Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: Bandar kecil di Austria ini 'gerbang' ke Pergunungan Alps

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: Bandar kecil di Austria ini 'gerbang' ke Pergunungan Alps

Penulis (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya di Innsbruck, Austria. (Gambar: Nurul Jalil)

Diterbitkan : 24 Oct 2026 02:45PM Dikemas Kini : 24 Oct 2026 03:23PM
HOLIDAY GETAWAYS: This small Austrian city is a ‘gateway’ to the Alps
  • Nurul Jalil shares that Innsbruck, a small city in western Austria, is an easy and more affordable gateway for first-time visitors to explore the Alps and the Tyrol region.
  • The writer explored the old town on foot and rented a car to visit Mieders, where Serlesblitz offers a thrilling experience that is weather-dependent.
  • The journey to the turquoise Schlegeis Stausee lake passes through Mayrhofen and along challenging mountain roads; the route is usually open from around May to October, while June to September is suitable for summer activities.
  • For Muslim travellers, halal food, mosques and prayer spaces are available in limited numbers; cooking in an apartment and planning prayer times, including combining prayers, can help on long journeys.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Apabila bercakap tentang Austria, kebanyakan pelancong terus terfikir untuk ke Vienna atau Salzburg. Namun bagi saya, permata sebenar negara ini terletak di barat - di Innsbruck, sebuah bandar kecil yang dikelilingi pergunungan Alps.

Sejujurnya, saya datang ke sini tanpa sebarang jangkaan. Namun saya pulang dengan rasa penuh kagum. Austria begitu indah sehingga pemanduan merentasi kawasannya terasa seperti menyusuri gambar poskad satu persatu.

Bagi sesiapa yang baru pertama kali mahu menjejakkan kaki ke pergunungan Alps Eropah, Innsbruck ialah titik permulaan yang paling mudah dan tidak membebankan anda.

Related article image
Pemandangan indah di Innsbruck, Austria. (Gambar: Nurul Jalil)

KEISTIMEWAAN INNSBRUCK

Apa yang istimewa tentang Innsbruck ialah di sinilah gunung bertemu bandar. Anda boleh berjalan di pekan lamanya yang bersejarah, kemudian mendongak dan terus melihat puncak-puncak Alps yang menjulang tinggi di sekeliling.

Bandarnya kecil dan mudah dijelajah dengan berjalan kaki, jadi ia tidak membebankan bagi pengembara kali pertama. Berbanding Switzerland yang menelan kos yang besar, percutian di sekitar Tyrol secara umumnya lebih berpatutan.

Bagi saya, Innsbruck juga ialah pangkalan yang sempurna. Kami menyewa kereta dan menjadikan bandar ini sebagai pusat, sebelum keluar meneroka kawasan sekitar Tyrol - satu pendekatan yang saya cadangkan untuk sesiapa yang mahu melihat lebih daripada sekadar kawasan bandar.

Related article image
Penulis dan rakan-rakannya menyewa kereta untuk meneroka kawasan sekitar Tyrol. (Gambar: Nurul Jalil)

JELAJAH PEKAN LAMA

Kami meneroka pekan lama Innsbruck sendiri tanpa pemandu pelancong, mengikut rentak kami sendiri. Menyusuri tepi Sungai Inn sambil melihat deretan rumah lama yang berwarna-warni dan menikmati suasana bandar yang tenang - semuanya sudah cukup memuaskan. Tidak perlu jadual yang padat. 

Kadangkala, berjalan tanpa hala tuju tertentu dan membiarkan diri menikmati suasana ialah cara terbaik untuk mengenali sesebuah tempat.

Related article image
Menikmati suasana tenang dengan pemandangan menakjubkan. (Gambar: Nurul Jalil)

KESERONOKAN DI MIEDERS

Antara pengalaman paling menyeronokkan ialah menaiki 'alpine coaster' di Mieders, tidak jauh dari Innsbruck. Dikenali sebagai Serlesblitz, ia antara 'alpine coaster' paling curam di dunia - laju, mendebarkan, dan benar-benar mengujakan.

Related article image
Kawasan pergunungan di sekitar Austria. (Gambar: Nurul Jalil)

Yang menarik, Tyrol mempunyai lebih 10 'alpine coaster' di seluruh kawasannya, jadi mudah untuk mencari 'alpine coaster' yang berdekatan. 

Namun satu perkara penting untuk diingatkan: aktiviti ini sangat bergantung kepada cuaca. Jika hujan atau keadaan basah, ia akan ditutup atas sebab keselamatan. Jadi, sentiasa semak keadaan cuaca terlebih dahulu.

TASIK PIRUS DI SCHLEGEIS STAUSEE

Jika ada satu tempat yang masih terpahat dalam ingatan saya, ia ialah Schlegeis Stausee - tasik takungan berwarna pirus yang terletak jauh di dalam pergunungan Zillertal, sekitar satu setengah jam dari Innsbruck.

Related article image
Tasik pirus di Schlegeis Stausee. (Gambar: Nurul Jalil)

Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di pekan kecil Mayrhofen dan berhenti seketika di Bäckerei Bacher untuk menikmati croissant segar dan coklat panas - permulaan pagi yang sempurna sebelum meneruskan pemanduan.

Sepanjang laluan ini juga, pilihan 'vegetarian' juga mudah ditemui, satu lagi kelebihan buat pengembara yang mengambil berat tentang makanan.

Related article image
Penulis singgah di Bäckerei Bacher untuk menikmati croissant. (Gambar: Nurul Jalil)

Dari Mayrhofen, kami memandu menyusuri Schlegeis Alpenstraße, sebuah jalan bertol yang berliku-liku dengan selekoh tajam dan terowong, menjadikannya pemanduan yang mencabar tetapi menakjubkan. 

Disebabkan kami memandu terus ke kawasan tasik, pendakian ke titik pemandangan (viewing point) terasa lebih mudah. Dari situ, kami meneruskan laluan menuju jambatan gantung yang terkenal, tempat pengunjung beratur untuk mengambil gambar dengan latar tasik dan gunung.

Satu perkara untuk diambil kira: jalan ke Schlegeis hanya dibuka pada musim panas, sekitar Mei hingga Oktober. Pada musim sejuk pula, ia ditutup sepenuhnya.

PENGEMBARA MUSLIM DI TYROL

Bagi urusan makanan, kami banyak memasak sendiri sepanjang perjalanan. Oleh sebab kami menginap di apartmen yang dilengkapi dapur, ini memudahkan kami, dan kedai runcit juga mudah ditemui di mana-mana untuk mendapatkan bahan mentah.

Related article image
Hidangan yang dimasak sendiri di tempat penginapan. (Gambar: Nurul Jalil)
Walaupun begitu, mencari makanan halal di Tyrol bukanlah mustahil. Di sekitar pusat bandar utama dan terminal bas, terdapat kedai milik Muslim serta restoran Turki, India dan Afghanistan yang menyajikan pilihan halal seperti kebab dan pizza. Malah, terdapat juga ruang solat kecil dan masjid di kawasan tertentu.
Related article image
Pilihan makanan halal atau dari kedai milik Muslim di Austria. (Gambar: Nurul Jalil)

Bagi urusan solat pula, kami menyusun aktiviti harian dengan mengutamakan waktu solat. Memandangkan kami merentasi beberapa negara dalam satu perjalanan, kami turut menunaikan solat jamak, iaitu menggabungkan dua waktu solat, bagi memudahkan urusan ibadah sepanjang perjalanan jauh.

INNSBRUCK WAJAR DITEROKA

Kalau saya boleh berkongsi satu perkara daripada perjalanan ini, ia adalah bahawa Austria mempunyai begitu banyak keindahan di luar bandar besarnya yang biasa.

Related article image
Keindahan luar biasa di Innsbruck. (Gambar: Nurul Jalil)

Innsbruck mungkin kecil, tetapi ia bertindak sebagai gerbang utama kepada seluruh keindahan Tyrol - gunung, tasik, pekan lama, dan pemandangan yang terasa seperti poskad hidup. 

Lebih menarik lagi, ia destinasi yang mesra untuk sesiapa yang baru pertama kali ingin merasai pergunungan Alps.

Jadi jika anda sedang merancang percutian ke Eropah dan mahukan sesuatu yang berbeza, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat melangkaui Vienna.

Related article image
Pemandangan menakjubkan ibarat dalam poskad. (Gambar: Nurul Jalil)

TIP UNTUK PENGEMBARA MUSLIM KE INNSBRUCK

Waktu terbaik untuk melawat: Musim panas (Jun hingga September) sesuai untuk pendakian (hiking), 'alpine coaster' dan tasik. Jalan ke Schlegeis Stausee hanya dibuka sekitar Mei hingga Oktober.

Pengangkutan: Innsbruck mudah dikunjungi dengan bas dari Munich, Jerman (sekitar 2 jam). Menyewa kereta pula sangat disyorkan untuk meneroka kawasan sekitar Tyrol.

Makanan halal: Pilihannya terhad tetapi masih tersedia - cari kedai milik Muslim dan restoran Turki, India atau Afghanistan di sekitar pusat bandar. Menginap di apartmen berdapur memudahkan untuk memasak sendiri.

Kemudahan solat: Terdapat masjid dan ruang solat kecil di kawasan tertentu. Bawa sejadah lipat dan aplikasi waktu solat. Solat jamak memudahkan urusan ibadah ketika menempuh perjalanan jauh.

Semak keadaan cuaca: 'Alpine coaster' dan jalan pergunungan sering ditutup ketika hujan atas sebab keselamatan. Sentiasa semak cuaca terlebih dahulu.
 

Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
Nurul Jalil ialah pencipta kandungan pengembaraan menerusi jenama @exploretomakan, yang dikenali dengan panduan perjalanan dan tips mesra Muslim yang jujur serta praktikal. Beliau merupakan lulusan ijazah dwijurusan dalam Pengurusan Pelancongan dan Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Perth. Kini berpangkalan di Singapura, beliau pernah tinggal di Australia dan Korea Selatan, dan menggabungkan latar belakang dalam pemasaran digital dengan minat mendalam terhadap dunia pengembaraan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita