Skip to main content

Gaya Hidup

Galeri Nasional Singapura anjur pameran 'Pop After Pop: Art Around Us' karya Andy Warhol & Barbara Kruger Dis ini

Anggaran Waktu Membaca:
 Galeri Nasional Singapura anjur pameran 'Pop After Pop: Art Around Us' karya Andy Warhol & Barbara Kruger Dis ini

Galeri Nasional Singapura. (Gambar fail: Facebook/National Gallery Singapore)

Diterbitkan : 15 Jul 2026 11:14PM
SINGAPURA: Berita baik untuk peminat seni, ada sesuatu yang boleh anda nantikan semasa cuti hujung tahun ini.

Galeri Nasional Singapura mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan pameran 'Pop After Pop: Art Around Us', yang disifatkannya sebagai "pameran kumpulan seni pop dan warisannya yang terbesar pernah diadakan di Asia Tenggara".

'Pop After Pop: Art Around Us' akan meneroka asal usul gerakan seni pop serta kesannya terhadap artis-artis di Asia Tenggara.

Dijadualkan berlangsung dari 11 Disember 2026 hingga 4 April 2027, pameran ini akan menampilkan lebih 200 karya seni oleh lebih 100 orang artis.

Ini termasuk tokoh utama seni pop Roy Lichtenstein, pengarah filem Amerika Andy Warhol, artis konseptual terkenal Barbara Kruger, serta artis Asia Tenggara seperti Ming Wong dari Singapura, FX Harsono dari Indonesia dan ramai lagi.

Antara karya yang boleh dijangkakan kelak oleh para pengunjung termasuk Untitled (Money money money) oleh Kruger dan Preparedness oleh Lichtenstein.

Pameran ini juga menandakan kerjasama sulung Galeri Nasional Singapura dengan pertubuhan bukan untuk keuntungan, Solomon R Guggenheim Foundation, yang menguruskan beberapa buah muzium termasuk Muzium Solomon R Guggenheim di New York, Amerika Syarikat, dan Peggy Guggenheim Collection di Venice, Itali.

Tiket Pameran Khas diperlukan untuk memasuki ruang pameran ini, yang berharga S$15 bagi warga Singapura serta Penduduk Tetap (PR) dan S$25 bagi warga asing dan pelancong.

Selain itu, mereka yang di bawah program Gallery Insiders boleh menikmati kemasukan percuma tanpa had ke pameran ini, dengan keahlian berharga S$20 untuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) dan S$35 untuk warga asing dan pelancong.

Maklumat lanjut mengenai pameran 'Pop After Pop: Art Around Us' boleh didapatkan melalui laman Galeri Nasional Singapura.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita