berbeza. Kedai ini menampilkan pelbagai pilihan kuih-muih dan manisan tempatan yang dihasilkan daripada resipi yang diwarisi secara turun-temurun.
Berjalan di Jalan Braga bukan sekadar menikmati keindahan seni bina kolonial atau singgah di kafe-kafe yang moden.
Setiap sudut jalan ini mempunyai cerita tersendiri, daripada kedai-kedai lama yang masih bertahan hingga ruang kreatif yang memberi peluang kepada artis dan peniaga setempat untuk mengetengahkan hasil karya serta produk mereka.
Tidak hairanlah jika Braga terus menjadi antara tempat yang mesti dikunjungi di Bandung. Sama ada sekadar menikmati secawan kopi, mencuba hidangan tempatan atau menghabiskan waktu petang menyusuri kaki lima yang bersejarah, kawasan ini menawarkan pengalaman yang menggambarkan transformasi Bandung sebagai sebuah kota yang mengekalkan warisan sambil terus berkembang ke arah kemodenan.
KEINDAHAN DAGO
Dari kesibukan Jalan Braga, keesokan hari kami beralih ke suasana yang jauh lebih tenang di Bukit Pakar, Dago Atas. Perjalanan menaiki kenderaan sekitar 40 minit membawa kami meninggalkan hiruk-pikuk pusat bandar ke kawasan tanah tinggi yang menawarkan panorama Bandung dari perspektif yang sangat berbeza.
Semakin kami menghampiri destinasi, jalan mula berliku dan mendaki, diapit kehijauan pepohon, vila serta deretan kafe yang menjadikan perjalanan itu sendiri cukup menyeronokkan.
Destinasi kami ialah Asa'an Kopi, sebuah kafe di tanah tinggi Dago yang terkenal bukan sahaja dengan kopinya, malah panorama bandar yang terbentang luas.
Udara nyaman di Dago terasa begitu menyegarkan. Kami tiba ketika langit masih diselubungi cahaya senja sebelum perlahan-lahan bertukar gelap. Apabila malam menjelma, ribuan lampu bandar mula menghiasi kaki langit, menghasilkan panorama yang cukup memukau.
Secawan kopi, udara dingin dan panorama bandar dari kejauhan sudah cukup untuk membuatkan kita melupakan seketika kesibukan hidup. Saat-saat seperti inilah yang menjadikan Bandung begitu istimewa.
Tanpa dirancang semasa perjalanan pulang, kami juga sempat singgah di Schuurdeur 1928 Cafe & Bistro di Jalan Laswi. Bertempat di sebuah bangunan warisan, kafe ini menggabungkan seni bina kolonial dengan sentuhan moden tanpa menghilangkan karakter asalnya.
Jika Asa'an Kopi menawarkan panorama tanah tinggi, Schuurdeur 1928 pula menyajikan suasana yang lebih tenang dan nyaman. Daripada semua kafe yang sempat saya kunjungi di Bandung, inilah yang paling meninggalkan kesan. Gudang lama yang diubah suai ini mengekalkan pesona rustiknya menerusi ruang yang luas, siling tinggi dan suasana yang cukup santai.
Dengan suhu di luar sekitar 19 darjah Celsius, menikmati secawan kopi panas di sini terasa begitu mengasyikkan, seolah-olah masa bergerak sedikit lebih perlahan. Apa yang pada awalnya dirancang sekadar singgah sebentar akhirnya berlanjutan sehingga lewat malam, melepasi pukul 12.00 tengah malam.
Mungkin itulah yang paling saya gemari tentang budaya kafe di Bandung. Orang ramai datang bukan sekadar menikmati kopi, tetapi meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan, sesuatu yang ada kalanya semakin sukar dinikmati dalam kehidupan moden yang serba pantas.
SYURGA MAKANAN
Selain budaya kopinya, Bandung juga terkenal sebagai syurga makanan yang menawarkan pelbagai pilihan, daripada hidangan tradisional Sunda dan makanan jalanan sehinggalah kafe serta restoran moden.
Kawasan seperti Braga, Dago dan Cihampelas dipenuhi pelbagai tempat makan, menjadikan aktiviti cari makan antara pengalaman yang tidak wajar dilepaskan.
Suasana malam di Sudirman Street Day & Night Market merupakan antara lokasi popular untuk menikmati hidangan tempatan. Antara sajian dan snek yang sempat kami cuba, seperti batagor, seblak, mie kocok, nasi timbel dan sate maranggi, masing-masing menampilkan cita rasa autentik Jawa Barat.
Walaupun banyak restoran di Bandung kini tampil dengan konsep yang lebih moden, keaslian resipi tradisional masih dikekalkan. Jika teringin menikmati masakan Sunda yang autentik, Sambal Hejo Natuna merupakan antara restoran yang wajar dikunjungi.
Hidangan seperti ayam goreng, ikan bakar, aneka lauk kampung dan lalapan disajikan bersama sambal hijau yang pedas serta membangkitkan selera.
Satu lagi tempat makan yang mencuri perhatian saya ialah Supper Wok di Cihapit yang menawarkan sajian ala Thai, termasuk nasi ketam yang dimasak menggunakan teknik 'wok hei'. Hidangan di sini begitu menepati selera kami sekeluarga sehingga kami kembali semula pada keesokan harinya.
MENGHIRUP UDARA SEGAR DI CIKOLE
Selain menikmati pelbagai sajian, kunjungan ke Bandung juga tidak lengkap tanpa meluangkan masa di kawasan tanah tinggi Cikole di Lembang, kira-kira sejam dari pusat bandar. Terkenal dengan hutan menghijau, udara yang sejuk serta pelbagai aktiviti rekreasi, Cikole menawarkan sisi Bandung yang jauh berbeza daripada kesibukan kota.
Setibanya di sana, udara dingin 18 darjah Celsius, deretan pokok pain yang menjulang tinggi serta bunyi unggas mencipta suasana yang cukup mendamaikan. Selama satu jam kami berjalan santai menyusuri laluan hutan sambil menikmati udara segar yang sukar ditemui di bandar.
Menikmati minuman panas di tengah-tengah hutan pain dengan udara dingin yang nyaman menjadikan pengalaman di sini terasa lebih istimewa.
MASIH SYURGA BELI-BELAH
Walaupun wajah Bandung semakin berubah, satu perkara yang masih kekal ialah daya tarikannya sebagai destinasi beli-belah. Jika suatu ketika dahulu 'factory outlet' menjadi tarikan utama, kini Bandung menawarkan pilihan yang berbeza.
Terdapat pelbagai butik dan jenama fesyen tempatan yang tumbuh bak cendawan dan semakin mendapat perhatian.
Bandung hari ini bukan sekadar destinasi untuk mendapatkan pakaian pada harga berpatutan, malah menjadi tempat terbaik untuk mengenali kreativiti pereka tempatan yang menghasilkan rekaan moden dengan identiti tersendiri.
Bagi saya sekeluarga, membeli-belah di Bandung hari ini bukan lagi sekadar mencari tawaran menarik, tetapi juga menemukan jenama tempatan yang kreatif, berkualiti dan mempunyai identiti tersendiri.
DUA PERJALANAN, DUA PENGALAMAN
Seminggu di Bandung berlalu begitu pantas. Perjalanan pulang kali ini pula memberikan pengalaman yang cukup berbeza. Jika perjalanan ke Bandung membawa saya menikmati keindahan landskap Jawa Barat dengan menaiki kereta api Panoramic, perjalanan pulang pula kami mencuba Whoosh, kereta api laju pertama di Asia Tenggara.
Perbezaan antara kedua-dua perjalanan ini cukup menarik. Kereta api Panoramic memberi peluang menikmati sawah padi, perkampungan dan banjaran gunung sepanjang laluan, Whoosh pula memperlihatkan wajah Indonesia yang moden menerusi sistem pengangkutan canggih yang lebih pantas, selesa dan cekap.
Selepas lebih sedekad, saya akhirnya jatuh cinta dengan Bandung sekali lagi. Kali ini bukan semata-mata kerana membeli-belah, tetapi kerana pengalaman yang lebih menyeluruh daripada perjalanan kereta api dengan pemandangan memukau, jalan-jalan bersejarah, budaya kopi yang berkembang pesat, kepelbagaian makanan, udara segar tanah tinggi sehinggalah keramahan penduduknya.
Satu perkara yang pasti, saya tidak akan membiarkan sedekad berlalu sebelum kembali lagi ke Bandung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.