Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gaya hidup eksklusif pemilik kereta mewah di S'pura

Proses membeli kereta di Singapura menelan belanja yang besar tetapi ia juga memberikan kepuasan tersendiri khususnya bagi penggemar kereta.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Proses membeli kereta di Singapura menelan belanja yang besar tetapi ia juga memberikan kepuasan tersendiri khususnya bagi penggemar kereta.

Lebih-lebih lagi, jika ia kereta yang diidam-idamkan.

Bagi sebuah butik kereta mewah, Autobahn Motors, jawapannya adalah dengan menawarkan pengalaman yang lain daripada yang lain.

'VENDING MACHINE' PALING BESAR, MAHAL DI DUNIA

Bangunan pameran Autobhan di Jalan Kilang beroperasi seperti sebuah 'vending machine' atau mesin layan diri.

Malah jika anda melihat sekali pandang, anda pasti setuju jika ia digelar sebagai mesin layan diri terbesar dengan isi kandungan yang dijual antara yang paling mahal di dunia.

Bangunan setinggi 15 tingkat itu bukan menyediakan makanan ataupun minuman tetapi sekitar 60 kereta mewah.

Idea membina bangunan sedemikian datang daripada kotak mainan 'Hot Wheels', kongsi Pengurus Besar Autobahn Motors Encik Gary Hong.

Sama seperti konsep mesin layan diri tradisional, para pelanggan mula dengan melihat 'menu kereta' yang ditawarkan.

Dengan tekan satu butang sahaja, kereta yang ingin dilihat atau dibeli, diturunkan secara automatik.

Kereta-kereta yang 'disajikan' termasuk kereta klasik berharga S$10 juta - Mercedes 500k Roadster yang dibuat pada tahun 1936, Ferrari 488 GTB yang dijual pada harga sekitar S$710,000 dan Mercedes SL65 AMG Black Series yang boleh dipandu pulang dengan bayaran sekitar S$400,000.

Daripada pemerhatian BERITAmedicorp, terdapat sekitar lima butik kereta yang menawarkan konsep berbeza di Singapura bagi gaya hidup golongan mewah jika mahu membeli kereta cukup eksklusif dan mahal-mahal belaka.

Encik Hong berkata: "Pengkhususan kami lebih kepada kereta gaya hidup dan kereta Eropah, tapi juga cinta kami kepada kereta-kereta klasik. Jadi kami juga menjual kereta klasik lama yang unik.

"Jadi kami carikan untuk para pelanggan dan cadangkan kepada mereka. Kadangkala kami juga gunakan naluri kami untuk sarankan kereta yang adakalanya pelanggan langsung tidak terfikir tapi kami sarankan."

SUDAH MILIK SEMBILAN KERETA SPORT SEJAUH INI

Antara pemilik dan peminat kereta mewah jenis 'sports' di Singapura ialah Aaron Rylan Keder, seorang usahawan yang memiliki beberapa perniagaan termasuk syarikat binaan, pembersihan dan F&B.

Beliau juga adalah pengasas dan pengarah syarikat reka bentuk ARK-hitecure.

Mula bergelar jutawan muda pada usia 24 tahun, Aaron yang sekarang berusia 32 tahun kini memiliki kereta sport beliau yang kesembilan, iaitu Lamborghini Aventador.

Lebih menarik lagi, minatnya terhadap kereta sport sebenarnya bermula semasa kecil lagi yang mana beliau menabung duit jajan diberi ibunya untuk membeli kereta mainan Tamiya.

Kereta pertama yang beliau beli merupakan jenis Toyota Celica.

"Permulaan dapat rasa kereta sport. Jadi saya mempunyai Toyota Celica selama dua tahun. Selepas kereta Jepun, saya fikirkan kereta Jerman. Jadi saya berminat dengan kereta BMW Z4. Saya memandunya selama setahun setengah.

"Selepas itu saya mempunyai kereta Maserati, kereta Itali pula. Selepas Maserati baru saya dapat rasa Lamborghini pertama saya iaitu Lamborghini Gallado. Gallado itu saya gunakannya setahun lebih juga. Mempunyai jenama kereta secara bertahap-tahap memberi saya perangsang untuk kerja lebih hebat dan penuh bersemangat. Ia memberi motivasi kepada saya untuk bekerja lebih keras untuk membeli kereta lebih baik," ujar Aaron.

Lamborghini Aventador milik Aaron berharga S$600,000.

Selain rim tayar sebesar 20 hingga 21 inci, model Lamborghini itu juga lebih lebar, menggunakan enjin V12 yang mampu membuatnya mencapai kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.

Minat beliau dalam kereta sport juga dikongsikannya melalui saluran YouTube yang baru dimulakan.

KERETA MEWAH TETAPI MASIH BERAMAL DENGAN MEWAH

Selain itu, ada juga satu gaya hidup yang lazim dikaitkan dengan pemilik kereta sport cukup mewah seperti beliau.

Aaron berkongsi: "Perlu menyertai kelab kereta mewah untuk meluaskan rangkaian dan perniagaan. Jadi saya rasa memiliki sebuah kereta mewah di Singapura bukan sekadar untuk menunjuk tetapi ia juga boleh memberi sebagai satu bentuk pelaburan dengan hasilnya."

Itulah yang mendorong Aaron menyertai Kelab Kereta Sport Singapura yang dianggotai lebih 100 pemilik kereta sport seperti dirinya.

Selain berkumpul bagi tujuan riadah, Aaron sudah sembilan tahun bersama kelab itu mendampingi lebih ribuan golongan kurang bernasib baik melalui usaha mengumpul derma serta menyumbangkan makanan dan keperluan asas kepada mereka.

"Bapa saya pernah menasihati saya bahawa kalau rezeki sudah menambah, jangan lupa orang-orang yang kurang bernasib baik. Jadi memang Kelab Kereta Sport Singapura ada menganjurkan acara yang mana kita boleh bertemu dengan mereka yang kurang bernasib baik.

"Saya gembira berkongsi pengalaman dan rezeki saya kepada mereka yang kurang bernasib baik," kongsi Aaron. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan