Gaya hidup minimalis bantu tingkatkan kesejahteraan mental
Dalam dunia yang serba pantas dan penuh tekanan, gaya hidup minimalis semakin mendapat perhatian sebagai cara berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan mental.
Gaya hidup minimalis semakin mendapat perhatian. (Gambar: Bernama)
Aspek penting dalam gaya hidup tersebut termasuk mengurangkan jumlah barang yang dimiliki. Namun, bagaimana pendekatan itu dapat membantu kita mencapai ketenangan dan fokus dalam hidup?
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Am dan Psikogeriatrik, Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz Dr Nurul Ain Mohamad Kamal, mengurangkan jumlah barang bukan sekadar membuang barang yang tidak diperlukan, sebaliknya memilih dengan bijak benda yang memberi nilai dan makna dalam kehidupan kita.
“Apabila bilangan barang berkurangan, ruang fizikal menjadi lebih teratur dan bebas daripada kekusutan, sekali gus mengurangkan gangguan visual yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan,” katanya kepada Bernama.
Dr Nurul Ain menambah memiliki barang dalam kuantiti sederhana juga membantu mengurangkan beban mental memandangkan individu tidak perlu risau tentang penyelenggaraan, penyimpanan atau pembelian berlebihan yang tidak diperlukan.
"Kajian yang diterbitkan dalam ScienceDirect (2021) menunjukkan bahawa gaya hidup minimalis memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi. Ia membantu meningkatkan emosi positif seperti rasa kepuasan dan ketenangan serta mengurangkan simptom kemurungan.
"Dalam satu lagi kajian oleh International Journal of Applied Positive Psychology (2020), individu yang mengamalkan minimalisme turut mengalami manfaat seperti autonomi, kecekapan diri, ruang mental yang lebih lapang, kesedaran tinggi dan emosi yang lebih stabil," kata beliau.
Dr Nurul Ain turut mencadangkan kaedah KonMari yang diperkenalkan oleh perunding pengurusan dari Jepun Marie Kondo, iaitu menyimpan hanya barangan yang benar-benar “spark joy” sebagai satu bentuk refleksi diri yang membantu individu mengenal pasti nilai sebenar dalam hidup dan membina semula hubungan yang sihat dengan persekitaran serta emosi diri.
“Apabila kita menyimpan sesuatu hanya kerana rasa bersalah atau ketakutan untuk melepaskannya, ia mungkin berpunca daripada emosi tidak sedar yang belum ditangani. Sebaliknya, apabila barang itu benar-benar digunakan dan memberi fungsi nyata, maka kehadirannya wajar,” jelas beliau.
Namun, Dr Nurul Ain mengingatkan bahawa pendekatan minimalis harus dilakukan secara sederhana dan seimbang memandangkan tindakan membuang barangan secara melampau tanpa pertimbangan nilai peribadi boleh membawa kepada kekosongan identiti, terutama jika barangan tersebut mewakili hubungan atau bahagian penting dalam kehidupan seseorang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.