Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Bukan sekadar destinasi bulan madu, banyak pulau di Maldives turut memikat jiwa

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Bukan sekadar destinasi bulan madu, banyak pulau di Maldives turut memikat jiwa

Penulis di salah satu pulau di Maldives dan kegiatan snorkeling bersama jerung kecil. (Gambar: Amira Rahmat)

Diterbitkan : 17 Oct 2026 11:16PM Dikemas Kini : 17 Oct 2026 11:36PM
HOLIDAYING: More than just a honeymoon destination, many islands in the Maldives also capture the heart
  • On her third visit to the Maldives, Amira chose local islands over resorts for a more affordable and authentic holiday, and experienced residents’ hospitality through meals and family gatherings.
  • On Ukulhas and other islands, she swam with wild manta rays, snorkelled and saw marine life, while her friend tried scuba diving for the first time.
  • The trip also included livelier Maafushi, parasailing, a sunset cruise and a visit to a sandbank; mosques and halal food were also easy to find.
  • After her friend was injured while travelling by boat without insurance, Amira advised tourists to buy travel insurance, consider public ferries, and plan activities and costs in advance.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ramai menganggap Maldives sebagai destinasi “sekali seumur hidup” - destinasi bulan madu, tempat peranginan mewah di atas air dan percutian yang memerlukan belanja besar.

Namun, ini merupakan kali ketiga saya ke Maldives dan sejujurnya, selepas perjalanan kali ini, timbul pula rasa mahu cuba tinggal di sana selama beberapa bulan jika ada peluang. Begitulah dalamnya rasa cinta saya terhadap tempat ini.

Rahsianya? Sepanjang perjalanan kali ini, saya langsung tidak menginap di tempat peranginan atau resort. Sebaliknya, saya memilih pulau-pulau tempatan - lebih murah, lebih autentik dan sejujurnya, jauh lebih bermakna.
Related article image
Laut biru pirus di Maldives. (Gambar: Amira Rahmat)
Banyak pengalaman sempat kami lalui sepanjang perjalanan ini, daripada aktiviti santai hinggalah detik yang membuatkan saya menitiskan air mata - dua kali, atas sebab yang sangat berbeza.

TEROKA PULAU TEMPATAN & MAKAN BERSAMA KELUARGA TEMPATAN

Antara perkara yang paling saya suka tentang pulau-pulau tempatan di Maldives ialah keramahan penduduknya.

Dalam perjalanan kali ini, kami berpeluang menikmati hidangan di rumah sebuah keluarga tempatan, dengan masakan asli Maldives yang disediakan sendiri di dapur mereka.
Pada malam yang lain, kami berpeluang menyertai sebuah majlis keluarga di tepi pantai yang berlangsung meriah dengan iringan muzik dan gelak tawa.

Namun, ada satu perkara yang sukar saya lupakan - makanannya 'pedas gila'! Saya masih ingat bagaimana lidah terasa 'terbakar' dan berkali-kali meneguk air, tetapi melihat semua orang di sekeliling begitu gembira, saya turut ketawa dan terus makan walaupun 'menderita'.
Related article image
Makan makanan pedas bersama keluarga tempatan. (Gambar: Amira Rahmat)
Begitulah keramahan masyarakat Maldives. Anda bukan sekadar dilayan sebagai pelancong, malah berpeluang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.

PARI MANTA & SNORKELING - MENANGIS SELEPAS BERTEMU HIDUPAN LIAR DI LAUT BIRU

Jika ditanya pengalaman paling tidak dapat saya lupakan sepanjang perjalanan ini, jawapannya mudah dan tidak perlu saya fikir panjang - saat saya melakukan selaman bebas (freedive) dan berenang bersama seekor pari manta (manta ray) liar buat kali pertama dalam hidup.

Ia benar-benar hidup bebas di habitat semula jadinya, bukan berada di kawasan terkawal atau dipancing dengan umpan.
Related article image
Pengalaman mengejar pari manta liar. (Gambar: Amira Rahmat)
Saya berenang sekuat hati untuk berada berdekatan dengannya sambil melihat tubuhnya yang besar bergerak perlahan di dalam air biru yang dalam.

Sebaik sahaja kembali ke permukaan, saya terus menangis. Bukan kerana sedih, tetapi kerana terlalu teruja sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selain pari manta, pengalaman snorkeling di sini juga sangat memuaskan. Jerung kecil, penyu dan terumbu karang boleh ditemui berhampiran pantai di kebanyakan pulau.

SELAM SKUBA BUAT KALI PERTAMA

Di Ukulhas, seorang rakan saya mencuba selam skuba buat kali pertama.

Pada mulanya, dia begitu takut sehingga saya dapat melihat tangannya menggeletar sebelum turun ke air. Namun, dia tetap memberanikan diri dan selepas selesai menyelam, dia sendiri terkejut dengan keberaniannya sendiri.

Apa yang lebih mengagumkan, dia sempat merakam sendiri pengalaman itu menggunakan GoPro ketika menyelam. Walaupun takut, dia tetap mahu mengabadikan detik tersebut untuk dikongsi sebagai kandungan.

Itulah semangat seorang pencipta kandungan sejati.

PERJALANAN BOT & PENGAJARAN PENTING TENTANG INSURANS

Ini bahagian yang saya rasa wajib dikongsikan, walaupun bukan pengalaman yang menggembirakan.

Related article image
Penulis dengan pemandangan indah di atas bot. (Gambar: Amira Rahmat)
Semasa menaiki bot laju untuk bergerak dari satu pulau ke pulau lain, rakan saya cuba berjalan ketika bot masih bergerak perlahan. Dia terjatuh lalu mengalami kecederaan pada pergelangan kaki yang kemungkinan patah.

Apa yang paling kami kesalkan, kami tidak mempunyai insurans perjalanan ketika itu.

Jadi kami mendapat bantuan daripada penduduk di sana sebelum menunggu sehingga pulang ke Singapura untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Related article image
Rakan penulis selepas insiden terjatuh di dalam bot. (Gambar: Amira Rahmat)
Saya benar-benar berharap pelancong lain tidak mengulangi kesilapan kami. Insurans perjalanan mungkin kelihatan seperti perbelanjaan yang tidak begitu penting sehinggalah sesuatu yang tidak dijangka berlaku dan kos rawatan tiba-tiba menjadi beban besar.

Jadi, jangan abaikan insurans ketika merancang percutian, lebih-lebih lagi jika anda bercadang melakukan pelbagai aktiviti lasak.

KEMBARA DARI PULAU KE PULAU

Bukan hanya berada di satu pulau sepanjang perjalanan, kami turut mengembara dari satu pulau ke pulau lain, termasuk dari Ukulhas ke Maafushi.

Maafushi lebih meriah, dengan pelbagai kafe dan aktiviti. Di sini, kami sempat mencuba 'parasailing' dan menaiki kapal pesiaran untuk menyaksikan matahari terbenam.

Suasananya juga lebih meriah dan sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti sosial berbanding Ukulhas yang lebih tenang.
Namun, bahagian yang paling saya gemari ialah pengalaman singgah di gosong pasir (sandbank) - hamparan pasir putih di tengah laut biru pirus, tanpa apa-apa di sekeliling selain pasir dan air sejauh mata memandang.

Rasanya seolah-olah berdiri sendirian di tengah lautan, seperti memiliki pantai persendirian yang terbentuk secara semula jadi.

Kami turut berkelah sambil merakam keindahan sekeliling menggunakan dron bersama-sama. Momen itu menjadi antara kenangan paling istimewa sepanjang perjalanan ini.

SOLAT & MAKANAN HALAL - TIDAK PERLU RISAU

Dari segi urusan solat, kami bertuah kerana mempunyai pemandu peribadi yang sanggup membawa kami ke masjid tempatan setiap kali diperlukan, termasuk ke sebuah masjid di Male sebelum kami pulang.
Memandangkan Maldives merupakan negara majoriti Muslim, masjid dan makanan halal mudah ditemui di merata tempat.
Related article image
Doa naik kenderaan yang tertera di atas bot. (Gambar: Amira Rahmat)
Apa yang turut menarik perhatian saya ialah doa-doa pendek yang tertera di bot-bot kecil yang membawa penumpang antara pulau, di beberapa rumah tamu yang saya diami serta di sekitar jalan raya di Male.

PULAU-PULAU TEMPATAN YANG BOLEH DIKUNJUNGI

Sepanjang tiga kunjungan saya ke Maldives, saya sempat meneroka beberapa pulau tempatan yang saya rasakan sesuai untuk mereka yang baru pertama kali mahu mencuba pengalaman sebegini.

Ukulhas - Pantainya sangat bersih dengan suasana yang tenang. Sesuai untuk pengembara solo dan mereka yang pertama kali mengunjungi Maldives.

Rasdhoo - Pilihan menarik untuk snorkeling dan selam skuba, selain mempunyai gosong pasir. Lebih mencabar tetapi masih berpatutan.

Maafushi - Lebih meriah dengan pelbagai kafe, hotel dan pakej lawatan. Sesuai untuk mereka yang sukakan suasana sosial, termasuk pengembara solo.

Thulusdhoo - Terkenal dengan aktiviti meluncur ombak, suasana santai dan budaya tempatan yang masih kuat.

Fulidhoo - Tenang dengan suasana kehidupan kampung yang autentik, pantai yang mendamaikan serta peluang melihat pari manta. Saya menginap di sini ketika perjalanan kedua ke Maldives.

TIP PENGEMBARA SOLO

Ramai bertanya sama ada selamat untuk melancong secara solo di Maldives, terutama bagi wanita dan mereka yang bertudung.
Related article image
Pengalaman bersama penduduk tempatan Maldives. (Gambar: Amira Rahmat)
Berdasarkan pengalaman saya, saya berasa sangat selamat. Pulau-pulau tempatan mempunyai suasana yang tenang dan sesuai bagi keluarga mahupun pengembara solo.

Penduduk tempatan juga sangat membantu. Jika anda memerlukan bantuan, mereka biasanya akan cuba sedaya upaya untuk membantu.

TIP & PANDUAN PERJALANAN DI MALDIVES

1. Dapatkan insurans perjalanan - Pengalaman rakan saya yang mengalami kecederaan kaki menjadi pengajaran besar buat kami. Jangan abaikan perkara ini.

2. Pilih pulau tempatan berbanding tempat peranginan - Kosnya jauh lebih rendah, manakala pengalaman yang diperoleh pula terasa lebih autentik dan bermakna.

3. Gunakan feri awam jika boleh - Tambangnya jauh lebih murah berbanding bot laju walaupun perjalanan mengambil masa lebih lama. Pastikan anda menyemak jadual lebih awal.

4. Lakukan lawatan sehari jika mahukan pengalaman mewah tanpa membayar harga penginapan resort - Banyak resort lima bintang menawarkan pas harian, membolehkan anda menikmati kemudahan tempat peranginan tanpa perlu membayar kos bermalam.

5. Snorkeling terus dari pantai – Pelbagai hidupan laut boleh ditemui berhampiran pantai di sesetengah pulau.

6. Bawa pelindung matahari mesra terumbu karang dan barangan asas dari rumah – Barangan import di Maldives agak mahal.

7. Kunjungi ketika musim peralihan antara Mei hingga Oktober - Harga penginapan lazimnya lebih rendah dan jumlah pengunjung juga lebih sedikit.

8. Tempah aktiviti menerusi platform - Aktiviti boleh ditempah menerusi platform seperti GetYourGuide atau Klook untuk mendapatkan tawaran yang bersesuaian.
Kurangkan Artikel
KENAPA SAYA SENTIASA MAHU KEMBALI

Sudah tiga kali saya ke Maldives dan setiap kali saya meninggalkan pulau-pulaunya, terasa seolah-olah ada sebahagian hati saya yang tertinggal di sana.

Bukan semata-mata kerana air lautnya yang biru atau pasirnya yang putih, tetapi kerana keramahan penduduk, detik bertemu pari manta liar dan malam-malam bermakna yang dihabiskan bersama keluarga tempatan - walaupun ada makanan yang begitu pedas sehingga membuatkan saya menitis air mata.

Jika anda masih menganggap Maldives hanya untuk percutian bulan madu mewah, sebenarnya ada sisi lain negara kepulauan ini yang boleh diterokai - lebih berpatutan, lebih autentik dan mungkin membuatkan anda jatuh cinta seperti saya.

Saya pernah berkata bahawa suatu hari nanti saya mahu cuba tinggal di sana selama beberapa bulan sebagai nomad digital, dan ya, saya benar-benar serius.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Amira seorang pencipta kandungan pengembaraan menerusi platform @asingaporeanabroad di Instagram , TikTok dan Threads, yang menumpukan kepada kandungan perjalanan dan makanan mesra Muslim untuk khalayak Singapura dan Malaysia. Dengan hampir enam tahun pengalaman dalam industri ini, beliau turut pernah berkhidmat sebagai pramugari selama lapan tahun sebelum mencipta kandungan sepenuh masa di Bali.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita