Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gaya minimalis, 'back to basic' jadi pilihan Lebaran tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Gaya minimalis, 'back to basic' jadi pilihan Lebaran tahun ini

(Gambar: @tymfatimah/Instagram)

KUALA LUMPUR: Baju tradisional seperti baju kurung dan kebaya gaya klasik dengan perincian ringkas atau 'minimalis' terus menjadi pilihan ramai untuk digayakan pada Lebaran tahun ini. 

Walaupun busana tradisional kini semakin mendapat sentuhan moden, tidak kurang juga alternatif lain seperti jubah dan kaftan, dengan busana tradisional ternyata mempunyai nilai istimewa dan tersendiri untuk Aidilfitri. 

Berkongsi pandangan berhubung fesyen pilihan tahun ini, pengasas jenama pakaian Tujoh Kuntom Amelin Asri berkata baju kurung Pahang adalah antara yang mendapat permintaan dan penjualan tertinggi daripada koleksi yang ditawarkannya. 

"Ramai suka baju kurung Pahang kerana potongan yang 'terletak' pada badan, selain itu kami juga mengetengahkan konsep klasik tapi minimum, sesuai dengan selera masa kini yang gemarkan pakaian ringkas, polos dan selesa tapi masih tampak 'mahal'," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Cik Amelin berkata pihaknya mula mengeluarkan pakaian edisi raya pada 1 Mac lalu dengan harga bermula RM169 dan setakat ini berjaya menghasilkan lebih 15,000 pasang pakaian. 

Turut senada, pereka fesyen terkenal yang juga pemilik butik Azura Couture, Cik Azura Mazaruddin yang menyifatkan trend tahun ini sebagai 'back to basic' apabila kebanyakan pakaian siap (‘ready to wear’) ditawarkan pelbagai jenama yang menampilkan baju kurung dan baju kebaya seperti kurung riau sebagai taruhan.

"Tetapi tidak kurang juga yang memilih 'modern look', namun masih mengekalkan elemen tradisional, cuma rekaan dimodenkan sedikit," katanya yang turut menasihatkan orang ramai supaya memilih fabrik dan rekaan yang selesa sebagai pilihan pada Syawal ini. 

Cik Azura juga mendapati warna-warna terang seperti jingga, 'turquoise' (biru firus) dan merah hati yang 'menang' di dalam gambar menjadi trend pada tahun ini. 

Pemilik butik D'na Risik, Cik Noralina Amiruddin yang beroperasi di Pertama Complex, pula berkata teknik sulaman seperti sulam biku dan sulam tampal yang terakhir kali mendapat banyak permintaan sekitar 2002 juga kini kembali hidup dan mendapat tempat di hati pemakai. 

"Kalau tiga tahun lepas ramai yang tempah 'dress' (gaun), tapi tahun ini kebanyakannya tempah baju kurung tradisional dan klasik, tak terlalu berfesyen," katanya.

Pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail juga mengakui masyarakat hari ini lebih menggemari rekaan yang praktikal dengan mengutamakan keselesaan pada busana tersebut. 

“Sekarang, orang dah tak suka memakai busana yang terlalu sarat atau glamor. Zaman itu sudah berakhir.

"Kini, busana dengan gaya ringkas menjadi pilihan. Walaupun begitu, busana itu tetap kelihatan 'elegant' dan eksklusif ketika digayakan,” katanya sambil menambah warna pastel masih akan mendominasi Lebaran kali ini.

Menurut Encik Ezuwan, bagi lelaki pula, baju Melayu cekak musang dan baju Melayu teluk belanga, terus menjadi pilihan golongan itu yang gemarkan gaya kemas namun ingin kelihatan segak pada hari raya.

Tinjauan Bernama di beberapa portal beli-belah turut mendapati selain baju tradisional, baju kurung moden atau kontemporari sama ada potongan singkat atau labuh dalam pelbagai warna pastel selain rona gelap seperti merah hati, juga menguasai pasaran.

Sumber : Bernama/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan