Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Galeri Kraf Warisan Purba simpan 10,000 artifak termasuk pedang memancung

Seorang peniaga pasar malam tidak kisah menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk membiayai hobinya mengumpul artifak bersejarah termasuk sebilah pedang dianggar berusia 300 tahun yang dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Galeri Kraf Warisan Purba simpan 10,000 artifak termasuk pedang memancung

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Oct 2020 06:37PM Dikemas Kini : 04 Oct 2020 06:42PM

KOTA BHARU: Seorang peniaga pasar malam tidak kisah menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk membiayai hobinya mengumpul artifak bersejarah termasuk sebilah pedang dianggar berusia 300 tahun yang dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman itu.

Encik Mohamad Fauzi Kamaruddin, 38 berkata beliau mula mengumpul barang bersejarah sejak usia belasan tahun dan menjadikan kediamannya di Jalan Kuala Krai di sini sebagai galeri yang dinamakan Galeri Kraf Warisan Purba untuk menempatkan lebih 10,000 artifak miliknya.

Pengunjung yang menjejakkan kaki di kediaman lelaki itu, pasti mata terpukau melihat pelbagai artifak seperti pedang, keris, lembing, ukiran pintu dan tingkap, cincin, pinggan mangkuk termasuk basikal lama yang dipamerkan.

"Artifak ini yang sebahagian besar merupakan tinggalan zaman Kesultanan Melayu Kelantan dan Patani, kini tidak ternilai harganya dan saya kumpul untuk ditatap generasi muda.

"Lihat pedang yang dipanggil `Pedang Hukuman' ini yang dianggar berusia 300 tahun, masih ada kesan darah dan dipercayai digunakan untuk memancung kepala pesalah pada zaman tersebut," katanya sambil menunjukkan pedang yang panjangnya lebih satu meter.

Turut hadir pada pertemuan itu Pengerusi Persatuan Seni Purba dan Kraftangan Kelantan Alwi Yusof.

Encik Mohamad Fauzi berkata antara koleksi beliau yang disifatkan unik ialah sembilan bilah keris lama yang dibuat oleh penempa terkenal dari tanah Jawa digelar ‘Pandai Saras’, lebih 100 tahun lalu.

“Dikatakan penempa ini pernah menetap di Kelantan bagi membuat senjata untuk panglima Istana Kelantan ketika itu,” katanya.

Koleksi lain ialah beberapa bilah kapak kecil yang dipercayai pernah digunakan oleh pengikut Tok Janggut ketika menentang British di Pasir Puteh.

Encik Mohamad Fauzi juga tidak keberatan sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat membuat kajian terhadap artifak yang dimilikinya itu demi manfaat bersama.

Sementara itu, Encik Alwi berkata koleksi Encik Mohamad Fauzi, terutamanya pedang dan keris terbabit, adalah barang bersejarah yang tidak ternilai dan pihaknya bercadang mempamerkan artifak tersebut di tempat yang sesuai termasuk muzium.

Encik Alwi yang juga Ahli Lembaga Muzium Negeri Kelantan turut berpandangan kajian perlu dilakukan ke atas artifak terbabit bagi memastikan warisan sejarah negeri itu tidak lenyap begitu sahaja.

Seorang peminat artifak, Encik Anuar Mohd Zin, 35, meluahkan rasa kagum terhadap koleksi milik Encik Mohamad Fauzi.

Ada antara artifak itu yang tidak pernah dilihat oleh generasi sekarang seperti kukur kelapa, topi askar British ketika zaman Jepun dan senjata lama seperti lawi ayam dan buku lima, katanya.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan