Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gaya lebaran untuk kaum Adam: ketahui fabrik, corak dan potongan sesuai

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bila tiba Hari Raya, pasti kaum Adam juga tidak mahu ketinggalan dilihat segak dan bergaya berbaju Melayu.

Stail dan koleksi pakaian Raya untuk lelaki memang terhad jika dibandingkan dengan wanita. Namun, ini tidak bermakna mereka tidak boleh tampil segak dan menawan semasa lebaran.

Walaupun rekaan baju bagi jejaka lebih ringkas daripada wanita, mereka masih lagi boleh memadankannya dengan kain samping, songkok dan capal.

Untuk memudahkan golongan jejaka membuat pilihan baju Raya, ketahui terlebih dahulu ciri-ciri potongan yang menepati gaya dan tubuh anda. Terdapat pelbagai potongan yang popular di pasaran seperti berikut.

TELUK BELANGA

Gaya ini juga dikenali sebagai Baju Melayu Johor. Ia menampilkan bahagian leher yang disulam ringkas di sekelilingnya. Ia hanya mempuyai satu sahaja butang dan bahagian lehernya dibelah potong pendek pada bahagian depan. Potongan pakaian ini akan kelihatan lengkap dan menyerlah jika anda padankan ia dengan kain samping pilihan.

(Gambar: Aizam Omar)

CEKAK MUSANG

Potongan klasik ini tidak asing lagi bagi ramai orang. Kalau ingin tahu, baju Melayu Cekak Musang ini mendapat gelarannya daripada potongan lehernya yang tinggi dan mencekak tengkuk.

Direka dengan lima kancing berbutang pada bahagian depan dan dibahagikan tiga di bahagian bawah dan dua lagi di atas bahagian leher. Tampil dalam pelbagai rona dan pilihan fabrik.

(Gambar: Aizam Omar)

BAJU MODEN

Selain baju klasik, golongan jejaka juga mempunyai pelbagai pilihan untuk bergaya dengan baju Melayu Moden. Tampil dalam pelbagai rona dan pilihan tanpa pesak.

Baju potongan ini akan membuat si pemakai tampil lebih langsing dan kemas. Ia tidak terlalu longgar dan besar. Potongan ini juga direka dengan menggunakan pelbagai jenis corak fabrik, warna dengan corak abstrak.

(Gambar: Aizam Omar)

FABRIK

Sebelum membuat pilihan gaya baju yang ingin dibeli, penting untuk beri perhatian pada fabriknya.

Anda pasti tidak mahu bergaya dengan baju Melayu yang fabriknya tebal atau yang mudah renyuk. Dengan cuaca yang mungkin panas terik, sebaik-baiknya pilihlah fabrik yang ringan dan selesa. Sebab apa, jika tersalah pilih fabrik, ia akan membuat anda tidak selesa semasa kunjung mengunjung kerana berpeluh dan sebagainya.

Walaupun corak bagi satu-satu baju itu cantik, ada kalanya fabriknya tidak sesuai dengan cuaca yang panas.

Tidak kira sama ada ingin menempah baju ataupun beli yang sudah siap di kedai, pastikan anda beri tumpan kepada fabrik sebelum memilih corak dan potongan baju.

Kain jenis sifon contohnya merupakan antara yang dapat memberi keselesaan. Ia diperbuat daripada benang kapas dan menepati cuaca panas disebabkan teksturnya yang lembut.

Jika anda bertubuh besar, elak dari memilih fabrik jenis satin. Fabrik yang berkilauan ini akan memberi efek ‘besar’ pada si pemakai.

Walaupun teksturnya selesa, licin dan sejuk anda mungkin ingin mengelakkannya kerana ia akan membuat anda kelihatan lebih gempal.

BELI BAJU RAYA

Bagi yang belum sempat membeli baju Raya dan masih kurang pasti untuk membuat pilihan, berikut kami tampilkan lima jenama setempat.

Setiap label mempunyai rekaan yang berbeza-beza dan menawarkan pelbagai rona serta corak terkini.

Kurung by Adam Swandi (Gambar: Kurung by Adam Swandi)

Adam Swandi, nama yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak.

Pemain bola sepak negara ini baru sahaja melancarkan koleksi baju kurungnya sempena lebaran tahun ini. Label yang digelar Kurung by Adam Swandi direka dengan pilihan tujuh rona redup dan disasarkan untuk jejaka berbilang usia.

“Setiap rekaan kurung dihasilkan dari fabrik 'cotton twill' yang lembut dan tidak mudah renyuk. Ia juga mempunyai kegunaan yang versatil,” kata Adam.

Menurutnya lagi, idea untuk menghasilkan koleksi itu tercetus setelah beliau mendapati sukar untuk mendapatkan baju dengan gaya minima yang versatil, yang sesuai untuk semua majlis. Koleksi itu boleh dibeli dari Instagram @Kurung by Adam Swandi.

Simply Rays (Gambar: Simply Rays)

Ini jenama yang popular dan dikenali ramai. Menawarkan pelbagai potongan baju Melayu dari potongan cekak musang, teluk belanga, modern dengan corak dan warna yang menarik.

Setiap set lengkap dengan baju dan seluar. Fabriknya lembut menepati iklim setempat. Dapatkan koleksi terkini dari laman www.simplyrays.com

Thawb (Gambar: Thawb)

Satu lagi jenama yang menawarkan koleki baju untuk lelaki, dewasa dan juga kanak-kanak.

Potongannya berbeza-beza dengan corak dan warna yang menarik. Di laman itu juga anda boleh dapatkan pelbagai baju Melayu beraneka fabrik, termasuk corak batik yang unik. Apa saja pilihan, setiap baju mudah digayakan dengan seluar kegemaran anda! Layari laman www.thawb.com.sg

Ozel (Gambar: Ozel)

Jenama setempat yang sudah dikenali sejak tahun 2016. Pakar dalam corak dan menawarkan pilihan yang luas – tradisional dan kontemporari.

Kemeja dan seluar batik pelbagai motif dan warna menanti anda untuk digayakan pada lebaran ini. Terdapat juga pelitup yang sama coraknya dengan baju pilihan! Dapatkan dari laman www.ozel.com.sg

Adrianna Yariqa (Gambar: Adrianna Yariqa)

Label anak watan ini memang tidak asing lagi bagi masyarakat setempat.

Ia menawarkan baju tradisional untuk seisi keluarga. Pilihan yang luas dengan gaya dan rekaan yang bervariasi. Pilihan baju fabrik sutera dan poliester pastinya dapat memberi keselesaan pada si pemakai. Sesuai untuk digayakan sehari suntuk, lengkap dengan kain samping. Koleksi penuh boleh diperolehi dari www.adriannayariqa.com

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan