Skip to main content

Gaya Hidup

GEN KAKI CUTI: 2 destinasi di 'Negeri di Bawah Bayu' ini amat memikat jiwa

Anggaran Waktu Membaca:
GEN KAKI CUTI: 2 destinasi di 'Negeri di Bawah Bayu' ini amat memikat jiwa

Gunung Kinabalu jelas kelihatan semasa kunjungan penulis ke Sabah serta pemandangan matahari terbenam di Kota Kinabalu. (Gambar: Sabrina Yusri)

Diterbitkan : 12 Sep 2026 08:12PM
  • Sabrina Yusri, pencipta kandungan digital dari Singapura, berkongsi pengalaman dua kali melancong ke Kota Kinabalu dan Kundasang pada 2023 dan 2026.
  • Beliau tertarik dengan makanan laut segar, pasar malam, pemandangan Gunung Kinabalu, serta suasana mesra penduduk tempatan dan cuaca sejuk di Kundasang.
  • Antara aktiviti yang disyorkan termasuk melawat ladang tenusu, Alpaca Club, memetik strawberi, serta menikmati matahari terbenam dan membeli-belah di Kota Kinabalu.
  • Sabrina menekankan kepentingan perancangan perjalanan, memilih penginapan strategik, serta fleksibiliti terhadap cuaca untuk pengalaman lebih bermakna di Sabah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ada destinasi yang kita lawati sekali dan rasa sudah mencukupi, tetapi Kota Kinabalu dan Kundasang bukan begitu bagi saya.

Setakat ini, sudah dua kali saya berkunjung ke Sabah, pada 2023 dan sekali lagi pada 2026. Walaupun baru dua perjalanan, kedua-duanya sudah cukup untuk menyakinkan diri saya bahawa saya mahu kembali ke sana lagi.

Antara yang memikat hati saya ialah makanan laut yang segar, pasar malam yang meriah, pemandangan matahari terbenam yang cantik serta penduduk tempatan yang mesra.

Dalam perjalanan yang sama, saya juga dapat menikmati suasana Kundasang yang jauh berbeza daripada Kota Kinabalu, dengan cuaca yang lebih sejuk, kawasan tanah tinggi dan pemandangan Gunung Kinabalu.

Empat hari tiga malam juga sudah memadai untuk bersiar-siar di kedua-dua kawasan ini. Jika mahu bergerak dengan lebih santai atau bermalam lebih lama di Kundasang, perjalanan lima hari juga boleh dipertimbangkan.

KUNDASANG YANG TERASA SEPERTI NEW ZEALAND

Jika anda mahu menggabungkan Kota Kinabalu dan Kundasang dalam satu perjalanan, saya cadangkan anda terus ke Kundasang selepas tiba di Kota Kinabalu.

Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam dengan kereta, tetapi perubahan pemandangan sepanjang perjalanan menjadikannya sebahagian daripada pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Pemandangan di kawasan bandar perlahan-lahan bertukar kepada jalan yang dikelilingi kehijauan dan bukit-bukau.

Kundasang juga sering dibandingkan dengan New Zealand kerana landskapnya yang menghijau dan suasananya di tanah tinggi.
Namun, tarikan yang paling mencuri perhatian saya sudah tentu Gunung Kinabalu.

Saya sendiri belum pernah mendakinya, tetapi melihat gunung tersebut dari jauh sahaja sudah cukup untuk membuatkan saya kagum.
Related article image
Gunung Kinabalu semasa kunjungan saya pada 2023 dan 2026, dengan pemandangan yang lebih jelas ketika kunjungan baru-baru ini. (Gambar: Sabrina Yusri)
Semasa pertama kali ke sini pada 2023, Gunung Kinabalu banyak dilitupi awan sehingga saya tidak dapat melihat bentuknya dengan jelas.

Berbeza dengan kunjungan baru-baru ini pada 2026, cuacanya lebih baik dan saya bernasib baik kerana dapat melihat gunung itu dengan jelas dari beberapa lokasi.

Pemandangan tersebut memang menjadi antara perkara yang paling saya hargai dalam perjalanan kali ini. Ada sesuatu yang istimewa apabila melihat Gunung Kinabalu tersergam di tengah-tengah kawasan yang menghijau, terutama apabila cuaca cerah.

Selain pemandangan, suhu Kundasang yang lebih nyaman juga menjadi satu lagi tarikan bagi saya. Selepas berada dalam cuaca panas dan lembap, suasana tanah tinggi yang lebih sejuk terasa cukup menyegarkan.

DARI LADANG SUSU HINGGA ALPAKA

Kundasang bukan sekadar tempat untuk menikmati pemandangan. Terdapat juga beberapa tarikan yang sesuai untuk mereka yang mahu menghabiskan masa dengan lebih santai.

Antaranya ialah Desa Dairy Farm, di mana saya sempat mencuba aktiviti memberi makan kepada lembu dan melihat haiwan-haiwan tersebut dari dekat.
Related article image
Pengalaman memberi makan kepada lembu di Desa Dairy Farm, Kundasang. (Gambar: Sabrina Yusri)
Produk tenusu di sini juga antara perkara yang saya gemari, terutama aiskrim dan keju yang boleh dinikmati selepas meneroka kawasan ladang.

Jika anda sukakan haiwan, Alpaca Club pula menawarkan peluang untuk melihat alpaka dengan lebih dekat.
Related article image
Bergambar bersama alpaka di Alpaca Club, Kundasang. (Gambar: Sabrina Yusri)
Bagi mereka yang gemar aktiviti memetik buah pula, Mesilou Highland Strawberry Farm juga boleh dimasukkan dalam itinerari anda.

Namun, saya datang sekitar lewat petang dan tidak banyak buah strawberi yang tinggal untuk dipetik. Jadi, jika anda mahu mencuba aktiviti ini, datang lebih awal pada waktu pagi.

Saya turut berkunjung ke Spring Garden, yang menawarkan suasana lebih tenang dengan pelbagai bunga dan tumbuhan.

Pada waktu malam pula, Kundasang boleh menjadi lokasi yang menarik untuk melihat langit berbintang. Jika cuaca mengizinkan, pengunjung mungkin berpeluang melihat Milky Way, sesuatu yang tentunya sukar dinikmati dengan cara yang sama di kawasan bandar.

Kundasang boleh dilakukan sebagai perjalanan sehari dari Kota Kinabalu, seperti yang saya lakukan pada kunjungan kedua. Namun, bermalam di sini memberikan lebih banyak masa untuk menikmati kawasan tanah tinggi tanpa perlu mengejar masa untuk pulang.

KOTA KINABALU DAN MATAHARI TERBENAM YANG SUKAR DILUPAKAN

Selepas selesai meneroka Kundasang, perjalanan boleh diteruskan kembali ke Kota Kinabalu.

Bagi saya, antara perkara yang harus dipertimbangkan ketika memilih hotel di Kota Kinabalu ialah lokasinya. Jika boleh, pilih penginapan yang menghadap pantai supaya anda boleh menikmati pemandangan matahari terbenam dari bilik atau kawasan hotel.
Related article image
Matahari terbenam di Kota Kinabalu antara pemandangan yang paling saya nantikan ketika berada di Sabah. (Gambar: Sabrina Yusri)
Waktu matahari terbenam di Kota Kinabalu mempunyai daya tarikan tersendiri, dengan langit perlahan-lahan bertukar warna dan laut menjadi latar yang mempesona.

Bagi saya, tidak perlu pun merancang aktiviti yang terlalu banyak pada waktu ini. Selepas seharian berjalan-jalan, duduk menghadap laut sambil menikmati perubahan warna langit sudah cukup untuk mengakhiri hari anda dengan indah.

Selain menikmati pemandangan matahari terbenam, Kota Kinabalu juga menawarkan aktiviti laut seperti kegiatan melawat pulau-pulau untuk mereka yang mahu meneroka pulau-pulau di sekitar kawasan ini.

Saya sendiri belum sempat mencubanya dalam dua kunjungan saya ke Sabah, jadi mungkin itu akan menjadi antara sebab untuk saya kembali lagi pada perjalanan seterusnya.

MENIKMATI MAKANAN LAUT SEGAR

Selain pemandangan, satu lagi sebab utama saya sangat gemar meneroka Kota Kinabalu ialah makanan lautnya.

Saya berani katakan makanan laut di Sabah antara yang terbaik di Malaysia. Pilihannya banyak, segar dan saiz hidangannya juga membuatkan pengalaman makan terasa lebih menarik.

Antara tempat yang saya cadangkan ialah Pasar Malam Todak.
Related article image
Antara hidangan makanan laut yang sempat saya nikmati di Pasar Malam Todak, termasuk udang galah yang bersaiz besar. (Gambar: Sabrina Yusri)
Apa yang paling menarik perhatian saya ialah saiz makanan lautnya, terutama udang galah yang memang sangat besar.

Bagi saya, makanan laut memang sebahagian daripada pengalaman yang tidak boleh dipisahkan daripada Kota Kinabalu.

Setiap kali memikirkan tentang Sabah, antara perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah makanan laut di sini.

JELAJAH PASAR MALAM

Selain Pasar Malam Todak, Kota Kinabalu juga mempunyai beberapa pasar malam yang menarik untuk diterokai.
Related article image
Suasana di Api-Api Night Food Market, Kota Kinabalu, yang menawarkan pelbagai pilihan makanan pada waktu malam. (Gambar: Sabrina Yusri)
Api-Api Night Food Market antara lokasi yang boleh dimasukkan dalam itinerari untuk mencari makanan pada waktu malam.

Gaya Street pula merupakan antara lokasi yang popular dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong, tetapi perlu merancang mengikut hari kerana pasar malamnya dibuka pada hari tertentu, termasuk Jumaat dan Sabtu.

Anjung Kinabalu dan Handicraft Market pula sesuai untuk mereka yang mahu melihat barangan tempatan dan mencari cenderamata.

Namun, antara penemuan yang lebih menarik bagi saya ialah Wawasan Night Market. Saya menyukainya kerana makanan yang ditawarkan sedap dan suasananya juga tidak terlalu sesak, menjadikannya lebih selesa untuk berjalan-jalan dan menikmati makanan.

BELI-BELAH SEBELUM PULANG

Jika anda masih mempunyai masa sebelum melakukan penerbangan pulang, Kota Kinabalu juga mempunyai beberapa pusat beli-belah yang boleh dikunjungi.

Imago Shopping Mall menawarkan gabungan kedai fesyen, gaya hidup, makanan dan hiburan, manakala Centre Point Sabah memberikan suasana yang sedikit berbeza dan lebih dekat dengan pilihan membeli-belah penduduk tempatan.

Saya biasanya akan menjadikan membeli-belah sebagai antara aktiviti terakhir sebelum ke lapangan terbang, terutama jika masih mahu mencari cenderamata atau barang keperluan sebelum pulang.

Jika anda bernasib baik, perjalanan ke lapangan terbang juga boleh memberikan satu lagi peluang untuk melihat Gunung Kinabalu.
Related article image
Gunung Kinabalu kelihatan dari kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum saya melakukan penerbangan pulang. (Gambar: Sabrina Yusri)
Semasa kunjungan saya baru-baru ini, saya sempat melihat gunung itu dari kawasan lapangan terbang. Selepas beberapa hari berada di Sabah, melihatnya sekali lagi sebelum meninggalkan negeri itu terasa seperti penutup yang cukup sempurna.

KOTA KINABALU DAN KUNDASANG MEMIKAT JIWA

Selepas dua kali berkunjung, saya masih rasa banyak lagi yang belum sempat saya lakukan di Kota Kinabalu dan Kundasang.

Kundasang memberikan pengalaman yang sangat berbeza dengan kawasan bandar, daripada pemandangan Gunung Kinabalu dan udara yang lebih sejuk hinggalah ke ladang tenusu, alpaka, strawberi dan bunga.

Kota Kinabalu pula mempunyai tarikan yang lebih santai tetapi tidak kurang menarik, terutama makanan laut, pasar malam, membeli-belah dan pemandangan matahari terbenam.

Apa yang menarik ialah dua perjalanan saya sendiri sudah memberikan pengalaman yang berbeza.

Pada 2023, saya datang ketika Gunung Kinabalu banyak dilitupi awan. Pada 2026 pula, saya bernasib baik kerana dapat melihatnya dengan lebih jelas dari beberapa lokasi.

Mungkin itu juga sebabnya saya rasa masih ada alasan untuk saya kembali, terutama sekali memandangkan saya belum pernah mendaki Gunung Kinabalu mahupun melawat pulau-pulau, selain ada senarai makanan yang masih belum sempat dicuba.

TIP TEROKA KOTA KINABALU DAN KUNDASANG

1. Sewa kereta untuk bergerak dengan lebih mudah - Menyewa kereta memudahkan perjalanan di sekitar Kota Kinabalu dan Kundasang, terutama jika mahu mengunjungi beberapa lokasi dalam satu hari.

2. Bertolak awal ke Kundasang - Jika anda memandu dari Kota Kinabalu, cuba bertolak pada awal pagi. Saya bertolak sekitar pukul 6.00 pagi dan tiba di Kundasang pada pukul 8.00 pagi. Sekitar pukul 7.00 hingga 9.00 pagi juga antara waktu yang baik untuk melihat Gunung Kinabalu dengan lebih jelas.

3. Jangan terlalu bergantung pada cuaca - Gunung Kinabalu boleh dilitupi awan dan pemandangan boleh berubah sepanjang hari. Jika tidak dapat melihatnya dengan jelas pada satu-satu masa, cuba lagi pada lain masa.

4. Rancang aktiviti mengikut hari dan waktu - Gaya Street dan beberapa pasar malam beroperasi pada hari tertentu, manakala aktiviti seperti memetik strawberi pula lebih baik dilakukan pada waktu pagi.

5. Pilih penginapan yang menghadap laut - Jika anda mahu menikmati pemandangan matahari terbenam di Kota Kinabalu, pilih penginapan dengan bilik atau ruang yang menghadap laut untuk pengalaman yang lebih menarik.
Kurangkan Artikel
MENGENAI PENULIS
Related article image
Sabrina Yusri merupakan pencipta kandungan digital dan pencerita gaya hidup dari Singapura yang berkongsi pengalaman pengembaraan, budaya, makanan halal dan gaya hidup menerusi platform media sosialnya, @sabventuresinlife. Beliau merupakan graduan dalam bidang Komunikasi dan Media Baharu dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan dalam bidang media sosial serta pemasaran kandungan sebelum memilih untuk menceburi penciptaan kandungan secara sepenuh masa.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita