Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI BINGKISAN NDP2026: SG sejahtera, sejarah terpelihara

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI BINGKISAN NDP2026: SG sejahtera, sejarah terpelihara

Penulis mengunjungi Koridor Kereta Api (kiri) dan bekas tapak kilang Ford. (Gambar: Amanah Mustafi)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 11:26PM Dikemas Kini : 10 Aug 2026 06:12PM

SINGAPURA: Apabila kita sebut tentang makan angin, kebanyakan daripada kita tidak pernah terlintas untuk menjadikan Singapura sebagai destinasi wisata. Meskipun negara kita ini hanyalah sebuah pulau, ia tidak bermakna negara ini tiada tempat yang menarik untuk dikunjungi.

Biarpun keluasan tanah Singapura terhad, ia ibarat memiliki mutiara yang tidak ada di negara lain. Atas sebab itu, ramai pelancong berduyun-duyun datang ke sini untuk mencari 'mutiara' tersebut. 

Maka itu, rugi besar jika kita tidak berusaha untuk menemuinya. Tanpa kita sedar, negara kita mempunyai sesuatu yang luar biasa sehingga mendapat pengiktirafan cemerlang di mata dunia.  

KEBUN BUNGA SG: TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO
 
Baru-baru ini, saya berpeluang berkunjung ke beberapa tempat di sekitar Singapura, yang membentuk negara ini. Salah satunya ialah Kebun Bunga Singapura di Cluny Road - destinasi unggul untuk diziarahi. Lebih istimewa lagi, Kebun Bunga berjaya merajh pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 4 Julai 2015. 

Related article image
Kebun Bunga Singapura. (Gambar: Elizabeth Goh)

Lazimnya, lawatan ke tapak warisan dunia UNESCO dikenakan bayaran tetapi bagi Kebun Bunga Singapura, kita boleh melawatnya secara percuma.  
 
Sewaktu kecil, bapa saya pernah membawa saya melawat taman tersebut. Pada masa itu, pintu masuk utamanya terletak di Tanglin Road bukan Evans Road seperti yang ada sekarang. Kami mengenakan baju cantik dan cukup bergaya, padahal kami sekadar berjalan santai di taman.

Pada awal tahun 70-an pula,  lawatan ke Kebun Bunga adalah sesuatu yang istimewa, memandangkan ekonomi kami masih belum kukuh. Oleh sebab gembira bukan kepalang, kami siap bergambar untuk merakam saat-saat indah itu. 

Related article image
Kebun Bunga Singapura (Gambar: CNA)

Keadaannya berbeza pada hari ini. Orang ramai melawat Kebun Bunga dengan pelbagai tujuan. Fungsi taman itu pun sudah diperluaskan di mana kita boleh melakukan kegiatan, menimba ilmu, menjalankan kajian dan menghadiri acara muzik.  

Sebuah tempat yang wajib disinggah ialah Taman Orkid Kebangsaan. Terdapat 1,000 spesies orkid dan 2,000 orkid hibrid atau kacukan. Kalau mengikut koleksi, taman itu mempunyai 60,000 pokok orkid dan lantas menjadikannya antara taman orkid terbesar di dunia.  

Jika anda beranggapan bahawa pengunjung Kebun Bunga sekadar melihat pokok dan bunga sahaja, maka salah tanggapan itu. Kini Kebun Bunga menyediakan tempat untuk kita rancak beraktif terutama sekali bagi kanak-kanak.  

TAMAN KANAK-KANAK JACOB BALLAS

Jacob Ballas, yang mempunyai keluasan empat hektar, memiliki pelbagai program untuk anak-anak bawah 14 tahun. 

Related article image
Beginilah peta taman kanak-kanak Jacob Ballas yang terletak di Kebun Bunga Singapura. (Gambar: Amanah Mustafi)
Taman Air juga menjadi daya tarikan utama di Jacob Ballas. Keluarga boleh berseronok dengan pancutan air, baldi air gergasi, kolam cetek dan zon kabus. 
Related article image
Taman Air di Jacob Ballas yang menjadi tarikan utama kanak-kanak. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kebun Bunga dibuka setiap hari dari pukul 5.00 pagi sehingga 12.00 malam, manakala Jacob Ballas pula dibuka dari pukul 8.00 pagi sehingga 7.00 malam dan ditutup pada hari Isnin.
Related article image
Memang seronok bermain di sini kerana lantai tidak licin biarpun dibasahi air sepanjang masa. (Gambar: Amanah Mustafi)
Selain daripada permainan air, anak-anak juga boleh menimba ilmu berkaitan tumbuh-tumbuhan. Terdapat banyak papan informasi yang direka dengan menarik untuk anak-anak mengenali proses kehidupan tanam-tanaman. Pembelajaran secara inovatif ini membuatkan kunjungan sekeluarga menjadi lebih bermakna.  
Related article image
Papan informasi untuk mendidik si kecil tentang tumbuh-tumbuhan. (Gambar: Amanah Mustafi)

Lawatan ke Kebun Bunga bahkan tidak berkisar pada tumbuh-tumbuhan semata. Siapa sangka, anda juga dapat menikmati dendangan muzik di taman itu.

Setiap pagi Ahad pada bulan Ogos ini, The Purple Symphony akan menampilkan persembahan irama yang berjiwa masyarakat dan patriotik.  

Semua kemudahan dan hiburan di Kebun Bunga disediakan secara percuma untuk rakyat yang sudah berpenat lelah membangunkan negara. Maka itu tidak hairanlah pada hujung minggu, kereta berderet memanjang sampai ke jalan raya.  

Oleh kerana tempat meletak kereta yang terhad, pengunjung terpaksa menunggu agak lama. Ada kereta yang membatalkan kunjungan dan berpatah balik, termasuklah saya. Oleh itu kita mesti bijak memilih hari dan masa.  

Kalau kita meneliti, sebenarnya banyak tempat yang boleh kita lawati di Singapura. Bagi mereka yang tinggal di sebelah barat, ada juga tempat peninggalan sejarah yang tidak harus anda terlepas pandang, terutama sekali bagi memberi kesedaran kepada generasi muda. 

Anak-anak perlu tahu bahawa suatu masa dahulu kita mengharungi pelbagai cabaran sebelum negara kita makmur seperti sekarang.

BEKAS TAPAK KILANG FORD

Bekas tapak kilang Ford atau 'Former Ford Factory' yang terletak di Upper Bukit Timah Road adalah sebuah tempat yang menarik untuk mengimbau pengorbanan nenek moyang kita. 

Related article image
Pintu masuk menuju ke dewan pameran yang memaparkan penjajahan Jepun di Singapura. Percuma bagi rakyat dan bayaran $7 bagi warga asing. (Gambar: Amanah MustafI)
Kilang Ford pada ketika itu menjadi saksi utama apabila British menyerah kalah kepada Jepun di Singapura, sekali gus menandakan bermulanya penjajahan Jepun di Singapura.
Related article image
Pameran juga menjejaki tentera Jepun sebelum datang ke Singapura. Ia menunjukkan video, audio dan artifak. (Gambar: Amanah Mustafi)
Di sini, kita boleh lihat sebuah bilik, lengkap dengan meja dan kerusi kayu, tempat berlangsungnya penyerahan kalah pada 15 Februari 1942. Apabila saya melangkah masuk ke bilik itu, saya dapat turut merasakan roh peristiwa pahit itu. Bilik itu dijaga rapi agar kekal seperti asalnya.
Related article image
Sudut pameran ini memaparkan keadaan hidup kita selepas Jepun keluar dari Singapura. (Gambar: Amanah Mustafi)
Kita juga dapat menonton filen yang merakamkan detik ketika British menyerah kalah kepada tentera Jepun. Selain daripada itu, kita boleh melihat gambar, peta, duit, dokumen dan barang-barang yang digunakan semasa Jepun menjajah Singapura dari 1942 hingga 1945. 
Related article image
Jepun menggesa rakyat yang dijajah untuk belajar bahasa Jepun. Ini ialah salah satu buku yang dianjurkan pada zaman itu. (Gambar: Amanah Mustafi)

Biarpun tempoh penjajahan singkat tetapi keperitan yang ditinggalkan amat mendalam. Saya boleh meraskan kegerunannya Saya boleh merasakan kegerunannya apabila almarhumah ibu menceritakan pengalaman pahitnya hidup dalam zaman Jepun. 

Selepas melawat bekas tapak kilang Ford, saya berjalan dalam 10 minit, mengarah ke Hillview dan melihat sebuah papan tanda - 'Rail Corridor' atau Koridor Kereta Api - di sebelah kanan jalan. Tulisan yang berwarna kuning itu terpampang jelas di tepi jalan raya. Di situ, terdapat juga deretan kedai yang diberi nama Rail Mall yang terletak berhampirannya.

Related article image
Landasan kereta api yang terdapat di jambatan ‘truss’ di Upper Bukit Timah Road. (Gambar: Amanah Mustafi)

Anda boleh menyeberang jalan, menaiki tangga dan mendaki sedikit di mana anda akan bertemu landasan kereta api, peninggalan KTM atau Kereta Api Tanah Melayu. 

Sebuah jambatan berbentuk tiga segi atau 'truss bridge' masih tersergam dan dijaga rapi. Saya dapat melihat jaluran landasan kereta api di atas jambatan itu sahaja. Landasan kereta api yang selanjutnya sudah tiada. Tapak itu juga dirapikan agar sesuai untuk berlari-lari anak.  

Related article image
Bekas landasan kereta api kini menjadi jalan bersimen untuk orang ramai bersenam atau berlari-lari anak. (Gambar: Amanah Mustafi)

Koridor Kereta Api pula menyimpan lembaran sejarah tentang hubungan erat yang pernah terjalin antara Malaysia dengan Singapura.

Kini, landasan yang pernah menjadi nadi pengangkutan itu berubah wajah menjadi laluan hijau yang sesuai untuk berlari-lari anak dan meneroka sejarah.

Related article image
Jambatan ini merentangi jalan raya yang terletak di hadapan Rail Mall. (Gambar: Amanah Mustafi)

Terdapat juga papan tanda berdekatan lokasi itu yang memaparkan latar belakang jambatan tersebut, sekali gus memberikan maklumat tambahan tentang sejarahnya.

Memang tidak dapat disangkal, negara kita terus pesat membangun dan berkembang tanpa henti. Bahkan suatu tempat yang sudah siap terbina tetap boleh dibangunkan semula demi kemajuan. 

Saya masih ingat lagi sewaktu saya di Menengah 2, guru pernah membawa kami melawat Taman Burung Jurong yang pada masa itu baru dibuka.  

Sekarang, Taman Burung Jurong itu sudah ditutup dan berpindah ke Mandai sambil diberi nafas baharu dengan semangat yang lebih gah. Namanya kini ditukar menjadi Bird Paradise. 

Related article image
Penulis bergambar bersama keluarga di pintu masuk Bird Paradise. (Gambar: Amanah Mustafi)

Walaupun ia bukan taman burung terluas di dunia, Bird Paradise sering mendapat pujian kerana konsep dan pembikinannya yang memberangsangkan.  

Bird Paradise juga menyediakan aviari yang imersif, di mana tiada batasan antara pengunjung dan burung. Pelawat dan burung dapat bersama-sama dalam ruang yang sama.  

Ini pengalaman yang menakjubkan bagi saya dan keluarga kerana kami berada amat dekat dengan haiwan itu. Yang hairannya, burung-burung itu tidak gentar dengan kehadiran pengunjung. Mereka tidak segera terbang apabila kita mendekatinya. 

Related article image
Berada di dalam aviari membolehkan kita bersama dengan burung pada jarak yang dekat. (Gambar: Amanah Mustafi)
Jadi dapatlah kita melihat keindahan burung itu dari jarak dekat. Cuma sayangnya, kita dilarang memegang burung-burung itu. 
Related article image
Burung Flamingo Amerika ini diberikan makanan khas yang disediakan oleh Bird Paradise untuk memastikan warna bulunya kekal merah. (Gambar: Amanah Mustafi)
Di samping itu, Bird Paradise juga menganjurkan dua bentuk pertunjukan burung. Pertunjukan yang diberi nama 'Predators on Wings' menampilkan pelbagai jenis helang dan burung hantu dengan kekuatan dan kemahiran mencari mangsa.  
Related article image
Pertunjukan selama kira-kira 15 minit ini membuat penonton kenal helang dan burung hantu yang menjadikan burung lain sebagai mangsa. (Gambar: Amanah Mustafi)

Pertunjukan kedua, 'Wings of the World' pula menampilkan kecantikan, kecerdikan dan peri laku semula jadi burung-burung.  

Ternyata Singapura ini kecil-kecil cili padi. Biarpun kecil, macam-macam ada: alam semula jadi, tempat peninggalan sejarah dan hiburan untuk seisi keluarga.  

TIP JELAJAH SINGAPURA

  • Gunakan pakaian ringan dan selesa. Bawa air dan minum dengan kerap kerana cuaca panas. Bawa payung lipat sebab hujan boleh turun secara tiba-tiba. 
  • Naik MRT atau bas kerana ia mudah, bersih dan jimat. Elakkan waktu sibuk, 7.30-9.30 pagi dan 5.40-7.30 malam agar perjalanan menjadi selesa. 
  • Pilih kasut yang ringan dengan pengudaraan yang baik untuk mengelak kaki dari berpeluh. Pakai stoking yang menyerap peluh agar kaki tidak melecet. 
  • Keluar awal sebelum 10.00 pagi atau selepas 4.00 petang kerana cuaca lebih nyaman. Usah terus berjalan tanpa henti. Berehat di bangku atau tempat teduh. Regangkan kaki jika mula rasa lenguh.
Kurangkan Artikel
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita