Gemar makanan laut bercengkerang? Penting cuci bersih bagi elak sakit perut

Gambar hiasan tiram. (Gambar: Pexels)
SINGAPURA: Hidangan laut sememangnya enak dan tidak hairanlah jika ia menjadi kegemaran ramai, terutama mereka yang suka menikmati makanan bercengkerang. Namun dalam keseronokan menikmati pelbagai jamuan makanan laut, anda juga perlu berhati-hati, terutama bagi yang mempunyai alahan terhadap sajian makanan laut, termasuk wanita hamil.
Rata-rata makanan laut merangkumi pelbagai bentuk kehidupan laut seperti ikan, kerang, kepah, ketam yang dilabelkan sebagai makanan yang selamat untuk dinikmati oleh semua. Selain itu, tumbuhan yang ada di laut juga turut dijadikan sebagai sumber makanan.
Contohnya, rumpai laut yang digemari ramai dan dinikmati secara meluas di merata dunia, terutamanya di negara-negara Asia seperti di Jepun yang banyak menggunakan rumpai laut dalam makanan tradisinya seperti sushi, mi dan sebagainya.
Terdapat tiga jenis habitat yang didiami oleh hidupan laut, antaranya kawasan berlumpur, berpasir dan ada juga yang hidup di celah batu serta pangkal pokok. Antaranya, kerang yang sering didapati di kawasan berlumpur.
Sementara di kawasan berpasir pula selalunya terdapat pelbagai cengkerang seperti remis, lala, kekapis, tiram, kupang selain siput sedut yang hidup dengan cara melekap di balik tumbuhan dan batu.
Untuk memilih cengkerang yang segar, pastikan ia tertutup rapat. Jika cengkerangnya terbuka, anda bolah cuba mengetuk dengan jari. Jika cengkerang tertutup kembali, ini menandakan ia masih segar dan isinya juga kenyal.
Selain itu, makanan laut bercengkerang yang segar selalunya akan mempunyai bau laut. Jika ia berbau kurang enak dan berlendir, ini menandakan ia sudah tidak segar dan anda harus elakkan.
Untuk menikmati makanan laut bercengkerang yang segar, pilihlah yang mempunyai isi yang padat dan kenyal. Jika ia berair dan lembik, ia menandakan ia tidak segar. Selain itu, apabila ingin membersihkannya, rendamkan di dalam air garam untuk menanggalkan pasir yang ada melekat. Dan, jika ingin menikmati isi cengkerang yang padat, pastikan ia tidak dimasak sehingga terlalau lama.
JENIS-JENIS CENGKERANG
Kepah

Hidup di kawasan berpasir dan berlumpuh. Ia menyerupai remis tetapi lebih bulat dan padat. Mempunyai dua cengkerang keras yang simetri.
Kekapis

Juga digelar scallops, kulit cengkerangnya nipis dan besar jika dibanding dengan yang lain. Bentuknya seakan kipas dan warnanya terang. Isinya pula berwarna oren atau putih.
Kerang

Mudah didapati di pasar dan selalunya dimasak dengan cara merebusnya, kukus atau dijadikan sebagai salah satu bahan apabila menggoreng mi dan juga dimasak sambal. Selain itu terdapat juga kerang bambu di mana cengkerangnya berwarna putih kecoklatan dan bentuknya mirip seperti buluh memanjang. Jenis kerang ini selalunya dimasak dengan cara menumis.
Kupang

Tiram

CUCI BERSIH MAKANAN BERCENGKERANG
Sebelum memasaknya, perkara pertama yang perlu dilakukan semestinya membersihkan makanan. Ini penting lebih-lebih lagi apabila ingin masak makanan bercengkerang. Pastikan untuk keluarkan pasirnya terlebih dahulu.
Kebersihan sangat penting untuk mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingi seperti keracunan makan yang boleh menyebabkan muntah, cirit birit, demam sakit perut dan sebagainya.
Antara makanan yang sukar untuk dibersihkan adalah golongan yang bercengkerang.
Contohnya, jika anda ingin masak lala dan kepah, pastikan untuk rendam terlebih dahulu dengan cili kering agar semua pasir yang melekat di dalamnya dapat ditanggalkan. Pastikan untuk bilas bersih sebelum dimasak.
5 CARA SIMPAN CENGKERANG
- Kerang boleh disimpan di dalam peti ais dan dapat bertahan lebih kurang dua minggu hingga sebulan. Elak simpan kerang dengan merendamnya dalam air kerana ia akan menghasilkan bau kurang enak.
- Mengukus kerang mengambil masa anggaran 30 minit sahaja. Jangan kukus terlalu lama kerana boleh menyebabkan kerang menjadi lembik.
- Kerang yang segar tidak berbau busuk, tidak mempunyai lendir dan cangkerangnya masih tertutup rapat. Jika membeli kerang yang sudah dikupas kulit, pastikan isinya masih terasa kenyal.
- Pastikan kerang disimpan dalam bekas bertutup rapat dan diletakkan dalam peti sejuk bahagian beku jika tidak mahu menggunakannya.
- Bersihkan kerang dengan merendamnya dalam air garam, ia dapat membuatkan pori-pori kerang terbuka dan kotoran pada kulit kerang dapat ditanggalkan.
RESEPI SPAGETI KEPAH
Bahan
400gm spageti
Garam Kosher
1/4 cawan minyak zaitun
4 ulas bawang putih, dicincang
1/2 sudu teh cili flakes
Kepah, dibersihkan
1/4 cawan air
1/4 cawan daun parsli, dicincang halus
Lada hitam, dikisar
Cara
Dalam periuk besar berisi air garam mendidih, rebus spageti sehingga al dente dan toskan.
Panaskan minyak zaitun dalam kuali dan masukkan bawang putih dan cili flakes.
Masak menggunakan api sederhana sambil dikacau mesra sehingga bawang putih bertukar perang.
Masukkan kepah dan air, tutup, dan renehkan sehingga kepah terbuka dan masak sepenuhnya anggaran 8 minit. Masukkan spageti dan parsli bersama kepah dan perasakan dengan lada.
Gaul rata atas api sederhana sehingga spageti sebati dengan bahan-bahan. Siap untuk dihidang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.