GEN KAKI CUTI: Apa perlu anda tahu sebelum ke Antartika?
Cik Masrifah mengikuti satu pengembaraan dengan menaiki bot getah di Antartika. (Gambar: Masrifah Unang)
SINGAPURA: Impian untuk menjejakkan kaki di benua Antartika sudah terpendam begitu lama.
Ia akhirnya menjadi kenyataan pada lewat bulan November 2023.
Selepas menempuh penerbangan lebih kurang 25 jam dengan persinggahan di Frankfurt, Jerman dan Buenos Aires, Argentina.
Pengembaraan ke benua air batu di selatan itu mengikut pakej rombongan sebuah agensi pelancongan tempatan yang menyewa kapal Ocean Albatros bagi pelayarannya.
PAKAIAN, SUNTIKAN VAKSIN, LOSYEN....
Selepas tujuh tahun tidak ke luar negara kerana sebab-sebab tertentu termasuk pandemik COVID-19, banyak keperluan yang perlu disiapkan.
Mujur ada majlis taklimat sekitar dua bulan sebelum berangkat pada 4 November.
Pakaian - cukup bawa sehelai jaket musim sejuk kerana setiap penumpang kapal diberi parka. Selebihnya, pakaian biasa seperti kemeja-T dan dua pasang seluar panjang “waterproof”, stokin dan kasut serta topi sejuk.
Begitu juga perlu bawa losyen badan dan losyen “sunscreen”, kaca mata hitam dan beg sandang kalis air untuk letak kamera dan telefon bimbit
Suntikan “yellow fever” atau “demam kuning” diwajibkan. Semasa saya ke klinik pengembaraan di Hospital TTSH bagi mendapatkan suntikan itu, doktor turut menasihati saya agar mendapatkan juga suntikan cegah typhoid atau demam kepialu.
SIAP TEMPUH PENERBANGAN YANG PANJANG
Kumpulan saya seramai 10 orang berlepas dari Lapangan Terbang Changi sekitar tengah malam 4 November bagi penerbangan selama kira-kira 11 jam ke Frankfurt di mana kami berehat satu malam di hotel berhampiran lapangan terbang di bandar Jerman itu. Eropah sedang musim sejuk.
Keesokan harinya kami berlepas ke Buenos Aires menempuh satu lagi penerbangan lebih 11 jam.
Kami menghabiskan masa sehari melawat ibu kota Argentina itu dan bermalam di sana yang sedang dalam musim bunga.
Dari Buenos Aires, kami menaiki lagi pesawat penerbangan dalam negeri selama tiga jam menuju Ushuaia, bahagian darat dunia paling selatan dan cuacanya sejuk.
Kami bermalam di Ushuaia dan berjalan-jalan di bandar kecil itu keesokan harinya sebelum menaiki kapal pengembaraan kami, Ocean Albatros, sekitar pukul 3.00 petang, 7 November.
KAPAL OCEAN ALBATROS BAK HOTEL
Keadaan kapal lapan tingkat itu bak sebuah hotel, serba lengkap. Bilik saya di tingkat enam.
Kesemuanya sekitar 90 orang menyertai pengembaraan itu, 20 dari Singapura dan sebahagian besar penumpang dari China.
Jumlah kakitangan kapal pula kira-kira 100 orang termasuk kapten serta ketua pengembaraan.
Mereka datang dari berbilang negara seperti, Netherland, Denmark, UK, Indonesia, Filipina, Argentina dan China.
HARUS SEDIA BERDEPAN JADUAL BERUBAH-UBAH
Kami berlepas dari Ushuaia pada 3.00 petang, 7 November.
Kami diperkenalkan dengan pegawai-pegawai kanan kapal dalam ceramah pertama pada esok harinya.
Ketua pengembaraan ABB juga memberitahu kami tentang perubahan pada rancangan pengembaraan kami kerana faktor cuaca.
Jadual asalnya:
Ushuaia – Antartika – South Georgia – Kepulauan Falkland.
Jadual baharu:
Ushuaia – Kepulauan Falkland – South Georgia – Antartika.
Kami juga diberitahu beberapa rancangan pendaratan tidak dapat dilakukan kerana penularan demam selesema burung atau Avian Flu yang dibawa oleh burung-burung yang berhijrah.
Pihak berkuasa terpaksa menutup tempat-tempat di mana berlaku penularan yang buruk, menyebabkan banyak anjing laut mati.
Kami diberi parka dan kasut but khas untuk dipakai sepanjang pengembaraan.
KESELAMATAN BIO KETAT
Kami perlu mematuhi peraturan keselamatan biologi yang amat ketat.
Sehari sebelum pendaratan pertama di Kepulauan Falkland, semua barang yang hendak dibawa semasa mendarat seperti beg, 'beannie', sarung tangan dan tongkat, diperiksa dengan teliti.
Kami juga diberitahu tidak boleh meletakkan satupun barang itu di tanah tempat kami mendarat.
Sebelum turun dari kapal ke bot getah atau zodiac, kami perlu merendam but ke dalam cecair basmi kuman (sanitizer).
Semua itu bagi memastikan kami tidak “memindahkan” virus flu burung dari satu tempat ke tempat lain yang akan dikunjungi.
Kami juga wajib jaga jarak tidak kurang 5 meter daripada haiwan-haiwan yang ada di tempat pendaratan.
TAKLIMAT & CERAMAH
Setiap hari pada 6.30 petang ada taklimat mengenai kegiatan pada keesokan harinya.
Kami juga diberi penerangan ringkas mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi terutama sekali keselamatan bio bagi mencegah penularan penyakit.
Setiap hari juga ada dua sesi kuliah mengenai haiwan-haiwan liar seperti pelbagai jenis burung laut, penguin, seal dan ikan paus.
Kami juga diberitahu tentang peristiwa-peristiwa penting pada masa lampau mengenai Falkland, South Georgia dan Antartika.
PEMANDANGAN INDAH, SIANG HARI YANG PANJANG
Sepanjang pengembaraan, saya dapat menikmati pemandangannya amat indah - air laut yang biru, jernih, bukit-bukau dan gunung-ganang yang diliputi salji, melihat matahari timbul dan tenggelam serta burung-burung laut yang mengekori kapal kami.
Antartika – tempat yang begitu unik dan menakjubkan.
Pengalaman ke sana menjadi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.