Gemar makan durian? Ketahui khasiat dan kesan ketika nikmati raja buah berduri ini
Musim durian kembali lagi! Bagi penggemar buah durian, inilah masa yang paling dinanti-nantikan.
Sebuah pusat pengumpulan dan pemprosesan durian di Tangkak, Johor dijadual beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. (Gambar: Unsplash)
Saiz raja buah ini besar, isinya berkrim, rasanya unik dan baunya juga ikonik. Ada dalam kalangan peminat durian sanggup bayar mahal hanya untuk menikmati seulas durian bermutu seperti Musang King. Tapi di sebalik peminat fanatik, ada juga yang langsung tidak tahan dengan baunya.
Namun tidak semua orang tahu bahawa buah berduri ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk tubuh. Pada masa yang sama, durian juga boleh mendatangkan mudarat jika diambil tanpa kawalan. Jadi, sebelum anda menghabiskan sebiji durian seorang diri, eloklah ambil tahu dulu apa manfaatnya dan risiko yang perlu dielakkan.
Tinggi lemak baik, bebas kolesterol
Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa isi durian sebenarnya langsung tidak mengandungi kolesterol. Ia pasti baik kerana kolesterol berlebihan boleh menyebabkan salur darah tersumbat dan meningkatkan risiko serangan jantung. Selain itu, durian juga mengandungi lemak tidak tepu yang baik untuk membantu menurunkan tekanan darah tinggi jika diambil dalam jumlah yang sederhana.
Ramai gemar makan durian kerana rasanya yang lemak manis, tapi tak ramai tahu bahawa durian sebenarnya tinggi serat. Serat ini penting untuk sistem penghadaman yang sihat. Kalau ada yang kerap mengalami masalah sembelit, makan durian dalam jumlah sederhana boleh membantu melancarkan pembuangan air besar.
Asid Amino
Durian mengandungi asid amino tryptophan yang diperlukan tubuh untuk menghasilkan hormon serotonin dan melatonin. Serotonin membantu mengawal emosi dan memberi rasa bahagia, manakala melatonin penting untuk mengawal mutu tidur. Sebab itulah sesetengah orang rasa lebih tenang atau mudah tidur selepas menikmati durian.
Durian kaya dengan antioksidan yang dapat membantu melambatkan proses penuaan sel dalam tubuh. Antioksidan juga berperanan untuk melindungi sel daripada kerosakan yang boleh menyebabkan penyakit seperti barah. Apa pun apabila menikmati buah ini, makanlah berpada-pada dan sekaligus bolehlah awet muda sedikit!
Kulit & tulang
Durian juga mengandungi bahan kimia seperti vitamin C, kalsium, mineral, tembaga dan kalium. Vitamin C bertindak sebagai antioksidan yang dapat melindungi kulit daripada kedutan dan penuaan awal. Sementara mineral pula penting untuk kesihatan tulang dan sendi, contohnya kalium membantu mengekalkan kepadatan tulang, manakala tembaga membantu fungsi sendi dan tiroid.
Asid folik juga dikenali sebagai folat atau vitamin B9. Ia sangat penting untuk penghasilan sel darah merah. Bagi yang mengalami masalah kurang darah atau anemia, menikmati durian boleh membantu tingkatkan paras darah merah dalam tubuh. Bukan itu sahaja, folat juga penting untuk pertumbuhan sel baru dalam tubuh, termasuk kulit, rambut dan kuku.
KESAN JIKA MAKAN DURIAN BERLEBIHAN
Sehebat mana pun khasiatnya, durian tetap boleh memudaratkan jika ia diambil berlebihan. Pakar nutrisi menyarankan agar had pengambilan hanya sekitar dua ulas sahaja untuk satu hidangan. Jika menikmatinya keterlaluan secara kerap, ia boleh menjejas kesihatan dan memberi kesan sampingan yang tidak diingini. Antaranya:
Tinggi kalori
Durian adalah buah yang tinggi kalori. Bayangkan, makan sebiji durian seorang diri boleh membekalkan tenaga beratus-ratus kalori! Kalau dimakan berlebihan, risiko untuk naik berat badan juga adalah tinggi, terutamanya jika tidak dibakar dengan aktiviti fizikal.
Bagi pesakit kencing manis atau mempunyai masalah buah pinggang, durian bukanlah pilihan terbaik jika ia dimakan terlalu banyak. Kandungan gula semula jadi dalam durian agak tinggi dan ia boleh menaikkan paras gula dalam darah dengan cepat.
Gastrik
Durian boleh membebaskan gas semasa proses pencernaan. Inilah sebabnya sesetengah orang merasa perut tidak selesa atau kembungselepas menikmati durian. Bagi mereka yang ada masalah gastrik dan mempunyai perut yang sensitif, eloklah hadkan pengambilannya.
Tubuh panas
Ramai yang bertanggapan apabila makan durian ia boleh membuatkan tubuh panas. Sebenarnya ia berkaitan dengan proses metabolisma durian dalam tubuh, yang menghasilkan tenaga panas. Jika makan terlalu banyak, tubuh boleh terasa tidak selesa atau rasa berpeluh.
Secara ringkas, durian memang kaya dengan pelbagai khasiat bermanfaat, dari antioksidan, serat, vitamin C hinggalah mineral penting untuk tulang dan darah. Namun begitu, nikmatilah durian dengan bijak.
Enjoy menikmati raja buah ini dengan cara yang sihat!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.