Skip to main content

Gaya Hidup

Gemar makan cemilan? Ini kesan sering mengambil makanan ringan

Anggaran Waktu Membaca:
Gemar makan cemilan? Ini kesan sering mengambil makanan ringan

Gambar: Pexels

Diterbitkan : 28 Mar 2022 11:44PM

KUALA LUMPUR: Rata-rata ramai orang gemar menikmati makanan ringan atau snek khususnya pada waktu senggang, menonton televisyen dan ketika membuat kerja menggunakan komputer peribadi atau melayan peranti.

Norma baru dek pandemik COVID-19 sudah mengubah corak pemakanan mereka yang gemar memakan snek, lapor BH Online.

Snek sebagai makanan segera dan terproses ini lazimnya tinggi lemak, gula, garam, monosodium glutamate (MSG) seperti biskut, keropok dan kerepek ini menjadi 'perangkap' pelbagai jenis penyakit.

Meskipun makanan itu sedap, tetapi ia tidak mempunyai nutrien, vitamin dan mineral yang penting untuk meningkatkan daya imuniti badan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menurut Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, pengambilan berterusan akan menyebabkan berat badan naik dan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, sekali gus mengakibatkan strok.

Lebih banyak masa dihabiskan di rumah mendorong leka makan sesuka hati dan kurang bergerak aktif, seperti dinukil daripada laporan BH Online.

Ubah corak pemakanan

Beliau yang juga pakar pemakanan Klinik Metabolik Obesiti Hospital Pengajar UPM, berkata tekanan disebabkan terlalu lama berada di rumah antara faktor menyumbang perubahan corak pemakanan.

"Apabila tertekan individu cenderung memilih snek tinggi gula dan karbohidrat sekali gus menghasilkan hormon serotonin yang boleh menimbulkan 'mood' positif buat jangka masa pendek.

"Selepas mengambil makanan tinggi gula dan karbohidrat, 'mood' seseorang akan bertambah baik sementara waktu, Tetapi pengambilan makanan itu akan menjadi tabiat dan makanan manis sering membuatkan kita tidak puas serta mahukan lebih lagi," kata beliau.

Risiko dapat penyakit

Pengambilan terlalu banyak makanan itu menyebabkan obesiti, selain mudah terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

"Jika corak pemakanan tidak dijaga ia akan memudahkan seseorang mendapat penyakit kronik," kata Dr Barakatun Nisak lagi.

"Seseorang itu, boleh mengambil makanan ringan, tetapi pilihlah snek sihat seperti buah-buahan kerana boleh mengurangkan rasa lapar dan membekalkan tenaga sebelum tiba waktu hidangan utama.

"Ini amat bermanfaat terutama untuk kanak-kanak sedang membesar, ibu mengandung dan warga emas," kata beliau.

Meningkatkan risiko barah

Snek juga mengandungi bahan pengawet dalam makanan terproses, iaitu Nitrosamine yang boleh menyebabkan perubahan kepada asid deoksiribonukleik (DNA) seseorang dan seterusnya berisiko mendapat penyakit barah usus.

"Nitrosamine boleh menyebabkan kerosakan kepada sel DNA. Sel rosak yang tidak dibaiki akan bermutasi dan menyebabkan pembentukan jujukan DNA tidak normal sekali gus meningkatkan risiko barah.

"Kajian di Barat menunjukkan pengambilannya sebanyak 50 gram daging terproses (sebesar kotak mancis) setiap hari, boleh meningkatkan risiko barah usus sebanyak 17 peratus," kata beliau.

Pengambilan snek tidak sihat juga memberi kesan terhadap perkembangan tumbesaran awal kanak-kanak, jelas Dr Barakatun Nisak.

Pada usia itu, sepatutnya pemakanan sihat amat penting untuk menggalakkan perkembangan otak dan minda kanak-kanak secara optimum.

"Pengambilan snek tidak sihat akan menyebabkan kanak-kanak cepat kenyang dan enggan memakan buah, sayuran dan produk tenusu yang penting untuk tumbesaran otak.

"Jika corak pemakanan ini berterusan, anak-anak akan kekurangan zat penting dan sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan mereka," kata beliau.

Beliau berkata, masih tidak terlambat ibu bapa mengubah tabiat pemakanan anak.

Amalan piramid makanan

Justeru, konsep makanan sihat untuk setiap peringkat usia perlu berdasarkan piramid pemakanan yang mencakupi sayur, buahan, bijirin, protein, susu dan produk tenusu.

Pengambilan makanan ini perlu seimbang dan didasarkan kepada tiga konsep utama iaitu kepelbagaian keseimbangan dan kesederhanaan.

Sumber : Agensi berita/FA/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita